AKIBAT Covid-19, sebahagian besar daripada kita tak dapat balik kampung. Begitulah juga para novelis kita. Mereka hanya membuat persediaan hari raya di kediaman masing-masing. 

Bagi novelis AISYA SOFEA yang tinggal di Bandar Tun Hussein Onn, Selangor, persiapan hari raya pada kali ini sudah tentu sekali berbeza. Katanya, “Memandangkan raya tahun ni kami sambut di KL sahaja dan masih dlm PKPB,  persiapan raya tahun ni lebih ringkas dan sederhana.

Apabila ditanya mengenai kuih-muih, Aisya menyatakan ada sedikit perbezaan pada musim PKPB ini,
“Terasa perbezaan bila kali ni kuih muih kena masak sendiri. Kebiasaannya saya dan suami beli sahaja. Bila anak-anak perempuan dah mula meningkat remaja, mereka yang seronok dengan persiapan juadah manisan untuk berbuka dan moreh.”

Untuk Aidilfitri ini, AISYA SOFEA yang sedang naik kembali ratingnya kerana novel SUMPAH SETIA dan terkini KAU UNTUKKU 2020 ingin menyampaikan ucapannya:

“Saya ingin mengucapkan pada semua sahabat handai dan keluarga tidak kira dekat dan jauh, yang mengenali saya secara peribadi dan dunia maya ini. Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Kita masih dalam PKP bersyarat. Jangan lupa amalkan gaya hidup sihat. Jaga penjarakkan sosial, jaga diri. Insya-ALLAH segala kepayahan pasti ada kesenangan yang menanti.”

Keluarga Aisya Sofea – berdiri dari kiri ke kanan: Wan Muhammad Syahmi, Wan Muhammad Firdaus Wan Muhammad Hisyam. Duduk dari kiri ke kanan: Wan Ainin Sofiya, Wan Mustafa, AS, Wan Umairah Kamilah

RAMLEE AWANG MURSHID yang baharu sahaja menghasilkan novel HAURA nampaknya sudah dapat membiasakan diri dengan suasana PKPB ini. Ibadah puasanya dapat dilaksanakan secara biasa. Cuma persediaan hari raya Ramlee dan famili yang tinggal di Bandar Baru Bangi, Selangor agak biasa-biasa sahaja pada tahun ini.

“Persediaan raya memang tak ada langsung tahun ni. Cuma isteri saya beli biskut raya buat makan sendiri. Aura raya tahun ni pun berbeza disebabkan wabak covid-19. Jadinya… kita sesuai diri saja dan bersangka baik pada ALLAH swt.”

Untuk Aidilfitri, RAMLEE AWANG MURSHID sempat mengirimkan ucapan:
“Ya, Salam Aidilfitri buat ayah saya sekeluarga. Juga kepada adik-adik saya dengan keluarga masing-masing, seluruh keluarga di Papar, Bongawan dan Ranau. Juga buat sahabat handai dan rakan taulan. Yang paling penting, semua pembaca saya dan frontliners. Terima kasih atas jasa baik kalian. Semoga ALLAH swt membalas jauh lebih baik daripada apa yang kalian berikan. Ameen ya Rabbi.

RAMLEE AWANG MURSHID bersama Dayang Aminah Datuk Haji Aliuddin dan anak hensemnya Muhammad Aizuddin Haiqal.

Novelis LYNN DAYANA yang baru sahaja memasarkan ebukunya BILA AKU JADI SETAN di bawah penerbit Porengkertas pula dapat menunaikan ibadah berpuasa dengan lancar meskipun dalam keadaan PKPB ini. Katanya, “Ramadan setiap tahun memang disambut secara sederhana sahaja. PKP beri kesan dari segi tidak boleh keluar membeli kuih muih atau makanan tradisi yang diidam. Secara keseluruhan, tidak ada kesan sangat pada saya sebab memang selalu masak sendiri makanan mengikut diet yang doktor tetapkan.”

Meskipun secara ala-kadar, nampaknya, Lynn yang menetap di Bandar Puchong Jaya, masih membuat persiapan Aidilfitri. “Sebab tak boleh balik kampung, kuih raya memang tidak dibeli. Baju raya awal-awal dahulu ada yang dibeli dan masih belum pakai. Guna yang itu sajalah. Sekadar mendapat sunat memakai sesuatu yang baru di hari kemenangan.

LYNN DAYANA juga ingin menyampaikan ucapan Selamat Hari raya Aidilfitri:
“Salam Ramadan. Moga berpuasa dalam PKP menjadikan kita manusia yang lebih bersyukur. Selamat Hari Raya. Maaf jika ada salah dan silap. Walaupun di mana kita berada, terpisah kerana tidak boleh merentas… dalam doa kita bertemu juga. InsyaALLAH. 

LYNN DAYANA dah datang beraya, kenapa tak buka pintu? Walaupun PKP, rugi kalau tak sambut dia yang datang bertandang!

Seorang lagi novelis prolifik, WEB SUTERA turut melalui Ramadan seperti seadanya. “Puasa baik-baik sahaja, Alhamdulillah. Tiada masalah dengan puasa, berjalan seperti biasa. Cumanya ada bahagian belanja kena pantau.”

Untuk persediaan Aidilfitri juga, Pak Web Sutera yang menghasilkan novelnya yang terkini DI SEBALIK HIJAB turut berqanaah. “Nampak gaya tahun ini tiada persediaan hari raya daripada segi membeli pakaian baharu. Kuih muih pun tak nampak kelibat lagi, dan tidak bersedia untuk menerima tetamu luar. Ia bukan setakat disebabkan pandemik virus Covid-19, malah ia juga justeru kewangan yang terjejas.”

Bagi saya, Hari Raya Aidilfitri itu memang akan disambut. Cuma apa yang utama ialah melaksanakan ibadah puasa dan amal-amal lainnya pada sepanjang bulan Ramadhan. Itu juga yang sering saya nyatakan dan nasihatkan kepada keluarga dan anak-anak.

Walau apapun, raya tetap diraikan insya-Allah, meskipun pada hemat saya, tahun ini akan sangat berbeza.”

Betapa pun Pak WEB SUTERA yang kini menetap di Mantin, Negeri Sembilan tidak lupa untuk menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada anda semua: “Untuk sanak saudara, teman-teman dan para pembaca karya saya, mohon kemaafan atas khilaf saya. Sambutlah Hari Raya Aidilfitri di rumah masing-masing, dan kita bersama-sama putuskan rantaian Covid-19.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin. Semoga Allah melindungi kita dan Malaysia tetap selamat dalam mengharungi cubaan ini.”

WEB SUTERA menyediakan juadah novel DI SEBALIK HIJAB untuk santapan minda di Aidilfitri.

Novelis HEZZY AZRA yang tinggal di Kota Damansara turut berasakan perbezaan pada Ramadan ini. Menurutnya, “Ramadan masa PKP ini sangat berbeza. Biasanya setiap hujung minggu saya akan ke rumah mak saya dan berbuka bersama beliau dan adik-beradik  yang lain. Kalau sebelum ini saya antara pengunjung tetap ke bazaar Ramadan tetapi kali ini saya membiasakan diri untuk masak setiap hari dan bertukar menu dengan kakak-kakak ipar yang tinggal tak jauh dari rumah saya.”

Untuk persediaan baju raya, Hezzy tidak menyediakan baju baharu kecuali untuk anaknya. “Dari segi baju raya, saya cuma sediakan untuk anak saya seorang sahaja dan semuanya dibeli secara online. Kami suami isteri pakai sahaja apa yang ada. Dari segi kuih/biskut raya pula, saya tetap akan buat dua atau tiga jenis biskut dan kek.”

Hezzy Azra rupanya ada bisnes kuih raya. Masa PKPB ini, dia masih menerima tempahan. “Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya tetap menerima tempahan biskut kelapa dan chocolate chip cookies di musim PKP ini. Tapi terhad kepada pelanggan tetap dan kuantitinya tidak sebanyak biasa kerana saya cuba kurangkan pergerakan dan penghantaran seperti yang biasa saya lakukan.” 

HEZZY AZRA yang baharu juga menerbitkan enovel SAMPING UNGU bersama penerbit PORENGKERTAS turut ingin menyampaikan ucapan Salam Aidilfitri buat semua:

HEZZY AZRA dengan cookies rayanya. Sempat lagi kalau sesiapa nak selit order!

“Saya ambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua peminat, pembaca, rakan-rakan serta sanak saudara untuk segala salah dan silap. Selamat Hari Raya kepada semua. Walaupun kita tak dapat bertemu untuk meraikannya tetapi kita tetap boleh beraya di alam maya. Stay home. Stay safe.”

Kredit gambar utama: theinspirasi.my