MAAFCAKAP 20.5.2020

Pada tahun ini, mesyuarat suami isteri yang tidak akan diadakan di hujung Ramadan ialah mesyuarat penggiliran ke kampung siapakah mereka hendak pulang. Tahun ini, tiada masam-masam muka atau berkecil hati di antara suami isteri kerana mereka tidak boleh balik ke kampung. Malah di pejabat pun, masing-masing tidak perlu kecoh-kecoh hendak rebut hari cuti sebab semuanya akan beraya di kawasan tempat tinggal.Insya-ALLAH, pada tahun ini kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri samada pada hari Sabtu atau Ahad apabila anak bulan Syawal dicerap dari 15 buah lokasi di seluruh negara pada petang Jumaat 22 Mei 2020. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan harinya pada malam itu melalui radio dan televisyen.

Berbeza dengan tahun-tahun yang lalu, kali ini pengisytiharan itu akan ditonton dengan hati yang separuh teruja. Si isteri bagi sesebuah keluarga tidak perlu tergopoh-gapah menyediakan pakaian seminggu ke dalam beg suami dan anak-anak. Tidak perlu menyediakan selimut, bantal, lembek, seterika, berbalang-balang biskut dan kek untuk dibawa pulang ke kampung. Si suami pula tidak perlu tergopoh-gapah menghantar kereta untuk diservis. Tidak perlu juga menggagau menukar wang ringgit di bank sebagai duit raya.

Begitu juga bagi yang menggunakan kenderaan awam untuk pulang ke kampung; tiada perlu lagi beratur untuk mencari tiket keretapi atau bas. Tiada juga berita syarikat-syarikat bas mengumumkan bas tambahan untuk balik kampung. Akhbar pula tiada berita mengenai pemeriksaan para pegawai JPJ ke atas ulat-ulat tiket. Yang hampir pasti, pada tahun ini jumlah kemalangan jalanraya dan kematian akan turun kepada dua angka. Kalau ada pun barangkali kemalangan motorsikal terbabas masuk sawah. Tahun ini memang kita dapat flatten the curve kematian di jalan raya!

Persediaan hari raya pada tahun ini akan dibuat ala kadar sahaja. Mungkin tiada langsir baharu. Yang ada pun mungkin menukar alas meja dan pengesat kaki. Pakaian untuk budak-budak hanya ditempah secara online untuk mengelak bersesak di pasaraya.

Tiba hari raya, persiapan tidak perlu tergesa-gesa. Pakaian raya tak perlu lengkap bersamping dan bersongkok kerana solat raya pun akan dibuat di ruang tamu rumah sahaja. Ayah pun tidak kisah kalau anak isteri lewat bersiap untuk solat berjemaah aidilfitri kerana dia sendiri sedang terkumat kamit beraptai menjadi khatib khutbah raya.

Yang akan sama di tahun ini berbanding dengan tahun-tahun yang lalu adalah budaya bermaaf-maafan. Ia bergantung pula kepada budibicara ketua keluarga samada bermaaf-maafan sekadar meletak tangan ke dada ataupun siap peluk cium dengan linangan air mata. Yang penting, kesyahduan aidilfitri disambut dengan tangisan menjadi tradisi keluarga.

Ketupat, lemang, rendang dan lodeh itulah makanan yang memberi makna berhari raya. Si isteri akan cuba mempertahankan tradisi ini untuk keseronokan anak-anak. Pakaian keluarga barangkali sedondon meskipun dengan pakaian tahun-tahun lalu. Sambil makan, masing-masing akan menayang juadah dan bergurau senda dengan anggota famili yang lain melalui aplikasi Zoom ataupun Google Meet. Bagaimana nanti agaknya anak-anak merengek meminta duit raya dari pakcik dan makcik melalui video. Memang pendapatan duit raya bagi kanak-kanak akan merosot di tahun ini.

Meskipun rancangan hiburan merupakan santapan iringan di televisyen, namun yang akan dinanti-nanti juga ialah Perutusan Khas Aidilfitri dari ‘Abah PM kita’ Tan Sri Muhyiddin Yassin. Masing-masing juga akan menanti apakah pakaian yang akan dikenakan oleh Dato Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan dan Keselamatan. Sekiranya pakaian batik hariannya sudah happening, tentu baju rayanya lebih wow! Dan yang akan ditonton secara wajib pada hari raya ialah sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. Laporannya boleh menentukan mood gembira atau resah kita di hari raya.

Jauh di desa yang sunyi, emak dan ayah akan lalui hari raya seperti mana hari-hari raya lain. Selepas solat aidilfitri di rumah, mereka duduk berdua memamah apa yang ada. Tiada riuh hilai tawa anak-anak atau keributan cucu-cucu. Kalau ada pun sedikit gembira mereka hanyalah mendengar suara panggilan anak-anak sahaja kerana mereka tidak pandai untuk login untuk melihat wajah anak cucu melalui Zoom. Ayah pun tak nampak mata emak yang sudah masuk habuk sejak pagi lagi.

Yang pasti, hari raya di tahun ini akan meninggalkan makna yang mendalam buat kita semua.

Penjarakkan sosial akibat covid-19 benar-benar telah memenjarakan sosial kita.

Gambar oleh Meutia Chaerani, Wikipedia.org CC BY 2.5