COVID-19 membawa kita memahami apa itu pandemik. Langkah pihak pemerintah mengenakan PKP kepada rakyat Malaysia memberi kita pengetahuan, malah pengalaman yang sukar kita lupakan di sepanjang hayat.

Covid-19 juga menyaksikan perangai sebenar rakyat Malaysia. Sebahagian yang besar menjadi warganegara yang baik kerana mentaati pemerintah dalam keadaan yang genting ini. Sebahagian lagi para petugas barisan hadapan yang telah menunjukkan sikap peri kemanusiaan yang amat tinggi dengan berkorban masa dan tenaga untuk menjaga kita semua.

Ini juga yang menjadi bahan renungan, idea dan inspirasi seorang guru yang juga seorang pelukis dan penulis, Mohd Khairul Azman Ismail, 45. Beliau juga adalah seorang guru agama yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Hons) Bahasa Arab dan Kesusasteraannya, dari Al Al-Bayt University, Jordan.

Ilustrasi buku PERGI COVID-19 (Pixcredit Khairul Azman Ismail)

Dalam masa dua minggu, Cikgu Khairul merakam senario Covid-19 di Malaysia melalui sebuah cerita.Kita ikuti temubual ringkas dengan penulis dan pelukisnya:

Bagaimana timbul ilham untuk Cikgu Khairul menulis dan melukis buku Pergi Covid-19?

Bila mana wabak mula menular di dunia dan dalam negara khususnya, sebagai penulis dan pelukis buku kanak-kanak, saya rasa perlu ada bahan bacaan untuk anak-anak kecil mengenai pandemik ini. 

Terfikir setiap orang ada sumbangan terutamanya pimpinan negara dan team barisan hadapan dalam menangani Covid-19. Lalu saya terus cari idea apa cerita yang nak diketengahkan. 

Boleh Cikgu ceritakan sedikit tentang buku tu?

Buku tersebut saya ketengahkan fakta dalam cerita. Ceritanya ada plot, klimaks dan ending… Fakta dan info tentang wabak saya dapati dari portal KKM. Ada watak yang menghidupkan cerita. Watak utamanya ialah Afiq dan Super Dr.H. (Dr Noor Hisham) 

Watak Adivira Dr.H (Pixcredit Khairul Azman Ismail)

Dalam masa yang sama ilustrasi perlu seimbang. Komposisi dan sudut perlu pelbagai. Penggunaan warna air juga dibuat dengan teliti. Saya juga ada merujuk buku-buku bergambar negara lain tentang Covid-19 sebelum saya buat cerita berdasarkan latarbelakang negara kita.

Buku ini juga adalah manifestasi kepada perjuangan para frontliners, mengingati mereka yang terkorban dan menyemai rasa cinta kepada negara.

Berapa lama Cikgu sudahkan kesemuanya?

Kerja melukis dan menyediakan teks cerita memakan masa lebih kurang dua minggu.

Dalam keadaan PKP ni, bagaimana Cikgu hubungi hingga mendapat persetujuan Grup Buku Karangkraf menerbitkan buku ini?

Cikgu Khairul Azman Ismail di studio lukisannya

Sebenarnya, bila teks dan ilustrasi dah siap, saya saja cuba nasib kalau-kalau GBK nak terbitkan. Lalu saya hubungi Puan Firdaus yang juga kawan FB saya dan menyatakan hasrat. Kemudian saya emelkan manuskrip kepada beliau. Hasil mesyuarat akhirnya beliau setuju menjadikan Pergi Covid-19 ini sebagai penerbitan khas dan eksklusif.

Buku Covid-19 Dijangka Laris

SEJAK buku Cerita Kanak-kanak PERGI COVID-19 diumumkan oleh penerbitnya Grup Buku Karangkraf, ramai ibubapa yang berminat untuk mendapatkannya untuk bacaan anak masing-masing. Tidak kurang juga yang mahu jadikan buku itu sebagai koleksi kenangan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin, “Bila kita umumkan fasal buku PERGI COVID-19, dalam masa dua hari sahaja kami menerima tempahan 200 naskhah. Ramai ibubapa dan guru sekolah yang teruja untuk mendapatkannya. Mungkin kerana penangan Superhero Dr. H yang diinspirasikan dari Ketua Pengarah KKM Dato Seri Noor Hisham Abdullah.”

Puan Firdaus Hussamuddin, CEO GrupBukuKarangkraf

“Ramai juga yang katakan yang buku PERGI COVID-19 ini menarik dan terbit tepat pada masanya. Ia bagus untuk kanak-kanak kerana ia buku itu mengandungi maklumat mengenai Covid-19.”

Orang ramai yang mahu membuat pra-tempahan boleh ke pautan https://www.karangkrafmall.com/pergi-covid-19-jangan-datang-lagi. Tempahan juga boleh dibuat menerusi aplikasi WhatsApp di pautan http://www.wasap.my/+60192297227.

Pix utama: Cover muka depan buku