SEBENTAR sahaja rasanya berpuasa, kita sudahpun berhari raya. Sekejap sahaja berhari raya, kita sudah kembali semula kepada rutin sebelum Ramadan. Mujurlah sekarang masih PKPB. Kerajaan pun macam dah aturkan SOP beraya tahun ini hanya sehari! Jika tidak, kita semua akan beraya sebulan, ke sana ke sini ke sana ke sini ke sana…

Ramadan diertikan sebagai bulan penyucian setelah memperoleh kemaafan daripada Yang Maha Pengampun. Kita kembali kepada fitrah, kepada asal sebagai manusia yang bersih, bagai bayi yang lahir tanpa dosa. Begitulah kehendak. Bagaimana pula kemampuan kita?

Kehendak dan kemampuan adalah dua perkara yang berbeza. Kehendak itu adalah keinginan. Ditingkatkan rasa keinginan itu, jadilah ia azam. Imaginasi kejayaan azam itu adalah impian.

Apabila dipasak dengan iltizam, iaitu konsisten dalam tindakan, maka tidak mustahil kehendak itu menjadi realiti. Kehendak yang disertai dengan kemampuan bisa menjadikan keinginan itu sesuatu yang boleh digapai.

Sebaliknya jika kehendak itu tanpa kemampuan, keinginan yang mendatang itu hanya angan-angan. Ia bukan menjadi impian, malah mimpi semata-mata. Tidak sampai sehari, sesuatu yang dikehendaki itu boleh sahaja hilang dari ingatan. Hangat-hangat tahi ayam.

Dan kita kembali menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja ~ manusia yang tiada cita-cita walaupun sekecil hama. Kita hanya hidup mengikut arus kehidupan. Kalau bernasib baik, terdampar di pulau cita-cita. Jika tidak beruntung, tenggelam sahaja di lautan khayalan.

Ramadan itu bulan latihan. Sebelas bulan yang berikutnya adalah bulan praktikal. Soalnya bagaimana latihan sebulan Ramadan itu boleh ditempias, malah ditumpahkan ke sebelas bulan berikutnya agar latihan itu menjadi amalan? Ramadan itu berbeza daripada bulan-bulan yang lain kerana polar rutin harian kita beranjak terus daripada paksinya.

Sarapan menjadi sahur. Masanya sebelum subuh dan ada had waktunya. Waktu maghrib dinanti kerana ia adalah juga waktu berbuka atau makan malam. Lazimnya waktu Maghrib pada bulan-bulan yang lain akan ditangguh-tangguh. Tetapi oleh kerana ia petanda waktu berbuka sudah tiba, maka Maghrib juga diingati.

Untuk bertarawih, mesti tunaikan solat Isyak dahulu. Isyak mesti dilaksanakan tepat pada waktu kerana selepas Isyak baharulah boleh bertarawih. Tetapi sebelum tunaikan Isyak, kenalah solat Maghrib lebih awal dan bukannya last minute. Maknanya di bulan Ramadan, sekurang-kurangnya tiga waktu solat; Maghrib, Isyak dan Subuh dapat dilakukan tepat pada waktunya berbanding daripada bulan-bulan yang lain.

Pada dasarnya kita punyai kemajuan daripada segi menepati waktu ibadah untuk sekurang-kurangnya tiga waktu. Waktu sarapan berubah, makan tengahari tiada dan makan malam di waktu yang singkat. Bersama puasa, inilah perbezaan ketara di bulan Ramadan. Aktiviti keduniaan yanglain seperti bekerja atau belajar sama sahaja seperti di bulan-bulan yang lain.

Justeru itu, andainya kita mahu agar amalan Ramadan itu dibawa ke bulan-bulan yang berikutnya, maka tidak boleh tidak, amalan berpuasa itu sendiri perlu dibawa ke bulan-bulan yang seterusnya. Ini adalah kerana, puasa itu sendiri adalah kunci amalan yang membawa perubahan kepada tabiat seharian kita.

Kerana itu, apa yang digalakkan ialah berpuasa enam hari di bulan Syawal. Di tengah-tengah suasana riuh rendah riang ria aidilfitri di mana kita boleh makan minum sesukanya, ibadah puasa ini muncul sebagai cabaran utama sesiapa yang benar-benar mahu mempraktikkan latihan berpuasa di bulan Ramadan.

Berpuasa enam dahulu mengekang nafsu kerana ramai yang sibuk menjamu selera rumah terbuka di sana-sini, hidangan kuih dan biskut raya oleh rakan-rakan sepejabat akan meracun perasaan agar kita menangguhkan puasa enam.

Dalam keadaan PKP ini, puasa enam lebih mudah dilaksanakan kerana ramai yang sentiasa terkurung di rumah. Kalau pun kita bertugas, suasana beraya di pejabat atau jemputan dari jabatan lain pun tidaklah beriya-iya seperti tahun-tahun yang lalu.

Mudah-mudahan pada tahun ini kita boleh mula membawa semangat Ramadan ke dalam amalan kehidupan dengan puasa enam. Iyalah, jika kita berasa Ramadan lalu adalah Ramadan terakhir kita, apa ikhtiar yang kita ada untuk bertaqarrub kepada-NYA?

Kalau hendak lebihkan ibadah, sekaranglah tahunnya. Barangkali di tahun hadapan kita mungkin tidak seinsaf seperti di tahun ini.

*Layari layarminda.com untuk menatap artikel-artikel lain