Siapa Kata Rezekimu hanya di situ?
MAAFCAKAP 16.12.2020
Banyak bisnes gulung tikar akibat Covid-19. Ramai warga kerja dari pelbagai bisnes yang terjejas diberhentikan kerja. Mereka terpaksa mencari peluang lain untuk sesuap nasi. Di dada media maya, ada cerita juruterbang membuka kafe, jurutera membuka kebun dan pengurus menjual pelitup muka. Seorang kenalan saya yang mempunyai syarikat pengurus acara kini menjadi peraih dan penjual ikan!
Manusia, apabila terpaksa atau dipaksa keadaan, akan segera bertindak untuk mengadaptasikan dirinya demi survival. Dalam dunia yang sentiasa berubah, apa yang tidak pasti kian cepat berubah. Dahulu kita berasakan disruptive technology begitu mengganggu gugat manusia di dalam zon selesanya. Ternyata, Covid-19 lebih menghuru-hara dan melumpuhkan cara hidup kita secara keseluruhannya.
Manusia perlukan kerja. Hasil kerja akan menghasilkan upah. Dengan upah, manusia akan dapat hidup berkeluarga, makan minum, memperoleh tempat tinggal dan mengumpul hartanya untuk kesenangan dunia. Begitulah apa yang diterpa dan diterapkan di minda kita oleh ibubapa, guru-guru, pemerintah dan para pemimpin.
“Belajarlah rajin-rajin. Bila dah besar, dapat masuk universiti. Lepas itu dapat kerja yang bergaji besar. Nanti boleh hidup senang.” Begitulah lebih kurang skrip belajar dan berkerjaya yang kita selalu dengar dari mereka yang lebih tua daripada kita. Hampir kesemua daripada kita menganut fahaman bahawa belajar hingga ke universiti akan menjamin kerja yang bergaji besar dan akan dapat hidup senang.
Maka sejak kecil lagi kita digalakkan untuk mempunyai cita-cita dari segi kerjaya. Untuk mencapai cita-cita itu maka kita akan memilih subjek-subjek yang akan memudahkan kita memasuki aliran dan bidang yang dicita-citakan itu. Ia menjadi suatu ikrar peribadi.
Sebab itulah ada pelajar yang monyok kerana tidak dapat memasuki aliran sains yang menjadi pilihannya. Dunia terasa gelap kerana pihak sekolah memilihnya ke aliran sastera. Sekali lagi apabila terpilih melanjutkan pelajaran di universiti, dia jatuh murung kerana tidak dapat memasuki bidang yang menjadi pilihannya. Malah, ada yang sanggup berhenti belajar. Hal ini berterusan apabila seseorang itu menolak apa-apa tawaran pekerjaan semata-mata kerana ia tidak ada kena mengena dengan bidang pelajaran yang diikutinya di kampus.
Namun, katakanlah seseorang yang berita-cita menjadi seorang saintis dan dia dapat memasuki aliran sains, melanjutkan pelajaran di universiti sains hingga ke peringkat kedoktoran dan dapat menjadi seorang saintis pula. Dan kerana Covid-19, dia diberhentikan kerja dan dia terpaksa menjual nasi lemak untuk menyambung hidup. Ke manakah perginya cita-cita asal yang terpahat di mindanya sedari kecil?
Buat mereka yang terpaksa meninggalkan kerjaya masing-masing atas sebab apa sekali pun, dan beralih ke sebuah kerjaya baharu yang tidak pernah mereka fikir malah cuba sebelum ini, inilah petanda bahawa rezeki mereka di bidang yang diceburi selama ini telah tamat. Justeru, mereka harus beralih mendapatkan rezeki melalui bidang lain.
Persoalan di sini ialah, apakah kita sedar bahawa kita tidak pernah tahu rezeki kita ada di mana? Benar, kita akan mendapat kelulusan dan kerjaya di bidang yang kita kejari. Namun, ada tak sesiapa yang boleh menyatakan rezekinya akan datang dalam bidang yang diceburi?
Bila kita akui bahawa rezeki kita di tangan Tuhan, mengapa sebahagian besar daripada kita mensekalikan kerjaya dan rezeki? Kerjaya dan rezeki adalah dua perkara yang sama sekali berbeza. Seseorang itu boleh berjaya di dalam kerjayanya, tetapi di kemudian hari dia tidak berasa bahagia dengan apa yang dilakukan. Itu adalah masalah kerjaya, bukan soal rezeki.
Buat kita yang mendapati payah hidupnya dalam mengharungi bidang yang diceburi, ketahuilah bahawa kita perlu beralih arah dan menceburi bidang yang lain. Mengapa masih bermati-matian mempertahankan kerja yang dilakukannya? Siapa kata rezeki kita hanya di situ?
Apakah Buku Lebih baik dari filem?
PADA banyak ketika, apabila penonton bangun dari tempat duduk apabila lampu panggung bernyala, masing-masing akan berkata, “Bukunya lebih baik daripada filem.” Betul ke?
Tapi, memanglah. Bila kita membaca buku lebih dulu dari menonton, kita akan katakan bukunya lebih bagus dari filem. Iyalah, apabila kita membaca, watak-wataknya mula terbentuk di dalam minda. Begitulah telahan Henry Yates dalam tulisannya di portal The Guardian.
Tetapi apabila menonton dan wataknya tidak seperti apa yang dibayangkan oleh fikiran, kita akan menolak kerana berasa janggal. Sebaliknya apabila kita menonton lebih dahulu daripada membaca novelnya, keadaan jadi berbeza pula. Kita akan membaca dengan rasa kurang teruja kerana dah tahu apa yang akan terjadi.
Betapa pun, menurut Henry, apabila kita berkata yang buku lebih baik dari filem, ia hanyalah rasa hebat kerana telah membaca terlebih dahulu daripada menonton. Ia juga adalah kepercayaan bahawa filem itu mempunyai nilai seni yang lebih rendah daripada buku.

Bayangkan, pengarah filem terkenal Martin Scorsese sendiri mengkritik genre filem pada 2017, “Semakin lama, saya kian berasa yang filem itu mempunyai nilai seni yang kian rendah. Filem kian mengambilkira aspek komersial. Terlalu ramai yang terlibat dalam pembikinannya hingga tidak perlu lagi untuk berimaginasi seperti membaca.”
Tetapi hakikatnya, filemlah yang jadi penyebab mengapa buku makin kurang disentuh. Ramai yang dah tak kuasa membelek buku yang sudah difilemkan.
Pautan asal:
https://www.theguardian.com/books/2020/dec/07/a-novel-idea-is-the-book-always-better-than-the-film
Buku Atas Basikal: Pemuda Sri Lanka Buat Perpustakaan Bergerak
TheIndianExpress.28.11.2020.AssociatedPress
Pada waktu senggang, Mahinda Dasanayaka akan meletak buku di atas motorsikalnya sebelum memacu ke kawasan pergunungan ladang teh menemui kanak-kanak miskin di perkampungan Sri Lanka.
Mahinda berbuat begitu apabila melihat kanak-kanak itu tidak mendapat bahan bacaan yang baik. Dia memulakan projek ‘Buku dan Aku’ tiga tahun lalu. Kini projeknya amat popular di kalangan kanak-kanak.
“Ada di antara mereka yang tak pernah melihat buku kanak-kanak,” katanya yang juga bertugas sebagai Pegawai Perlindungan Kanak-kanak.
Pada hujung minggu, Mahinda akan memacu motorsikalnya ke kampung-kampung untuk mengagihkan buku-buku secara percuma. “Kanak-kanak itu semuanya teruja. Mereka memang menanti kedatangan saya,” ujarnya lagi.
Koleksinya mengandungi lebih 3,000 buah buku dari pelbagai judul. Setakat ini, programnya telah menarik lebih 1,500 kanak-kanak. Beliau menggunakan duitnya sendiri untuk membeli buku. Lain-lain buku diberikan oleh kawan-kawan, rakan sekerja dan juga para dermawan.

“Buku boleh mengubah masyarakat. Ia membawa keamanan kerana tiada sesiapa pun yang akan marah-marah dengan buku,” kata Mahinda.
Usahanya tidak dipandang sepi. Seorang Pengurus Kanan stesen radio Neth FM, Nuwan Liyange menggelar Mahinda ‘seorang hero masakini.’ Stesen radio itu juga membantu Mahinda mengumpul buku.
Mohamed Haris Shihara, seorang guru asuhan kanak-kanak amat menyanjungi usaha Mahinda kerana memberi peluang kepada 100 kanak-kanak di desanya memiliki buku. “Usaha ini amat terpuji kerana ia membina minat membaca di kalangan kanak-kanak.”
Mahinda tidak mencari keuntungan dari usahanya. “Saya akan gembira bila melihat kanak-kanak membaca buku. Dan ramai kanak-kanak berkata yang buku telah mengubah hidup mereka. Inilah kebahagiaan saya.”
Gambar Utama: Kanak-kanak teruja mengerumuni motorsikal Mahinda mencari buku bacaan. Pixcredit: TheIndianExpress.
Rumah Besar Bermentol Satu
MAAFCAKAP 9.12.2020
Setelah mengadakan sebuah diskusi dengan seorang kenalan di sebuah restoran di pinggir kota, saya memandu pulang. Hati saya tergerak untuk melalui kawasan perumahan yang agak sunyi. Di jalan itu terdapat rumah-rumah besar yang didiami oleh ramai mereka yang berjaya dan hebat dalam kerjaya dan bisnes masing-masing.
Kawasan yang saya lewati itu agak suram kerana dedaun pohon-pohon besar di situ menutupi cahaya lampu dari tiang-tiang elektrik. Laluannya juga lengang. Tiada kenderaan yang melewati. Sambil memandu, saya memerhati sebuah rumah ke sebuah rumah yang kebanyakannya tiga tingkat. Hampir kesemua rumah kelihatan kelam.
Yang nampak terang hanyalah bilik di tingkat bawah. Ada juga yang menyalakan lampu porch sahaja. Saya memerhati kenderaan yang terparkir di setiap rumah yang dilewati. Hampir kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya empat buah kereta. Ke manakah para penghuninya? Rumah besar, berkereta banyak tetapi kenapakah hanya sebuah lampu sahaja yang bernyala?
Saya mengagak, tentunya rumah-rumah besar yang terdapat di jalan itu dihuni oleh hanya sepasang suami dan isteri. Mereka kini sudah menjadi warga emas. Anak cucu tentu kesemuanya tinggal sendiri-sendiri di tempat lain. Mereka tidak larat untuk naik ke bilik tidur di tingkat tiga. Barangkali sakit lutut untuk naik tangga.
Tinggallah mereka berdua yang menginap di bilik kecil di tingkat bawah. Segala pakaian mencukupi. Dari bilik itu, hendak ke dapur untuk masak dan makan pun mudah. Hendak membasuh baju pun senang. Bila siang, hendak beriadah, berkebun dan berjemur pun hanya beberapa langkah ke luar halaman.
Mereka tidak perlu naik turun tangga ke tingkat tiga. Jika seorang di tingkat atas, seorang lagi di tingkat bawah, sukar juga jika hendak berhubung di rumah besar yang berdinding batu itu. Nauzubillah, sekiranya apa-apa yang tidak baik terjadi, sukar juga salah seorang daripada mereka segera tampil untuk membantu.
Secara tidak disedari, kita pada hari ini telah diasak dengan idea dan nafsu besar. Hendak makan burger besar dengan air bergelas besar, bergaji besar, berpejabat besar, berkenderaan besar dan berumah besar. Besar itu bagus kerana ia melambangkan kejayaan dan kuasa. Yang berusaha dan berjaya akan memperoleh semua yang besar-besar. Yang tidak berjaya hanya dapat yang kecil-kecil. Begitulah tanggapan kita pada yang kecil.
Kerana itu, yang belum berjaya pun mengimpikan untuk ada semua yang besar-besar dan sedang berhempas pulas berusaha dan bekerja bagi mendapatkannya. Bukan hendak mengata, tetapi ini menjadi kehendak majoriti daripada kita yang diasuh dengan sistem kapitalis termasuk yang menulis ini pada suatu ketika dahulu.
Mahu tidak mahu, pada hakikatnya, ia adalah suatu kesilapan pilihan dan idea yang tempang mengenai kejayaan hidup. Anugerah yang besar-besar itu telah menjelma menjadi masalah yang datang bersama kejayaan mencapai impian. Impian kini sudah jadi igauan. Dari satu segi, beruntunglah bagi mereka yang tidak memperoleh yang besar-besar kerana yang besar-besar itu membawa beban yang besar juga.
Dari sudut keperluan, kita sebenarnya tidak perlukan sesuatu yang banyak dan besar pun. Suasana PKP di mana kita lebih banyak berkurung telah mengajar kita bahawa kita tidak perlu pun sesuatu besar-besar. Makanan sepinggan yang kecil, kenyang juga; bergaji kecil, cukup juga; berkereta kecil, sampai juga dan berumah kecil, dapat berlindung juga dari hujan dan panas.
Tak kira yang kaya atau dikatakan miskin, semua kita sama sahaja dari segi inginkan sesuatu secara berlebih-lebihan. Yang belum dapat habuan dunia tidak semestinya akan jadi seorang yang qanaah. Silap-silap dia yang berlebih-lebih dari yang dah kaya.
Kanak-Kanak Pasca Covid-19
MAAFCAKAP: 2.12.2020
Petang Ahad lalu saya ke Aeon Mall, Shah Alam untuk bertemu dengan seorang teman. Masya-ALLAH, setibanya saya ke kawasan mall, saya berdepan dengan kesesakan trafik. Saya mengambil masa 20 minit sebelum mendapat ruang parkir. Ramainya orang pada hari itu. Ada berbelas orang di hadapan saya menanti giliran untuk mendaftar mySejahtera di pintu masuk.
Di ruang legar mall, saya lihat para pengunjung di mana-mana. Namun, masing-masing kelihatan fokus, tidak banyak berbual dengan teman. Begitu juga bila saya memasuki ke gedung pakaian. Masing-masing memilih busana secara sendiri-sendiri dalam satu-satu lorong pakaian. Kalau boleh, mereka tidak mahu bertembung dan berselisih. Bila terserempak, masing-masing akan beredar ke lain arah.
Cuma di restoran dan food court, keadaannya begitu berbeza. Para pengunjungnya kelihatan relaks berbual tanpa menyarung topeng muka. Mereka memesan makanan yang pelbagai. barangkali kerana rindukan suasana santai sambil menjamu selera. Tiba-tiba seorang kanak-kanak menerpa ke kaki saya!
Saya terkejut seketika melihat kanak-kanak comel itu. Si ibu yang muncul lantas memohon maaf kerana anaknya telah merempuh saya. “Tak apalah puan. Cucu saya pun suka main kejar-kejar, kemudian lari dan terpa ke kaki saya,” jawab saya.
Bila kanak-kanak dan si ibu berlalu, saya perasan ketiadaan kanak-kanak di mall itu. Di mana mereka? Selain dari kanak-kanak tadi, saya nampak seorang dua sahaja kanak-kanak di kawasan sekeliling saya. Kasihannya kanak-kanak. Kerana Covid-19, mereka terpaksa duduk di rumah.
Saya teringat betapa cucu saya menangis bila mendapat tahu PKPB dilanjutkan dan sekolah ditutup. Dia sedih kerana rindukan kawan-kawannya dan rindukan suasana pembelajaran di sekolah. Seorang teman saya mengatakan, anaknya juga begitu sedih kerana tidak dapat ke sekolah.
Belajar secara online pun dia tidak suka kerana tidak mahu duduk membatu menumpukan perhatian ke skrin komputer. Jika tiada ibunya di sisi, dia tidak akan hadiri kelas. Pendek kata, dia lebih kerap ‘ponteng’ daripada menghadiri kelas.
Pandemik Covid-19 memaksa kita semua mematuhi SOP. Inti utama penjagaan diri dari terkena penyakit ini dan memutuskan rantaian ialah dengan mengurangkan interaksi dengan orang lain khususnya mereka yang bukan serumah. Kesan daripada SOP ini, kita berasa terkurung dan terpisah dari orang lain.
Tetapi, bagaimana pula dengan kanak-kanak? Kesemua ini baharu buat mereka. Kanak-kanak yang fitrahnya belajar melalui bermain tidak punyai peluang bebas mengekspresi perasaan dengan suasana di sekitar mereka. Bangun pagi, lihat muka ibu dan ayah serta ahli keluarga sahaja. Medium mereka melihat dunia ialah melalui komputer dan televisyen.
Alat-alat ini hanya mengajar ilmu melalui tontonan Pelajaran melalui apa-apa perisian mahupun melalui program sudah tentu tidak mencukupi. Oleh kerana mereka sentiasa ada di rumah, ibubapa perlu mengisi peluang ini dengan mendidik anak mereka dengan soft skills termasuk adat dan adab.
PKP dan lain-lain perintah yang sewaktu dengannya akan memisahkan kanak-kanak dengan dunia yang sepatutnya. Tempoh pandemik Covid-19 akan berpanjangan. Setahun, apatah lagi dua tahun sudah cukup untuk membentuk peribadi anak-anak ini.
Misalnya, anak-anak lelaki yang lama tidak ke masjid dikhuatiri tidak punyai hati untuk ke sana kerana berasakan solat di rumah sudah memadai. Sementara anak-anak perempuan pula, oleh kerana tidak biasa bergaul dengan mereka di luar lingkungan keluarga mungkin akan membesar dengan sikap rendah diri kerana tiada kemahiran berkomunikasi dengan orang lain. Mungkin, mereka akan kembali jadi pemalu bak gadis pingitan seperti moyang mereka!



