MAAFCAKAP 16.12.2020

Banyak bisnes gulung tikar akibat Covid-19. Ramai warga kerja dari pelbagai bisnes yang terjejas diberhentikan kerja. Mereka terpaksa mencari peluang lain untuk sesuap nasi. Di dada media maya, ada cerita juruterbang membuka kafe, jurutera membuka kebun dan pengurus menjual pelitup muka. Seorang kenalan saya yang mempunyai syarikat pengurus acara kini menjadi peraih dan penjual ikan!

Manusia, apabila terpaksa atau dipaksa keadaan, akan segera bertindak untuk mengadaptasikan dirinya demi survival. Dalam dunia yang sentiasa berubah, apa yang tidak pasti kian cepat berubah. Dahulu kita berasakan disruptive technology begitu mengganggu gugat manusia di dalam zon selesanya. Ternyata, Covid-19 lebih menghuru-hara dan melumpuhkan cara hidup kita secara keseluruhannya. 

Manusia perlukan kerja. Hasil kerja akan menghasilkan upah. Dengan upah, manusia akan dapat hidup berkeluarga, makan minum, memperoleh tempat tinggal dan mengumpul hartanya untuk kesenangan dunia. Begitulah apa yang diterpa dan diterapkan di minda kita oleh ibubapa, guru-guru, pemerintah dan para pemimpin.

“Belajarlah rajin-rajin. Bila dah besar, dapat masuk universiti. Lepas itu dapat kerja yang bergaji besar. Nanti boleh hidup senang.” Begitulah lebih kurang skrip belajar dan berkerjaya yang kita selalu dengar dari mereka yang lebih tua daripada kita. Hampir kesemua daripada kita menganut fahaman bahawa belajar hingga ke universiti akan menjamin kerja yang bergaji besar dan akan dapat hidup senang.

Maka sejak kecil lagi kita digalakkan untuk mempunyai cita-cita dari segi kerjaya. Untuk mencapai cita-cita itu maka kita akan memilih subjek-subjek yang akan memudahkan kita memasuki aliran dan bidang yang dicita-citakan itu. Ia menjadi suatu ikrar peribadi.

Sebab itulah ada pelajar yang monyok kerana tidak dapat memasuki aliran sains yang menjadi pilihannya. Dunia terasa gelap kerana pihak sekolah memilihnya ke aliran sastera. Sekali lagi apabila terpilih melanjutkan pelajaran di universiti, dia jatuh murung kerana tidak dapat memasuki bidang yang menjadi pilihannya. Malah, ada yang sanggup berhenti belajar. Hal ini berterusan apabila seseorang itu menolak apa-apa tawaran pekerjaan semata-mata kerana ia tidak ada kena mengena dengan bidang pelajaran yang diikutinya di kampus.

Namun, katakanlah seseorang yang berita-cita menjadi seorang saintis dan dia dapat memasuki aliran sains, melanjutkan pelajaran di universiti sains hingga ke peringkat kedoktoran dan dapat menjadi seorang saintis pula. Dan kerana Covid-19, dia diberhentikan kerja dan dia terpaksa menjual nasi lemak untuk menyambung hidup. Ke manakah perginya cita-cita asal yang terpahat di mindanya sedari kecil?

Buat mereka yang terpaksa meninggalkan kerjaya masing-masing atas sebab apa sekali pun, dan beralih ke sebuah kerjaya baharu yang tidak pernah mereka fikir malah cuba sebelum ini, inilah petanda bahawa rezeki mereka di bidang yang diceburi selama ini telah tamat. Justeru, mereka harus beralih mendapatkan rezeki melalui bidang lain. 

Persoalan di sini ialah, apakah kita sedar bahawa kita tidak pernah tahu rezeki kita ada di mana? Benar, kita akan mendapat kelulusan dan kerjaya di bidang yang kita kejari. Namun, ada tak sesiapa yang boleh menyatakan rezekinya akan datang dalam bidang yang diceburi?

Bila kita akui bahawa rezeki kita di tangan Tuhan, mengapa sebahagian besar daripada kita mensekalikan kerjaya dan rezeki? Kerjaya dan rezeki adalah dua perkara yang sama sekali berbeza. Seseorang itu boleh berjaya di dalam kerjayanya, tetapi di kemudian hari dia tidak berasa bahagia dengan apa yang dilakukan. Itu adalah masalah kerjaya, bukan soal rezeki.

Buat kita yang mendapati payah hidupnya dalam mengharungi bidang yang diceburi, ketahuilah bahawa kita perlu beralih arah dan menceburi bidang yang lain. Mengapa masih bermati-matian mempertahankan kerja yang dilakukannya? Siapa kata rezeki kita hanya di situ?