MAAFCAKAP 9.12.2020
Setelah mengadakan sebuah diskusi dengan seorang kenalan di sebuah restoran di pinggir kota, saya memandu pulang. Hati saya tergerak untuk melalui kawasan perumahan yang agak sunyi. Di jalan itu terdapat rumah-rumah besar yang didiami oleh ramai mereka yang berjaya dan hebat dalam kerjaya dan bisnes masing-masing.
Kawasan yang saya lewati itu agak suram kerana dedaun pohon-pohon besar di situ menutupi cahaya lampu dari tiang-tiang elektrik. Laluannya juga lengang. Tiada kenderaan yang melewati. Sambil memandu, saya memerhati sebuah rumah ke sebuah rumah yang kebanyakannya tiga tingkat. Hampir kesemua rumah kelihatan kelam.
Yang nampak terang hanyalah bilik di tingkat bawah. Ada juga yang menyalakan lampu porch sahaja. Saya memerhati kenderaan yang terparkir di setiap rumah yang dilewati. Hampir kesemuanya mempunyai sekurang-kurangnya empat buah kereta. Ke manakah para penghuninya? Rumah besar, berkereta banyak tetapi kenapakah hanya sebuah lampu sahaja yang bernyala?
Saya mengagak, tentunya rumah-rumah besar yang terdapat di jalan itu dihuni oleh hanya sepasang suami dan isteri. Mereka kini sudah menjadi warga emas. Anak cucu tentu kesemuanya tinggal sendiri-sendiri di tempat lain. Mereka tidak larat untuk naik ke bilik tidur di tingkat tiga. Barangkali sakit lutut untuk naik tangga.
Tinggallah mereka berdua yang menginap di bilik kecil di tingkat bawah. Segala pakaian mencukupi. Dari bilik itu, hendak ke dapur untuk masak dan makan pun mudah. Hendak membasuh baju pun senang. Bila siang, hendak beriadah, berkebun dan berjemur pun hanya beberapa langkah ke luar halaman.
Mereka tidak perlu naik turun tangga ke tingkat tiga. Jika seorang di tingkat atas, seorang lagi di tingkat bawah, sukar juga jika hendak berhubung di rumah besar yang berdinding batu itu. Nauzubillah, sekiranya apa-apa yang tidak baik terjadi, sukar juga salah seorang daripada mereka segera tampil untuk membantu.
Secara tidak disedari, kita pada hari ini telah diasak dengan idea dan nafsu besar. Hendak makan burger besar dengan air bergelas besar, bergaji besar, berpejabat besar, berkenderaan besar dan berumah besar. Besar itu bagus kerana ia melambangkan kejayaan dan kuasa. Yang berusaha dan berjaya akan memperoleh semua yang besar-besar. Yang tidak berjaya hanya dapat yang kecil-kecil. Begitulah tanggapan kita pada yang kecil.
Kerana itu, yang belum berjaya pun mengimpikan untuk ada semua yang besar-besar dan sedang berhempas pulas berusaha dan bekerja bagi mendapatkannya. Bukan hendak mengata, tetapi ini menjadi kehendak majoriti daripada kita yang diasuh dengan sistem kapitalis termasuk yang menulis ini pada suatu ketika dahulu.
Mahu tidak mahu, pada hakikatnya, ia adalah suatu kesilapan pilihan dan idea yang tempang mengenai kejayaan hidup. Anugerah yang besar-besar itu telah menjelma menjadi masalah yang datang bersama kejayaan mencapai impian. Impian kini sudah jadi igauan. Dari satu segi, beruntunglah bagi mereka yang tidak memperoleh yang besar-besar kerana yang besar-besar itu membawa beban yang besar juga.
Dari sudut keperluan, kita sebenarnya tidak perlukan sesuatu yang banyak dan besar pun. Suasana PKP di mana kita lebih banyak berkurung telah mengajar kita bahawa kita tidak perlu pun sesuatu besar-besar. Makanan sepinggan yang kecil, kenyang juga; bergaji kecil, cukup juga; berkereta kecil, sampai juga dan berumah kecil, dapat berlindung juga dari hujan dan panas.
Tak kira yang kaya atau dikatakan miskin, semua kita sama sahaja dari segi inginkan sesuatu secara berlebih-lebihan. Yang belum dapat habuan dunia tidak semestinya akan jadi seorang yang qanaah. Silap-silap dia yang berlebih-lebih dari yang dah kaya.