YANG BINGIT DALAM KESUNYIAN
Apabila kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020, rakyat terkurung di rumah. Hiburan rekreasi yang ada hanyalah menonton televisyen, mendengar radio dan menghadap komputer. Kebosanan mudah melanda apabila dalam keadaan terkurung. Golongan peminat buku juga tidak terkecuali.
Membaca adalah suatu tabiat. Apabila tidak boleh ke perpustakaan atau ke toko-toko buku, mereka mendapatkannya melalui carian di internet. Ramai yang meminjam buku digital dari Perpustakaan Negara Malaysia. Peningkatan ni amat luarbiasa.
Menurut Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Rangkaian Sistem Perpustakaan PNM, Aidatul Hasnida Abdul Rani, hampir 40,000 buku digital dipinjam pada Mac 2020, berbanding purata kira-kira 15,000 pada bulan biasa. Pendaftaran keahlian baharu iaitu pada bulan pertama PKP mencecah 22,982 ahli.
Kedai-kedai yang mempunyai laman web mendapati jualan buku-buku secara online telah meningkat secara mendadak. Syarikat Xentral Methods, entiti yang mengendalikan e-Sentral.com iaitu syarikat e-buku terbesar di Malaysia mendapati jualan e-bukunya meningkat tiga kali ganda sejak PKP bermula. Syarikat gergasi Big Bad Wolf yang mengadakan jualan buku secara maya pada November 2020 mendapati lamannya crash beberapa kali berikutan dengan sambutan luar biasa para peminat buku.
Faktor perkhidmatan penghantaran yang semakin canggih menjadikan pembaca buku tidak kekok untuk memesan buku secara online. Perkhidmatan penghantaran bungkusan seperti J & T Express, ABX Express serta GDex yang bersaing dengan PosLaju dengan harga yang lebih murah, membantu meningkatkan transaksi pembelian.
Satu lagi faktor yang merangsang tabiat membeli secara online ini disumbangkan oleh pasar digital; yang paling terkenal ialah Shopee. Sebagai sebuah pasaraya maya, Shopee menawarkan platform yang amat sesuai untuk pembelian termasuk buku. Malah, ia memberi peluang yang cukup baik buat penerbit dan juga penjual buku individu.
Platform membeli-belah ini lebih menepati kehendak peminat buku. Jika selama ini mereka ke laman-laman web yang berbeza untuk mendapatkan buku-buku dari penerbit yang berbeza, kini mereka hanya perlu ke Shopee dan semua buku terhimpun di situ.
Shopee adalah pilihan semasa yang paling tepat. Normal baharu peminat buku membeli secara online ini umpama bulan jatuh ke riba buat penjual buku khususnya penjual buku kecil. Mereka tidak perlu lagi memancing pembeli begitu lama melalui Facebook mahupun Instagram kerana bukan semua orang ke media sosial itu untuk membeli-belah. Mereka temui jalan pintasnya di Shopee.
Malah portal itu turut meuar-uarkan penjual buku dengan memberi ruang kepada mana-mana kedai maya untuk memaklumkan berapa naskhah sesebuah judul buku terjual dan memuatkan ruang untuk pembeli untuk memberi komen masing-masing. Jika selama ini para pembaca perlu ke laman ulas buku seperti Goodreads, kini mereka boleh terus membaca maklumbalas pembaca mengenai sesebuah judul buku yang dihajati.
Fenomena dropshipping iaitu ejen-ejen jualan yang selama ini berkembang pesat di sektor kosmetik telah tempias ke pelbagai bidang bisnes termasuk perniagaan buku. Semakin ramai individu memperoleh pendapatan melalui cara dropshipping ini. Banyak kumpulan-kumpulan sokongan seperti Hack-A-Launch yang mengadakan kelas untuk mengajar teknik melariskan produk amat membantu sesiapa sahaja termasuk penjual buku.
Suasana ini melahirkan satu lagi golongan pembaca iaitu mereka yang mendapatkan buku kerana ingin mendapatkan buku tulisan personaliti yang mereka gemari. Buku-buku tokoh agama, motivasi bisnes, pemasaran dan selebriti kini menjadi rebutan. Malah, terdapat jualan set buku seorang penceramah terkenal telah laris sehingga 200,000 naskhah kerana pendekatan pemasaran yang agresif ini.
Buku akan tetap laris, pembacanya tetap ada. Hanya mereka yang meminatinya akan mengalami hiruk-pikuk dunianya. Cuma, masih ramai peminat buku yang menyimpan nostalgia dengan tabiat berkunjung ke kedai buku untuk menghayati suasana di kelilingi ribuan buku, dalam suasana yang sepi sambil menghidu bau buku yang ditatap.
Buktinya, ratusan peminat buku beratur panjang sebelum dibenar masuk ke gedung buku Kinokuniya, KLCC, Kuala Lumpur apabila ia dibuka kembali pada Februari lalu.

PESTA MAYA YANG TAK BERMAYA
MAAFCAKAP 24.3.2021
Minggu lepas, anak saya yang punyai kedai buku di Shopee mengirim mesej. Menurutnya, mulai 19 Mac hingga 4 April ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia menganjurkan Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) secara maya seperti tahun lalu.
‘Hmm…’ Selamba sahaja saya menjawab mesej itu di dalam hati. Sejak tiga tahun yang lalu, saya memang melanggan berita-berita mengenai dunia perbukuan dari Google. Setiap hari saya akan memperoleh berita mengenai buku dari merata pelosok dunia.
Pada tahun lalu, hampir kesemua pesta buku antarabangsa yang dianjurkan oleh pelbagai negara menjadikan pesta buku mereka sebagai ‘pesta buku edisi khas’ iaitu pesta buku secara maya berikutan dengan pandemik Covid-19.
Bologna’s Children Book Fair, Sharjah International Book Fair, Livre Paris dan Frankfurter Buchmesse adalah di antara pesta buku antarabangsa terkenal yang menganjurkan pesta buku secara maya pada tahun lalu. Pada tahun ini, ada pesta buku seperti Pestabuku Frankfurt dan Pestabuku Shanghai yang mula membuka pintu, tetapi dengan SOP yang ketat.
Barangkali oleh kerana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diadakan pada Mac yang boleh dikatakan awal tahun, keadaan masih belum selamat untuk diadakan pesta buku secara terbuka seperti tahun 2019 dan sebelumnya.
Apabila pesta buku dianjurkan secara maya, ia menjadi pesta buku yang tidak bermaya. Pestabuku hilang suara dan seri apabila para pengunjung yang datang ke laman-laman syarikat buku biasanya melayari secara solo dan beredar ke laman syarikat buku yang lain secara senyap-senyap.
Di era pra-covid 19 di mana PBAKL dianjurkan di Putra World Trade Centre (PWTC), para pengunjung dapat dilihat berbondong-bondong dari komuter dan LRT menuju ke dewan pameran.
Saya pernah terlibat ketika menguruskan penerbitan Alaf 21, syarikat di bawah payung Grup Buku Karangkraf pada tahun 1997-2009. Pesta buku ketika itu adalah pesta. Pagi-pagi lagi, para peminat buku sudah berkerumun di luar dewan menunggu ia dibuka. Sebaik sahaja pintu terkuak, masing-masing bergegas masuk ke dewan menuju ke penerbitan-penerbitan yang mereka gemari.
Sebahagian besar daripada mereka sudah ada senarai di dalam kepala, buku-buku apakah yang hendak dibeli. Dewan akan mulai sesak dengan para peminat buku dari jam 11.00 pagi hinggalah selepas maghrib.
Bagi yang terlibat di dalam industri ini seperti penerbit, pencetak, pengedar dan penulis pesta buku adalah hari raya bagi kami. Kami menyiapkan buku-buku untuk pelancarannya di pesta buku, seolah-olah membuat kuih raya bagi para surirumah. Kami menghias reruai secantik-cantiknya seperti menghias rumah untuk tetamu di pagi raya.
Dan, ramai di kalangan mereka di luar industri buku tidak tahu, pesta buku juga adalah hari-hari untuk kami bermaaf-maafan. Adat di mana-mana industri memang ada berselisih faham, terutamanya di kalangan para penulis.
Orang kreatif memang sensitif. Kadangkala boleh tidak bertegur sapa sebegitu lama kerana salah faham. Bila pesta buku tiba, masing-masing menghulur tangan bermaaf-maafan dan hilanglah segala masam muka.
Kini, pesta buku sudah tiada gaya meraya. Namun, yang riuh hanyalah angka-angka wang ringgit dan statistik. Dalam suasana yang sepi dunia maya itu, jumlah pendapatan buat beberapa penerbitan meningkat hingga lebih 300 %. Jumlah angka pendapatan juga dikatakan mencanak-canak naik.
Dalam sunyi ada kebisingan baik buat penjual mahupun pembelinya. Cuma adat orang berniaga, bila untung mereka yang berniaga diam-diam sahaja! Bila rugi, mereka riuh rendah. Sebaliknya bagi si peminat buku, samada pesta buku diadakan di dewan mahupun di alam maya, mereka tetap berdiam diri.
Jika dahulu mereka bergerak dari rak ke rak mencari dan menatap buku, kini mereka juga bergerak dari laman ke laman web untuk mendapatkan buku masing-masing. Malah, oleh kerana mereka hanya melayarinya di komputer, mereka boleh merayau untuk membelek beratus-ratus buku dan berbelanja lebih daripada jika mereka mengunjungi pesta buku secara fizikal.
Kalau tak percaya akan betapa larisnya buku, tanyalah penerbit-penerbit buku. Saya tahu, mereka akan mengangguk secara diam-diam!
NOVEL BUKAN UNTUK ORANG MELAYU SAHAJA
- Mengapa novelis Melayu Malaysia hanya menyasarkan pasaran novelnya untuk para pembaca Melayu sahaja? Saya katakan demikian kerana hampir semua novel yang saya baca menampilkan watak-watak utama yang berbangsa Melayu. Kalau ada pun watak-watak bukan Melayu, ia hanya watak tempelan.
- Bukankah membaca novel ini juga digemari oleh bangsa Cina, India, Sikh dan lain-lain kaum di negara ini? Bukan orang Melayu sahaja yang suka baca novel. Bagi saya, novel Melayu akan lebih banyak dibaca oleh orang Cina dan India seandainya ada watak-watak dari kaum Cina dan India.
- Formula stereotaip yang meletakkan kisah Ahmad bercinta dengan Mei Lan bagi saya ‘tidak jujur’. Ia juga tidak semudah meletakkan watak-watak Ali, Samy dan Ah Kau seperti dalam buku teks sekolah rendah untuk menguja pembaca Cina dan India membaca novel Melayu. Yang kita mahu ialah realisme dalam pengkaryaan. Malaysia bukan dihuni oleh orang Melayu sahaja.
- Sebenarnya, memasukkan watak-watak kaum lain di dalam karya adalah baik. Novelis perlu memainkan peranan sebagai penyatu rakyat, bukan mengasingkan mereka di dalam kepompong menurut acuan politik. Lagi pula, ia boleh menarik kaum lain untuk menatapnya.
- Kita boleh contohi formula Hollywood dalam menampilkan watak-watak Hong Kong, Jepun, Korea dan India kerana ia merangsang penonton daripada negara-negara itu untuk memenuhi panggung kerana ada watak yang ‘mewakili’ bangsa mereka. Watak-watak daripada bangsa lain dalam filem Hollywood kini bukan lagi tempelan atau watak jahat seperti watak Arab dalam filem Hollywood terdahulu. Malah banyak sekali watak-watak dari bangsa lain dipilih menjadi hero.
- Jackie Chan(Hong Kong-Rush Hour), Hiroyuki Sanada(Jepun-Wolverine), Roshan Seth(India-Indiana Jones), Rain(Korea-Ninja Assassin) adalah di antara para pelakon bukan Mat Saleh yang menjadi watak-watak penting dalam filem Hollywood. Lihatlah formula Hollywood yang pandai meletakkan para pelakon daripada bangsa lain untuk pasaran di negara-negara berkenaan.
- Filem-filem Melayu yang diterima oleh kaum lain pun sudah ada. Antaranya Papadom, Baik Punya Cilok, KL Gangster, Sepet, Estet dan beberapa buah filem P. Ramlee. Ia ditonton kerana watak-watak dari kaum lain diberi peranan penting, bukannya tempelan.
- Pelakon-pelakon bukan Melayu yang popular seperti Elizabeth Tan, Keith Foo, Sean Lee, Albert Chong dan Adam Corrie menggambarkan terdapat vakum bagi penulis menyediakan watak bukan Melayu dalam karya-karya mereka. Pembaca akan menerima kepelbagaian ini.
- Novelis mesti fikirkan hal ini dengan serius. Penerbit buku juga harus menggalakkan pendekatan cerita dan watak yang melibatkan kaum lain di Malaysia. Buat permulaan, kita kena jenamakan novel kita sebagai novel Malaysia; bukannya novel Melayu bagi menganjak paradigma fikiran kita sendiri sebagai novelis.
- Novelis adalah juga realis. Anda tentu punyai teman-teman daripada bangsa lain. Di sekolah, di kolej dan di tempat kerja, kita biasa bertemu dengan mereka dari kaum lain. Jika tidak pun, jiran, pekerja di kaunter farmasi, pembekal yang datang ke syarikat, tentunya ada dari kaum lain.
- Suara mereka, lenggok bahasa mereka dan peribadi mereka mudah sahaja diadaptasikan ke dalam novel agar novel-novel kita akan jadi lebih realistik. Usahakan dengan visi seandainya novel kita diadaptasi ke layar kaca atau layar perak, realisme pelbagai kaum ini adalah rencah yang menarik.
- Jika tidak pun, dengan meluasnya dunia maya, karya-karya kita boleh sahaja diterjemah ke dalam bahasa Inggeris untuk dipasarkan di Amazon atau di mana-mana portal novel yang sedang menjadi kegilaan remaja pada hari ini.
- Novelis juga perlu realis dari segi pasaran karya-karya mereka. Dunia kreatif juga adalah dunia universal. Pasarannya juga boleh menjangkau ke seluruh dunia.
JANGAN BUANG MASA ORANG LAIN
MAAFCAKAP 17.3.2021
Berita yang tidak tentu dari mana arah sumbernya kini berleluasa kembali. Jika dahulu, ia banyak tersebar melalui emel dan di platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Telegram, kini ia sampai terus kepada kita melalui kumpulan sembang yang popular iaitu Whatsapp.
Ia menjadi viral kerana berita-berita dalam bentuk teks, foto, audio mahupun video galak dikongsi dari seorang ke seorang dan dari kumpulan ke kumpulan yang lain. Adalah normal bagi kita untuk mempercayai apa yang disampai oleh orang yang dikenali. Sebab itu kita suka hendak panjangkan kepada orang lain. Namun, kita terlupa bahawa apa yang diterima dari orang yang dikenali itu tidak semestinya sesuatu yang sahih.
Kita yang menerima sesebuah mesej itu pula akan memanjangkan apa yang tiba itu kerana dua sebab. Pertama, apabila berasa apa yang diperolehi itu penting untuk diketahui oleh mereka di sekeliling kita. Kedua, berasa bangga kerana menjadi penyampai sesuatu yang mempunyai nilai berita.
Penyebaran berita ini juga disemarakkan dengan kewujudan kian banyak portal berita bebas oleh kumpulan dan individu yang menjadikan ia sebagai sumber pendapatan. Jika dahulu, hanya media akhbar, TV dan radio arus perdana sahaja yang diyakini.
Kini, selain daripada portal bebas yang dikendalikan oleh bekas-bekas petugas media perdana, individu-individu yang meminati bidang media massa juga boleh membuka portal ataupun laman di media sosial. Meningkatnya pengetahuan bahawa seseorang itu boleh buat duit di media sosial khususnya di Youtube juga menambah bilangan pemain-pemain dalam bidang penyampaian berita.
Kerana ghairahnya hendak buat duit, banyak berita yang copy and paste dari media perdana secara mudahnya akan diulang dalam bentuk video dengan ditambah dua tiga baris teks. Seandainya video itu ingin dilihat lebih canggih, video itu akan mempunyai voice over.
Terdapat semakin banyak saluran Youtube yang mana tuanpunya bertindak sebagai hos, mengulas berita yang diperoleh dari sudut pandang yang berbeza. Malah, ada yang lebih selamba memaparkan video yang disedut dari saluran lain dan kemudian memainkan lalu diulas kembali seolah-olah ia adalah bahan baharu.
Akhirnya, jika kita tidak berhati-hati, banyak masa akan terbuang kerana melihat video yang sama; cuma dari hos yang berbeza. Kita menonton berita yang sama ditonton hingga tiga kali kerana mengharapkan kupasan yang berbeza, tetapi ini jarang diperoleh. Ini adalah kerana terdapat tuanpunya saluran Youtube yang menggunakan cara umpan klik atau click-bait iaitu menarik minat kita untuk menjadi subscriber semata-mata dengan tajuk video yang sensasi.
Siapa yang tidak mahu tonton video yang bertajuk, ‘Oh ini rupanya layanan yang PM kita terima di Mekah’ atau ‘Apakah ini pakaian artis yang baharu kahwin?’ Sedangkan bila ditonton, ternyata ia mengenai layanan formal terhadap PM dan foto artis yang hanya memakai baju kurung! Tajuknya memukau, videonya alahai.
Bagaimanakah kita hendak kenal mana satu berita yang benar, mana satu yang spekulatif dan mana satu yang palsu? Berita yang benar sepatutnya diperoleh dari sebuah rakaman secara langsung mahupun sidang media secara rasmi. Jika tidak pun, kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan sudah cukup sebagai panduan bahawa apa yang dinyatakan bukan rekaan orang lain.
Seandainya berita yang diperoleh itu tidak benar, tuan punya badan mahupun pihak yang berkenaan akan membuat penafian rasmi. Jika tiada penafian, itu bermakna pihak berkenaan tidak mahu melayani sesebuah dakwaan, menunggu waktu sesuai untuk menjawab atau mungkin berita itu benar namun tidak mahu mengulasnya.
Laporan berbentuk info-grafik, berbentuk audio mahupun video tidak perlu diambil peduli selagi tidak ditemui dari manakah sumbernya. Laporan yang sebegitu tidak perlu ditatap. Tidak perlu juga menjadi bahan perbincangan di dalam kumpulan hingga mengakibatkan ada yang left group. Buang sahaja berita tanpa sumber itu dari simpanan telefon. Jika disebar, kita membuang masa diri dan membuang masa kawan-kawan kita membaca bahan yang sia-sia.
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)
Agaknya kita sering membuang waktu melayani berita tanpa sumber kerana terlupakan panduan dari al-Quran ini.
PENULIS TERKENAL BONDA NOR TERSENTUH LALU SUMBANGKAN RM5,000 KEPADA OKU
PENULIS buku dakwah Norli Madlan atau Bonda Nor telah menyumbang RM5,000 kepada Rizuam, seorang OKU yang bertugas sebagai penghantar makanan. Bonda Nor membuat sumbangan itu sebagai tanda penghargaan kepada Rizuam beliau amat bersabar menghantar makanan meskipun dalam keadaan dirinya yang kurang upaya.
Apa insiden yang terjadi hingga Bonda Nor menghulurkan sumbangan itu? Kita ikuti beritanya:
https://www.sinarharian.com.my/article/126658/EDISI/Rezeki-penghantar-makanan-OKU-terima-RM5000



