MAAFCAKAP 24.3.2021

Minggu lepas, anak saya yang punyai kedai buku di Shopee mengirim mesej. Menurutnya, mulai 19 Mac hingga 4 April ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia menganjurkan Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) secara maya seperti tahun lalu.

‘Hmm…’ Selamba sahaja saya menjawab mesej itu di dalam hati. Sejak tiga tahun yang lalu, saya memang melanggan berita-berita mengenai dunia perbukuan dari Google. Setiap hari saya akan memperoleh berita mengenai buku dari merata pelosok dunia. 

Pada tahun lalu, hampir kesemua pesta buku antarabangsa yang dianjurkan oleh pelbagai negara menjadikan pesta buku mereka sebagai ‘pesta buku edisi khas’ iaitu pesta buku secara maya berikutan dengan pandemik Covid-19. 

Bologna’s Children Book Fair, Sharjah International Book Fair, Livre Paris dan Frankfurter Buchmesse adalah di antara pesta buku antarabangsa terkenal yang menganjurkan pesta buku secara maya pada tahun lalu. Pada tahun ini, ada pesta buku seperti Pestabuku Frankfurt dan Pestabuku Shanghai yang mula membuka pintu, tetapi dengan SOP yang ketat.

Barangkali oleh kerana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur diadakan pada Mac yang boleh dikatakan awal tahun, keadaan masih belum selamat untuk diadakan pesta buku secara terbuka seperti tahun 2019 dan sebelumnya. 

Apabila pesta buku dianjurkan secara maya, ia menjadi pesta buku yang tidak bermaya. Pestabuku hilang suara dan seri apabila para pengunjung yang datang ke laman-laman syarikat buku biasanya melayari secara solo dan beredar ke laman syarikat buku yang lain secara senyap-senyap.

Di era pra-covid 19 di mana PBAKL dianjurkan di Putra World Trade Centre (PWTC), para pengunjung dapat dilihat berbondong-bondong dari komuter dan LRT menuju ke dewan pameran. 

Saya pernah terlibat ketika menguruskan penerbitan Alaf 21, syarikat di bawah payung Grup Buku Karangkraf pada tahun 1997-2009. Pesta buku ketika itu adalah pesta. Pagi-pagi lagi, para peminat buku sudah berkerumun di luar dewan menunggu ia dibuka. Sebaik sahaja pintu terkuak, masing-masing bergegas masuk ke dewan menuju ke penerbitan-penerbitan yang mereka gemari.

Sebahagian besar daripada mereka sudah ada senarai di dalam kepala, buku-buku apakah yang hendak dibeli. Dewan akan mulai sesak dengan para peminat buku dari jam 11.00 pagi hinggalah selepas maghrib. 

Bagi yang terlibat di dalam industri ini seperti penerbit, pencetak, pengedar dan penulis pesta buku adalah hari raya bagi kami. Kami menyiapkan buku-buku untuk pelancarannya di pesta buku, seolah-olah membuat kuih raya bagi para surirumah. Kami menghias reruai secantik-cantiknya seperti menghias rumah untuk tetamu di pagi raya. 

Dan, ramai di kalangan mereka di luar industri buku tidak tahu, pesta buku juga adalah hari-hari untuk kami bermaaf-maafan. Adat di mana-mana industri memang ada berselisih faham, terutamanya di kalangan para penulis. 

Orang kreatif memang sensitif. Kadangkala boleh tidak bertegur sapa sebegitu lama kerana salah faham. Bila pesta buku tiba, masing-masing menghulur tangan bermaaf-maafan dan hilanglah segala masam muka. 

Kini, pesta buku sudah tiada gaya meraya. Namun, yang riuh hanyalah angka-angka wang ringgit dan statistik. Dalam suasana yang sepi dunia maya itu, jumlah pendapatan buat beberapa penerbitan meningkat hingga lebih 300 %. Jumlah angka pendapatan juga dikatakan mencanak-canak naik.

Dalam sunyi ada kebisingan baik buat penjual mahupun pembelinya. Cuma adat orang berniaga, bila untung mereka yang berniaga diam-diam sahaja! Bila rugi, mereka riuh rendah. Sebaliknya bagi si peminat buku, samada pesta buku diadakan di dewan mahupun di alam maya, mereka tetap berdiam diri.

Jika dahulu mereka bergerak dari rak ke rak mencari dan menatap buku, kini mereka juga bergerak dari laman ke laman web untuk mendapatkan buku masing-masing. Malah, oleh kerana mereka hanya melayarinya di komputer, mereka boleh merayau untuk membelek beratus-ratus buku dan berbelanja lebih daripada jika mereka mengunjungi pesta buku secara fizikal.

Kalau tak percaya akan betapa larisnya buku, tanyalah penerbit-penerbit buku. Saya tahu, mereka akan mengangguk secara diam-diam!