1. Mengapa novelis Melayu Malaysia hanya menyasarkan pasaran novelnya untuk para pembaca Melayu sahaja? Saya katakan demikian kerana hampir semua novel yang saya baca menampilkan watak-watak utama yang berbangsa Melayu. Kalau ada pun watak-watak bukan Melayu, ia hanya watak tempelan.
  2. Bukankah membaca novel ini juga digemari oleh bangsa Cina, India, Sikh dan lain-lain kaum di negara ini? Bukan orang Melayu sahaja yang suka baca novel. Bagi saya, novel Melayu akan lebih banyak dibaca oleh orang Cina dan India seandainya ada watak-watak dari kaum Cina dan India. 
  3. Formula stereotaip yang meletakkan kisah Ahmad bercinta dengan Mei Lan bagi saya ‘tidak jujur’. Ia juga tidak semudah meletakkan watak-watak Ali, Samy dan Ah Kau seperti dalam buku teks sekolah rendah untuk menguja pembaca Cina dan India membaca novel Melayu. Yang kita mahu ialah realisme dalam pengkaryaan. Malaysia bukan dihuni oleh orang Melayu sahaja. 
  4. Sebenarnya, memasukkan watak-watak kaum lain di dalam karya adalah baik. Novelis perlu memainkan peranan sebagai penyatu rakyat, bukan mengasingkan mereka di dalam kepompong menurut acuan politik. Lagi pula, ia boleh menarik kaum lain untuk menatapnya.
  5. Kita boleh contohi formula Hollywood dalam menampilkan watak-watak Hong Kong, Jepun, Korea dan India kerana ia merangsang penonton daripada negara-negara itu untuk memenuhi panggung kerana ada watak yang ‘mewakili’ bangsa mereka. Watak-watak daripada bangsa lain dalam filem Hollywood kini bukan lagi tempelan atau watak jahat seperti watak Arab dalam filem Hollywood terdahulu. Malah banyak sekali watak-watak dari bangsa lain dipilih menjadi hero.
  6. Jackie Chan(Hong Kong-Rush Hour), Hiroyuki Sanada(Jepun-Wolverine), Roshan Seth(India-Indiana Jones), Rain(Korea-Ninja Assassin) adalah di antara para pelakon bukan Mat Saleh yang menjadi watak-watak penting dalam filem Hollywood. Lihatlah formula Hollywood yang pandai meletakkan para pelakon daripada bangsa lain untuk pasaran di negara-negara berkenaan.
  7. Filem-filem Melayu yang diterima oleh kaum lain pun sudah ada. Antaranya Papadom, Baik Punya Cilok, KL Gangster, Sepet, Estet  dan beberapa buah filem P. Ramlee. Ia ditonton kerana watak-watak dari kaum lain diberi peranan penting, bukannya tempelan.
  8. Pelakon-pelakon bukan Melayu yang popular seperti Elizabeth Tan, Keith Foo, Sean Lee, Albert Chong dan Adam Corrie menggambarkan terdapat vakum bagi penulis menyediakan watak bukan Melayu dalam karya-karya mereka. Pembaca akan menerima kepelbagaian ini.
  9. Novelis mesti fikirkan hal ini dengan serius. Penerbit buku juga harus menggalakkan pendekatan cerita dan watak yang melibatkan kaum lain di Malaysia. Buat permulaan, kita kena jenamakan novel kita sebagai novel Malaysia; bukannya novel Melayu bagi menganjak paradigma fikiran kita sendiri sebagai novelis. 
  10. Novelis adalah juga realis. Anda tentu punyai teman-teman daripada bangsa lain. Di sekolah, di kolej dan di tempat kerja, kita biasa bertemu dengan mereka dari kaum lain. Jika tidak pun, jiran, pekerja di kaunter farmasi, pembekal yang datang ke syarikat, tentunya ada dari kaum lain.
  11. Suara mereka, lenggok bahasa mereka dan peribadi mereka mudah sahaja diadaptasikan ke dalam novel agar novel-novel kita akan jadi lebih realistik. Usahakan dengan visi seandainya novel kita diadaptasi ke layar kaca atau layar perak, realisme pelbagai kaum ini adalah rencah yang menarik.
  12. Jika tidak pun, dengan meluasnya dunia maya, karya-karya kita boleh sahaja diterjemah ke dalam bahasa Inggeris untuk dipasarkan di Amazon atau di mana-mana portal novel yang sedang menjadi kegilaan remaja pada hari ini.
  13. Novelis juga perlu realis dari segi pasaran karya-karya mereka. Dunia kreatif juga adalah dunia universal. Pasarannya juga boleh menjangkau ke seluruh dunia.