MAAFCAKAP 17.3.2021

Berita yang tidak tentu dari mana arah sumbernya kini berleluasa kembali. Jika dahulu, ia banyak tersebar melalui emel dan di platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Telegram,  kini ia sampai terus kepada kita melalui kumpulan sembang yang popular iaitu Whatsapp.

Ia menjadi viral kerana berita-berita dalam bentuk teks, foto, audio mahupun video galak dikongsi dari seorang ke seorang dan dari kumpulan ke kumpulan yang lain. Adalah normal bagi kita untuk mempercayai apa yang disampai oleh orang yang dikenali. Sebab itu kita suka hendak panjangkan kepada orang lain. Namun, kita terlupa bahawa apa yang diterima dari orang yang dikenali itu tidak semestinya sesuatu yang sahih.

Kita yang menerima sesebuah mesej itu pula akan memanjangkan apa yang tiba itu kerana dua sebab. Pertama, apabila berasa apa yang diperolehi itu penting untuk diketahui oleh mereka di sekeliling kita. Kedua, berasa bangga kerana menjadi penyampai sesuatu yang mempunyai nilai berita.

Penyebaran berita ini juga disemarakkan dengan kewujudan kian banyak portal berita bebas oleh kumpulan dan individu yang menjadikan ia sebagai sumber pendapatan. Jika dahulu, hanya media akhbar, TV dan radio arus perdana sahaja yang diyakini. 

Kini, selain daripada portal bebas yang dikendalikan oleh bekas-bekas petugas media perdana, individu-individu yang meminati bidang media massa juga boleh membuka portal ataupun laman di media sosial. Meningkatnya pengetahuan bahawa seseorang itu boleh buat duit di media sosial khususnya di Youtube juga menambah bilangan pemain-pemain dalam bidang penyampaian berita.

Kerana ghairahnya hendak buat duit, banyak berita yang copy and paste dari media perdana secara mudahnya akan diulang dalam bentuk video dengan ditambah dua tiga baris teks. Seandainya video itu ingin dilihat lebih canggih, video itu akan mempunyai voice over. 

Terdapat semakin banyak saluran Youtube yang mana tuanpunya bertindak sebagai hos, mengulas berita yang diperoleh dari sudut pandang yang berbeza. Malah, ada yang lebih selamba memaparkan video yang disedut dari saluran lain dan kemudian memainkan lalu diulas kembali seolah-olah ia adalah bahan baharu.

Akhirnya, jika kita tidak berhati-hati, banyak masa akan terbuang kerana melihat video yang sama; cuma dari hos yang berbeza. Kita menonton berita yang sama ditonton hingga tiga kali kerana mengharapkan kupasan yang berbeza, tetapi ini jarang diperoleh. Ini adalah kerana terdapat tuanpunya saluran Youtube yang menggunakan cara umpan klik atau click-bait iaitu menarik minat kita untuk menjadi subscriber semata-mata dengan tajuk video yang sensasi. 

Siapa yang tidak mahu tonton video yang bertajuk, ‘Oh ini rupanya layanan yang PM kita terima di Mekah’ atau ‘Apakah ini pakaian artis yang baharu kahwin?’ Sedangkan bila ditonton, ternyata ia mengenai layanan formal terhadap PM dan foto artis yang hanya memakai baju kurung! Tajuknya memukau, videonya alahai.

Bagaimanakah kita hendak kenal mana satu berita yang benar, mana satu yang spekulatif dan mana satu yang palsu? Berita yang benar sepatutnya diperoleh dari sebuah rakaman secara langsung mahupun sidang media secara rasmi. Jika tidak pun, kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan sudah cukup sebagai panduan bahawa apa yang dinyatakan bukan rekaan orang lain.

Seandainya berita yang diperoleh itu tidak benar, tuan punya badan mahupun pihak yang berkenaan akan membuat penafian rasmi. Jika tiada penafian, itu bermakna pihak berkenaan tidak mahu melayani sesebuah dakwaan, menunggu waktu sesuai untuk menjawab atau mungkin  berita itu benar namun tidak mahu mengulasnya.

Laporan berbentuk info-grafik, berbentuk audio mahupun video tidak perlu diambil peduli selagi tidak ditemui dari manakah sumbernya. Laporan yang sebegitu tidak perlu ditatap. Tidak perlu juga menjadi bahan perbincangan di dalam kumpulan hingga mengakibatkan ada yang left group. Buang sahaja berita tanpa sumber itu dari simpanan telefon. Jika disebar, kita membuang masa diri dan membuang masa kawan-kawan kita membaca bahan yang sia-sia.

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)

Agaknya kita sering membuang waktu melayani berita tanpa sumber kerana terlupakan panduan dari al-Quran ini.