SIAPA ITU PENUNGGANG AGAMA?
MAAFCAKAP: 28.4.2021
Filem Penunggang Agama arahan Syafiq Yusof telah mendapat kutipan pecah panggung RM2 juta. Dalam keadaan pandemik, ia dapat ditayang di pawagam-pawagam di Singapura pula pada bulan ini. Syafiq Yusof pula sudah jadi jenama. Kerana itu filem-filemnya yang bergenre seram, komedi dan aksi seperti Abang Long Fadil dan Desolusi mendapat tempat di mata penonton filem.
Barangkali juga judul Penunggang Agama itu menarik. Inilah frasa popular yang banyak sekali digunakan oleh kita apabila melihat seseorang atau sekumpulan manusia melakukan aktiviti kehidupan mereka samada dalam bidang perniagaan dan perkhidmatan dengan imej Islamik.
Soalnya, apakah tepat dakwaan kita kepada mereka yang memperlihat imej Islamik dalam kegiatan harian mereka sebagai penunggang agama? Frasa ini jadi penarik kerana ‘penunggang agama’ itu adalah pictorial phrase atau frasa bergambar. Apabila menyebut ‘penunggang agama,’ di minda kita terbayang seseorang sedang menunggang perkataan ‘agama.’
‘Tunggang’ adalah perbuatan yang bermaksud menaiki atau mengenderai sesuatu untuk ke sesebuah tempat. Kenderaan yang ditunggang itu boleh jadi binatang seperti kuda atau unta, ataupun alat seperti basikal atau motorsikal. Oleh kerana yang ditungganginya itu adalah alat, perbuatan yang dikatakan sebagai menunggang agama itu bermaksud menggunakan agama sebagai alat untuk cepat sampai ke matlamat.
Walau apa pun yang diperkatakan, frasa penunggang agama hanyalah berupa tuduhan semata-mata. Ia adalah anggapan yang digunakan dalam cakap-cakap, sembang-sembang ataupun tulisan di media sosial.
Tidak ada penerbitan cetak ataupun elektronik arus perdana yang menggunakan perkataan penunggang agama sebagai istilah pilihan untuk menggambarkan seseorang yang disyaki menggunakan agama untuk mencapai tujuan lain. Lagi pula, tidak ada seorang pun pernah dituduh dari segi undang-undang sebagai penunggang agama. Yang ada ialah, seseorang yang dituduh dan dihukum di mahkamah kerana bersalah mengamalkan ajaran sesat.
Oleh kerana frasa ‘penunggang agama’ adalah frasa bualan atau penyedap istilah dalam tulisan dan percakapan khalayak umum, selalunya tuduhan atau tanggapan ini berpunca kerana segolongan besar masyarakat terlupa bahawa Islam itu adalah ad-din, iaitu satu cara hidup. Mereka berasa pelik bagaimana ada manusia yang menjalankan aktiviti harian membawa penampilan, percakapan dan perbuatan Islamik.
Maaf cakap, kita berada di akhir zaman di mana amalan beragama dalam kehidupan itu dianggap asing dan pelik. Memang tepat kata-kata Rasulullah saw mengenai kedudukan Islam di akhir zaman. Sabda Baginda, “Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing.” (HR Muslim)
Oleh kerana kita dijajah golongan Kristian lebih 450 tahun sebelum dapat merasai kemerdekaan, tanpa kita sedari, kita dididik dengan pemikiran untuk berfikiran sekular iaitu mengasingkan agama dengan kehidupan. Kita hanya melihat agama itu hanya wujud di sejadah. Bila kita lipat sejadah, agama kita turut terlipat di dalamnya!
Walaupun kita berikrar sesungguhnya ‘solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk ALLAH swt, Tuhan seluruh alam’ di dalam doa iftitah pada setiap solat lima waktu, kita kerap tertinggal ‘ibadahku, hidupku dan matiku’ ketika menjalani kehidupan.
Sebab itu kita hairan, berasa pelik apatah lagi menuduh mereka yang berpakaian jubah dan serban, yang bercakap disulami selawat dan doa serta yang mengawal diri dari melakukan perbuatan lagha dalam kehidupan seharian sebagai penunggang agama. Sedangkan mereka amalkan agama sebagai ad-din; agama yang mengalir di dalam tubuh mereka. Justeru, dari sudut manakah mereka menunggang sesuatu yang berada di dalam sedangkan alat tunggangan itu sepatutnya berada di luar?
Mengapa tidak kita sebagai manusia yang lebih celik dan lebih peka mencari jalan untuk menemui sesiapa yang kita anggap sebagai penunggang agama ini? Sekarang zaman teknologi. Kita mudah sahaja memperoleh akses kepada sesiapa yang kita anggap sebagai penunggang agama itu.
Berani kerana benar. Kalau berani, kita tampil dan bertanya secara langsung samada berdepan mahupun secara ‘PM tepi’ sekali pun. Berani kerana benar juga buat mereka. Andainya mereka benar, mereka akan jawab segala tuduhan juga secara langsung.
Kalau mereka tidak jawab, baharulah kita boleh label mereka macam-macam. Tetapi yang terbaik ialah laporkan aktiviti individu mahupun kumpulan penunggang agama ini ke pihak yang berkuasa. Kita tidak boleh menuduh secara sembrono. Berdosa.
SUKA DAN BENCI BIAR BERPADA
MAAFCAKAP: 21.4.2021
Ada sesuatu yang menarik apabila Pengasas Malakat Mall, Coach Fadzil Hashim menaikkan status di Facebook berita pertemuannya dengan sekumpulan tauke-tauke Cina pasaraya borong GM Klang bila mereka berkunjung ke Malakat Mall, Cyberjaya.
Malakat Mall memposisikan jenamanya sebagai mall Muslim yang pertama di Malaysia. Semua premis perniagaannya dipunyai oleh orang Melayu. Mall itu sendiri mempromosikan imej Islamik dengan azan berkumandang bila masuk waktu dan mempunyai surau di semua aras bangunannya.
Malah, pada bulan Ramadan ini, ketika mall-mall lain sibuk dengan astaka dan reruai Aidilfitrinya, Malakat Mall menjunjung syiar Ramadan. Ruang solat terbentang luas di ruang legarnya dan solat lima waktu, tazkirah, tadarus, tarawih dan qiamulail diadakan siang dan malam.
Munculnya Malakat Mall ketika kempen Buy Muslim First sedang bersemarak pada penghujung 2019 mendapat sokongan orang Melayu. Malah, KoPPIM, sebuah koperasi anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang terkenal dengan perjuangannya dalam isu-isu pengguna Muslim menjadi pelabur strategik di Malakat Mall.
Kesemua faktor-faktor ini memberi imej Melayu Islam yang tidak berbelah bahagi di kacamata mereka yang bersemangat Melayu dan Islam. Di sebalik mereka yang menyukai perhubungan usahawan Muslim dan tauke-tauke Cina ini, terdapat sebilangan lain yang mengkritik dengan pedas dan sinis.
Kononnya, perjuangan Islam mula diketepikan, Malakat Mall akan dipermainkan, malah membayangkan seolah-olah mall Muslim ini didalangi oleh orang Cina. Lebih 170 komen, 34 perkongsian dan lebih 1,000 memberi tanda reaksi. Ini mengundang Coach Fadzil Hashim membuat reaksi secara live.
Dari kacamata burung, insiden ini adalah salah satu daripada berpuluh-puluh kes sentimen membenci. Datuk Hussamuddin Hj Yaacub, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf yang juga menjuarai kempen Rasuah Busters pun turut menyentuh tentang perlunya kita melakukan national recalibration atau penjajaran nasional dalam konteks hubungan di antara kaum.
Dalam seminggu dua ini kita diberitahu mengenai kes-kes betapa seorang majikan Cina membelasah pengawalnya hanya kerana mereka berpuasa. Sebuah sekolah di Johor pula mengasingkan aktiviti sukan mengikut kaum. Terdapat dua-tiga kes individu yang bersuara lantang mengkritik azan. Apabila Steven Sim, wakil rakyat berbangsa Cina menderma sebuah motorsikal kepada seorang penghantar makanan, ia dilihat dengan curiga.
Untuk sekian kalinya kita terikut-ikut dengan sentimen parochialisme iaitu memandang sesuatu hanya dari perpektif peribadi dan menolak pula pandangan orang lain. Kita juga generalise atau pukul rata semua yang kita lihat. Pandangan yang pukul rata seperti orang Cina suka berjudi, orang India suka mabuk dan orang Melayu adalah pemalas sudah lekat di minda kita.
Apa nak jadi dengan kita pada hari ini? Di sebalik kata-kata bahawa dunia sekarang dunia tanpa sempadan, kita mahu ketelusan dan jangan kongkong informasi dan kita bijak dan boleh buat keputusan sendiri; kita juga masih menganuti fahaman umum untuk benci membenci sesama warga negara.
Apabila kita sentiasa punyai rasa curiga dengan mereka yang kita terima sebagai mereka yang co-exist atau sudah ditakdir kena hidup bersama, kita tidak realistik bila membina tembok sesama kita. Dalam sejarah manusia, mana-mana tembok yang terbina akan sukar diruntuhkan. Inilah keadaan kita. Kita ingat, kita menghalang mereka dengan tembok. Rupa-rupanya tanpa disedari, kita yang terkurung.
Bukan semua orang Cina, India atau mana-mana kaum yang jahat. Begitu juga bukan semua orang Melayu yang baik. Kita sebagai manusia perlu mempunyai pandangan, pendirian dan tindakan yang adil pada mereka, lebih-lebih lagi adil pada diri sendiri.
Sesiapa pun ada baik dan buruknya. Di mana-mana pun ada bagus dan tidak bagusnya. Kita manusia yang harus memilih. Jika manusia di zaman dahulu kala perlu pandai memilih mana satu buah yang boleh dimakan dan yang mana satu beracun, kita sebagai manusia pada hari ini kenalah pandai pilih mana satu manusia yang jahat dan yang boleh dibuat kawan.
Jika kita guna cara pukul rata iaitu membenci dan menyukai tanpa menggunakan kebolehan memilih, apakah akal kita tak sehebat manusia dahulu kala?
JOHN NAISBITT, PENULIS BUKU MEGATRENDS MENINGGAL DUNIA
Berlin: John Naisbitt, penulis buku Megatrends yang popular pada tahun 1982, telah meninggal dunia di Tasik Woerthersee, Austria pada usia 92 tahun. Demikian lapor akhbar online, Firstpost.
Naisbitt yang lahir pada 1929 di Utah, Amerika memulakan kerjayanya sebagai seorang eksekutif syarikat filem Kodak dan IBM. Pada usia 34 tahun, beliau dilantik menjadi Pembantu Setiausaha kepada Presiden Amerika John F Kennedy.

Buku Megatrends: Ten New Directions Transforming Our Lives melakarkan apa yang sedang berlaku untuk meramal masa depan. Bukunya itu terjual lebih 14 juta naskhah di 57 buah negara.
“John bukan sahaja berpandangan jauh, beliau terbuka tanpa prejudis dan tidak terikat dengan pandangan umum,” ujar isteri mendiang Doris Naisbitt.
Naisbitt menulis beberapa buah buku lain termasuk buku-buku mengenai kebangkitan negara China. Beliau mengasas Naisbitt China Institute, sebuah institusi penyelidikan mengenai transformasi China.

Naisbitt meninggalkan lima orang anak dan 12 cucu.
Ikuti lain-lain berita buku di layarminda.com
BERBELANJA DAN MENDAPAT PAHALA
MAAFCAKAP: 14.4.2021
Alhamdulilah kerana anda yang sedang membaca tulisan ini mendapat kesempatan mendirikan puasa Ramadan. Kita yang diberi peluang oleh ALLAH swt patut sangat menggunakan ia untuk menjadikan puasa pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu. Mana tahu, inilah puasa yang terakhir kita dan kita mengharapkan segala pengampunan daripada Al-Ghafar yang juga Al-Ghafur; Yang Mengampun lagi Mengampunkan.
Berpuasalah sebaik mungkin, tambah masa membaca kitab Al-Quran, bertarawih, berqiamullail, banyakkan berdoa, sentiasa berzikir dan berselawat. Ini adalah bulan yang mana kita jalani kehidupan yang berbeza dari 11 bulan yang lain. Jika selama ini, ada yang amalkan intermitten fasting untuk menjaga badan, jangan pula puasa Ramadan dijadikan ia masa untuk intermitten eating pula!
Ramai di kalangan kita melebihkan belanja pada bulan Ramadan. Jika tidak melebihkan belanja pun, kita akan membeli sesuatu yang kita tidak beli pada bulan-bulan yang lain, sekurang-kurangnya sekotak kurma. Oleh kerana itu, marilah kita berbelanja bukan semata-mata untuk keperluan sendiri, sebaliknya di atas sebab-sebab lain. Malah, bila betul niatnya, membeli pun boleh mendatangkan pahala.
Lazimnya kita membeli sesuatu semata-mata kerana kita berkendakkan barangan itu. Jika kita membeli makanan, kita hendak memakan apa yang dibeli. Kerana itu, apabila kita terbeli lebih makanan, ia membazir namanya. Jika kita membeli pakaian, kita berbelanja untuk memakai pakaian itu. Bila kita membeli pakaian untuk diri, timbul pula persoalan, apakah kita ada baju yang belum lagi dipakai? Kerana itu, buat apa membeli yang baharu? Bukankah itu juga membazir?
Tetapi semakin ramai di kalangan kita membeli sesuatu dengan sebab lain. Dan, sebab musababnya kesemuanya murni tujuannya. Pertama, sudah ramai di kalangan kita membeli sesuatu sebagai tanda sokongan kita terhadap si penjual. Seorang ahli kumpulan Whatsapp memaparkan imej makanan. Walaupun ia bukan makanan yang kita gemari, kita membeli juga kerana memberi sokongan kepada perniagaannya.
Belilah supaya perniagaannya semakin maju. Walaupun foto makanannya kelihatan cantik, dengan karangan yang mengandungi ayat-ayat yang penuh bersemangat, itulah pendekatan orang menjual. Dalam puluhan orang yang membaca, barangkali seorang dua sahaja yang membeli. Entah-entah, untungnya tidak sampai RM50. Siapa tahu dia sujud syukur kerana kita membeli sekotak kuihnya kerana kita membantunya bersangka baik kepada ALLAH yang memberi rezeki.
Belilah juga untuk bersedekah. Seorang makcik yang menjual keropok dan kerepek di kaki lima bank bukannya tauke. Jika dia kaya, pasti keropok dan kerepeknya terjual di pasaraya. Bantulah makcik itu dengan membeli dan mensedekahkan makanan itu kepada orang lain. Sedikit dalal jualan makanan itulah yang menjadi gaji makcik tersebut.
Berbelanjalah juga untuk agama kita. Agama kita menyuruh kita membeli barangan yang elok, makanan yang halal lagi toyibban. Tahanlah sedikit tekak itu. Tidak semestinya selagi ada jenama baharu, semua hendak dicuba. Tidak kena bila melewati sesebuah kedai baharu, kita menilai kebersihan makan itu hanya berdasarkan dengan mengintai.
Bila kita nampak gadis bertudung menjadi pelayannya, atau bila ternampak seseorang yang berkopiah sedang makan, kita terus singgah dan makan tanpa ragu-ragu kerana di dalam hati sudah berkata, makanan itu tentu halal kerana ada orang Melayu di dalam restoran itu.
Pada bulan Ramadan ini mari kita utamakan berbelanja dengan membeli produk keluaran Muslim? Pada hari ini, sebutlah apa jua produk, kita sudah ada produk-produk keluaran Muslim. Bila kita ke pasaraya, kita boleh pindahkan berbelanja kepada produk-produk itu.
Benar, pengeluar produk itu sudah kaya kerana mampu mempamer barangan di pasaraya. Tetapi biarlah dia semakin kaya kerana bila dia ada keuntungan lebih, dia akan mengeluarkan zakat dan bersedekah. Jika kita berbelanja kepada produk yang semata-mata halal tetapi belum tentu pengeluarnya, kita mungkin hanya mendapat kenyang dan tidak semestinya memperoleh pahala memajukan bisnes orang Muslim.
Berbelanjalah untuk membantu. Kita sebagai orang yang kecil ada peranan dan kudrat membantu dengan membeli sambil mendapat pahala kerana niat untuk menyokong, bersedekah dan untuk agama kita. Ini juga ibadah yang menjanjikan matawang akhirat yang berganda-ganda di bulan yang mulia ini.
Di MANA PEMIMPIN BESAR KITA?
MAAFCAKAP: 7.4.2021
Saya kerap kali ke restoran Mamak berhampiran dengan rumah untuk berehat sambil menghirup teh tarik. Lazimnya saya akan ke restoran dengan anak lelaki sulung saya, Hilman ataupun sendirian.
Kelmarin, niat saya untuk minum sendirian terbantut apabila disapa oleh dua orang jiran, Edy dan abang Jay. Edy menarik kerusi di sebelahnya sebagai isyarat mempelawa saya duduk bersama mereka. Sambil duduk dan membuat pesanan minuman, saya bertanya mereka, apa yang diperbualkan.
Kedua-duanya gelak dan menjawab serentak, “Politik!’ Saya terangguk-angguk seraya tersenyum. Edy dan abang Jay memang aktivis akar umbi sebuah parti politik. Namun kedua-duanya mengaku yang mereka tidak aktif kecuali hanya menjadi pengundi pada PRU nanti.
Sebabnya, mereka tidak nampak ke manakah arah perjuangan dan masa depan negara yang pemimpin mereka hendak bawa. Boleh dikatakan tiada pemimpin lagi yang sekurang-kurangnya bercakap tentang nasib dan masa depan bangsa. Yang memerintah asyik berfikir tentang krisis Covid-19 yang semasa. Yang tidak memerintah asyik hendak merebut pemerintahan.
Kalau ada pun mereka bercakap mengenai masa depan ialah ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyentuh mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada ulangtahun pertama pemerintahannya dengan memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan meneruskan wawasan itu.
Kenyataan mengenai wawasan itu tidak mendapat respons menyeluruh dan dibicarakan secara massa seperti kita bercakap mengenai Wawasan 2020 ataupun Dasar Ekonomi Baharu. Puncanya? Para pemimpin politik kita hanya berfikir sejauh Ogos 2021 dengan mengharap darurat akan ditamatkan dan PRU-15 segera diadakan.
Kita mengeluh bila hanya pemimpin politik yang lantang bersuara hingga memenuhi halaman dan skrin media massa. Namun, pernahkah kita bertanya ke manakah perginya pemimpin-pemimpin di bidang yang lain?
Para pemimpin agama kita, maaf cakap hanya mengulas apa yang telah berlaku, ataupun hanya melangkaui ke zaman akhirat. Bagaimana pula dengan masa depan umat di dunia? Betapa sesatnya dunia yang akan membobrok anak cucu kita? Berapa ramai di antara mereka yang menyedarkan kita tentang ilmu akhiru zaman?
Di mana pula pemimpin kita dari segi ekonomi? Kita tentu ada nama-nama mereka di fikiran. Barangkali kita menganggap tokoh-tokoh jutawan yang terkenal itu pemimpin juga. Tetapi apa ilmu yang mereka sampaikan kepada kita yang marhaen ini agar dapat hidup selesa dan sejahtera di zaman yang penuh pancaroba ini?
Barangkali kita sahaja yang menganggap mereka sebagai tokoh tetapi mereka tidak anggap kita sebagai orang yang patut mereka pimpin. Mereka berada dalam kluster mereka tersendiri, jauh di dalam kristal di menara gading masing-masing.
Dalam keadaan gejala rasuah yang berlaku begitu berleluasa pada hari ini, di manakah suara pemimpin yang memerangi rasuah? Tindakan yang dilakukan kebanyakannya berbentuk reaktif apabila aduan dibuat dan melaksanakan tindakan undang-undang. Meskipun mereka menjalankan tugas, tetapi itu belum memadai.
Pada hari ini kita membaca berita mengenai rasuah yang sudah menjadi budaya di sesetengah jabatan dalam kementerian hingga wujud rangkaian kartel untuk menguasai proses pemberian tender kerajaan. Siapakah pemimpin yang bersuara menyatakan ini perbuatan salah?
Mana dia pemimpin bahasa yang memperjuangkan bahasa kita? Kita kian selesa mengagungkan bahasa Inggeris daripada bahasa kita sendiri. Nama-nama program dan kempen, apatah lagi nama-nama kawasan perumahan sudah menggunakan bahasa Inggeris. Kini juga sudah tiada lagi sasterawan yang menggunakan mata pena untuk merobek hati mereka yang merosakkan agama dan bangsa.
Yang tinggal kekal berjuang ialah ustaz dan pemimpin kecil. Mereka berkhidmat memberi makan kepada fakir miskin, berkempen untuk membanteras rasuah, menurap jalan yang berlubang dan berperang dengan ahlong. Cerita mereka menjadi tular dan besar kerana tiada lagi cerita yang lebih besar dibawa oleh pemimpin besar negara. Ke manakah para pemimpin berjiwa besar ini?
Mereka ada, tetapi jiwa mereka sudah mengecil!’ ulas abang Jay.



