MAAFCAKAP: 21.4.2021

Ada sesuatu yang menarik apabila Pengasas Malakat Mall, Coach Fadzil Hashim menaikkan status di Facebook berita pertemuannya dengan sekumpulan tauke-tauke Cina pasaraya borong GM Klang bila mereka berkunjung ke Malakat Mall, Cyberjaya.

Malakat Mall memposisikan jenamanya sebagai mall Muslim yang pertama di Malaysia. Semua premis perniagaannya dipunyai oleh orang Melayu. Mall itu sendiri mempromosikan imej Islamik dengan azan berkumandang bila masuk waktu dan mempunyai surau di semua aras bangunannya. 

Malah, pada bulan Ramadan ini, ketika mall-mall lain sibuk dengan astaka dan reruai Aidilfitrinya, Malakat Mall menjunjung syiar Ramadan. Ruang solat terbentang luas di ruang legarnya dan solat lima waktu, tazkirah, tadarus, tarawih dan qiamulail diadakan siang dan malam.

Munculnya Malakat Mall ketika kempen Buy Muslim First sedang bersemarak pada penghujung 2019 mendapat sokongan orang Melayu. Malah, KoPPIM, sebuah koperasi anjuran Persatuan Pengguna Islam Malaysia yang terkenal dengan perjuangannya dalam isu-isu pengguna Muslim menjadi pelabur strategik di Malakat Mall.

Kesemua faktor-faktor ini memberi imej Melayu Islam yang tidak berbelah bahagi di kacamata mereka yang bersemangat Melayu dan Islam. Di sebalik mereka yang menyukai perhubungan usahawan Muslim dan tauke-tauke Cina ini, terdapat sebilangan lain yang mengkritik dengan pedas dan sinis.

Kononnya, perjuangan Islam mula diketepikan, Malakat Mall akan dipermainkan, malah membayangkan seolah-olah mall Muslim ini didalangi oleh orang Cina. Lebih 170 komen, 34 perkongsian dan lebih 1,000 memberi tanda reaksi. Ini mengundang Coach Fadzil Hashim membuat reaksi secara live.

Dari kacamata burung, insiden ini adalah salah satu daripada berpuluh-puluh kes sentimen membenci. Datuk Hussamuddin Hj Yaacub, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf yang juga menjuarai kempen Rasuah Busters pun turut menyentuh tentang perlunya kita melakukan national recalibration atau penjajaran nasional dalam konteks hubungan di antara kaum.

Dalam seminggu dua ini kita diberitahu mengenai kes-kes betapa seorang majikan Cina membelasah pengawalnya hanya kerana mereka berpuasa. Sebuah sekolah di Johor pula mengasingkan aktiviti sukan mengikut kaum. Terdapat dua-tiga kes individu yang bersuara lantang mengkritik azan. Apabila Steven Sim, wakil rakyat berbangsa Cina menderma sebuah motorsikal kepada seorang penghantar makanan, ia dilihat dengan curiga.

Untuk sekian kalinya kita terikut-ikut dengan sentimen parochialisme iaitu memandang sesuatu hanya dari perpektif peribadi dan menolak pula pandangan orang lain. Kita juga generalise atau pukul rata semua yang kita lihat. Pandangan yang pukul rata seperti orang Cina suka berjudi, orang India suka mabuk dan orang Melayu adalah pemalas sudah lekat di minda kita.

Apa nak jadi dengan kita pada hari ini? Di sebalik kata-kata bahawa dunia sekarang dunia tanpa sempadan, kita mahu ketelusan dan jangan kongkong informasi dan kita bijak dan boleh buat keputusan sendiri; kita juga masih menganuti fahaman umum untuk benci membenci sesama warga negara.

Apabila kita sentiasa punyai rasa curiga dengan mereka yang kita terima sebagai mereka yang co-exist atau sudah ditakdir kena hidup bersama, kita tidak realistik bila membina tembok sesama kita. Dalam sejarah manusia, mana-mana tembok yang terbina akan sukar diruntuhkan. Inilah keadaan kita. Kita ingat, kita menghalang mereka dengan tembok. Rupa-rupanya tanpa disedari, kita yang terkurung.

Bukan semua orang Cina, India atau mana-mana kaum yang jahat. Begitu juga bukan semua orang Melayu yang baik. Kita sebagai manusia perlu mempunyai pandangan, pendirian dan tindakan yang adil pada mereka, lebih-lebih lagi adil pada diri sendiri.

Sesiapa pun ada baik dan buruknya. Di mana-mana pun ada bagus dan tidak bagusnya. Kita manusia yang harus memilih. Jika manusia di zaman dahulu kala perlu pandai memilih mana satu buah yang boleh dimakan dan yang mana satu beracun, kita sebagai manusia pada hari ini kenalah pandai pilih mana satu manusia yang jahat dan yang boleh dibuat kawan.

Jika kita guna cara pukul rata iaitu membenci dan menyukai tanpa menggunakan kebolehan memilih, apakah akal kita tak sehebat manusia dahulu kala?