MAAFCAKAP: 7.4.2021

Saya kerap kali ke restoran Mamak berhampiran dengan rumah untuk berehat sambil menghirup teh tarik. Lazimnya saya akan ke restoran dengan anak lelaki sulung saya, Hilman ataupun sendirian.

Kelmarin, niat saya untuk minum sendirian terbantut apabila disapa oleh dua orang jiran, Edy dan abang Jay. Edy menarik kerusi di sebelahnya sebagai isyarat mempelawa saya duduk bersama mereka. Sambil duduk dan membuat pesanan minuman, saya bertanya mereka, apa yang diperbualkan.

Kedua-duanya gelak dan menjawab serentak, “Politik!’ Saya terangguk-angguk seraya tersenyum. Edy dan abang Jay memang aktivis akar umbi sebuah parti politik. Namun kedua-duanya mengaku yang mereka tidak aktif kecuali hanya menjadi pengundi pada PRU nanti.

Sebabnya, mereka tidak nampak ke manakah arah perjuangan dan masa depan negara yang pemimpin mereka hendak bawa. Boleh dikatakan tiada pemimpin lagi yang sekurang-kurangnya bercakap tentang nasib dan masa depan bangsa. Yang memerintah asyik berfikir tentang krisis Covid-19 yang semasa. Yang tidak memerintah asyik hendak merebut pemerintahan.

Kalau ada pun mereka bercakap mengenai masa depan ialah ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyentuh mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 pada ulangtahun pertama pemerintahannya dengan memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan meneruskan wawasan itu.

Kenyataan mengenai wawasan itu tidak mendapat respons menyeluruh dan dibicarakan secara massa seperti kita bercakap mengenai Wawasan 2020 ataupun Dasar Ekonomi Baharu. Puncanya? Para pemimpin politik kita hanya berfikir sejauh Ogos 2021 dengan mengharap darurat akan ditamatkan dan PRU-15 segera diadakan.

Kita mengeluh bila hanya pemimpin politik yang lantang bersuara hingga memenuhi halaman dan skrin media massa. Namun, pernahkah kita bertanya ke manakah perginya pemimpin-pemimpin di bidang yang lain?

Para pemimpin agama kita, maaf cakap hanya mengulas apa yang telah berlaku, ataupun hanya melangkaui ke zaman akhirat. Bagaimana pula dengan masa depan umat di dunia? Betapa sesatnya dunia yang akan membobrok anak cucu kita? Berapa ramai di antara mereka yang menyedarkan kita tentang ilmu akhiru zaman?

Di mana pula pemimpin kita dari segi ekonomi? Kita tentu ada nama-nama mereka di fikiran. Barangkali kita menganggap tokoh-tokoh jutawan yang terkenal itu pemimpin juga. Tetapi apa ilmu yang mereka sampaikan kepada kita yang marhaen ini agar dapat hidup selesa dan sejahtera di zaman yang penuh pancaroba ini?

Barangkali kita sahaja yang menganggap mereka sebagai tokoh tetapi mereka tidak anggap kita sebagai orang yang patut mereka pimpin. Mereka berada dalam kluster mereka tersendiri, jauh di dalam kristal di menara gading masing-masing.

Dalam keadaan gejala rasuah yang berlaku begitu berleluasa pada hari ini, di manakah suara pemimpin yang memerangi rasuah? Tindakan yang dilakukan kebanyakannya berbentuk reaktif apabila aduan dibuat dan melaksanakan tindakan undang-undang. Meskipun mereka menjalankan tugas, tetapi itu belum memadai.

Pada hari ini kita membaca berita mengenai rasuah yang sudah menjadi budaya di sesetengah jabatan dalam kementerian hingga wujud rangkaian kartel untuk menguasai proses pemberian tender kerajaan. Siapakah pemimpin yang bersuara menyatakan ini perbuatan salah?

Mana dia pemimpin bahasa yang memperjuangkan bahasa kita? Kita kian selesa mengagungkan bahasa Inggeris daripada bahasa kita sendiri. Nama-nama program dan kempen, apatah lagi nama-nama kawasan perumahan sudah menggunakan bahasa Inggeris. Kini juga sudah tiada lagi sasterawan yang menggunakan mata pena untuk merobek hati mereka yang merosakkan agama dan bangsa.

Yang tinggal kekal berjuang ialah ustaz dan pemimpin kecil. Mereka berkhidmat memberi makan kepada fakir miskin, berkempen untuk membanteras rasuah, menurap jalan yang berlubang dan berperang dengan ahlong. Cerita mereka menjadi tular dan besar kerana tiada lagi cerita yang lebih besar dibawa oleh pemimpin besar negara. Ke manakah para pemimpin berjiwa besar ini?

Mereka ada, tetapi jiwa mereka sudah mengecil!’ ulas abang Jay.