MAAFCAKAP: 14.4.2021
Alhamdulilah kerana anda yang sedang membaca tulisan ini mendapat kesempatan mendirikan puasa Ramadan. Kita yang diberi peluang oleh ALLAH swt patut sangat menggunakan ia untuk menjadikan puasa pada tahun ini lebih baik dari tahun-tahun yang lalu. Mana tahu, inilah puasa yang terakhir kita dan kita mengharapkan segala pengampunan daripada Al-Ghafar yang juga Al-Ghafur; Yang Mengampun lagi Mengampunkan.
Berpuasalah sebaik mungkin, tambah masa membaca kitab Al-Quran, bertarawih, berqiamullail, banyakkan berdoa, sentiasa berzikir dan berselawat. Ini adalah bulan yang mana kita jalani kehidupan yang berbeza dari 11 bulan yang lain. Jika selama ini, ada yang amalkan intermitten fasting untuk menjaga badan, jangan pula puasa Ramadan dijadikan ia masa untuk intermitten eating pula!
Ramai di kalangan kita melebihkan belanja pada bulan Ramadan. Jika tidak melebihkan belanja pun, kita akan membeli sesuatu yang kita tidak beli pada bulan-bulan yang lain, sekurang-kurangnya sekotak kurma. Oleh kerana itu, marilah kita berbelanja bukan semata-mata untuk keperluan sendiri, sebaliknya di atas sebab-sebab lain. Malah, bila betul niatnya, membeli pun boleh mendatangkan pahala.
Lazimnya kita membeli sesuatu semata-mata kerana kita berkendakkan barangan itu. Jika kita membeli makanan, kita hendak memakan apa yang dibeli. Kerana itu, apabila kita terbeli lebih makanan, ia membazir namanya. Jika kita membeli pakaian, kita berbelanja untuk memakai pakaian itu. Bila kita membeli pakaian untuk diri, timbul pula persoalan, apakah kita ada baju yang belum lagi dipakai? Kerana itu, buat apa membeli yang baharu? Bukankah itu juga membazir?
Tetapi semakin ramai di kalangan kita membeli sesuatu dengan sebab lain. Dan, sebab musababnya kesemuanya murni tujuannya. Pertama, sudah ramai di kalangan kita membeli sesuatu sebagai tanda sokongan kita terhadap si penjual. Seorang ahli kumpulan Whatsapp memaparkan imej makanan. Walaupun ia bukan makanan yang kita gemari, kita membeli juga kerana memberi sokongan kepada perniagaannya.
Belilah supaya perniagaannya semakin maju. Walaupun foto makanannya kelihatan cantik, dengan karangan yang mengandungi ayat-ayat yang penuh bersemangat, itulah pendekatan orang menjual. Dalam puluhan orang yang membaca, barangkali seorang dua sahaja yang membeli. Entah-entah, untungnya tidak sampai RM50. Siapa tahu dia sujud syukur kerana kita membeli sekotak kuihnya kerana kita membantunya bersangka baik kepada ALLAH yang memberi rezeki.
Belilah juga untuk bersedekah. Seorang makcik yang menjual keropok dan kerepek di kaki lima bank bukannya tauke. Jika dia kaya, pasti keropok dan kerepeknya terjual di pasaraya. Bantulah makcik itu dengan membeli dan mensedekahkan makanan itu kepada orang lain. Sedikit dalal jualan makanan itulah yang menjadi gaji makcik tersebut.
Berbelanjalah juga untuk agama kita. Agama kita menyuruh kita membeli barangan yang elok, makanan yang halal lagi toyibban. Tahanlah sedikit tekak itu. Tidak semestinya selagi ada jenama baharu, semua hendak dicuba. Tidak kena bila melewati sesebuah kedai baharu, kita menilai kebersihan makan itu hanya berdasarkan dengan mengintai.
Bila kita nampak gadis bertudung menjadi pelayannya, atau bila ternampak seseorang yang berkopiah sedang makan, kita terus singgah dan makan tanpa ragu-ragu kerana di dalam hati sudah berkata, makanan itu tentu halal kerana ada orang Melayu di dalam restoran itu.
Pada bulan Ramadan ini mari kita utamakan berbelanja dengan membeli produk keluaran Muslim? Pada hari ini, sebutlah apa jua produk, kita sudah ada produk-produk keluaran Muslim. Bila kita ke pasaraya, kita boleh pindahkan berbelanja kepada produk-produk itu.
Benar, pengeluar produk itu sudah kaya kerana mampu mempamer barangan di pasaraya. Tetapi biarlah dia semakin kaya kerana bila dia ada keuntungan lebih, dia akan mengeluarkan zakat dan bersedekah. Jika kita berbelanja kepada produk yang semata-mata halal tetapi belum tentu pengeluarnya, kita mungkin hanya mendapat kenyang dan tidak semestinya memperoleh pahala memajukan bisnes orang Muslim.
Berbelanjalah untuk membantu. Kita sebagai orang yang kecil ada peranan dan kudrat membantu dengan membeli sambil mendapat pahala kerana niat untuk menyokong, bersedekah dan untuk agama kita. Ini juga ibadah yang menjanjikan matawang akhirat yang berganda-ganda di bulan yang mulia ini.