Mengejar Mimpi Orang Lain
MAAFCAKAP 14.8.2024
Hari ini adalah hari yang paling gembira buat Emran. Siang tadi dia menerima scroll seorang graduan yang berkelayakan sebagai seorang doktor. Kini, Emran bersama ibubapa dan adik-beradiknya meraikan kejayaan Emran di sebuah restoran eksklusif.
Selesai menjamah pembasuh mulut, Emran bangun untuk membuat ucapan. Ada satu kenyataan yang akan Emran luahkan. Dia tahu mereka yang hadir akan berasa terpana, lebih-lebih lagi ibunya. Namun, Emran memberanikan dirinya untuk berkata, ‘Mak, sekarang Em sudah penuhi impian mak. Mak tentu gembira dan berbangga.
Jadi, mulai esok, izinkan Em memenuhi impian sendiri. Em sudah mendaftar untuk mengambil kursus Artificial Intelligence. Em hendak jadi Jurutera AI.’ Ruang makan mereka di restoran itu jadi sunyi sepi. Namun, Emran berasa puas; puas kerana berjaya memenuhi impian ibunya dan puas kerana akhirnya dapat mula mengejar impiannya…
Sekali-sekala kita akan dijengah dengan kisah-kisah sebegini; bagaimana seorang anak sanggup berkorban untuk memenuhi hasrat ibubapanya. Namun sebaik sahaja kelayakan diperoleh, si anak berpaling arah untuk memenuhi impiannya.
Ibubapa mana yang tidak terkilan dengan tindakan anak yang sebegitu? Tetapi akhirnya mereka akan sedar betapa kuatnya impian si anak dan betapa hormatnya si anak dengan hasrat ibubapa hingga sanggup patuh belajar hingga lulus. Mereka akhirnya akan faham dan akan menerima jalan yang dipilih oleh si anak.
Individu yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mengejar mimpi orang lain mempunyai karektor yang terpuji. Tetapi, seandainya ia melibatkan tindakan memenuhi impian orang lain dalam sesuatu tempoh waktu, seseorang itu mempunyai jalan keluar yang jelas.
Bagaimana pula dengan ribuan insan di kalangan kita yang berkorban untuk mengejar impian orang lain tanpa had waktu, malah hingga ke akhir hayatnya? Betapa ramai kita di dalam bidang pekerjaan umpamanya tidak berpeluang untuk berhenti bagi memenuhi impian sendiri.
Siang malam seseorang itu memperuntukan masanya untuk bekerja bagi memenuhi impian orang lain. Oleh kerana tuntutan kerja, dia tidak boleh lekang dari kerjanya. Kemudahan teknologi membolehkan seseorang itu dihubungi pada bila-bila masa samada ketika jaga atau dalam tidurnya.
Barangkali kerana komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi, seseorang itu umpama berkahwin dengan kerjanya. Dia bekerja pada hari bekerja dan masih bekerja pada hari cutinya. Ada yang menolak cuti sakit yang diberi doktor dan ingin terus bekerja semata-mata kerana berasa syarikat atau jabatannya akan tumbang dan hancur musnah tanpanya.
Mereka yang hidup dalam mimpi orang lain akan kehilangan identiti diri. Mereka keliru kerana hanya ingin memenuhi mimpi orang tanpa menyeimbangkan dengan mimpinya sendiri. Mereka yang berpendapatan kecil takut hilang pendapatan jika berhenti. Mereka yang berpendapatan besar pun takut hilang status quo, ditambah pula dengan pelbagai komitmen.
Mimpi sesiapa pun tidak akan surut. Ada sahaja gunung emas yang ingin didaki. Seseorang yang kerjanya mengejar mimpi orang lain akhirnya akan penat. Dia mungkin akan tersadung dan menggelongsor ke gaung kegagalan bila mendapati pengorbanannya tidak dihargai sepenuhnya. Lebih-lebih lagi bila si tuan punya mimpi itu mempunyai orang lain untuk terus membina mimpinya.
Sungguh. Mengejar mimpi orang lain akhirnya membawa kepada tekanan dan beban emosi yang besar. Malah ia boleh mengakibatkan kesan negatif kepada mental dan fizikal. Oleh kerana tekun mengejar mimpi orang lain, dia terlupa akan potensi dirinya yang sudah berkarat. Ini akan menghalang perkembangan peribadi dan profesional mereka.
Sebab itu, mereka yang pada asalnya ingin menjadi pekerja terbaik di dalam sesebuah organisasi, perlu menetapkan batasan masa dan waktu. Apa sahaja hak-hak dan kemudahan peribadi di dalam mesti diambil kira, meskipun tuntutan parkir kenderaan sebanyak RM5.00.
Usah terlalu dermawan untuk hak sendiri kerana pihak organisasi tidak ambil enteng pun dengan pengorbanan wang parkir itu. Jangan nanti bila telah bertahun dan beratus ringgit wang parkir tidak dituntut, kita mengadu yang syarikat tidak mengenang jasa apabila sesebuah permintaan kita ditolak.
Yang penting, biarpun kita bantu mengejar impian orang lain, impian sendiri pun perlu sekurang-kurangnya sentiasa dibarakan. Beringatlah bahawa kita tidak mungkin atau dapat mencapai mimpi orang lain kerana mimpi manusia ketika jaga tidak pernah sama.
Paksa Untuk Biasa Baharu Merasa
MAAFCAKAP 7.8.2024
Buat seminggu ini, saya lebihkan bersantai. Setelah penat berkemas kerana menutup bisnes, saya tidak mahu membuat kerja-kerja berat. Badan jadi sakit-sakit kerana mengalih, menyusun dan mengemas buku-buku.
Semalam pula saya bertemu seorang sahabat. Fazzil banyak bertanya mengenai rancangan saya setelah ini. Kebetulannya, saya baharu sahaja mengkaji semula program diri untuk tiga tahun. Maka panjanglah perbualan kami.
Kami sama-sama galak berbicara tentang idea dan masa hadapan. Saya bercakap tentang gabungan konsep azam, iltizam, istiqamah bila kita mahu mencapai cita-cita. Tetapi Fazzil bercakap tentang istilah ‘paksa,’ ‘biasa’ dan ‘merasa’ sebagai tindakan asas sebelum pun azam, iltizam dan istiqamah kukuh terbina. Bagaimana?
Menurutnya, ‘paksa’ adalah perkara paling penting yang perlu kita lakukan untuk membina disiplin. Seperti mana bila seorang ibu mahu anaknya sihat, dia memaksa anaknya itu mengunyah sayur-sayuran. Bila kita hendak sihat, kita perlu memaksa diri untuk melakukan senaman pada setiap hari.
Justeru, paksa itu bukannya dera. Bila kita memaksa diri dalam melakukan sesuatu bagi mencapai sesuatu, ia merupakan latih tubi untuk membina disiplin. Disiplin terbina hasil paksaan. Dan, disiplin itu akan menjadi tabiat.
Dalam riwayat Abu Dawud, Rasulullah saw menyuruh kita merotan anak yang tidak bersolat apabila mereka berusia 10 tahun. Ini adalah suatu rujukan bahawa rotan itu adalah langkah memaksa yang bertujuan untuk membina disiplin.
Bayangkan jika kita tidak memaksa diri bila ingin mencapai sesebuah hasrat, impian akan hanya menjadi mimpi dan angan-angan. Paksaan membuatkan kita patuh. Ia mengelak diri daripada memberi pelbagai alasan. Yang lebih penting, paksaan pada diri itu menjadikan seseorang itu komander kepada dirinya sendiri.
Akhirnya, apa yang terpaksa menjadi biasa. Disiplin itu telah menjadikan apa yang pada awalnya dipaksa menjadi suatu kebiasaan. Kebiasaan itu terhasil apabila tindakan itu dilakukan secara berulang-ulang. Ia menjadi otomatis bilamana ia dilakukan tanpa banyak berfikir atau mencari alasan untuk tidak melakukannya.
Oleh kerana kebiasaan, apa yang sukar akan menjadi ringan. Seperti mana bila seseorang memaksa diri untuk bangun dan bersolat malam, akhirnya dia terbangun sendiri dan mengerjakan ibadah dengan mudah tatkala orang lain tidur bagai tidak mahu bangun, bangun.
Setelah apa yang dipaksa menjadi biasa, baharulah seseorang itu akan menikmati hasil positif dari tindakannya. Hal ini membuatkan kita berasa senang dan termotivasi untuk terus melakukannya.
Kejayaan menguruskan badan hasil memaksa diri mengawal pengambilan makanan, hilang ketagihan merokok atau menghentikan tabiat melayari media sosial selama berjam-jam akan meningkatkan kepuasan pada diri.
Seseorang itu akan berasa bahawa dia adalah ‘raja’ kepada dirinya kerana sudah mampu mengawal nafsu. Dia akan merasa harga dirinya semakin baik apabila mereka di sekeliling menyedari perubahannya lalu memberi pujian.
Namun, paksa, biasa dan merasa itu perlu disusuli dengan pengukuhan azam, iltizam dan istiqamah. Ramai orang yang kembali pada tabiat lama setelah berjaya mencapai apa yang dihajati.
Dia berasa menang setelah berjaya mencapai apa yang dihasratkan. Maka datanglah nafsu yang berbisik, ‘apa salahnya buat satu kali apa yang telah ditinggalkan?’ Dan apabila seseorang itu menuruti, maka pelanggaran disiplin itu akan dilakukan sekali, dua kali dan akhirnya kembali ke takuk lama.
Beruntunglah jika seseorang itu sedar dan kembali pengukuhkan disiplin diri. Merugilah apabila dia berasa tewas dan tidak kembali ke nawaitu asal. Sesungguhnya, sahabat karib seseorang itu adalah dirinya. Musuh ketat seseorang itu juga adalah dirinya juga.
Di Mana Ada Ujian, Di Situ Ada Jalan
MAAFCAKAP 31.7.2024
Hari ini, 31 Julai ialah hari akhir saya bertugas di Malakat Mall sebagai usahawan yang menguruskan kedai buku Iqraread merangkap Ketua Pegawai Operasi, Malakat Mall. Mulai 1 Ogos saya terus bertugas mengendalikan penerbitan buku. Ini juga adalah tugas awal saya ketika dipelawa menyertai pasukan Malakat Eco Group pada 2019.
Setelah beberapa bulan mengkoordisasi penerbitan buku-buku khususnya untuk para pelajar sekolah Brainy Bunch, pelan syarikat berubah bila ia membuka Malakat Mall. Saya ditugaskan di mall ini sebagai Penasihat Media termasuk mengkoordinasi pemasaran syarikat. PKP berlaku dan saya mengurus kedai buku Iqraread kerana buku dikelaskan sebagai barang perlu ketika itu.. Jualan secara online amat baik sewaktu pandemik Covid-19 dan saya tetap sibuk.
Mengendalikan kedai buku Iqraread adalah sebuah pengalaman yang amat saya hargai kerana sebelum itu saya terlibat dalam industri penerbitan majalah, sebagai Pengurus Pemasaran Kumpulan Karangkraf, penerbitan buku sebagai Pengurus Besar syarikat Alaf 21 dan penerbitan akhbar cetak serta online sebagai Ketua Pengarang akhbar Sinar Harian,
Insya-ALLAH saya memahami proses memberi warna pada sehelai kertas putih yang kemudian dijilid menjadi buku, majalah mahupun akhbar. Saya terlibat dalam promosi, pengiklanan, pemasaran, percetakan, penjilidan, pengedaran, kos dan perakaunan ketiga-tiga medium cetakan kertas itu.
Namun, saya tiada pengalaman dalam bidang peruncitan buku. Iqraread memberi saya peluang dan pengalaman berharga ini. Ia umpama missing link dalam ilmu pernerbitan yang saya sertai. Dengan lebih 35 tahun pakej pengalaman yang lengkap, ke mana ilmu ini hendak saya gunakan? Sementelah saya sudah 67 tahun, sepatutnya saya bersara sahajalah.
Sebenarnya saya tidak pernah terfikir mahu bersara kerana kerja adalah hobi. Hobi itu pula adalah sesuatu yang seseorang itu suka lakukan di waktu senggang. Insya-ALLAH saya santai-santai sahaja bila bekerja dari sejak dahulu lagi kerana ia adalah sesuatu yang saya suka lakukan.
Lagi pula, sejak sekian lama saya memasang nawaitu untuk berjuang dalam bidang yang saya minati ini hingga ke akhir hayat. Kerja adalah sebuah dakwah serta jihad. Dan, tiada para sahabat mahupun Rasulullah saw sendiri yang saya tahu bersara dari perjuangan. Saya mahu menuruti sunnah Baginda dari segi pekerjaan, jihad dan ibadahnya.
Alhamdulilah, saya amat bernasib baik dalam dunia pekerjaan. Hari ini saya lalui peperiksaan akhir di kolej, keesokan harinya saya sudah bekerja. Sejak itu, tiada hari yang mana saya menganggur. Ada sahaja kerja yang menanti saya sebaik sahaja saya meletak jawatan. Barangkali ia adalah kerana saya tidak memilih kerja. Saya pernah bekerja dengan kerajaan, swasta, NGO serta bekerja sendiri.
Kawan-kawan yang kenal saya akan tahu yang saya pasti ada kerja yang menanti. Cuma ada seorang sahabat yang tidak mengenali diri ini melihat mengundurnya saya dari menjadi usahawan kedai buku sebagai sesuatu tragedi kehidupan..
Sebenarnya bekerja dan berhenti kerja sudah menjadi kebiasaan buat diri ini. Kerjaya saya sebagai Ketua Pegawai Operasi adalah kerja saya yang ke-15 di sepanjang tempoh saya mula bekerja sejak Jun 1980. Jika saya gusar, saya anggap berhentinya saya dari tugas adalah sebagai ujian. Ujian dari ALLAH sentiasa terjadi untuk mengukur tahap kepercayaan kita kepada qada dan qadar.
Ia adalah ujian keimanan. Bila kita lulus ujian ini, jalan menuju ke pintu yang lain akan terbuka luas. Jika kita lihat ujian itu sebagai musibah mahupun kifarah, maka kita akan lambat bangkit untuk move on ke fasa yang satu lagi. ALLAH akan sentiasa beri ujian kepada semua hamba-hamba-NYA. Tetapi DIA juga akan memberi lorong untuk keluar dari ujian itu. Berdoa sahaja dan DIA akan luluskan!
Percayalah kepada ALLAH tanpa batas meskipun seberat atau setinggi mana ujian itu. Sudah ratusan kali kita menerima ujian-NYA di sepanjang hidup ini dan setiap kali kita dapat melepasinya. Jadi, mengapa pula ujian pada kali ini hendak saya bimbang dan sedihkan? Tiada terdetik di fikiran untuk mempersoal, ‘Oh, mengapa ini terjadi pada diriku?’
Jadi, harungi sahajalah, kerana perjalanan di dunia ini pendek berbanding dengan perjalanan di dunia yang satu lagi.
Penyakit Baharu Mengancam Netizen
MAAFCAKAP 10.7.2024
Berita kematian Rajeswary Appahu atau Esha, 28, pada 5 Julai lalu adalah tragedi yang tidak boleh dipandang ringan. Betapa wanita itu telah mengambil nyawanya kerana tidak tahan dengan pembuli siber.
Sebelum itu, Esha sendiri telah membuat laporan polis dan menamakan mereka yang mempunyai akaun Tik Tok, dikatakan sebagai penyebab kepada kematian wanita itu. Menurut laporan itu, mereka yang dikatakan penyebab kepada kematian Esha telah membuat hantaran-hantaran yang mengandungi ugutan dan ancaman terhadap pempengaruh terbabit yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah.
Kejadian membunuh diri akibat pembuli siber sudah pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Pada tahun 2020, seorang gadis, R. Thivya Nayagi juga telah mengambl nyawanya kerana pembuli siber. Pada tahun 2019, seorang gadis dari Sarawak, 16, telah membunuh diri apabila 69 % netizen menggalakkan dia membunuh diri, anehnya melalui survei yang dia sendiri lakukan.
Apalah itu pembuli siber? Pembuli siber adalah mereka yang menggunakan alat komunikasi elektronik untuk membuli seseorang dengan mengirim mesej, foto, video dan juga suara yang mengancam. Ia boleh dilakukan melalui media sosial, mesej, sembang atas talian mahupun melalui laman web.
Cyberbully yang menjadi penyebab kematian merupakan punca kematian baharu sejak wujudnya media sosial. Kes awal yang direkodkan pada tahun 2012 melibatkan kematian Amanda Michelle Todd dari British Columbia, Canada. Gadis berusia 15 tahun ini membunuh diri kerana menerima ancaman agar mendedahkan tubuhnya melalui kamera web.
Dataprod, sebuah gerakan mengawal tindakan tidak beretika yang berpusat di Switzerland melaporkan, gangguan-gangguan samada terjadi di sekolah, taman permainan, di tempat kerja mahupun di internet biasanya tidak diambil berat oleh masyarakat.
Mangsa-mangsa buli siber ini selalu disifatkan sebagai mereka yang lemah, mudah koyak atau mereka yang tidak boleh menerima gurauan. Ramai yang masih beranggapan mangsa-mangsa buli siber ini tidak mungkin begitu terganggu sehingga boleh bertindak membunuh diri.
Statistik buli siber ini menunjukkan kesan mangsa pembuli siber hingga mereka berasa tertekan, bimbang, mengalami depresi, murung, menjauhkan diri dari mereka di sekelilingnya dan akhirnya bertindak membunuh diri.
Dalam pada itu, kita sendiri perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa pembuli siber. Barangkali sebuah hantaran kita dianggap sebuah perli atau cacian yang memberi kesan kepada seseorang. Dia perasan yang kita menjadikannya sasaran. Atau, mereka yang berasakan mengata dan mengutuk itu sebuah gurauan walaupun kepada kita yang dia sendiri tidak kenali.
Justeru, kita perlu peka dengan tanda-tanda yang kita menjadi sasaran dengan menghidu beberapa tanda. Apabila kita mula menerima mesej atau komen yang berbaur ancaman, mengutuk dan mencaci secara berulang, itu petanda awal.
Seelok-eloknya kita diamkan dahulu buat beberapa ketika sebelum menjawab sesebuah komen yang tidak menyenangkan. Selalunya, komen-komen yang panas akan mati begitu sahaja apabila kita diamkan buat beberapa lama. Sebaliknya, respon semerta semata-mata kerana kita berasa terganggu hanya akan memanaskan lagi keadaan.
Namun, sekiranya kita menerima komen-komen yang berturutan, itu petanda yang kita sedang diajak untuk bergaduh. Tulisan atau percakapan yang berupa fitnah, hasutan dan kata benci akan diteruskan sehingga kita memberi respon. Bila seseorang itu mula menghasut orang lain untuk memburukkan kita, block atau halang sahaja individu itu dari laman sosial. Usah beri dia masa mengutuk kita lagi dengan melayani dia.
Dalam pada itu, kita perlu peka kepada ahli keluarga mahupun mereka di sekeliling kita. Mangsa-mangsa pembuli siber biasanya terdiri daripada mereka yang ketagih internet. Perhatikan perilaku mereka yang kelihatan gelisah dan murung setiap kali melayari internet. Mereka perlu diselamatkan dari penyakit yang menyerang saraf minda ini hingga menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan.
Baik Buruk Tindakan U-Turn
MAAFCAKAP 3.7.2024
Kata orang tua-tua, ‘Kalau sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.’ Nasihat ini amat berguna lagi bermakna buat kita, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini. Masa dirasakan bergerak laju. Manusia juga sentiasa bertindak pantas. Malangnya ramai yang terbabas. Malang juga bila yang terbabas pula sukar hendak membuat U-turn bagi mencari jalan yang berbeza dan sesuai.
Mengapakah semakin ramai di kalangan kita yang berasa malu hendak mencari jalan yang betul dan sesuai setelah tersesat? Barangkali kerana malu. Malu juga adalah kerana ego lalu tidak mahu orang lain melihat tindakan berpatah balik itu sebagai tindakan orang yang salah dan kalah.
Kita yang hidup di era media sosial ini suka berkongsi. Kita seronok share apa yang kita sedang lakukan. Jika dahulu kita hanya menceritakan apa yang kita dambakan kepada keluarga dan orang terdekat. Pada hari ini media sosial memainkan peranan untuk menghebah dan menularkan apa yang kita buat meskipun ia sekecil hama.
Maka, apabila tersilap langkah dan malu alah, kita terdiam dan terkaku untuk bergerak kerana tahu ramai yang sedang memerhati dan meneliti. Kerana bimbang menerima tepukan perli dari mereka yang tidak pun kita kenali, maka kita buat-buat tidak tahu dan terus maju walaupun jauh di sanubari, kita tahu yang kita sedang mundur.
Sebenarnya, selain takdir, kita sendiri yang menjadi asbab utama kejayaan dan kegagalan kita. Kita yang bersendirian memilih gunung yang hendak didaki, bukannya orang lain. Orang lain pun bukannya peduli kerana masing-masing samada sedang mendaki gunung masing-masing ataupun menggali kubur sendiri.
Mereka hanya nampak kita apabila berada di puncak ataupun ketika kita menggelunsur ke gaung. Selain dari dua situasi itu, tiada sesiapa pun yang peduli kecuali mereka yang terdekat yang mengasihi kita. Merekalah yang akan membalut luka kekecewaan, meniupkan semangat kita hingga menjadi bara kembali.
Justeru, usah perasan yang kita akan sentiasa menjadi perhatian mereka yang tidak pun mengenali kita. Mereka tidak mempedulikan kita pun. Sebentar sahaja mereka bertepuk dan bergelak ketawa melihat kegagalan kita. Tidak sampai seminggu, mereka telah melupakan kita yang kecundang malang. Barangkali mereka pula yang sedang berendam airmata. Bukankah putaran dunia ini seperti roda?

Tindakan U-turn boleh dilihat sebagai tanda seseorang yang tidak tetap pendirian. Ia menggambarkan seseorang yang kurang wibawa dalam membuat keputusan. Ada ketikanya mengubah fikiran untuk U-turn barangkali akan mengakibatkan seseorang itu terlepas peluang yang sebenarnya berada betul-betul selepas selekoh di jalan kejayaan.
Orang yang sentiasa berpaling arah itu sendiri akan menjejaskan keyakinan diri, malah menjadi bingung dan kecewa lebih-lebih lagi apabila mengetahui yang dia telah terlepas peluang semata-mata kerana dia terlalu awal berundur haluan.
Malah ia mengakibatkan stres bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada mereka yang menyokong dengan penuh harapan. Bertuahlah seandainya mereka di sekeliling masih menyokong dengan kepercayaan total. Namun, semangat akan tercalar apabila mereka yang diharap sentiasa memberi sokongan itu sebaliknya bertindak dingin.
Kerana itu, tindakan berpatah balik adalah jalan terbaik sekiranya kita yakin bahawa jalan yang sedang diharungi itu akan menghalang kita mencapai matlamat. Pengetahuan baharu mengenai masalah menuju matlamat membolehkan kita membuat keputusan yang lebih tepat. Keyakinan kepada tindakan itu menandakan kita tangkas mencium halangan di jalan yang sukar lalu beranjak ke sisi untuk merentas denai kejayaan.
Dengan penuh keyakinan, ubah sahaja pendirian untuk U-turn atau kembali ke pangkal jalan demi merangkul kejayaan. Pedulikan mereka yang bersorak sorai kerana ingin melihat kegagalan kita. Malah, usah ambil pusing jika kata-kata semangat mereka yang terdekat semakin tidak kedengaran di telinga.
Bukankah kejayaan itu satu perjalanan? Tindakan U-turn itu juga adalah sebahagian dari perjalanan itu. Undur selangkah untuk maju dua langkah adalah tindakan bijak meskipun betapa perihnya. Gunakan U-turn pada situasi yang betul. Jalan terus bila yakin dengan jalan itu. Tetapi berundurlah bila tahu ia menuju ke jalan buntu. Hanya kita yang tahu apa yang kita mahu.


