MAAFCAKAP 3.7.2024
Kata orang tua-tua, ‘Kalau sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.’ Nasihat ini amat berguna lagi bermakna buat kita, lebih-lebih lagi di akhir zaman ini. Masa dirasakan bergerak laju. Manusia juga sentiasa bertindak pantas. Malangnya ramai yang terbabas. Malang juga bila yang terbabas pula sukar hendak membuat U-turn bagi mencari jalan yang berbeza dan sesuai.
Mengapakah semakin ramai di kalangan kita yang berasa malu hendak mencari jalan yang betul dan sesuai setelah tersesat? Barangkali kerana malu. Malu juga adalah kerana ego lalu tidak mahu orang lain melihat tindakan berpatah balik itu sebagai tindakan orang yang salah dan kalah.
Kita yang hidup di era media sosial ini suka berkongsi. Kita seronok share apa yang kita sedang lakukan. Jika dahulu kita hanya menceritakan apa yang kita dambakan kepada keluarga dan orang terdekat. Pada hari ini media sosial memainkan peranan untuk menghebah dan menularkan apa yang kita buat meskipun ia sekecil hama.
Maka, apabila tersilap langkah dan malu alah, kita terdiam dan terkaku untuk bergerak kerana tahu ramai yang sedang memerhati dan meneliti. Kerana bimbang menerima tepukan perli dari mereka yang tidak pun kita kenali, maka kita buat-buat tidak tahu dan terus maju walaupun jauh di sanubari, kita tahu yang kita sedang mundur.
Sebenarnya, selain takdir, kita sendiri yang menjadi asbab utama kejayaan dan kegagalan kita. Kita yang bersendirian memilih gunung yang hendak didaki, bukannya orang lain. Orang lain pun bukannya peduli kerana masing-masing samada sedang mendaki gunung masing-masing ataupun menggali kubur sendiri.
Mereka hanya nampak kita apabila berada di puncak ataupun ketika kita menggelunsur ke gaung. Selain dari dua situasi itu, tiada sesiapa pun yang peduli kecuali mereka yang terdekat yang mengasihi kita. Merekalah yang akan membalut luka kekecewaan, meniupkan semangat kita hingga menjadi bara kembali.
Justeru, usah perasan yang kita akan sentiasa menjadi perhatian mereka yang tidak pun mengenali kita. Mereka tidak mempedulikan kita pun. Sebentar sahaja mereka bertepuk dan bergelak ketawa melihat kegagalan kita. Tidak sampai seminggu, mereka telah melupakan kita yang kecundang malang. Barangkali mereka pula yang sedang berendam airmata. Bukankah putaran dunia ini seperti roda?
Tindakan U-turn boleh dilihat sebagai tanda seseorang yang tidak tetap pendirian. Ia menggambarkan seseorang yang kurang wibawa dalam membuat keputusan. Ada ketikanya mengubah fikiran untuk U-turn barangkali akan mengakibatkan seseorang itu terlepas peluang yang sebenarnya berada betul-betul selepas selekoh di jalan kejayaan.
Orang yang sentiasa berpaling arah itu sendiri akan menjejaskan keyakinan diri, malah menjadi bingung dan kecewa lebih-lebih lagi apabila mengetahui yang dia telah terlepas peluang semata-mata kerana dia terlalu awal berundur haluan.
Malah ia mengakibatkan stres bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada mereka yang menyokong dengan penuh harapan. Bertuahlah seandainya mereka di sekeliling masih menyokong dengan kepercayaan total. Namun, semangat akan tercalar apabila mereka yang diharap sentiasa memberi sokongan itu sebaliknya bertindak dingin.
Kerana itu, tindakan berpatah balik adalah jalan terbaik sekiranya kita yakin bahawa jalan yang sedang diharungi itu akan menghalang kita mencapai matlamat. Pengetahuan baharu mengenai masalah menuju matlamat membolehkan kita membuat keputusan yang lebih tepat. Keyakinan kepada tindakan itu menandakan kita tangkas mencium halangan di jalan yang sukar lalu beranjak ke sisi untuk merentas denai kejayaan.
Dengan penuh keyakinan, ubah sahaja pendirian untuk U-turn atau kembali ke pangkal jalan demi merangkul kejayaan. Pedulikan mereka yang bersorak sorai kerana ingin melihat kegagalan kita. Malah, usah ambil pusing jika kata-kata semangat mereka yang terdekat semakin tidak kedengaran di telinga.
Bukankah kejayaan itu satu perjalanan? Tindakan U-turn itu juga adalah sebahagian dari perjalanan itu. Undur selangkah untuk maju dua langkah adalah tindakan bijak meskipun betapa perihnya. Gunakan U-turn pada situasi yang betul. Jalan terus bila yakin dengan jalan itu. Tetapi berundurlah bila tahu ia menuju ke jalan buntu. Hanya kita yang tahu apa yang kita mahu.