MAAFCAKAP 10.7.2024
Berita kematian Rajeswary Appahu atau Esha, 28, pada 5 Julai lalu adalah tragedi yang tidak boleh dipandang ringan. Betapa wanita itu telah mengambil nyawanya kerana tidak tahan dengan pembuli siber.
Sebelum itu, Esha sendiri telah membuat laporan polis dan menamakan mereka yang mempunyai akaun Tik Tok, dikatakan sebagai penyebab kepada kematian wanita itu. Menurut laporan itu, mereka yang dikatakan penyebab kepada kematian Esha telah membuat hantaran-hantaran yang mengandungi ugutan dan ancaman terhadap pempengaruh terbabit yang menggunakan kata-kata kesat dan lucah.
Kejadian membunuh diri akibat pembuli siber sudah pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Pada tahun 2020, seorang gadis, R. Thivya Nayagi juga telah mengambl nyawanya kerana pembuli siber. Pada tahun 2019, seorang gadis dari Sarawak, 16, telah membunuh diri apabila 69 % netizen menggalakkan dia membunuh diri, anehnya melalui survei yang dia sendiri lakukan.
Apalah itu pembuli siber? Pembuli siber adalah mereka yang menggunakan alat komunikasi elektronik untuk membuli seseorang dengan mengirim mesej, foto, video dan juga suara yang mengancam. Ia boleh dilakukan melalui media sosial, mesej, sembang atas talian mahupun melalui laman web.
Cyberbully yang menjadi penyebab kematian merupakan punca kematian baharu sejak wujudnya media sosial. Kes awal yang direkodkan pada tahun 2012 melibatkan kematian Amanda Michelle Todd dari British Columbia, Canada. Gadis berusia 15 tahun ini membunuh diri kerana menerima ancaman agar mendedahkan tubuhnya melalui kamera web.
Dataprod, sebuah gerakan mengawal tindakan tidak beretika yang berpusat di Switzerland melaporkan, gangguan-gangguan samada terjadi di sekolah, taman permainan, di tempat kerja mahupun di internet biasanya tidak diambil berat oleh masyarakat.
Mangsa-mangsa buli siber ini selalu disifatkan sebagai mereka yang lemah, mudah koyak atau mereka yang tidak boleh menerima gurauan. Ramai yang masih beranggapan mangsa-mangsa buli siber ini tidak mungkin begitu terganggu sehingga boleh bertindak membunuh diri.
Statistik buli siber ini menunjukkan kesan mangsa pembuli siber hingga mereka berasa tertekan, bimbang, mengalami depresi, murung, menjauhkan diri dari mereka di sekelilingnya dan akhirnya bertindak membunuh diri.
Dalam pada itu, kita sendiri perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa pembuli siber. Barangkali sebuah hantaran kita dianggap sebuah perli atau cacian yang memberi kesan kepada seseorang. Dia perasan yang kita menjadikannya sasaran. Atau, mereka yang berasakan mengata dan mengutuk itu sebuah gurauan walaupun kepada kita yang dia sendiri tidak kenali.
Justeru, kita perlu peka dengan tanda-tanda yang kita menjadi sasaran dengan menghidu beberapa tanda. Apabila kita mula menerima mesej atau komen yang berbaur ancaman, mengutuk dan mencaci secara berulang, itu petanda awal.
Seelok-eloknya kita diamkan dahulu buat beberapa ketika sebelum menjawab sesebuah komen yang tidak menyenangkan. Selalunya, komen-komen yang panas akan mati begitu sahaja apabila kita diamkan buat beberapa lama. Sebaliknya, respon semerta semata-mata kerana kita berasa terganggu hanya akan memanaskan lagi keadaan.
Namun, sekiranya kita menerima komen-komen yang berturutan, itu petanda yang kita sedang diajak untuk bergaduh. Tulisan atau percakapan yang berupa fitnah, hasutan dan kata benci akan diteruskan sehingga kita memberi respon. Bila seseorang itu mula menghasut orang lain untuk memburukkan kita, block atau halang sahaja individu itu dari laman sosial. Usah beri dia masa mengutuk kita lagi dengan melayani dia.
Dalam pada itu, kita perlu peka kepada ahli keluarga mahupun mereka di sekeliling kita. Mangsa-mangsa pembuli siber biasanya terdiri daripada mereka yang ketagih internet. Perhatikan perilaku mereka yang kelihatan gelisah dan murung setiap kali melayari internet. Mereka perlu diselamatkan dari penyakit yang menyerang saraf minda ini hingga menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan.