MAAFCAKAP 7.8.2024
Buat seminggu ini, saya lebihkan bersantai. Setelah penat berkemas kerana menutup bisnes, saya tidak mahu membuat kerja-kerja berat. Badan jadi sakit-sakit kerana mengalih, menyusun dan mengemas buku-buku.
Semalam pula saya bertemu seorang sahabat. Fazzil banyak bertanya mengenai rancangan saya setelah ini. Kebetulannya, saya baharu sahaja mengkaji semula program diri untuk tiga tahun. Maka panjanglah perbualan kami.
Kami sama-sama galak berbicara tentang idea dan masa hadapan. Saya bercakap tentang gabungan konsep azam, iltizam, istiqamah bila kita mahu mencapai cita-cita. Tetapi Fazzil bercakap tentang istilah ‘paksa,’ ‘biasa’ dan ‘merasa’ sebagai tindakan asas sebelum pun azam, iltizam dan istiqamah kukuh terbina. Bagaimana?
Menurutnya, ‘paksa’ adalah perkara paling penting yang perlu kita lakukan untuk membina disiplin. Seperti mana bila seorang ibu mahu anaknya sihat, dia memaksa anaknya itu mengunyah sayur-sayuran. Bila kita hendak sihat, kita perlu memaksa diri untuk melakukan senaman pada setiap hari.
Justeru, paksa itu bukannya dera. Bila kita memaksa diri dalam melakukan sesuatu bagi mencapai sesuatu, ia merupakan latih tubi untuk membina disiplin. Disiplin terbina hasil paksaan. Dan, disiplin itu akan menjadi tabiat.
Dalam riwayat Abu Dawud, Rasulullah saw menyuruh kita merotan anak yang tidak bersolat apabila mereka berusia 10 tahun. Ini adalah suatu rujukan bahawa rotan itu adalah langkah memaksa yang bertujuan untuk membina disiplin.
Bayangkan jika kita tidak memaksa diri bila ingin mencapai sesebuah hasrat, impian akan hanya menjadi mimpi dan angan-angan. Paksaan membuatkan kita patuh. Ia mengelak diri daripada memberi pelbagai alasan. Yang lebih penting, paksaan pada diri itu menjadikan seseorang itu komander kepada dirinya sendiri.
Akhirnya, apa yang terpaksa menjadi biasa. Disiplin itu telah menjadikan apa yang pada awalnya dipaksa menjadi suatu kebiasaan. Kebiasaan itu terhasil apabila tindakan itu dilakukan secara berulang-ulang. Ia menjadi otomatis bilamana ia dilakukan tanpa banyak berfikir atau mencari alasan untuk tidak melakukannya.
Oleh kerana kebiasaan, apa yang sukar akan menjadi ringan. Seperti mana bila seseorang memaksa diri untuk bangun dan bersolat malam, akhirnya dia terbangun sendiri dan mengerjakan ibadah dengan mudah tatkala orang lain tidur bagai tidak mahu bangun, bangun.
Setelah apa yang dipaksa menjadi biasa, baharulah seseorang itu akan menikmati hasil positif dari tindakannya. Hal ini membuatkan kita berasa senang dan termotivasi untuk terus melakukannya.
Kejayaan menguruskan badan hasil memaksa diri mengawal pengambilan makanan, hilang ketagihan merokok atau menghentikan tabiat melayari media sosial selama berjam-jam akan meningkatkan kepuasan pada diri.
Seseorang itu akan berasa bahawa dia adalah ‘raja’ kepada dirinya kerana sudah mampu mengawal nafsu. Dia akan merasa harga dirinya semakin baik apabila mereka di sekeliling menyedari perubahannya lalu memberi pujian.
Namun, paksa, biasa dan merasa itu perlu disusuli dengan pengukuhan azam, iltizam dan istiqamah. Ramai orang yang kembali pada tabiat lama setelah berjaya mencapai apa yang dihajati.
Dia berasa menang setelah berjaya mencapai apa yang dihasratkan. Maka datanglah nafsu yang berbisik, ‘apa salahnya buat satu kali apa yang telah ditinggalkan?’ Dan apabila seseorang itu menuruti, maka pelanggaran disiplin itu akan dilakukan sekali, dua kali dan akhirnya kembali ke takuk lama.
Beruntunglah jika seseorang itu sedar dan kembali pengukuhkan disiplin diri. Merugilah apabila dia berasa tewas dan tidak kembali ke nawaitu asal. Sesungguhnya, sahabat karib seseorang itu adalah dirinya. Musuh ketat seseorang itu juga adalah dirinya juga.