MAAFCAKAP 14.8.2024
Hari ini adalah hari yang paling gembira buat Emran. Siang tadi dia menerima scroll seorang graduan yang berkelayakan sebagai seorang doktor. Kini, Emran bersama ibubapa dan adik-beradiknya meraikan kejayaan Emran di sebuah restoran eksklusif.
Selesai menjamah pembasuh mulut, Emran bangun untuk membuat ucapan. Ada satu kenyataan yang akan Emran luahkan. Dia tahu mereka yang hadir akan berasa terpana, lebih-lebih lagi ibunya. Namun, Emran memberanikan dirinya untuk berkata, ‘Mak, sekarang Em sudah penuhi impian mak. Mak tentu gembira dan berbangga.
Jadi, mulai esok, izinkan Em memenuhi impian sendiri. Em sudah mendaftar untuk mengambil kursus Artificial Intelligence. Em hendak jadi Jurutera AI.’ Ruang makan mereka di restoran itu jadi sunyi sepi. Namun, Emran berasa puas; puas kerana berjaya memenuhi impian ibunya dan puas kerana akhirnya dapat mula mengejar impiannya…
Sekali-sekala kita akan dijengah dengan kisah-kisah sebegini; bagaimana seorang anak sanggup berkorban untuk memenuhi hasrat ibubapanya. Namun sebaik sahaja kelayakan diperoleh, si anak berpaling arah untuk memenuhi impiannya.
Ibubapa mana yang tidak terkilan dengan tindakan anak yang sebegitu? Tetapi akhirnya mereka akan sedar betapa kuatnya impian si anak dan betapa hormatnya si anak dengan hasrat ibubapa hingga sanggup patuh belajar hingga lulus. Mereka akhirnya akan faham dan akan menerima jalan yang dipilih oleh si anak.
Individu yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mengejar mimpi orang lain mempunyai karektor yang terpuji. Tetapi, seandainya ia melibatkan tindakan memenuhi impian orang lain dalam sesuatu tempoh waktu, seseorang itu mempunyai jalan keluar yang jelas.
Bagaimana pula dengan ribuan insan di kalangan kita yang berkorban untuk mengejar impian orang lain tanpa had waktu, malah hingga ke akhir hayatnya? Betapa ramai kita di dalam bidang pekerjaan umpamanya tidak berpeluang untuk berhenti bagi memenuhi impian sendiri.
Siang malam seseorang itu memperuntukan masanya untuk bekerja bagi memenuhi impian orang lain. Oleh kerana tuntutan kerja, dia tidak boleh lekang dari kerjanya. Kemudahan teknologi membolehkan seseorang itu dihubungi pada bila-bila masa samada ketika jaga atau dalam tidurnya.
Barangkali kerana komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi, seseorang itu umpama berkahwin dengan kerjanya. Dia bekerja pada hari bekerja dan masih bekerja pada hari cutinya. Ada yang menolak cuti sakit yang diberi doktor dan ingin terus bekerja semata-mata kerana berasa syarikat atau jabatannya akan tumbang dan hancur musnah tanpanya.
Mereka yang hidup dalam mimpi orang lain akan kehilangan identiti diri. Mereka keliru kerana hanya ingin memenuhi mimpi orang tanpa menyeimbangkan dengan mimpinya sendiri. Mereka yang berpendapatan kecil takut hilang pendapatan jika berhenti. Mereka yang berpendapatan besar pun takut hilang status quo, ditambah pula dengan pelbagai komitmen.
Mimpi sesiapa pun tidak akan surut. Ada sahaja gunung emas yang ingin didaki. Seseorang yang kerjanya mengejar mimpi orang lain akhirnya akan penat. Dia mungkin akan tersadung dan menggelongsor ke gaung kegagalan bila mendapati pengorbanannya tidak dihargai sepenuhnya. Lebih-lebih lagi bila si tuan punya mimpi itu mempunyai orang lain untuk terus membina mimpinya.
Sungguh. Mengejar mimpi orang lain akhirnya membawa kepada tekanan dan beban emosi yang besar. Malah ia boleh mengakibatkan kesan negatif kepada mental dan fizikal. Oleh kerana tekun mengejar mimpi orang lain, dia terlupa akan potensi dirinya yang sudah berkarat. Ini akan menghalang perkembangan peribadi dan profesional mereka.
Sebab itu, mereka yang pada asalnya ingin menjadi pekerja terbaik di dalam sesebuah organisasi, perlu menetapkan batasan masa dan waktu. Apa sahaja hak-hak dan kemudahan peribadi di dalam mesti diambil kira, meskipun tuntutan parkir kenderaan sebanyak RM5.00.
Usah terlalu dermawan untuk hak sendiri kerana pihak organisasi tidak ambil enteng pun dengan pengorbanan wang parkir itu. Jangan nanti bila telah bertahun dan beratus ringgit wang parkir tidak dituntut, kita mengadu yang syarikat tidak mengenang jasa apabila sesebuah permintaan kita ditolak.
Yang penting, biarpun kita bantu mengejar impian orang lain, impian sendiri pun perlu sekurang-kurangnya sentiasa dibarakan. Beringatlah bahawa kita tidak mungkin atau dapat mencapai mimpi orang lain kerana mimpi manusia ketika jaga tidak pernah sama.