MAAFCAKAP 4.9.2024

Bila tidak bekerja, saya gemar ke restoran pada waktu petang untuk menghirup segelas teh tarik. Kira-kira setengah jam di situ, saya akan beredar untuk solat Maghrib di masjid berdekatan. Baru-baru ini, di restoran itu terdapat empat orang remaja sedang makan dan rancak berbual di meja sebelah.

Oleh kerana suara mereka agak lantang, maka saya tidak boleh elak untuk terdengar perbualan mereka. Dari sembang mereka, saya berasa mereka sedang berbincang hal-hal persatuan, sebab istilah jawatan seperti ‘YDP,’ ‘Setiausaha,’ dan AJK bermain di bibir mereka.

‘Pakcik, boleh saya ambil cili sos itu?’ Tiba-tiba salah seorang daripada mereka memandang saya sambil mengunjuk sebotol sos cili di meja saya. Dengan senyuman, saya menghulurkan botol itu. ‘Awak semua berbincang fasal persatuan apa, ya? Pakcik sampai terdengar perbualan awak semua,’ tanya saya sekadar berbasa-basi.

“Kami berbincang sebab kawan kami ini baru dilantik jawatan Yang Di-Pertua, Majlis Perwakilan Pelajar di kampus kami,’ kata remaja itu seraya mengunjuk kepada rakannya yang kelihatan tersengih-sengih. ‘Boleh Pakcik bagi pandangan?’

Sambil tersenyum, saya terangguk-angguk. Saya berasa teruja hendak memberi pandangan kerana saya pernah menjadi aktivis pelajar ketika di kampus dahulu. Mereka berempat adalah dari pasukan yang menang. Justeru, mereka bertanya untuk mendapat idea bagaimana untuk menjadi wakil-wakil pelajar yang berkesan.

Setelah termenung seketika, saya mendapat idea tamsilan bahawa organisasi itu umpama sebuah pokok. Inilah ibarat yang sesuai digunakan untuk menyampaikan hubung-kait di antara pemimpin dan pengikut.

Sesebuah pohon mempunyai pelbagai bahagian seperti daun, pucuk, dahan, ranting, batang, banir, umbi dan akar. Para pemimpin bagi sesebuah organisasi itu adalah umpama daun dan pucuk. Ahli-ahli pula adalah umpama akar dan umbi. Segala aktiviti organisasi itu disalur melalui batang, dahan dan ranting-rantingnya.

Daun dan pucuk itu memberi perlindungan bagi pokok. Dedaunnya melitupi kawasan sekitar agar ia terlindung dari matahari dan sentiasa lembab dan berair. Proses fotosintesis memberi sumber tenaga bagi pokok melalui cahaya matahari dan karbon monoksida.

Umbi iaitu bahagian yang paling hampir dengan banir pula memberi keteguhan bagi sesebuah pohon untuk berdiri. Pokok yang teguh itu mempunyai akar-akar yang berselirat menjalar di dalam bumi. Akar menyalurkan segala nutrien dan air kepada pokok agar ia sentiasa segar.

Para pemimpin iaitu pucuk dan daun harus sentiasa ingat bahawa kekuatannya amat bergantung kepada akar dan umbi. Kekuatan dan kesihatan akar bagi sesebuah pohon itu umpama ahli-ahli yang sentiasa menghidupkan pucuk pimpinannya.

Banyak organisasi goyang meskipun betapa hebatnya pemimpin semata-mata apabila mereka lupakan akar umbi. Parti politik yang hanya ada para pemimpin yang terkenal, tanpa ahli-ahli yang setia dan sentiasa menyokong, akan rebah. Organisasi yang mempunyai bos yang hebat pun tidak akan bertahan lama apabila tidak menjaga para pekerja bawahannya.

Batang, dahan dan ranting pula adalah tempat penyaluran nutrient dari pucuk kepada akar dan sebaliknya. Organisasi yang mempunyai aktiviti yang hanya berkisar di kalangan para pemimpinnya semata-mata, akan kehilangan sokongan. Pemimpin syok sendiri tidak akan dipeduli ahli-ahli.

Begitu juga jika ahli-ahli atau para pekerja bawahan yang hanya berhubung sesama mereka tidak akan dapat memberi faedah kepada para pemimpinnya. Jika para pemimpin tidak mengerti hal ini mereka akan berasakan ahli-ahli akar umbinya tidak berguna dan tidak perlu diambil perhatian.

Di sinilah punca keruntuhan mana-mana organisasi samada syarikat perniagaan mahupun organisasi termasuk persatuan-persatuan. Pendek kata, perhubungan di antara pucuk dan akar perlu sentiasa berjalan melalui pelbagai aktiviti yang akan menghidupkan interaksi. Suasana saling bergantung ini akan terus menyuburkan pohon organisasi.

Sedarilah, kita tidak hebat walaupun terpilih menjadi pemimpin. Kita juga tidak hina walaupun tempatnya di bawah, sebab di bawahlah tempat di mana bumi dipijak. Demikian pandangan saya kepada mereka berempat pada petang itu.