MAAFCAKAP 11.9.2024
Kini, timbul kembali polemik berhubung kait dengan halal dan haram makanan. Ia bermula apabila seseorang telah bertanya kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan status beberapa buah restoran kelolaan bukan Islam secara dalam talian.
Jakim memberi respons bahawa di antara restoran yang disebut-sebut tiada lagi sijil halal ialah Johnny’s Restaurant, Black Canyon, Dolly Dim Sum, Mr. Dakgalbi dan Bungkus Kaw Kaw. Jawapan jabatan itu telah diviralkan dan sekali lagi orang Islam heboh memperkatakannya.
Beberapa buah syarikat yang berkenaan telah membuat kenyataan bahawa walaupun premis mereka belum mendapat sijil halal, barang mentah yang mereka gunakan itu datang dari para pembekal yang mempunyai sijil halal. Ia adalah jawapan yang tidak dapat diterima oleh mereka yang mementingkan makanan halalan toyibban, walaupun ramai juga yang lain makan di tempat-tempat itu seperti biasa.
Isu itu mendapat reaksi Jakim pula bila berura-ura untuk mencadangkan pensijilan halal diwajibkan bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan daging babi dan alkohol. Ertiya, kesemua restoran Muslim juga perlu mendapatkan sijil halal. Maknanya,, Mak Cik Kiah yang berniaga di bawah pokok juga perlu juga ada sijil halal.
Pun begitu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, menjelaskan pindaan undang-undang perlu dilakukan sebelum memperoleh sijil halal itu diwajibkan.
Barangkali, inilah yang membuat Ahli Parlimen Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memberi reaksi dengan berkata apabila kerajaan mewajibkan premis makanan mempunyai sijil halal, ia dilihat akan menambah beban kepada peniaga kecil termasuk ribuan pengusaha restoran kecil Melayu.
Katanya, pengenalan pensijilan halal secara wajib akan menambah kos pentadbiran sedangkan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, dan bukannya dilaksanakan secara paksa. Menurutnya lagi, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Kenyataan beliau segera disanggah oleh beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang menyarankan agar lebih baik Ahli Parlimen Seputeh itu menutup mulutnya. Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pula menyifatkan reaksi Teresa Kok itu meningkatkan lagi persepsi bahawa DAP seolah-olah anti kepada hal-hal agama Islam.
Kelmarin, Ahli Parlimen Seputeh itu telah memberi keterangan di Bukit Aman. Biarlah pihak berkuasa meneliti, menilai dan membuat keputusan di atas kenyataannya. Nampaknya isu halal haram dalam permakanan mendapat respon panas pelbagai pihak dan tindakan semerta pihak Polis Di-Raja Malaysia.
Malaysia terkenal dengan sistem pensijilan halal yang ketat dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Malah, Malaysia diakui antara peneraju global dalam industri halal. Industri halal merupakan salah satu sektor ekonomi yang paling pesat berkembang. Ia bukan sahaja memenuhi keperluan umat Islam tetapi juga menarik perhatian pengguna bukan Muslim yang semakin peka terhadap produk berkualiti dan selamat.
Namun di luar sana, masih ramai lagi orang Islam di Malaysia yang bukannya kisah sangat apa yang masuk ke perut mereka. Bila mereka nampak para pekerja restoran itu bertudung, perasan ramai para pengunjung ke sesebuah restoran dari kalangan orang Melayu, ataupun bingkai yang tertulis ayat al-Quran terpampang di dinding, mereka tidak cari di celah mana tertampalnya sijil halal di premis makanan itu.
Selagi mereka ambil mudah terhadap apa yang mereka telan, tidak tahu bahawa apabila makanan yang syubhah itu mendarah daging di dalam tubuh, mereka tidak sedar apa yang dimakan itu memberi kesan terhadap amalan, doa dan personaliti dalaman serta luaran seseorang.
Usah ditanya, mengapa solat susah hendak khusyuk jika kita seolah-olah menuruti langkah syaitan dengan tidak memberi perhatian dengan apa yang dimakan seperti yang termaktub di dalam Surah al-Baqarah ayat 168. “Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
Beristiqamahlah dalam memberi perhatian terhadap apa yang kita dan keluarga kita makan. Ia bukan pegangan yang bermusim.