MAAFCAKAP 18.9.2024

Media sosial banyak membawa kebaikan kepada netizen. Ia adalah alat komunikasi, medium berkongsi maklumat, kolaborasi, bisnes, sumber berita dan medium ekspresi diri. Keburukannya juga banyak.

Selain penyebab ketagihan dan membuang masa, media sosial juga menganggu kesihatan mental, tempat menyebar segala maklumat palsu dan buli siber. Algoritmanya yang meningkatkan capaian pada sesuatu yang popular itu boleh menyebabkan yang negatif itu lebih diterima dari yang positif. Akhirnya  kita boleh terpengaruh untuk menerima yang buruk sebagai sesuatu yang normal.

Akhir-akhir ini, media sosial menjadi medan menyelongkar, memapar dan mendedahkan segala bentuk penipuan, penyelewengan dan penyamaran. Telah terbentuk beberapa buah kumpulan sukarela yang memainkan peranan untuk membuat pelbagai pendedahan yang menggemparkan.

Jika selama ini kita biasa dengan pelbagai NGO yang berperanan sebagai kumpulan pendesak seperti Sahabat Alam Malaysia yang memperjuangkan alam sekitar, Federation of Malaysian Consumers Association (FOMCA) yang memperjuangkan para pengguna dan World Wildlife Fund (WWF) yang memperjuangkan pemuliharaan habitat binatang, kini muncul apa yang saya istilahkan sebagai NGO Siber yang lebih berani dan keras.

Di antara yang tampak begitu aktif memaparkan kes-kes penipuan ialah halaman Scam No One di Facebook yang telah membongkar pelbagai penipuan organisasi mengutip derma, skim ponzi melalui pelaburan dan skim pinjaman berfaedah tinggi.

Medical Mythbusters di Facebook pula dianggotai oleh ahli-ahli perubatan bertauliah, untuk menjawab mitos dan fitnah dalam bidang perubatan. Banyak ubatan berbahaya yang menggunakan sijil kelulusan Kementerian Kesihatan yang palsu telah berjaya dibanteras. Ia banyak mendidik masyarakat agar tidak tertipu dengan ubat-ubatan yang tiada piawaian hingga mengakibatkan kesakitan yang lebih serius kepada pengguna ubat-ubatan itu.

Edisi Siasat, yang menggunakan platform Telegram pula banyak memaparkan rekod-rekod laporan jenayah, kelemahan pentadbiran dan pengurusan serta pelbagai penyelewengan mereka dari pasukan yang beruniform. Namun, ia turut mamaparkan salinan-salinan laporan polis yang boleh dianggap menjatuhkan reputasi dan terdedah kepada saman fitnah.

Ariz Ramli yang lebih dikenali sebagai Caprice pula muncul di YouTube memaparkan pelbagai isu-isu mereka yang disifatkan melanggar undang-undang melalui CapriceOriginalFilms atau lebih dikenali sebagai Caprice Podcast. Secara individu, beliau bukan memaparkan video reaction, tetapi langsung membuat podcast dengan memanggil mereka yang terlibat.

Dan yang terkini di Facebook ialah Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) yang kini mula dikenali melalui pendedahan-pendedahan penyelewengan dalam organisasi Global Ikhwan Holdings Sendirian berhad (GISB). Yang menariknya, NGO Siber ini menjadi rujukan dan pernah disebut dalam sidang akhbar Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Ini adalah satu perkembangan yang positif. Keanggotaan PUKAS, meskipun belum dikenali ramai, mereka telah mengajukan laporan kajian mereka secara rasmi kepada pihak berwajib. Barangkali, mereka terdiri daripada anggota kakitangan kerajaan yang mempunyai pelbagai latar belakang yang bergerak atas nama PUKAS bagi mempercepat tindakan pembanterasan.

Meskipun sesetengah dari NGO-NGO Siber ini mahu kekal merahsiakan identiti, mereka perlu sentiasa bertanggungjawab dalam setiap pendedahan yang dilakukan. Mereka mula menjadi tempat rujukan bukan sahaja dari kalangan masyarakat, malah dari pihak berwajib.

Kehadiran mereka kini amat membantu. Malah, mereka telah mengambil-alih tugas syarikat-syarikat media arus perdana yang biasa membuat investigative reporting sebelum membuat pendedahan. Mungkin kerana kos yang tinggi, kesuntukan masa dan juga kekangan etika kewartawanan, syarikat-syarikat media tidak dapat membuat pemberitaan yang pantas dan berani ala-kamikaze seperti NGO-NGO Siber.

Media-media berita mempunyai wartawan sambilan atau stringers, tetapi tidak setanding dengan NGO-NGO Siber yang mempunyai rangkaian netizen sebagai pemberi maklumat. Walau apa pun, kita sebagai rakyat kini mempunyai lebih banyak pembela dari pihak berwajib, NGO-NGO konvensional dan kini NGO-NGO Siber.