MAAFCAKAP 2.10.2024

Di zaman dahulu, seseorang yang ingin menuntut ilmu akan mengembara jauh berpurnama lamanya sebelum menemui seorang guru. Biasanya, Pak Guru akan menguji ketahanan mental dan fizikal si anak murid dengan membuat kerja-kerja seperti mengangkat air perigi, membelah kayu api atau disepak terajang Pak Guru sebelum diterima menjadi seorang murid.

Di zaman dahulu, tiada internet atau media massa, tempat seseorang bakal murid mendapat maklumat di manakah terdapat guru yang boleh mengajarnya. Seseorang mengetahui kehadiran seseorang guru itu melalui cerita dari mulut ke mulut sebelum berangkat pergi.

Di zaman sekarang, keadaannya sudah jadi sebaliknya. Bukan murid yang mencari guru, tetapi guru yang mencari murid. Ramai tenaga pengajar yang membuat promosi untuk mempelawa sesiapa sahaja yang berminat belajar mengenai sesebuah ilmu. Ia dihebahkan melalui media sosial.  

Guru-guru atau pensyarah juga ditempatkan di dalam sesebuah institusi seperti kolej, politeknik, maktab dan universiti. Ilmu-ilmu yang disampaikan pula mendapat piawaian dan pengiktirafan negara dan antarabangsa. Malaysian Qualification Agency (MQA) adalah badan yang mengiktiraf standard ilmu di institusi-institusi tempatan.

Badan-badan bertaraf antarabangsa dalam pelbagai bidang profesional juga memberi pengiktirafan seperti Association of Chartered Certified Accountants dalam bidang perakaunan dan Royal Institute of British Architects untuk arkitektur. Terdapat juga kelulusan sesuatu bidang itu diiktiraf oleh kebanyakan negara di dunia, misalnya, lulusan dalam bidang-bidang Pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar.

Proses yang harus dilalui untuk menimba ilmu yang diiktiraf itu bukannya mudah. Seseorang itu perlu mengikuti pembelajaran selama bertahun-tahun dari peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan akhirnya di tahap Doktor Falsafah.

Dalam pada itu, begitu banyak sekali kursus jangka pendek ditawarkan di institusi-institusi pengajian awam, swasta, malah oleh individu-individu yang layak dan juga yang tidak layak! Individu-individu dengan gelaran Master, Sifu, Coach, Habib dan Ustaz boleh dikatakan sudah bersepah.

Jika mereka itu insan-insan yang layak, alhamdulilah. Sebaliknya jika mereka manusia yang angkat bakul sendiri dengan pelbagai gelaran, di sinilah masalahnya. Tempoh pengajian ilmu-ilmu yang disampaikan selalunya bukan berbulan-bulan. Paling panjang, mungkin dalam siri beberapa minggu. Tapi selalunya pengajian di hujung minggu sudah mencukupi. Ada yang mendidik secara betul, banyak juga yang palsu atau scammer.

Lazimnya, mereka yang mengikuti apa jua pengajian adalah mereka yang dahagakan ilmu. Disebabkan kekangan hidup sebelum ini, mereka tidak berpeluang mengikuti pendidikan mengikut jalur pendidikan formal. Bila ada sedikit wang, mereka hendak sambung belajar dengan cara mengikuti kelas-kelas jangka pendek. Namun, akibat terlalu dahagakan ilmu untuk memperbaiki hidup, ramai yang tertipu dengan ajaran yang sesat.

Ajaran sesat itu bukan semata-mata dalam ilmu berkaitan dengan agama. Malah, terdapat banyak sekali ajaran-ajaran sesat dalam ilmu pelaburan, pemasaran, perniagaan, perubatan, masakan, dandan diri dan apa sahaja. Selalunya, si penyampai akan mengajar jalan pintas dalam sesebuah bidang dengan janji-janji manis yang selalunya berupa material.

Pelaburan yuran pembelajaran yang sedikit untuk mendapat ilmu yang secebis akhirnya meningkat berkali ganda dari ratusan hingga ke ribuan ringgit. Inilah harga mahal yang terpaksa dibayar kerana menuntut ilmu-ilmu yang sesat. Ada juga kelas di mana seseorang peserta akan mendapat diskaun mahupun percuma sekiranya berjaya merekrut kenalan untuk menyertainya.

Bila dia menyedari telah tertipu, dia sudah terlanjur di dalam perniagaan yang sebenarnya sebuah skim penipuan. Di mana hendak diletak muka bila mana mereka yang menyertai pelajaran bisnes yang sebenarnya sebuah skim pelaburan ponzi melibatkan teman-teman dan saudara mara?

Melihat kepada berlakunya pelbagai penipuan yang bertopengkan kelas kuliah, barangkali semua perniagaan, khususnya yang dijalankan secara online perlu wajib mensyaratkan cooling period dalam klausa kontrak.Dalam tempoh 48 jam sekurang-kurangnya, komitmen mereka yang telah membayar yuran penyertaan boleh membatalkan kontrak seandainya si peserta menarik kembali komitmennya.

Bidang ilmu adalah bidang yang dianggap suci kerana ia meningkatkan kepandaian seseorang. Ia tidak sekali-kali boleh berakhir dengan penyesalan akibat kecuaian dalam membuat keputusan.