Dia Bukan Ilusi – Teka-teki Tiga Dimensi
Novelis Aisya Sofea kembali dengan DIA BUKAN ILUSI untuk tahun 2022. Namun naskhahnya kali ini lain daripada novel-novelnya sebelum ini. Apa yang lainnya? Ikuti temubual Layarminda dengan Aisya Sofea…
Tahniah dengan terbitnya DIA BUKAN ILUSI (DBI). Sebelum bertanya panjang, apakah novel ini ada di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur nanti?
Insya-ALLAH novel ini ada di Pestabuku Kuala Lumpur. Saya pamer di reruai Love Novel Publishing.
Aisya menulis sejak 1997 dengan novel pertama, JAUH. DBI ini novel ke berapa?
Saya sudah menulis 17 naskhah novel. Tiga swaterbit termasuk DBI. Ini novel ke-20.
Boleh cerita sikit tentang DBI?
Cerita ini ada belok sikit dari biasa. Selalunya cerita saya straight forward di alam nyata. Tapi DBI ada permainan mimpi, ada kisah ilusi dan ada garapan realiti.
Oleh kerana garapannya berbeza dengan novel-novel lain, apa perasaan Aisya bila menyiapkan novel ini?
DBI mencabar kredibiliti saya sebagai penulis sebab ia melibatkan tiga dimensi iaitu mimpi, ilusi dan realiti. Apabila berbicara tentang mimpi, apakah mempercayai mimpi itu boleh atau salah? Tapi bila mimpi yang biasanya menjadi mainan tidur itu jadi realiti, itulah isu yang cuba saya mainkan untuk para pembaca fikirkan.
Sukar juga bermain dengan tiga dimensi. Saya percaya ia memenatkan…
Memang meletihkan. Sementelah ada babak mimpi yang biasanya bebas daripada hukum akal, saya takut terlanjur dan terbebas melanggar batasan moral. Mujurlah ada Encik Suami, Wan yang tolong tengok-tengokkan.
Barangkali, garapan yang berbeza ini menarik crowd yang baharu atau bagaimana?
Saya boleh setuju sebab saya dapat maklum balas daripada pembaca lelaki yang sukakan karya saya yang ini. Mereka mula bersuara! Selama ini, pembaca lelaki memang ada membeli karya-karya saya, tetapi mereka tak pernah komen seperti DBI! Ada yang kata, ‘This is something different! I suka!’
Kalau begitu, Aisya kenalah tulis dua buah novel setahun. Yang pertama guna formula yang asal. Yang kedua, gunakan formula yang berencah. Satu yang ORI, satu lagi yang SPICY!
No cannot! Ha, ha, ha… Mana ada masa…
Selain dari terpamer di Pestabuku, apakah DBI terjual di Shopee atau IG, misalnya?
Memang… Saya buat di FB dan IG. Untuk Shopee pula sellers saya yang buat. Saya beri mereka laluan untuk menjual. Lagi pun, saya pun ada banyak benda nak buat seperti membuat DBI dalam format e-buku untuk e-central.
Apakah Aisya akan tampil di Pestabuku?
Tengok dulu. Mungkin saya akan datang sekali dua. Tapi kalau ada peminat yang cari saya bila di sana, tentu sekali saya akan sain buku.
Bagaimana dengan harganya? Tentu ramai yang hendak tahu.
Harganya RM35. Lebih tebal daripada novel-novel saya sebelum ini yang biasanya sekitar 500 halaman. Tapi novel ini melebihi 620 halaman.
Aisya menawarkan novel ini secara online. Bagaimana sambutan para peminat setakat ini?
Kali ini tak sekencang novel-novel sebelum ini. Barangkali pembaca tegar saya meminati kisah yang lebih romantik, yang lovey-dovey. Itu yang saya nampak. Tapi kalau novel ini yang lain sikit dan timbulkan isu, sambutannya slow sedikit. Maklumlah ramai yang mulai mengenali dan menyukai karya saya seperti Jauh, Sehangat Asmara, Kau Untukku dan Terima Kasih Cinta.
Bila akan siap buku seterusnya?
Tahun 2023, insya-ALLAH.
Janganlah tinggalkan formula SPICY seperti DBI.
Saya akan hati-hati. Takut juga kalau-kalau peminat setia saya merajuk tak mahu baca lagi karya saya…
~ LayarMinda
Warga Malaysia Rindukan Pestabuku
Suasana di Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur nampaknya sesak dengan para pengunjung. Suasana dah jadi seperti pra-PKP. Semakin ramai pemain-pemain baharu yang turut menyertai pestabuku kali ini.
Kumpulan Karangkraf, perintis kepada industri penerbitan di Malaysia tidak ketinggalan menyertai pestabuku. Apa pandangan mereka mengenai pestabuku kali ini? Ikuti temubual ringkas LM dengan CEO Grup Buku Karangkraf, Puan Firdaus Hussamuddin.
Soalan ini klise, tapi nak tahu juga. Kenapa pada PBAKL kali ini, Grup Buku Karangkraf ambil 15 reruai dan bukan sewa seluruh Dewan Tun Ismail seperti dulu?
Kami pragmatik. Keadaan belum mengizinkan untuk kami ambil satu dewan seperti dulu. Saya yang hendak 15 reruai, walaupun pihak pengurusan hanya mahukan 10 reruai sahaja pada kali ini.

Bagaimana sambutan pengunjung di pesta kali ini?
Para pengunjung tu nampaknya ada. Ramai yang tak berpeluang ke pestabuku kerana PKP sejak dua tahun, datang balik.
Sewaktu PKP dulu, ramai pembaca dikatakan menyukai e-buku. Apakah ini memberi kesan kepada buku-buku fizikal?
Tidak. Sebenarnya pembeli e-buku tak sampai 10 % daripada pasaran buku secara keseluruhan. Pembaca masih sukakan buku fizikal berbanding e-buku.
Apa buku yang mereka cari?
Saya tak sangka ramai yang menuju ke bahagian novel. Ramai yang tak dapat beli novel sebab PKP. Kini mereka hendak dapatkan novel-novel yang mereka tak sempat baca sebelum ini.
Buku-buku jenis apa yang menjadi pilihan para pengunjung ke reruai Karangkraf ni?
Al-Quran. Pasarannya sentiasa ada samada seperti pada masa PKP dulu. Selepas PKP pun, mereka cari al-Quran.
Pestabuku merupakan barometer kepada pelan penerbitan bagi banyak syarikat. Apa pandangan Puan?
Betul. Jumlah pengunjung, profil mereka dan buku apa yang menjadi pilihan akan membantu kami membuat perancangan genre penerbitan yang akan menjadi fokus kami pada tahun depan.
Kisah Sebuah Lampu Suluh
MAAFCAKAP 1.6.2022
Saya bertemu Khair seorang bekas rakan sepejabat. Sementelah suasana hari raya, saya mudah terima pelawaan dia ke rumah berkembar dua tingkat. Bila air wajahnya berubah setelah beberapa lama berbual, saya tahu ada niatnya inginkan pandangan.
Katanya, sebelum PKP, Khair buka syarikat persendirian bila mendapat pelbagai projek besar dari syarikat pengiklanan dan produksi media. Isterinya disuruhnya berhenti kerja untuk menjaga dua orang anak mereka. Namun, PKP menutup rezekinya.
Banyak hutang dari keluarga dan bank yang perlu dia langsaikan. Lagi banyak upah perkhidmatan rekabentuknya tidak dibayar oleh syarikat yang memberinya projek dahulu. Kerana semua pemiutang itu adalah dari kawan-kawan, dia tak sampai hati hendak mendesak.
Kini, Khair dapat satu projek baharu bernilai ratusan ribu. Dia perlu kumpul pasukan untuk menyudahkan kerjanya dengan cepat. Tapi dia bimbang kalau-kalau projek baharunya boleh menyebabkan dia lebih banyak berhutang kerana menanggung upah pasukan rekabentuknya.
Kerana itu dia bertanya saya apakah wajar dia mengambil projek itu atau sebaliknya kerana dia ingin berdiri, melangkah dan berlari kembali. Saya pula tertanya diri, bagaimana hendak beri pandangan? Andainya saya tiupkan semangat berapi-api dan dia berlari menuju ke langit, siapa tahu dia tersadung dan tersungkur tak bangun-bangun lagi?
Sedang saya termangu-mangu, anak sulungnya Alif muncul dari dapur dengan sebuah lampu suluh di tangannya. Dia tampak hairan bila menekan butang dan lampunya bernyala. Dan Alif gembira bila menyuluh di bawah tangga bila alat itu dapat menerangi di tempat yang gelap.
‘Kau nampak tak lampu suluh, tu?’ Saya memulakan bicara. Khair mengangguk. ‘Gunakan falsafah lampu suluh untuk melangkah,’ kata saya lagi. Matanya tidak berkelip kerana dapat mengagak yang saya ingin menasihatinya dengan menggunakan lampu suluh sebagai analogi.
Masyarakat sekarang jarang menggunakan lampu suluh kecuali bila black-out. Itupun kita gunakan seketika kerana mencari lilin. Bila lilin terpasang, lampu suluh dipadam dan tidak digunakan. Di lain waktu, kita lebih mudah gunakan telefon dari lampu suluh, walaupun cahayanya tidak dapat menyuluh terang melebihi semeter.
Sedangkan sewaktu kecil, kita sentiasa perlu gunakan lampu suluh. Mungkin bila hendak ambil air perigi pada waktu malam, menyuluh reban bila ayam berketuk kerana mungkin adanya musang. Ataupun kita guna lampu suluh untuk mencari durian yang terdengar gugur di belakang rumah. Yang penting, kita gunakan lampu suluh bila berjalan malam ke rumah ustaz untuk mengaji.
Kita berhibur dengan adik-adik juga menggunakan lampu suluh. Sambil menyorot lampu ke dinding, kita buat bermacam-macam bentuk burung, kelawar dan ular bayang-bayang untuk buat adik mengekek ketawa. Ataupun kita takutkan dia dengan menyuluh lampu di bawah dagu untuk main hantu-hantu.
Tetapi, satu ciri penting lampu suluh ialah, ia berkesan menyuluh bila keadaan sekelilingnya gelap. Di malam hari, kita gunakan cahayanya yang cukup kuat untuk menyuluh jalan di hadapan. Cukup-cukup sejauh mata memandang.
Jangan menyuluh ke atas memerhati pokok kekabu, nanti ada ternampak benda lain. Bila menggunakan lampu suluh, mata jangan pandang ke tempat gelap pula. Nanti anak pokok pisang disangka hantu!
Begitulah… bila ingin melangkah ke jalan yang dibimbangi, pandangan tak perlu melangkau hingga ke gunung. Biar cukup-cukup jalan di hadapan yang kelihatan terang dan selamat. Jangan pedulikan kawasan sekitar meskipun ada pelbagai bunyi yang mengganggu dalam kegelapan.
Melangkahlah, tak perlu berlari. Jika ada rezeki, ALLAH yang akan dekatkan. Dia yang tentukan pemberian, bukannya kita mengejar sambal berlari, takut nanti dibimbangi terampas pula hak orang.
Khair mengangguk faham mendengar kata-kata itu.
Raushan Press Tumpu Buku Motivasi Islamik
Di celah-celah nama besar penerbitan yang akan menyertai Pestabuku Antarabangsa Kuala Lumpur seperti Grup Buku Karangkraf, Patriots Publishing, PTS Publishing dan Iman Publications, terdapat juga penerbit-penerbit kecil yang turut serta.
Salah sebuah daripadanya ialah Raushan Press, sebuah penerbitan baharu yang menghasilkan buku-buku motivasi Islamik. Buku-buku motivasi Islamik konsisten mendapat sambutan dari khalayak pembaca.

Penerbitnya, Nasrullah Amran, berkata buku-buku motivasi Islamik sentiasa mendapat sambutan terutamanya dari kalangan peminat penulis itu sendiri. Syarikat yang mempunyai lebih dari 10 orang penulis afiliate itu kini yakin sambutan para pengunjung di Pestabuku Antarabangsa kali ini.
“Di antara penulis yang bersama Raushan Press ialah Sheikh Mahmoud Al-Wosabi dan Ustaz Dai’e Azam Alkankari yang mempunyai ramai para pengikut,” ujar Nasrullah. “Insya-ALLAH mereka akan hadir di reruai kami untuk beramah mesra dengan para peminat.”
Apabila ditanya mengenai jangkaan sambutan ke Pestabuku Antarabangsa kali ini, Nasrullah optimis berdasarkan pemerhatiannya. “Dua tahun PKP dan tiada pestabuku secara fizikal akan membuat para peminat buku untuk datang. Malah, mungkin jumlah mereka lebih ramai dari tahun-tahun lalu.”
Dalam pada memahami tren minat para pembaca buku fizikal yang kini beralih ke e-buku, Nasrullah yakin ia tidak akan menjejaskan sambutan ke pestabuku kali ini. “Saya rasa pembaca yang memilih e-buku masih lagi membeli buku-buku fizikal. Mereka pembaca hybrid. Jadi pasaran buku-buku fizikal tetap ada.”

Nasrullah Amran yang juga seorang penulis buku motivasi Islamik telah menghasilkan 8 buah buku yang di antaranya ‘Super Imej,’ ‘Life is Beautiful’ dan ‘Tak Perlu Sempurna,’ bercadang mempamerkan 5 daripadanya.
Anda yang berkunjung ke Pestabuku Kuala Lumpur, jangan lupa untuk singgah ke reruai Raushan Press di Aras 4, Dewan Tun Razak bagi mendapatkan buku-buku terbitan mereka. ~ LayarMinda
Sesudah Senang Tidak Pandai Bersusah
MAAFCAKAP 25.5.2022
Sewaktu kecil, saya suka mendengar cerita kesusahan keluarga di zaman pemerintahan Jepun. Kata emak, bila Jepun datang, dia dan saudara-mara lari ke hutan. Di persembunyian itu, mereka bina rumah berdinding buluh dan beratapkan daun nipah. Ubi kayu ditanam untuk makanan ruji. Beras tidak ada.
Ikan pula ditangkap dari sungai menggunakan pongkis, sebuah alat sebesar dulang yang diperbuat daripada rotan. Mereka makan beralaskan daun pisang atau upih sebagai pinggan. Saya kagum dengan cara orang dahulu berjuang untuk hidup.
Naluri survival emak terbawa-bawa hingga selepas perang dan sesudah merdeka. Ketika saya kecil, emak masih berjimat cermat dalam segala hal. Untuk lauk sahaja, ikan gulai asam pedas yang tidak habis akan diperhangat hingga kuahnya kering menjadi sambal.
Roti yang tidak habis dijemur hingga menjadi biskut. Kerak nasi juga dijemur dan disira untuk jadi snek. Bubur kacang yang tidak habis pula dikering dan digumpal sebagai inti kuih kasturi. Inilah makanan kitar semula!
Kisah emak, membentuk mentaliti berjimat dalam diri saya. Kini, bila makan, seboleh-bolehnya saya mesti habiskan. Maka saya dan isterilah yang jadi ‘bandaraya’ menghabiskan makanan yang terhidang di meja. Kerapkali saya akan tergeleng dan mengeluh bila terpandang berpaket-paket jajan di meja dapur atau peti ais yang penuh berisi makanan.
Mengapa saya mengeluh? Kerana generasi selepas saya iaitu anak-anak tidak pernah mendengar cerita kesusahan hidup saya mahupun nenek mereka. Saya dan ramai di kalangan kita hidup sederhana dan juga mewah. Anak-anak tiada mentaliti bersusah..
Kalau dua-tiga kali sebulan saya bawa keluarga ke restoran untuk makan-makan, anak-anak saya boleh makan di restoran setiap hari. Lebih-lebih lagi, makanan restoran boleh sampai di rumah melalui Food Panda. Akhirnya, saya dan isteri makan malam lauk ikan singgang, anak-anak makan ayam goreng Korea dengan teh bobba, meskipun duduk semeja!
Saya percaya inilah keadaan kita pada hari ini. Gaya hidup sudah jadi budaya baharu kita semua. Meskipun Covid-19 mengajar kita untuk berasa susah, fasa endemik membuat kita lupakan siksa sementara itu. Tidak kira golongan tua mahupun muda, kita berasa bebas seperti dahulu meneguk segala nikmat dunia yang tidak dapat kita rasai sejak dua tahun lalu.
Tetapi, apakah kita nampak awan hitam di ufuk utara? Awan mendung itu bakal mendatangkan kesusahan pada kita. Perang Russia-Ukraine bukan sahaja peperangan senjata, malah ekonomi. Russia menyekat Laut Merah dan Ukraine tidak dapat mengeksport barangannya termasuk gandum.
India yang mengeluarkan gandum cepat-cepat menghentikan eksportnya untuk keselamatan makanan mereka. Kita kini mula terkesan. Gandum di kedai-kedai runcit mula dicatu. Tak lama lagi harga roti canai biasanya dilambung akan melambung juga harganya!
Jagung import untuk makanan ayam juga naik harga. Para penternak tidak boleh menaikkan harga ayam kerana mematuhi harga siling. Lalu mereka meminta subsidi kerajaan. Bila kerajaan dilihat lewat membantu, mereka menghentikan bekalan ayam kepada kita semua.
Nilai matawang kita yang semakin susut menaikkan harga barangan import. Peperangan Russia-Ukraine belum nampak penghujungnya. Ia sedang menjadikan aliran perniagaan, pengeluaran dan pertanian dunia tidak menentu. Dan cuaca dunia tidak menyebelahi kita. Kemarau panjang dan ribut taufan mula berlaku. Kita pula berdepan dengan banjir di luar musim tengkujuh.
Tapi, apakah kita nampak mendung yang berarak itu menuju kita ini? Kita nampak, malah kita tahu. Namun oleh kerana kita lupa cara hidup bersusah dan anak-anak pula tidak dilatih berpayah, kita tidak sedar kebarangkalian malapetaka yang bakal kita alami. Sebab, kita rasa semua itu berlaku jauh di tempat orang dan bukan di tempat kita. Kita terlupa yang Covid-19 dahulu pun bermula jauh di negara China, tetapi kemudian datang melumpuhkan kehidupan kita dalam masa tiga bulan. Apa pelan kita?





