MAAFCAKAP 1.6.2022
Saya bertemu Khair seorang bekas rakan sepejabat. Sementelah suasana hari raya, saya mudah terima pelawaan dia ke rumah berkembar dua tingkat. Bila air wajahnya berubah setelah beberapa lama berbual, saya tahu ada niatnya inginkan pandangan.
Katanya, sebelum PKP, Khair buka syarikat persendirian bila mendapat pelbagai projek besar dari syarikat pengiklanan dan produksi media. Isterinya disuruhnya berhenti kerja untuk menjaga dua orang anak mereka. Namun, PKP menutup rezekinya.
Banyak hutang dari keluarga dan bank yang perlu dia langsaikan. Lagi banyak upah perkhidmatan rekabentuknya tidak dibayar oleh syarikat yang memberinya projek dahulu. Kerana semua pemiutang itu adalah dari kawan-kawan, dia tak sampai hati hendak mendesak.
Kini, Khair dapat satu projek baharu bernilai ratusan ribu. Dia perlu kumpul pasukan untuk menyudahkan kerjanya dengan cepat. Tapi dia bimbang kalau-kalau projek baharunya boleh menyebabkan dia lebih banyak berhutang kerana menanggung upah pasukan rekabentuknya.
Kerana itu dia bertanya saya apakah wajar dia mengambil projek itu atau sebaliknya kerana dia ingin berdiri, melangkah dan berlari kembali. Saya pula tertanya diri, bagaimana hendak beri pandangan? Andainya saya tiupkan semangat berapi-api dan dia berlari menuju ke langit, siapa tahu dia tersadung dan tersungkur tak bangun-bangun lagi?
Sedang saya termangu-mangu, anak sulungnya Alif muncul dari dapur dengan sebuah lampu suluh di tangannya. Dia tampak hairan bila menekan butang dan lampunya bernyala. Dan Alif gembira bila menyuluh di bawah tangga bila alat itu dapat menerangi di tempat yang gelap.
‘Kau nampak tak lampu suluh, tu?’ Saya memulakan bicara. Khair mengangguk. ‘Gunakan falsafah lampu suluh untuk melangkah,’ kata saya lagi. Matanya tidak berkelip kerana dapat mengagak yang saya ingin menasihatinya dengan menggunakan lampu suluh sebagai analogi.
Masyarakat sekarang jarang menggunakan lampu suluh kecuali bila black-out. Itupun kita gunakan seketika kerana mencari lilin. Bila lilin terpasang, lampu suluh dipadam dan tidak digunakan. Di lain waktu, kita lebih mudah gunakan telefon dari lampu suluh, walaupun cahayanya tidak dapat menyuluh terang melebihi semeter.
Sedangkan sewaktu kecil, kita sentiasa perlu gunakan lampu suluh. Mungkin bila hendak ambil air perigi pada waktu malam, menyuluh reban bila ayam berketuk kerana mungkin adanya musang. Ataupun kita guna lampu suluh untuk mencari durian yang terdengar gugur di belakang rumah. Yang penting, kita gunakan lampu suluh bila berjalan malam ke rumah ustaz untuk mengaji.
Kita berhibur dengan adik-adik juga menggunakan lampu suluh. Sambil menyorot lampu ke dinding, kita buat bermacam-macam bentuk burung, kelawar dan ular bayang-bayang untuk buat adik mengekek ketawa. Ataupun kita takutkan dia dengan menyuluh lampu di bawah dagu untuk main hantu-hantu.
Tetapi, satu ciri penting lampu suluh ialah, ia berkesan menyuluh bila keadaan sekelilingnya gelap. Di malam hari, kita gunakan cahayanya yang cukup kuat untuk menyuluh jalan di hadapan. Cukup-cukup sejauh mata memandang.
Jangan menyuluh ke atas memerhati pokok kekabu, nanti ada ternampak benda lain. Bila menggunakan lampu suluh, mata jangan pandang ke tempat gelap pula. Nanti anak pokok pisang disangka hantu!
Begitulah… bila ingin melangkah ke jalan yang dibimbangi, pandangan tak perlu melangkau hingga ke gunung. Biar cukup-cukup jalan di hadapan yang kelihatan terang dan selamat. Jangan pedulikan kawasan sekitar meskipun ada pelbagai bunyi yang mengganggu dalam kegelapan.
Melangkahlah, tak perlu berlari. Jika ada rezeki, ALLAH yang akan dekatkan. Dia yang tentukan pemberian, bukannya kita mengejar sambal berlari, takut nanti dibimbangi terampas pula hak orang.
Khair mengangguk faham mendengar kata-kata itu.