BLOG

Apa Nak Buat Selepas Mengundi?

Apa Nak Buat Selepas Mengundi?

MAAFCAKAP 16.11.2022

Sabtu ini 21 juta rakyat yang mendaftar sebagai pemilih akan mengundi dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15). Ini adalah proses memilih kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia. 

Walau apa jua keputusannya, rakyat Malaysia telah mula matang dalam memilih kerajaan. Ini adalah kerana, sejak PRU-ke-13 pada 2008, kerusi yang dimenangi Barisan Nasional mula merosot bila para pemilih berani beralih selera.

Jika pada PRU-12, Barisan Nasional memperoleh 140 kerusi dan Pakatan Rakyat pula memperoleh 82 kerusi, pada PRU-13 jumlah kerusi Barisan Nasional merosot menjadi 133 kerusi dan pembangkang pula memperoleh 89 kerusi..

Pada pilihanraya lalu, kerusi Barisan Nasional merosot lagi ke 79 kerusi dan Pakatan Harapan pula dengan 104 kerusi. Jika sudah tiga kali berturut-turut para pengundi mula beralih dari mengundi Barisan Nasional, ia adalah cabaran besar buat parti komponen itu pada PRU ini.

Lebih sejuta pengundi kali pertama bakal memberi kesan ke kawasan-kawasan marginal. Mereka mungkin belum pernah mengundi. Namun maaf cakap, mereka semua sudah mumayiz, sudah akil baligh, sudah boleh berfikir dan membuat keputusan.

Keputusan mereka pula adalah berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar; audio dan visual. Itulah pendedahan yang menyentuh kepekaan mereka dan kita perlu hormati pilihan mereka. Tidak boleh nanti kita mengaitkan mereka sebagai faktor perosak kepada kedudukan kerusi mana-mana pihak. 

Walau apa pun, para pemilih itu terdiri daripada beberapa kumpulan. Pertama, pengundi yang memilih berdasarkan parti. Mereka ini terdiri daripada jentera parti dan para pengundi veteran yang tidak akan menukar pilihan. Kedua, mereka yang mengundi calon yang mereka kenali. Barangkali calon yang dipilih adalah orang kampung, saudara mahupun individu yang kerap mereka nampak di media.

Ketiga, pemilih yang mengundi mereka yang pernah mereka temui secara ‘live,’ menghadiri ceramahnya, menemui calon itu di majlis-majlis keramaian, rasmi dan sempat bersalaman pula dengannya. Keempat, mereka yang memilih berdasarkan cadangan orang yang dekat dan dipercayai seperti anggota keluarga dan kawan.

Kelima, ada juga pengundi yang memilih seseorang calon kerana berasa terhutang budi sebab mendapat bantuan dari calon tatkala menjadi mangsa banjir, kebakaran, sokongan permohonan derma untuk surau mahupun jersi bolasepak.

Pertimbangan ras dan agama nampaknya kian menjadi faktor pertimbangan pengundi. Mereka dalam kumpulan keenam mengundi kerana berasa bangsa akan terbela bila memilih seseorang calon. Ataupun berasa masa depan agama akan lebih terjamin apabila memilih calon berkenaan. Kepakaran seseorang sebagai ahli ekonomi mahupun diplomatik tidak menjadi kriteria utama bagi majoriti pengundi.

Mereka dalam kumpulan ketujuh pula mengundi berdasarkan ikut-ikutan. Biasanya mereka mengundi pada saat-saat akhir ketika berbaris sebelum melangkah ke bilik mengundi. Dan kumpulan terakhir ialah mereka yang memilih untuk tidak memilih. Mungkin mereka akan rosakkan kertas undi ataupun sengaja tidak datang untuk mengundi atas sebab-sebab tersendiri.

Walau apa pun keputusannya, kita mestilah menghormatinya. Setiap kali kita melihat keputusan satu demi satu kerusi diumumkan di kaca TV, yang boleh kita lakukan ialah mencatat skor di akhbar atau komputer. Bolehlah kalau kita hendak membebel dan mengata; tetapi biarlah setakat itu sahaja.

Terimalah apa jua keputusan dengan berlapang dada. Kesemua calon yang terpilih pasti sudah memberi jasa kepada negara, apatah lagi kepada penduduk setempat walaupun ada di kalangan calon yang menang itu baru kali pertama menjadi Yang Berhormat.

Lagi pula, ALLAH swt telah tunjukkan kepada kita yang kesemua para memimpin parti-parti komponen Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Pejuang pernah memerintah negara. Mereka juga pernah ALLAH swt letakkan dalam kedudukan sebagai pembangkang.

Masing-masing tidak mungkin dengan sengaja mahu merosakkan negara, tanah tumpah darah mereka sendiri. Mereka orang yang punyai kemahiran bercakap dalam bentuk syarahan, ceramah dan kritikan di pentas politik. Itu profesion mereka.

Di belakang pentas, mereka kesemuanya biasa duduk semeja bertepuk tampar dan bergurau senda. Kita sebagai rakyat jangan over sangat seperti penonton gusti di kedai kopi!

PRU: Menang Pun Jadi Arang

PRU: Menang Pun Jadi Arang

MAAFCAKAP 9.11.2022

Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) adalah pilihanraya yang disertai oleh parti-parti politik dengan pelbagai gabungan. Barisan Nasional dianggotai oleh UMNO, MIC, MCA dan PBRS serta 8 parti-parti yang bergabung. Perikatan Nasional pula dianggotai oleh Bersatu, Pas, Gerakan dan dua parti dari Sabah iaitu SAPP dan STAR.

Pakatan Harapan terdiri dari PKR, Dap, Amanah, Muda dan UPKO dari Sabah. Rakan strategik PH pula ialah Parti Sosialis Malaysia. Sementara itu grup terbaharu itu Gabungan Tanah Air pula dianggotai oleh Pejuang, Berjasa, Iman dan juga parti PUTRA.

Perikatan Nasional dan Gabungan Tanah Air adalah pemain baharu dalam PRU kali ini. Ia adalah komponen parti-parti serpihan yang dianggotai oleh pemain-pemain lama. Tetapi, terdapat personaliti-personaliti yang menganggotai parti itu adalah terdiri daripada mereka yang berpindah parti.

Empat buah parti gabungan dengan pemimpin-pemimpin yang berpindah bersilang-seli parti, cukup memeningkan. Dahulu, tokoh yang memusuhi parti lawan, kini menganggotai parti yang dimusuhi itu. Ini ditambah pula dengan calon-calon yang tidak segan membiarkan keahliannya gugur kerana bertanding di bawah parti lain.

Ramuan yang pelbagai ini cukup menarik andainya kita melihatnya dari sudut dinamika demokrasi. Setelah 14 PRU dan setelah 65 tahun merdeka, demokrasi kita membuktikan Malaysia Boleh! Malah, terlebih boleh. Cuma dari minda generasi pertama Malaysia; mereka yang lahir di antara 1957 hingga 1987 iaitu 30 tahun untuk satu generasi, ia cukup caca marba.

Generasi pertama, yang lazimnya mengundi berdasarkan parti dan bukannya calon mula bingung kerana parti-parti yang mereka sokong mempunyai masalah dalaman yang menjejaskan kepercayaan mereka. Parti-parti yang tidak mereka sokong pula ada dianggotai oleh pemimpin-pemimpin asal parti mereka.

Oleh kerana begitu ramai yang berpindah parti, pengundi juga turut terbuka fikiran mereka untuk melihat parti yang mereka musuhi dahulu sebagai sebuah parti yang ‘okey.’ Pemikiran mereka sudah larut.

Ini melonggarkan kesetiaan. Kalau para pemimpin parti mereka selama ini boleh bertikam lidah secara terbuka boleh beralih arah, maka mereka juga tidak akan berasa bersalah jika tidak menyokong parti mereka, malah mula berani untuk beralih selera.

Generasi kedua yang lahir di antara tahun 1987 hingga 2017 kenal dengan tiga Perdana Menteri. Mereka ingat pada Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan kenal Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun, ketiga-tiga mereka ini semakin tenggelam dari radar politik.

Tun Mahathir ‘versi 1.0,’ ‘versi 2.0’ bila menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan terkini, ‘versi 3.0’ kelihatan semakin lemau. Tun Abdullah Badawi pula sudah lama di pinggir pentas utama kepimpinan negara. Datuk Seri Najib yang memperoleh sokongan generasi kedua dengan frasa popular ‘Bosku’ sudah tiada di depan mata mereka. Imej-imej pemimpin besar kini tiada di kotak memori mereka.

Jadi, siapakah yang menjadi pilihan generasi kedua? Ada yang kata, PRU-13 adalah PRU Facebook, PRU-14 adalah PRU Whatsapp dan PRU-15 pula adalah PRU TikTok, maknanya TikTok mudah menawan hati generasi kedua, termasuk lebih 1.2 juta pengundi buat kali pertama.

Pada 18 November 2022 nanti, pilihanraya Umum ke-15 akan berlangsung. Alhamdulilah, kerana pada asasnya negara kita masih stabil kerana kesemua PRU telah berjalan menurut jadual. Sejak PRU ke-1 sehingga PRU ke-11, parti Perikatan yang kemudiannya menjadi Barisan Nasional telah menguasai Parlimen.

Namun, neraca timbangan dacing Barisan Nasional mula menyenget pada PRU-12 iaitu pada tahun 2008. Pada PRU itu, Barisan Nasional memperoleh 140 kerusi berbanding Pakatan Rakyat dengan 82 kerusi. Pada PRU-13 jumlah kerusi Barisan Nasional merosot lagi iaitu 133 kerusi berbanding 89 kerusi bagi pembangkang.

Pada pilihanraya lalu, Barisan Nasional hanya mendapat 79 kerusi berbanding Pakatan Harapan dengan 104 kerusi. Rakyat Malaysia semakin matang. Mereka ambil masa yang lama untuk mengubah selera.

Namun, jika tidak kerana Langkah Sheraton yang sentiasa membarakan api politik, pola pengundian akan terus condong pada Pakatan Harapan. Tetapi dengan adanya empat gabungan parti komponen, calon-calon yang berpindah parti, mana-mana parti boleh menguasai. Para penganalisis politik kian sukar membuat ramalan kumpulan mana yang bakal jadi juara.

Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Dan, situasi hung parliament selepas PRU kian jelas terbayang.

Peluang Rakyat Perangi Penagih Rasuah

Peluang Rakyat Perangi Penagih Rasuah

MAAFCAKAP 18.10.2022

Orang tua kata, ‘dunia dah terbalik.’ Ia menggambarkan satu keadaan di mana ‘dunia’ menerima sesuatu yang di luar norma masyarakat. Kita berada di dalam ‘dunia yang terbalik’ bila mana nilai-nilai yang baik itu dilihat sebagai sesuatu yang ketinggalan. Sebaliknya, nilai-nilai yang buruk itu pula diterima sebagai sesuatu yang baik.

Kini, sudah menjadi sesuatu yang normal bila kita melihat mereka yang terlibat dengan politik tidak berasa malu walaupun sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Berpegang kepada ‘you are innocent until proven guilty,’ atau kamu tidak bersalah melainkan setelah terbukti; mereka bergerak di khalayak ramai dan bercakap seolah-olah ‘dunia ini ana yang punya’ secara selamba walaupun dia adalah seorang yang sedang didakwa.

Mereka yang mendengar kata-katanya secara berdepan pula boleh terangguk-angguk, bertepuk sorak dan menyokong individu yang masih dalam perbicaraan itu. Maknanya, mereka yang dituduh bersalah dan mereka di sekeliling yang tertuduh melihat ia sebagai sesuatu yang normal. Apatah lagi, tuduhan itu disifatkan sebagai pendakwaan politik.

Rasuah adalah salah satu topik yang bakal  mendapat perhatian yang lebih serius pada pilihanraya kali ini. Calon-calon pilihanraya bukan sahaja akan diukur dari segi personaliti, pandai memarhaenkan diri, mampu mendapatkan jalanraya bertar atau lampu elektrik di jalan kampung dan membantu anak pengundi mendapat tempat belajar. Calon-calon pilihanraya kali ini akan diukur dari segi integriti.

Inilah yang menjadi cabaran kepada gerakan Rasuah Busters yang sudah bergerak lebih setahun setengah menentang gejala ini. Kelmarin, mereka melancarkan kempen Satu Jari, Bebas Rasuah. Walaupun mempunyai lebih 600 rakan strategik, jenama Rasuah Busters masih belum menjadi buah mulut. Bagaimana pun, berjaya atau tidaknya kempen ini terletak di tangan rakyat juga. Platform menentang rasuah melalui Rasuah Busters, sudah ada. Rakyat perlu lebih galak diajak sama-sama berjuang menentangnya.

Apakah calon-calon nanti ‘berani buka mulut’ untuk bercakap sebagai seorang calon yang menentang rasuah dengan nada suara yang lantang selantang-lantangnya? Buat permulaan, rakan-rakan strategik Rasuah Busters  harus menjadi pemangkin agar masyarakat setempat peka pada topik rasuah ini. Seperti harapan Puan Norhayati Nordin, Ketua Eksekutif Rasuah Busters ketika berucap di kempen pelancaran itu, topik rasuah dan kesedaran mengenainya harus mendasar, membuak  menjadi ground swelling.

PRU-15 yang bakal berlangsung sebenarnya adalah platform yang terbina dan tersedia untuk memberi satu lonjakan kepada kempen Rasuah Busters ini. Seolah-olah PRU-15 ini adalah hari peristiwa untuk kempen Rasuah Busters. Seluruh rakan strategik perlu turun ke semua 222 kawasan parlimen untuk menghidupkan mood anti-rasuah ini.

Ini bukan kempen sebarang kempen. Ia adalah window of opportunity 5 tahun sekali bila mana topik rasuah mudah mendapat perhatian dan tindak balas masyarakat. Jika Rasuah Busters dan kita tidak mengangkat topik dan manifestasi jijik pada rasuah dan para penagihnya, maka peluang menentangnya sukar mencapai gear lima.

Seperti ahli astronomi menanti kedudukan sesebuah planet paling hampir di bumi untuk memudahkan menghantar satelit, begitulah tamsilan mengenai kedudukan Rasuah Busters dan pilihanraya. Sekiranya ‘satelit’ anti-rasuah tidak diledakkan pada PRU ini, kita kena tunggu 5 tahun lagi.

Encik Anas Zubedy, seorang usahawan, dalam ucapan di majlis pelancaran itu, menyarankan agar para pengundi sendiri berani tampil untuk bertanya pendirian calon-calon pilihanraya mengenai rasuah. Beliau menyarankan para pengundi merakam dan sebarkan jawapan mereka di media sosial agar rakyat tahu sejauh mana komitmen masing-masing. Jawapan itu sendiri mampu menambah majoriti atau menghilangkan wang pertaruhannya.

Sebagai pengundi, mereka berhak mendengar dan menilai jawapan yang diberi oleh calon-calon pilihanraya. Seperti maksud Datuk Hussamuddin Yaacub selaku Ketua Pasukan Rasuah Busters, di dalam ucapannya, rakyat adalah ‘boskau’ ~ yang bos adalah engkau (kita), bukan engkau menjadi bosku. 

Ini adalah pilihanraya di mana rakyat bukan sahaja memilih pemimpin, tetapi menentukan masa depan negara melalui pilihan mereka. Mereka yang bakal turun mengundi pada kali ini seharusnya memilih wakil mereka berdasarkan kewibawaan dan integriti individu, bukan lagi berdasarkan parti. Kita semua sudah merasa pemerintahan dari tiga komponen parti selepas PRU-14.

Melalui pengalaman itu, kita dapati ahli-ahli politik adalah sama sahaja. Kalau mereka bagus, walaupun dari parti mana pun dia bagus dan kita boleh menerima cara kepimpinannya, Sebaliknya kalau mereka tidak bagus, meskipun dari parti yang kita sokong pun, mereka membawa perangai yang tidak bagus juga. Justeru, buat kali ini kita kena ubah kriteria mengundi. Pilih calon sebagai kriteria utama.

Bagi 6.9 juta para pengundi pertama yang berusia lebih 18 tahun, undi mereka adalah untuk masa depan mereka sendiri. Buat yang tua, undi kali ini adalah untuk kesejahteraan anak cucu masing-masing. Untuk memilih parti, biarlah pada PRU akan datang kerana kesemua parti sedang kalut.

Namun, sungguh cantik nasihat dua kanak-kanak, Kumika dan Kuhana yang berpantun di majlis pelancaran itu… “Timbang sukat buah bidara, dalam baldi penuh diisi, jangan diangkat perosak negara, kelak nanti kita yang rugi.’ ‘Laju lari si burung kedidi, sayap tempua berbulu pelepah, satu jari kuasa pengundi, semoga semua bijak memangkah.’

Siapakah Dia Peminat Buku?

Siapakah Dia Peminat Buku?

MAAFCAKAP 12.10.2022

Hujung minggu lalu telah berlangsung temasya Buku dan Kopi anjuran kedai buku saya, Iqraread di Malakat Mall. Kami sengaja menggandingkan kopi dan buku kerana minuman ini kian popular. Buku dan kopi boleh menjadi gandingan yang bagus untuk meramaikan para pengunjung ke temasya itu.

Sesi memperkenalkan sebuah buku resipi ‘Coffee Mate’ dihadiri oleh dua orang penulisnya iaitu Chef Sue M Arukin dan juga Chef Faizal Azzuri. Selepas memperkenalkan buku, mereka juga membuat demo menyediakan kopi.

Sambil memerhati Chef Faizal menjerang air, mengisar kopi, mencurah air panas ke serbuk kopi secara sedikit demi sedikit, menunggu air kopi menitis ke dalam jag sebelum dituang lagi air panas, saya berasakan ia berbeza sekali dengan cara saya, orang marhaen membuat kopi.

Saya akan jerang air dan tinggalkan cerek di dapur untuk terus buat kerja. Bila cerek bersiul, saya buka paket kopi 3 + 1, curah ke dalam kole, tuang air panas, kacau dengan sudu dengan lajunya lalu terus meniup air sebelum meneguk.

Tetapi cara Chef Faizal sungguh tenang, sabar dan teliti. 15 minit menanti, minuman kopinya masih belum siap. Tetapi bila dia mencurah air kopi ke dalam gelas kecil dan disuakan kepada saya untuk mencuba, saya turut hirup sedikit demi sedikit dengan penuh gaya.

Pada saat itu saya terfikir, bagaimana minum kopi kini menjadi satu hobi yang ada kelas. Malah, ada di kalangan teman dan saudara- mara saya yang sudah ada mesin membuat kopi di rumah. Cara mereka menyediakan kopi pun sama juga seperti Chef Faizal; tenang, sabar dan teliti.

Saya terfikir bagaimana minuman yang simple itu kini menjadi satu hobi yang kian popular. Para penggemarnya pun menikmatinya dengan penuh gaya. Meminum kopi kini menjadi minuman berprestij. Malah ia mula meninggalkan hobi minuman teh yang semakin kurang imej prestijnya.

Bagaimana sebuah hobi itu bisa mengangkat sesuatu yang biasa-biasa menjadi sesuatu yang luar kebiasaan? Bila ia menjadi hobi, seseorang sanggup berbelanja dan memperuntukkan masa untuk menikmatinya.

Jika kita lihat pada hobi-hobi lain seperti bermain golf, ia melibatkan penyediaan set stik golf dari besi atau kayu untuk pukulan jarak jauh, tee-shot dan drive. Hendak memasukkan bola golf ke dalam lubang perlukan putter pula. Jenis pakaian, kasut, cap dan tas perlu dipilih untuk disesuaikan dengan hobi ini.

Memancing sebagai satu hobi pun memerlukan peralatan yang khusus seperti  joran, kekili, jenis tali memancing, jenis ikatan pada kail, pemberat, pelampung atau jenis umpan untuk jenis tangkapan. Mereka yang meminati hobi ini perlu mahir dengan perbezaan cara memancing samada di sungai, kolam ataupun laut.

Jangan lupa juga, mereka yang mempunyai hobi memasak perlu mempunyai pelbagai jenis pisau, pengisar, pembancuh, pengasah, pembuang sisik, tapis, termasuk juga jenis-jenis periuk, kuali, mangkuk, pinggan dan piring, sudu serta garfu untuk seni hidangan pula.

Bila merenung tentang mereka yang mempunyai pelbagai hobi, timbul pula persoalan di dalam fikiran saya – bagaimana pula jika seseorang itu menjadikan membaca itu sebagai hobinya? Lazimnya kita akan dapati dia akan selalu membeli buku, membaca dan menyimpannya di dalam almari ataupun rak.

Mungkin mereka yang canggih sedikit mempunyai khutub khanah di rumah, menyimpan penanda buku, lampu suluh kecil yang diselit pada buku untuk membaca di dalam gelap, dan, dan apa lagi? Pada saya itu sahaja. Maknanya, seseorang yang menjadikan membaca sebagai sebuah hobi tidak punyai pelbagai peralatan atau gajet untuk menjadikan membaca sebagai satu hobi yang berprestij.

Bukankah membaca itu sebuah hobi yang berprestij? Dan apakah kerana ia tiada segala peralatan dan gajet, ia terhalang menjadi satu hobi yang popular? Apatah lagi bila ia tidak menjadi hobi yang popular, ia tidak mempunyai kabilah dan sub-culture sepertimana mereka yang meminati golf, memancing, memasak atau membuat kopi.

Golongan peminat buku adalah golongan yang introvert. Mereka adalah manusia yang unik. Apabila mereka menutup buku, mereka masuk ke dalam dunia nyata, tidak bercakap mengenai apa yang dia baca kecuali dengan mereka yang mempunyai hobi yang sama sepertinya.

Namun, oleh kerana membaca adalah hobi yang menyendiri, ia tidak menangkap ramai orang untuk menyukainya. Benar, buku sentiasa mempunyai khalayak. Malah, mereka yang mempunyai hobi yang lain turut membaca buku. Tetapi oleh kerana ia bersifat kontan iaitu segera dan sambil-sambilan, ia tidak menjadi kegilaan ramai.

Jika begitu, membaca buku masih belum menjadi satu budaya kerana ia belum lagi menampakkan personaliti khusus kabilahnya. Ia hanya tersembunyi dan hanya riuh rendah di sarang pemikiran pengamal hobinya.

Mencari Makna dalam Berdoa

Mencari Makna dalam Berdoa

MAAFCAKAP 28.9.2022

Salah sebuah grup Whatsapp saya berbincang mengenai NASA DART Mission. National Aeronautics and Space Administration(NASA) telah melancarkan misi Double Asteroid Redirection Test(DART). Ia adalah misi eksperimen sebuah kapal angkasa robotik untuk mengalih trajektori asteroid Dimorphos.

Asteroid itu tidak mengancam bumi. Tetapi eksperimen itu hanyalah latihan mengalih perjalanan sesebuah asteroid seandainya ada yang menuju ke bumi pada masa akan datang. Eksperimen itu dikatakan berjaya kerana kapal angkasa itu dapat menghentam Dimorphos dengan kelajuan 14,000 batu sejam pada jam 7.14 Eastern Time (ET) pada Isnin, 26 Oktober 2022.

Sambil memuji eksperimen yang berjaya itu, ada di kalangan kami yang bersembang itu bertanya pula, kalau ada dua, tiga, atau empat asteroid yang menuju bumi secara bersilih ganti, kita pasti kelam kabut dan huru-hara. Saya menyampuk, itu petanda kiamat sedang berlaku dan kita hanya mampu berdoa, sebab doa akan mengalih takdir.

Walaupun menurut sunatullah, asteroid akan melanggar bumi juga, doa kita insya-ALLAH dapat mengelak kita dari terbakar terkena serpihan asteroid itu. Atau asteroid itu gugur ke lautan. Maka kami pun menyimpang topik bicara tentang doa pula yang inti serta isinya saya himpunkan di sini.

Doa adalah permohonan kita kepada ALLAH swt untuk mendapat atau mengelak dari sesuatu. Lazimnya kita berdoa dengan mengangkat tangan selepas solat atau di dalam majlis. Jarang sekali kita berdoa di luar waktu itu meskipun kita boleh berdoa pada bila-bila masa atau di mana-mana jua menurut adabnya.

Samada kita sedar atau tidak, kita mempunyai skrip untuk berdoa. Selepas solat, Pak Imam akan memimpin doa yang lazimnya doa yang standard dalam bahasa Arab. Tidak salah, malah digalakkan kita berdoa menurut apa yang diajar Rasulullah saw.

Namun, kebanyakan Pak Imam yang membaca doa, boleh dikatakan tiada menyelitkan doa yang menjadi kehendak semua jemaah seperti mendoakan keselamatan kampung, jiran yang menghadapi musibah kerjaya, pelajaran, peperiksaan, temuduga, pindah rumah dan sebagainya. Pak Imam biasanya akan berdoa menurut hafalannya. Barangkali dia faham akan maksud doanya dalam bahasa Arab itu. Tetapi ramai di kalangan para jemaah tidak faham apa yang mereka aminkan itu. Maka, di manakah keberkesanan doa seandainya kita sendiri tidak faham akan maknanya?

Sebab itulah disarankan agar kita berdoa secara sendirian. Untuk tertib setempat, doa bersendirian ini boleh dipohon selepas doa yang diaminkan secara beramai-ramai. Dalam pada itu, adalah tidak praktikal sekiranya doa kita secara sendirian itu juga adalah doa hafalan seperti melafaz sebuah skrip.

Jika begitu, makna doa secara hafalan itu akan dilafaz dengan sebutan yang laju. Agaknya laju kerana bimbang terlupa ‘skrip doa’ hingga kita tidak dapat menghayati doa itu sendiri. Bila doa tidak dihayati, maka hajat itu tidak muncul dari sanubari. Bila ia tidak tercetus dari sanubari, maka ia hanya mainan lidah.

Doa bukannya mainan lidah. Ia adalah cetusan dari sanubari. Ia adalah permintaan penuh harap kerana mengakui diri ini makhluk yang kerdil, yang tiada kuasa apa-apa meskipun menghembus sehelai daun. Tetapi apabila doa itu disebut melalui hafalan, di manakah istimewanya doa itu melainkan sebutan yang lahir secara sambil lewa?

Bila demikian, mengapa pula ditanya-tanya, mengapa doa aku lambat makbul? Atau mengapa doa aku tidak makbul? Sedangkan ALLAH swt berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 186; “Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu mengenai AKU, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya AKU sentiasa hampir (kepada mereka); AKU perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU.” 

Tidak timbul sama sekali sesebuah doa itu tidak diperkenankan. Ia diperkenan ALLAH jua tetapi menurut kehendak-NYA samada bila atau di mana. Dimakbulkan di dunia atau di akhirat. Dan yang penting, kita sebagai hamba perlu sedar diri yang ALLAH bukannya ‘suruhan’ yang boleh kita minta-minta dan marah-marah apabila tidak diberi.

Yang penting, kita hendaklah sedari bahawa doa kita makbul kerana seiring dengan kehendak-NYA. Walaupun doa itu dapat mengalih takdir, ALLAH juga yang berhak secara mutlak untuk mengalih takdir menurut hajat kita.

Sebab itulah walaupun kita disarankan berusaha untuk mendapatkan sesuatu, kita juga perlu sedar bahawa apa yang diperolehi bukan kerana usaha kita, tetapi usaha kita hanyalah asbab kita mendapat apa yang diusahakan.

Para saintis bertepuk sorak kerana berjaya dalam eksperimen mengalih trajektori asteroid Dimorphos. Walaupun ia kejayaan manusia secara lahirnya, namun pada hakikatnya ia  harus diiringi dengan doa kesyukuran kerana DIA telah mengizinkan usaha itu.  

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]