MAAFCAKAP 18.10.2022
Orang tua kata, ‘dunia dah terbalik.’ Ia menggambarkan satu keadaan di mana ‘dunia’ menerima sesuatu yang di luar norma masyarakat. Kita berada di dalam ‘dunia yang terbalik’ bila mana nilai-nilai yang baik itu dilihat sebagai sesuatu yang ketinggalan. Sebaliknya, nilai-nilai yang buruk itu pula diterima sebagai sesuatu yang baik.
Kini, sudah menjadi sesuatu yang normal bila kita melihat mereka yang terlibat dengan politik tidak berasa malu walaupun sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas tuduhan rasuah. Berpegang kepada ‘you are innocent until proven guilty,’ atau kamu tidak bersalah melainkan setelah terbukti; mereka bergerak di khalayak ramai dan bercakap seolah-olah ‘dunia ini ana yang punya’ secara selamba walaupun dia adalah seorang yang sedang didakwa.
Mereka yang mendengar kata-katanya secara berdepan pula boleh terangguk-angguk, bertepuk sorak dan menyokong individu yang masih dalam perbicaraan itu. Maknanya, mereka yang dituduh bersalah dan mereka di sekeliling yang tertuduh melihat ia sebagai sesuatu yang normal. Apatah lagi, tuduhan itu disifatkan sebagai pendakwaan politik.
Rasuah adalah salah satu topik yang bakal mendapat perhatian yang lebih serius pada pilihanraya kali ini. Calon-calon pilihanraya bukan sahaja akan diukur dari segi personaliti, pandai memarhaenkan diri, mampu mendapatkan jalanraya bertar atau lampu elektrik di jalan kampung dan membantu anak pengundi mendapat tempat belajar. Calon-calon pilihanraya kali ini akan diukur dari segi integriti.
Inilah yang menjadi cabaran kepada gerakan Rasuah Busters yang sudah bergerak lebih setahun setengah menentang gejala ini. Kelmarin, mereka melancarkan kempen Satu Jari, Bebas Rasuah. Walaupun mempunyai lebih 600 rakan strategik, jenama Rasuah Busters masih belum menjadi buah mulut. Bagaimana pun, berjaya atau tidaknya kempen ini terletak di tangan rakyat juga. Platform menentang rasuah melalui Rasuah Busters, sudah ada. Rakyat perlu lebih galak diajak sama-sama berjuang menentangnya.
Apakah calon-calon nanti ‘berani buka mulut’ untuk bercakap sebagai seorang calon yang menentang rasuah dengan nada suara yang lantang selantang-lantangnya? Buat permulaan, rakan-rakan strategik Rasuah Busters harus menjadi pemangkin agar masyarakat setempat peka pada topik rasuah ini. Seperti harapan Puan Norhayati Nordin, Ketua Eksekutif Rasuah Busters ketika berucap di kempen pelancaran itu, topik rasuah dan kesedaran mengenainya harus mendasar, membuak menjadi ground swelling.
PRU-15 yang bakal berlangsung sebenarnya adalah platform yang terbina dan tersedia untuk memberi satu lonjakan kepada kempen Rasuah Busters ini. Seolah-olah PRU-15 ini adalah hari peristiwa untuk kempen Rasuah Busters. Seluruh rakan strategik perlu turun ke semua 222 kawasan parlimen untuk menghidupkan mood anti-rasuah ini.
Ini bukan kempen sebarang kempen. Ia adalah window of opportunity 5 tahun sekali bila mana topik rasuah mudah mendapat perhatian dan tindak balas masyarakat. Jika Rasuah Busters dan kita tidak mengangkat topik dan manifestasi jijik pada rasuah dan para penagihnya, maka peluang menentangnya sukar mencapai gear lima.
Seperti ahli astronomi menanti kedudukan sesebuah planet paling hampir di bumi untuk memudahkan menghantar satelit, begitulah tamsilan mengenai kedudukan Rasuah Busters dan pilihanraya. Sekiranya ‘satelit’ anti-rasuah tidak diledakkan pada PRU ini, kita kena tunggu 5 tahun lagi.
Encik Anas Zubedy, seorang usahawan, dalam ucapan di majlis pelancaran itu, menyarankan agar para pengundi sendiri berani tampil untuk bertanya pendirian calon-calon pilihanraya mengenai rasuah. Beliau menyarankan para pengundi merakam dan sebarkan jawapan mereka di media sosial agar rakyat tahu sejauh mana komitmen masing-masing. Jawapan itu sendiri mampu menambah majoriti atau menghilangkan wang pertaruhannya.
Sebagai pengundi, mereka berhak mendengar dan menilai jawapan yang diberi oleh calon-calon pilihanraya. Seperti maksud Datuk Hussamuddin Yaacub selaku Ketua Pasukan Rasuah Busters, di dalam ucapannya, rakyat adalah ‘boskau’ ~ yang bos adalah engkau (kita), bukan engkau menjadi bosku.
Ini adalah pilihanraya di mana rakyat bukan sahaja memilih pemimpin, tetapi menentukan masa depan negara melalui pilihan mereka. Mereka yang bakal turun mengundi pada kali ini seharusnya memilih wakil mereka berdasarkan kewibawaan dan integriti individu, bukan lagi berdasarkan parti. Kita semua sudah merasa pemerintahan dari tiga komponen parti selepas PRU-14.
Melalui pengalaman itu, kita dapati ahli-ahli politik adalah sama sahaja. Kalau mereka bagus, walaupun dari parti mana pun dia bagus dan kita boleh menerima cara kepimpinannya, Sebaliknya kalau mereka tidak bagus, meskipun dari parti yang kita sokong pun, mereka membawa perangai yang tidak bagus juga. Justeru, buat kali ini kita kena ubah kriteria mengundi. Pilih calon sebagai kriteria utama.
Bagi 6.9 juta para pengundi pertama yang berusia lebih 18 tahun, undi mereka adalah untuk masa depan mereka sendiri. Buat yang tua, undi kali ini adalah untuk kesejahteraan anak cucu masing-masing. Untuk memilih parti, biarlah pada PRU akan datang kerana kesemua parti sedang kalut.
Namun, sungguh cantik nasihat dua kanak-kanak, Kumika dan Kuhana yang berpantun di majlis pelancaran itu… “Timbang sukat buah bidara, dalam baldi penuh diisi, jangan diangkat perosak negara, kelak nanti kita yang rugi.’ ‘Laju lari si burung kedidi, sayap tempua berbulu pelepah, satu jari kuasa pengundi, semoga semua bijak memangkah.’