MAAFCAKAP 16.11.2022

Sabtu ini 21 juta rakyat yang mendaftar sebagai pemilih akan mengundi dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15). Ini adalah proses memilih kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen Malaysia. 

Walau apa jua keputusannya, rakyat Malaysia telah mula matang dalam memilih kerajaan. Ini adalah kerana, sejak PRU-ke-13 pada 2008, kerusi yang dimenangi Barisan Nasional mula merosot bila para pemilih berani beralih selera.

Jika pada PRU-12, Barisan Nasional memperoleh 140 kerusi dan Pakatan Rakyat pula memperoleh 82 kerusi, pada PRU-13 jumlah kerusi Barisan Nasional merosot menjadi 133 kerusi dan pembangkang pula memperoleh 89 kerusi..

Pada pilihanraya lalu, kerusi Barisan Nasional merosot lagi ke 79 kerusi dan Pakatan Harapan pula dengan 104 kerusi. Jika sudah tiga kali berturut-turut para pengundi mula beralih dari mengundi Barisan Nasional, ia adalah cabaran besar buat parti komponen itu pada PRU ini.

Lebih sejuta pengundi kali pertama bakal memberi kesan ke kawasan-kawasan marginal. Mereka mungkin belum pernah mengundi. Namun maaf cakap, mereka semua sudah mumayiz, sudah akil baligh, sudah boleh berfikir dan membuat keputusan.

Keputusan mereka pula adalah berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar; audio dan visual. Itulah pendedahan yang menyentuh kepekaan mereka dan kita perlu hormati pilihan mereka. Tidak boleh nanti kita mengaitkan mereka sebagai faktor perosak kepada kedudukan kerusi mana-mana pihak. 

Walau apa pun, para pemilih itu terdiri daripada beberapa kumpulan. Pertama, pengundi yang memilih berdasarkan parti. Mereka ini terdiri daripada jentera parti dan para pengundi veteran yang tidak akan menukar pilihan. Kedua, mereka yang mengundi calon yang mereka kenali. Barangkali calon yang dipilih adalah orang kampung, saudara mahupun individu yang kerap mereka nampak di media.

Ketiga, pemilih yang mengundi mereka yang pernah mereka temui secara ‘live,’ menghadiri ceramahnya, menemui calon itu di majlis-majlis keramaian, rasmi dan sempat bersalaman pula dengannya. Keempat, mereka yang memilih berdasarkan cadangan orang yang dekat dan dipercayai seperti anggota keluarga dan kawan.

Kelima, ada juga pengundi yang memilih seseorang calon kerana berasa terhutang budi sebab mendapat bantuan dari calon tatkala menjadi mangsa banjir, kebakaran, sokongan permohonan derma untuk surau mahupun jersi bolasepak.

Pertimbangan ras dan agama nampaknya kian menjadi faktor pertimbangan pengundi. Mereka dalam kumpulan keenam mengundi kerana berasa bangsa akan terbela bila memilih seseorang calon. Ataupun berasa masa depan agama akan lebih terjamin apabila memilih calon berkenaan. Kepakaran seseorang sebagai ahli ekonomi mahupun diplomatik tidak menjadi kriteria utama bagi majoriti pengundi.

Mereka dalam kumpulan ketujuh pula mengundi berdasarkan ikut-ikutan. Biasanya mereka mengundi pada saat-saat akhir ketika berbaris sebelum melangkah ke bilik mengundi. Dan kumpulan terakhir ialah mereka yang memilih untuk tidak memilih. Mungkin mereka akan rosakkan kertas undi ataupun sengaja tidak datang untuk mengundi atas sebab-sebab tersendiri.

Walau apa pun keputusannya, kita mestilah menghormatinya. Setiap kali kita melihat keputusan satu demi satu kerusi diumumkan di kaca TV, yang boleh kita lakukan ialah mencatat skor di akhbar atau komputer. Bolehlah kalau kita hendak membebel dan mengata; tetapi biarlah setakat itu sahaja.

Terimalah apa jua keputusan dengan berlapang dada. Kesemua calon yang terpilih pasti sudah memberi jasa kepada negara, apatah lagi kepada penduduk setempat walaupun ada di kalangan calon yang menang itu baru kali pertama menjadi Yang Berhormat.

Lagi pula, ALLAH swt telah tunjukkan kepada kita yang kesemua para memimpin parti-parti komponen Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Pejuang pernah memerintah negara. Mereka juga pernah ALLAH swt letakkan dalam kedudukan sebagai pembangkang.

Masing-masing tidak mungkin dengan sengaja mahu merosakkan negara, tanah tumpah darah mereka sendiri. Mereka orang yang punyai kemahiran bercakap dalam bentuk syarahan, ceramah dan kritikan di pentas politik. Itu profesion mereka.

Di belakang pentas, mereka kesemuanya biasa duduk semeja bertepuk tampar dan bergurau senda. Kita sebagai rakyat jangan over sangat seperti penonton gusti di kedai kopi!