MAAFCAKAP 9.11.2022

Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) adalah pilihanraya yang disertai oleh parti-parti politik dengan pelbagai gabungan. Barisan Nasional dianggotai oleh UMNO, MIC, MCA dan PBRS serta 8 parti-parti yang bergabung. Perikatan Nasional pula dianggotai oleh Bersatu, Pas, Gerakan dan dua parti dari Sabah iaitu SAPP dan STAR.

Pakatan Harapan terdiri dari PKR, Dap, Amanah, Muda dan UPKO dari Sabah. Rakan strategik PH pula ialah Parti Sosialis Malaysia. Sementara itu grup terbaharu itu Gabungan Tanah Air pula dianggotai oleh Pejuang, Berjasa, Iman dan juga parti PUTRA.

Perikatan Nasional dan Gabungan Tanah Air adalah pemain baharu dalam PRU kali ini. Ia adalah komponen parti-parti serpihan yang dianggotai oleh pemain-pemain lama. Tetapi, terdapat personaliti-personaliti yang menganggotai parti itu adalah terdiri daripada mereka yang berpindah parti.

Empat buah parti gabungan dengan pemimpin-pemimpin yang berpindah bersilang-seli parti, cukup memeningkan. Dahulu, tokoh yang memusuhi parti lawan, kini menganggotai parti yang dimusuhi itu. Ini ditambah pula dengan calon-calon yang tidak segan membiarkan keahliannya gugur kerana bertanding di bawah parti lain.

Ramuan yang pelbagai ini cukup menarik andainya kita melihatnya dari sudut dinamika demokrasi. Setelah 14 PRU dan setelah 65 tahun merdeka, demokrasi kita membuktikan Malaysia Boleh! Malah, terlebih boleh. Cuma dari minda generasi pertama Malaysia; mereka yang lahir di antara 1957 hingga 1987 iaitu 30 tahun untuk satu generasi, ia cukup caca marba.

Generasi pertama, yang lazimnya mengundi berdasarkan parti dan bukannya calon mula bingung kerana parti-parti yang mereka sokong mempunyai masalah dalaman yang menjejaskan kepercayaan mereka. Parti-parti yang tidak mereka sokong pula ada dianggotai oleh pemimpin-pemimpin asal parti mereka.

Oleh kerana begitu ramai yang berpindah parti, pengundi juga turut terbuka fikiran mereka untuk melihat parti yang mereka musuhi dahulu sebagai sebuah parti yang ‘okey.’ Pemikiran mereka sudah larut.

Ini melonggarkan kesetiaan. Kalau para pemimpin parti mereka selama ini boleh bertikam lidah secara terbuka boleh beralih arah, maka mereka juga tidak akan berasa bersalah jika tidak menyokong parti mereka, malah mula berani untuk beralih selera.

Generasi kedua yang lahir di antara tahun 1987 hingga 2017 kenal dengan tiga Perdana Menteri. Mereka ingat pada Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan kenal Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun, ketiga-tiga mereka ini semakin tenggelam dari radar politik.

Tun Mahathir ‘versi 1.0,’ ‘versi 2.0’ bila menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan terkini, ‘versi 3.0’ kelihatan semakin lemau. Tun Abdullah Badawi pula sudah lama di pinggir pentas utama kepimpinan negara. Datuk Seri Najib yang memperoleh sokongan generasi kedua dengan frasa popular ‘Bosku’ sudah tiada di depan mata mereka. Imej-imej pemimpin besar kini tiada di kotak memori mereka.

Jadi, siapakah yang menjadi pilihan generasi kedua? Ada yang kata, PRU-13 adalah PRU Facebook, PRU-14 adalah PRU Whatsapp dan PRU-15 pula adalah PRU TikTok, maknanya TikTok mudah menawan hati generasi kedua, termasuk lebih 1.2 juta pengundi buat kali pertama.

Pada 18 November 2022 nanti, pilihanraya Umum ke-15 akan berlangsung. Alhamdulilah, kerana pada asasnya negara kita masih stabil kerana kesemua PRU telah berjalan menurut jadual. Sejak PRU ke-1 sehingga PRU ke-11, parti Perikatan yang kemudiannya menjadi Barisan Nasional telah menguasai Parlimen.

Namun, neraca timbangan dacing Barisan Nasional mula menyenget pada PRU-12 iaitu pada tahun 2008. Pada PRU itu, Barisan Nasional memperoleh 140 kerusi berbanding Pakatan Rakyat dengan 82 kerusi. Pada PRU-13 jumlah kerusi Barisan Nasional merosot lagi iaitu 133 kerusi berbanding 89 kerusi bagi pembangkang.

Pada pilihanraya lalu, Barisan Nasional hanya mendapat 79 kerusi berbanding Pakatan Harapan dengan 104 kerusi. Rakyat Malaysia semakin matang. Mereka ambil masa yang lama untuk mengubah selera.

Namun, jika tidak kerana Langkah Sheraton yang sentiasa membarakan api politik, pola pengundian akan terus condong pada Pakatan Harapan. Tetapi dengan adanya empat gabungan parti komponen, calon-calon yang berpindah parti, mana-mana parti boleh menguasai. Para penganalisis politik kian sukar membuat ramalan kumpulan mana yang bakal jadi juara.

Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Dan, situasi hung parliament selepas PRU kian jelas terbayang.