MAAFCAKAP 12.10.2022
Hujung minggu lalu telah berlangsung temasya Buku dan Kopi anjuran kedai buku saya, Iqraread di Malakat Mall. Kami sengaja menggandingkan kopi dan buku kerana minuman ini kian popular. Buku dan kopi boleh menjadi gandingan yang bagus untuk meramaikan para pengunjung ke temasya itu.
Sesi memperkenalkan sebuah buku resipi ‘Coffee Mate’ dihadiri oleh dua orang penulisnya iaitu Chef Sue M Arukin dan juga Chef Faizal Azzuri. Selepas memperkenalkan buku, mereka juga membuat demo menyediakan kopi.
Sambil memerhati Chef Faizal menjerang air, mengisar kopi, mencurah air panas ke serbuk kopi secara sedikit demi sedikit, menunggu air kopi menitis ke dalam jag sebelum dituang lagi air panas, saya berasakan ia berbeza sekali dengan cara saya, orang marhaen membuat kopi.
Saya akan jerang air dan tinggalkan cerek di dapur untuk terus buat kerja. Bila cerek bersiul, saya buka paket kopi 3 + 1, curah ke dalam kole, tuang air panas, kacau dengan sudu dengan lajunya lalu terus meniup air sebelum meneguk.
Tetapi cara Chef Faizal sungguh tenang, sabar dan teliti. 15 minit menanti, minuman kopinya masih belum siap. Tetapi bila dia mencurah air kopi ke dalam gelas kecil dan disuakan kepada saya untuk mencuba, saya turut hirup sedikit demi sedikit dengan penuh gaya.
Pada saat itu saya terfikir, bagaimana minum kopi kini menjadi satu hobi yang ada kelas. Malah, ada di kalangan teman dan saudara- mara saya yang sudah ada mesin membuat kopi di rumah. Cara mereka menyediakan kopi pun sama juga seperti Chef Faizal; tenang, sabar dan teliti.
Saya terfikir bagaimana minuman yang simple itu kini menjadi satu hobi yang kian popular. Para penggemarnya pun menikmatinya dengan penuh gaya. Meminum kopi kini menjadi minuman berprestij. Malah ia mula meninggalkan hobi minuman teh yang semakin kurang imej prestijnya.
Bagaimana sebuah hobi itu bisa mengangkat sesuatu yang biasa-biasa menjadi sesuatu yang luar kebiasaan? Bila ia menjadi hobi, seseorang sanggup berbelanja dan memperuntukkan masa untuk menikmatinya.
Jika kita lihat pada hobi-hobi lain seperti bermain golf, ia melibatkan penyediaan set stik golf dari besi atau kayu untuk pukulan jarak jauh, tee-shot dan drive. Hendak memasukkan bola golf ke dalam lubang perlukan putter pula. Jenis pakaian, kasut, cap dan tas perlu dipilih untuk disesuaikan dengan hobi ini.
Memancing sebagai satu hobi pun memerlukan peralatan yang khusus seperti joran, kekili, jenis tali memancing, jenis ikatan pada kail, pemberat, pelampung atau jenis umpan untuk jenis tangkapan. Mereka yang meminati hobi ini perlu mahir dengan perbezaan cara memancing samada di sungai, kolam ataupun laut.
Jangan lupa juga, mereka yang mempunyai hobi memasak perlu mempunyai pelbagai jenis pisau, pengisar, pembancuh, pengasah, pembuang sisik, tapis, termasuk juga jenis-jenis periuk, kuali, mangkuk, pinggan dan piring, sudu serta garfu untuk seni hidangan pula.
Bila merenung tentang mereka yang mempunyai pelbagai hobi, timbul pula persoalan di dalam fikiran saya – bagaimana pula jika seseorang itu menjadikan membaca itu sebagai hobinya? Lazimnya kita akan dapati dia akan selalu membeli buku, membaca dan menyimpannya di dalam almari ataupun rak.
Mungkin mereka yang canggih sedikit mempunyai khutub khanah di rumah, menyimpan penanda buku, lampu suluh kecil yang diselit pada buku untuk membaca di dalam gelap, dan, dan apa lagi? Pada saya itu sahaja. Maknanya, seseorang yang menjadikan membaca sebagai sebuah hobi tidak punyai pelbagai peralatan atau gajet untuk menjadikan membaca sebagai satu hobi yang berprestij.
Bukankah membaca itu sebuah hobi yang berprestij? Dan apakah kerana ia tiada segala peralatan dan gajet, ia terhalang menjadi satu hobi yang popular? Apatah lagi bila ia tidak menjadi hobi yang popular, ia tidak mempunyai kabilah dan sub-culture sepertimana mereka yang meminati golf, memancing, memasak atau membuat kopi.
Golongan peminat buku adalah golongan yang introvert. Mereka adalah manusia yang unik. Apabila mereka menutup buku, mereka masuk ke dalam dunia nyata, tidak bercakap mengenai apa yang dia baca kecuali dengan mereka yang mempunyai hobi yang sama sepertinya.
Namun, oleh kerana membaca adalah hobi yang menyendiri, ia tidak menangkap ramai orang untuk menyukainya. Benar, buku sentiasa mempunyai khalayak. Malah, mereka yang mempunyai hobi yang lain turut membaca buku. Tetapi oleh kerana ia bersifat kontan iaitu segera dan sambil-sambilan, ia tidak menjadi kegilaan ramai.
Jika begitu, membaca buku masih belum menjadi satu budaya kerana ia belum lagi menampakkan personaliti khusus kabilahnya. Ia hanya tersembunyi dan hanya riuh rendah di sarang pemikiran pengamal hobinya.