BLOG

Kita Semua Dilahirkan Cantik

Kita Semua Dilahirkan Cantik

MAAFCAKAP 7.6.2023


Saya tertonton seketika sebuah drama di Youtube, adegan dua orang gadis sedang berdandan. Yang seorang itu sudah selesai berdandan dalam waktu yang singkat, tetapi yang seorang lagi tidak siap-siap. Ada sahaja yang tidak kena. Baju yang cantik tidak padan dengan tudungnya. Bila ditukar tudungnya, gelangnya pula tidak sepadan. Macam-macam.

Saya mengalih saluran seraya tersenyum. Saya maklum ramai di kalangan wanita yang amat teliti dengan pakaian dan padanan aksesorinya. Mereka biasa mengambil masa yang lebih lama dari orang lelaki dari segi berdandan. Tetapi drama di saluran itu dikira berlebih-lebihan kerana ingin menghidupkan watak gadis cerewet, sehinggakan tahi lalat di pipinya dikatakan besar sedangkan ia seperti bintik jerawat manis sahaja.

Kita semua pada asasnya lahir dengan wajah yang cantik. Semua bayi yang lahir kelihatan cantik. Jika kita terpandang bayi sesiapa pun di tempat awam, kita akan berasa gembira dan ingin mengagah bayi itu kerana suka memandang kecomelannya.

Namun, semakin masa berlalu, dengan keadaan dan cabaran hidup, wajah-wajah kita yang comel pada asalnya mula berubah bila mengenali apa itu masalah. Lebih parah lagi bila masalah itu sudah singgah dan bersarang di minda kita. Kita tentu perasan pada orang terdekat yang bermasalah. Wajahnya jadi tak cantik atau hensem, sebaliknya keruh.

Walaupun pada asalnya tubuh kita cantik dan montel, bila kita membesar, ramai yang tidak dapat mempertahankan bentuk tubuh masing-masing. Yang kerempeng mahu menambah berat badan agar cukup luk dan keluknya. Yang bertubuh besar pula sibuk berusaha menguruskan badan samada dengan beriadah atau mengubah fesyen pakaian  agar kelihatan kurus.

Ia adalah tindakan normal bagi semua manusia untuk kekal cantik dan segak atau sekurang-kurangnya tidak jelek bila dipandang orang lain. Namun, yang selalu diambil perhatian juga kerap pada kekurangan fizikalnya, bukan pada mental atau spiritualmya.

Dari sudut psikologi sosial, memang benar, pandangan pertama itu penting. Ia akan menentukan persepsi seseorang terhadap kita. Wajah, pakaian, aturan langkah dan juga suara bakal menjadikan orang lain selesa atau tidak dengan kita. Dalam dunia bisnes, penampilan kita itu bonus dalam menentukan jaya atau gagalnya sesuatu persetujuan dalam perundingan.

Namun, itu adalah imej atau standard old school. Kian ramai yang lebih objektif dalam menilai manusia. Bila semua orang berpakaian dan bertubuh cantik, bertali leher dan sut, mereka menjadi kelompok yang stereotaip.

Sebaliknya, mereka yang berpakaian polos atau kasual akan kelihatan unik dan menarik perhatian. Mereka yang menjadikan penampilan dari segi pakaian sebagai perkara kedua telah memilih minda sebagai aset utama. Penampilan dan busana tidak memberi impak pandang pertama, tetapi bila mereka bertutur mengalirkan apa yang ada di minda, orang ini akan terus memukau.

Tentulah, pelengkap kepada penampilan fizikal dan mental itu ialah aras spiritualnya. Manifestasi fikiran seseorang boleh sahaja mempesona bila dia berbahasa retorik dan bombastik, penuh dengn buzzword serta jargon. Tetapi, ia tidak bermakna jika memening dan memenatkan si pendengar.

Justeru itu, aspek spiritual menjadi nilai tambah kepada aset seseorang. Aspek spiritual ini bukan semestinya kekerapannya berselawat setiap kali membuka mulut atau sentiasa menuturkan istighfar. Apa yang dinilai dari segi spiritual seseorang ialah bertutur dalam bahasa yang tenang lagi menyenangkan.

Kita jadi selesa dengannya kerana dia lebih banyak mendengar daripada bersuara.  Jika hendak mengeluarkan pendapat pun, dia tidak akan memintas walau betapa tidak setujunya dia dengan pandangan kita. Bila bersetuju, dia akan berterus terang. Jika sebaliknya, dia menolak pandangan kita dengan penuh tertib.

Kecantikan mental dan spiritual seseorang itu akan membantu kepada kekurangan fizikalnya. Inilah aspek-aspek yang harus sentiasa menjadi perhatian kita; bukannya fizikal lagi. Jagailah fizikal kita seadanya, khususnya agar ia terus sihat dan lestari. Tubuh kita juga seperti jentera yang ada wear and tearnya. Walau dijaga rapi pun,  ia akan lemah dan rosak menurut usianya.

Jika pun kita mengimpikan fizikal yang cantik, memadailah dengan melihatnya melalui hasil Artificial Intelligence Art Generator. Melalui aplikasi itu, wajah dan tubuh kita boleh sahaja kelihatan langsing atau sado untuk memuaskan hati. Namun ia tidak boleh mengatasi kehebatan mental dan kehalusan spiritual yang berpotensi kekal hingga ke mati.

Belajar Healing Dari Penulis

Belajar Healing Dari Penulis

MAAFCAKAP 2.5.2023

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke-40 sedang berlangsung mulai Jumaat, 26 Mei hingga Ahad, 4 Jun. Hati saya melonjak untuk bersama para penulis yang sedang berhari raya di World Trade Center, Kuala Lumpur tempat pesta berlangsung. Maklumlah, pesta buku juga adalah tempat para penulis seperti saya untuk bertemu. Dan saya belum berkesempatan  untuk berkunjung ke sana.

Rata-ratanya para penulis akan menunjuk belang dengan memperagakan karya masing-masing, berswafoto bersama para peminat, menandatangani autogeraf di buku hasil karya mereka dan begitu peramah dengan para pengunjung. Tanggapan bahawa seseorang penulis itu adalah manusia yang introvert, suka menyendiri, pendiam, pemerhati dan perenung semakin  menghilang.

Penulis adalah insan unik yang mempunyai kedua-dua sikap introvert atau extrovert. Mereka tahu memilih untuk menjadi introvert atau sebaliknya secara terpilih. Apabila mereka mahu mula ‘menukang’ karya, mereka akan menjauhkan diri mereka dari orang terdekat dan dunia nyata.

Ada yang pergi jauh dari hiruk pikuk kebisingan untuk hampir dengan alam hingga ke pantai atau ke tepi tasik. Ada yang secara lahirnya mengunci pintu bilik untuk mula berkarya. Tetapi jika tiada peluang dan kesempatan jauh dari alam nyata, mereka boleh sahaja menutup diri dari dunia luar untuk berulit dengan dirinya di sudut kafe.

Fasa penulis duduk bersendirian untuk berkarya itu menimbulkan tanggapan bahawa penulis adalah seorang introvert. Namun, pada hakikatnya, ia bukannya sikap introvert yang negatif seperti seseorang yang melayani kemurungan. Sebaliknya dalam diam-diam, minda seorang penulis itu sentiasa bising dengan kehadiran suara-suara manusia.

Sekiranya penulis itu sedang menggarap buku bukan fiksyen, di fikirannya akan terdengar suara-suara hujah dan percakapan para profesional yang berhubung kait dengan tulisannya. Jika seseorang penulis itu sedang mengarang karya fiksyen pula, mindanya lebih sibuk bukan sahaja dengan suara-suara wataknya, malah termasuk juga kesan bunyi alam seperti api, ombak dan ribut. Justeru itu, penulis yang kelihatan introvert pada zahirnya itu sebenarnya begitu extrovert di dalam dimensi dunianya.

Di kala penulis berehat, dia akan kembali ke dunia nyata untuk berinteraksi dengan manusia di sekelilingnya. Dia boleh bergelak ketawa dan berseloroh. Dia boleh sahaja mengikut rentak perbualan, malah boleh menjadi pempengaruh dalam sembang-sembang kerana golongan penulis adalah insan kreatif, sarat dengan idea-idea yang menarik perhatian mereka di sekelilingnya. Di waktu itulah, dia menampilkan sisi extrovertnya.

Justeru itu, golongan penulis sering berada di antara dua dimensi alam iaitu alam nyata dan juga alam kreatif. Dia boleh berseorangan tetapi tidak bersendirian. Malah dia boleh survive bila berseorangan kerana dia tidak pernah kesunyian. Apa jua masalah yang melintang dan menghalang mampu diteliti dan dikupas demgan baik apabila dia dapat menulis segala masalah.

Jika orang biasa memerlukan suasana dan ruang untuk healing, insan penulis tidak semestinya memerlukan suasana luaran sebegitu. Sebuah telefon pun mampu memberi healing kepadanya untuk menulis apa yang bersarang di fikirannya. Di situlah medan dia melepaskan segala perasaan gundah gulananya.

Yang menariknya, semakin parah jiwa seseorang penulis, semakin kreatif penulis menganjak segala duka laranya menjadi sebuah karya berkesan dan memukau. Dia berkongsi keluh kesahnya dalam sulaman aksara kata bicaranya sebagai sebuah bahan bacaan yang indah. Menulis memang diakui sebagai adalah satu bentuk healing.

Sementelah golongan penulis pada hari ini lebih terbuka dari generasi penulis dahulu, khalayak pembaca seharusnya bukan sahaja mendekatkan diri dengan penulis sekadar sebagai peminat karya mereka semata-mata. Selain dari berswafoto, mendapat tanda tangan dan berbasa basi dengan mereka, dapatkan juga tip bagaimana mereka menjadikan dunia penulisannya sebagai satu cara untuk healing.

Dengan adanya pelbagai media sosial, kian ramai netizen yang pandai mengekspresi diri dengan cara menulis. Cuma, apabila mereka mengalami sesuatu masalah atau insiden, masih ramai yang terus menghamburkan perasaan tanpa bertapis seolah-olah dunianya sudah kiamat.

Saya percaya, ayat-ayat kasar yang terlahir kerana si penulis tidak cukup perbendaharaan kata yang jitu lagi santun.

Bertukarlah pandangan dengan golongan penulis. Mereka sedia berkongsi bagaimana menzahirkan segala kata yang masam dan pedas itu menjadi pahit bergula. Temui golongan penuis di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Writing is healing.

Ibu Segala Pesta Buku Malaysia

Ibu Segala Pesta Buku Malaysia

MAAFCAKAP 24.5.2023

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur(PBAKL) datang lagi. Pesta buku ini diadakan selama 10 hari; dimulai pada Jumaat, 26 Mei dan tamat pada Ahad, 4 Jun. Kementerian Pendidikan, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) menjadi pemegang taruh utama pesta yang sudah masuk ke tahun ke-40. 

Pesta buku ini asalnya dikenali sebagai Pameran Buku Kebangsaan. Ia diadakan untuk menyambut Tahun Buku Antarabangsa anjuran UNESCO pada 1971. Kemudian ia dikenali sebagai Pesta Buku Malaysia mulai tahun 1982 sebelum ia dinamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mulai 1991 dengan Pusat Dagangan Dunia Putra (kini World Trade Centre) sebagai premis kekalnya hingga ke hari ini.

Inilah pesta buku paling besar yang mendapat sambutan terhangat para peminat buku. Ia disertai oleh hampir semua pemain-pemain industri buku yang kecil dan besar; menjadikan ia bagai ‘ibu segala pesta buku di Malaysia.’

Jika ingin membaca apakah trend penerbitan dan sambutan para peminat pesta buku, inilah pesta yang tidak syak menjadi kayu ukur akan pasang surut industri buku di Malaysia; sekurang-kurangnya untuk setahun berikutnya.

Tahun 2022 menyaksikan sambutan luar biasa. Hampir seluruh World Trade Centre di mana acara berlangsung dipenuhi manusia. Jalan dari pintu masuk ke eskalator untuk ke aras yang lain pun mengambil masa sekurang-kurangnya 20 minit akibat kesesakan. Ada yang kata, 2022 adalah tahun endemik Covid-19. Kerana itu para peminat buku begitu kemaruk untuk ke pesta buku setelah terpaksa mendapatkan buku secara atas talian kerana PKP.

Media sosial terutamanya Tik-Tok memainkan peranan yang besar kerana medium video memberi kesan terbaik hingga acara pesta buku mudah menjadi tular dan popular. Seorang petugas kanan pemasaran syarikat Iman Publication, Saudara Usaid Asmadi berkata, para peminat buku terbahagi kepada dua kategori.

Kategori pertama ialah golongan pembaca setia yang ke pesta untuk memborong buku di samping menemui penulis-penulis yang diminati. Kategori kedua adalah golongan pembaca buku-buku viral. Mereka ini tidak ambil tahu siapakah penerbit mahupun penulis sesebuah buku.

Kerana itu mereka akan menyusur dari reruai ke reruai sambil menayangkan imej buku yang dicari di telefon mereka kepada para petugas. Sebaik sahaja mereka memperoleh buku yang dikehendaki, mereka akan beredar walaupun penulisnya ada berhampiran untuk sesi bertemu peminat.

Pada tahun ini, keadaan dijangka tidak berubah. Malah saya berasa para pengunjung tetap akan datang berpusu-pusu. Masyarakat Malaysia adalah masyarakat pengguna yang unik. Meskipun harga barangan meningkat akibat inflasi, mereka tetap membeli. Buku, tidak terkecuali.

Cuma barangkali jika sebelum ini mereka membeli secara borong, mungkin pada kali ini mereka lebih peka untuk memilih. Ertinya, jika sebelum ini mereka dapat membeli 5 buah buku dengan RM100 dari sesebuah penerbitan, kini dengan RM100, mereka akan memilih 3 buah buku dari syarikat yang berbeza. Inilah jangkaan melalui pemerhatian Saudara Usaid Asmadi.

Alhamdulilah, buku turut dipopularkan oleh golongan penulis sendiri. Rata-rata para penulis kini lebih berani mempromosi buku-buku yang bakal dilancarkan di pesta buku pada kali ini. Ramai juga yang berpakat membuat cross-promotion dengan berkongsi posting.  Media sosial menjadi medan mereka mencanang hasil kerja mereka.

Yang jelas, di sebalik meningkatnya pembacaan ebuku sejak pandemik Covid-19, minat pembaca kepada buku-buku fizikal boleh dikatakan masih kekal. Malah, ramai para pembaca sudah merancang ke reruai manakah yang mereka mahu tuju sebaik sahaja tiba ke pesta itu. Para penerbit juga telah berjaya membina kabilah atau tribe masing-masing.

Jika sebelum ini, jenama penerbit buku seperti Dewan Bahasa & Pustaka, Grup Buku Karangkraf dan PTS menjadi pilihan utama, kini boleh dikatakan kesemua penerbit yang berani bertapak di World Trade Centre mempunyai peminat masing-masing.

Semoga PBAKL terus kekal sebagai mercu tanda utama industri buku di Malaysia. Semoga ia berjaya menarik ramai para peminat buku yang baharu. Biarlah PBAKL  menjadi bukti sahih buat seseorang peminat buku. Ertinya, jika dia berkata bahawa dia peminat buku, dia harus sekurang-kurangnya mempunyai bukti berupa sebuah swafoto dirinya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Selamat berpesta!

Buzzword: Stail dan Fesyen Bahasa

Buzzword: Stail dan Fesyen Bahasa

MAAFCAKAP 17.5.2023

Pada Ahad lalu saya dan teman-teman penulis mengadakan sesi sembang Buku dan Kopi. Pertemuan santai sesama penulis anjuran kedai buku Iqraread ini diadakan tiga minggu sekali. Kami seronok bertemu untuk sekian kalinya. Hampir dua bulan kami tidak berjumpa kerana sesi ditangguhkan kerana puasa.

Sambil mengunyah kuih bangkit, kami berbicara mengenai Pesta  Buku Antarabanga Kuala Lumpur yang bakal menjelang mulai 26 Mei ini. Selain dari mengimbau pesta buku 2022 yang dikatakan mendapat sambutan paling hangat, kami semua bersetuju yang pesta buku pada tahun ini juga akan mendapat sambutan yang tidak kurang hebatnya. Ditambah pula dengan acara Cosplay @ PBAKL, bersedialah untuk bersesak dan berasak.

Ada satu perkara yang menarik perhatian kami ketika berbincang mengenai tema tahun ini. Oleh kerana kami bernaung dari pelbagai syarikat, kami telah sepakati karya yang mempunyai unsur-unsur healing menjadi pilihan beberapa buah syarikat penerbitan. Maknanya, dalam karya-karya yang diterbitkan, unsur healing dijadikan mesej atau subteks.

Nampaknya syarikat-syarikat penerbitan buku peka dengan buzzword ataupun perkataan atau frasa yang menjadi sebutan ramai pada satu-satu masa. Buzzword boleh menjadi faktor pelaris. Pada waktu ini, perkataan healing menjadi buzzword. Bercuti tidak disebut sebagai berehat, tetapi healing. Melancong bukan juga berekreasi tetapi healing. Makan sedap-sedap pun, bukannya berjamu, tetapi healing juga.

Pihak penerbit kini lebih peka untuk menggunakan apa jua perkataan atau peristiwa yang popular pada satu-satu masa. Contohnya, Kumpulan Karangkraf menggunakan imprint K-Lit iaitu singkatan dari Karangkraf Literature. Huruf ‘K’ juga adalah singkatan dari karya-karya dari Korea seperti K-Drama dan K-Pop. Ada sublime ‘Korea’ dengan penggunaan huruf ‘K’ di situ.

Buzzword juga sudah lama ada di kalangan masyarakat Malaysia. Tidak lama dahulu, netizen menggunakan buzzword, ‘move on’ sebagai istilah motivasi untuk  mereka yang tidak boleh melupakan kisah lalu. Sekali-sekala juga istilah play victim menjadi buzzword untuk menegur mereka yang berpura-pura menjadi mangsa keadaan sedangkan merekalah pencetus angkara.

Dalam dunia artis kini timbul buzzword ‘penyondol,’ iaitu gelaran untuk mereka yang merampas kepunyaan orang lain samada suami ataupun kekasih orang. Kita ada buzzword ‘sakau’ khususnya dalam dunia politik untuk menggelar mereka yang dikatakan mencuri duit. Tidak tahu bagaimana perkataan sakau ini diertikan sebagai mereka yang menyonglap duit. Carian dalam Kamus Dewan di internet tidak menemui perkataan sakau. Tetapi dalam bahasa Indonesia, sakau bererti seseorang yang kecanduan.

Kita tentu ingat buzzword ‘mengancam’ bagi menggambarkan seseorang yang jelita. Juga buzzword ‘meracun’ untuk menggantikan perkataan mempengaruhi. ‘Ada umph’ pula istilah yang diambil dari iklan Teh Boh yang membawa maksud ‘hebat.’

Sekitar tahun 70-an pula ada frasa ‘steady-lah’ yang membawa maksud ‘come on-lah.’ Istilah ‘steady-lah’ ini mula-mula diperkenalkan oleh artis Ahmad Daud melalui rancangannya Ahmad Daud Show. Ramai yang masih ingat buzzword ‘merah sangatlah mak ngah’ iaitu usikan pada wanita yang khususnya cantik bila berpakaian merah. Ia diambil dari iklan Amanah Saham Nasional.

Jika orang barat menggunakan perkataan ‘tall, dark and handsome’ untuk lelaki yang kacak, di negara kita ada frasa ‘besar, teguh dan peramah,’ yang dipopularkan dari iklan bank Standard Chartered.

Buzzword itu adalah satu trend. Kita tidak tahu asal usulnya tetapi tiba-tiba ia menjadi sebutan ramai. Media sosial kini menjadi pangkalan munculnya penggunaan buzzword kerana ia mudah menular. Satu perkataan buzzword sahaja boleh merumuskan maksud satu ayat. Ini menjimatkan masa untuk memahami satu-satu hal.

Dalam dunia profesional pun ada juga buzzword yang disebut sebagai  jargon.  Jargon seperti ‘big data,’ ‘gig economy,’ ‘disruptive technology’ ataupun ‘low hanging fruit’  adalah jargon terkini yang kerap digunakan.

Buzzword tidak begitu bahaya melainkan jika ia digunakan untuk mengutuk atau mempersenda. Penggunaannya oleh seseorang menggambarkan yang dia adalah orang yang moden dan semasa. Ia adalah stail dalam berkomunikasi. Ia juga bagai fesyen dalam bahasa.

Menjadikah Langkah Rembau?

Menjadikah Langkah Rembau?

MAAFCAKAP 10.5.2023

Kelakar, memang kelakar. Sekumpulan kawan-kawan warga emas telah bertemu di majlis persandingan salah seorang sahabat kami di Subang Jaya. Saya turut gembira kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan lama. Masing-masing bertukar cerita. Ada yang buka bisnes sendiri, ada yang lega dapat berehat bila baru bersara dan ada yang kembali ke kampung.

Masing-masing tergelak bila berkongsi kisah lama di kolej dan fasa ‘baharu hendak hidup.’ Kami sugul seketika pula sambil mendoakan kesejahteraan ruh bila mendapat khabar tentang sahabat-sahabat yang telah pergi menghadap Illahi. Sambil berbual, mata-mata kami meliar memantau ke seluruh dewan, cuba mencari kalau-kalau ada kawan-kawan lain yang sampai.

Berapa banyaklah yang kami dapat makan di usia begini. Kami lebih banyak menghirup cendol untuk menghilangkan dahaga meskipun di dewan resepsi yang berhawa dingin. Dalam bersembang itu, timbul pula idea alangkah eloknya jika kami semua dapat berkumpul dalam sebuah majlis?

Seth terus mencadangkan agar kami bertemu di kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan. Kata Seth, orang tuanya hendak mengadakan majlis tahlil sempena pemergiannya menunaikan haji. Lantas beliau mencadangkan kami bertemu sehari awal iaitu pada hari Sabtu, 20 Mei. Bandar Rembau pun tidak jauh; umpama selangkah sahaja dari Lembah Kelang. Perjalanannya dengan kereta hanya sejam lebih sedikit. Kami semua setuju.

Ramai juga kawan-kawan lain yang tidak sempat kami temui pada majlis itu. Ada yang sudah pulang dan ada yang tidak dapat datang kerana aral melintang. Majlis Sambutan Hari Raya di rumah Seth pasti meriah nanti. Untuk menjemput seramai mungkin kawan-kawan, Seth kata, dia akan buka kumpulan Whatsapp agar masing-masing dapat memanjangkan jemputan.

Petangnya saya terima pelawaan Seth untuk menyertai kumpulan Whatsapp yang diberi nama, ‘Langkah Rembau!’ Adoi, Seth melawak dengan nama kumpulan yang berbaur politik. Dan grup kami terus riuh dengan komen-komen nakal tentang betapa bagusnya jika kumpulan Whatsapp itu ditularkan untuk memberi rencah pada suasana panas politik pada hari ini? Mereka mahu mengusik orang politik yang amat sensitif tentang gerak dan kilas di kancah mereka.

Nama kumpulan Whatsapp ‘Langkah Rembau’ bermaksud untuk menggalakkan kami ke bandar Rembau yang dekat dengan Lembah Kelang. Tetapi, apa kata jika ia tertular hingga keluar kumpulan? Majlis hari raya untuk beramah mesra sesama kawan-kawan lama akan  dilabel sebagai majlis politik. Dalangnya akan diteka. Nama Khairi Jamaluddin tidak fasal-fasal boleh terkait! Demikianlah konten polemik kami dalam grup.

Saya melihat gurauan kawan-kawan memang ada benarnya. Seingat saya, sejak PRU-14 pada 2018 lagi suasana politik di negara kita tidak pernah sejuk. Suhunya sentiasa membahang, malah kadangkala panas dan mudah menggelegak hingga ke hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Faiz Na’aman, seorang pemimpin parti Bersatu menulis di laman Facebooknya; ‘125 dah… jika benar alhamdulilah.’ Posting ini mendapat 441 komen, 221 share dan lebih 600 tanda suka. Malah, posting ini telah tular dan mendapat reaksi pelbagai pihak.

Kebetulannya Datuk Annuar Musa, pemimpin politik Kelantan telah menemui Tun Dr. Mahathir untuk berbincang mengenai Proklamasi Melayu yang diutarakan oleh pemimpin dan negarawan itu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rombongannya juga turut menemui Tun untuk berbincang mengenai hal yang sama.

Maka, pertemuan pemimpin-pemimpin dari kumpulan oposisi ini dikaitkan dengan angka 126 yang dicatat oleh Dr. Faiz Na’aman. Mereka nampak logik ‘two plus two,’ lantas terus menelah gambaran yang bakal berlaku. Tentu sekali PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh hal ini di Majlis-majlis Aidilfitri Malaysia Madani. Inilah forum besar di mana beliau terus dapat bercakap di depan rakyat. Beliau juga perlu menyakinkan mereka dalam Kerajaan Perpaduan bahawa keadaan adalah terkawal.

Dengan kedudukan 148 kerusi dengan Kerajaan Perpaduan dan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri di enam negeri yang bakal menjelang serta undang-undang anti lompat parti yang telah dikuatkuasakan; ia menyukarkan apa jua langkah politik menggugat kerajaan yang ada.  Adalah gila jika ada mana-mana Ahli Parlimen mahu melompat parti melainkan ada ganjaran tidak masuk akal yang ditawarkan oleh mereka yang hilang akal.

Ramai di kalangan rakyat yang mengeluh kerana letih bila mendengar khabar angin tentang ‘numbers’ ini. Mereka mahu kehidupan yang aman tanpa resah dengan ulah orang politik.  Cukup-cukuplah, sudah-sudahlah. Maka pada malam itu, di atas nasihat kawan-kawan, nama kumpulan Whatsapp diubah kepada ‘Majlis Hari Raya Sahabat.’

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]