MAAFCAKAP 2.5.2023

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke-40 sedang berlangsung mulai Jumaat, 26 Mei hingga Ahad, 4 Jun. Hati saya melonjak untuk bersama para penulis yang sedang berhari raya di World Trade Center, Kuala Lumpur tempat pesta berlangsung. Maklumlah, pesta buku juga adalah tempat para penulis seperti saya untuk bertemu. Dan saya belum berkesempatan  untuk berkunjung ke sana.

Rata-ratanya para penulis akan menunjuk belang dengan memperagakan karya masing-masing, berswafoto bersama para peminat, menandatangani autogeraf di buku hasil karya mereka dan begitu peramah dengan para pengunjung. Tanggapan bahawa seseorang penulis itu adalah manusia yang introvert, suka menyendiri, pendiam, pemerhati dan perenung semakin  menghilang.

Penulis adalah insan unik yang mempunyai kedua-dua sikap introvert atau extrovert. Mereka tahu memilih untuk menjadi introvert atau sebaliknya secara terpilih. Apabila mereka mahu mula ‘menukang’ karya, mereka akan menjauhkan diri mereka dari orang terdekat dan dunia nyata.

Ada yang pergi jauh dari hiruk pikuk kebisingan untuk hampir dengan alam hingga ke pantai atau ke tepi tasik. Ada yang secara lahirnya mengunci pintu bilik untuk mula berkarya. Tetapi jika tiada peluang dan kesempatan jauh dari alam nyata, mereka boleh sahaja menutup diri dari dunia luar untuk berulit dengan dirinya di sudut kafe.

Fasa penulis duduk bersendirian untuk berkarya itu menimbulkan tanggapan bahawa penulis adalah seorang introvert. Namun, pada hakikatnya, ia bukannya sikap introvert yang negatif seperti seseorang yang melayani kemurungan. Sebaliknya dalam diam-diam, minda seorang penulis itu sentiasa bising dengan kehadiran suara-suara manusia.

Sekiranya penulis itu sedang menggarap buku bukan fiksyen, di fikirannya akan terdengar suara-suara hujah dan percakapan para profesional yang berhubung kait dengan tulisannya. Jika seseorang penulis itu sedang mengarang karya fiksyen pula, mindanya lebih sibuk bukan sahaja dengan suara-suara wataknya, malah termasuk juga kesan bunyi alam seperti api, ombak dan ribut. Justeru itu, penulis yang kelihatan introvert pada zahirnya itu sebenarnya begitu extrovert di dalam dimensi dunianya.

Di kala penulis berehat, dia akan kembali ke dunia nyata untuk berinteraksi dengan manusia di sekelilingnya. Dia boleh bergelak ketawa dan berseloroh. Dia boleh sahaja mengikut rentak perbualan, malah boleh menjadi pempengaruh dalam sembang-sembang kerana golongan penulis adalah insan kreatif, sarat dengan idea-idea yang menarik perhatian mereka di sekelilingnya. Di waktu itulah, dia menampilkan sisi extrovertnya.

Justeru itu, golongan penulis sering berada di antara dua dimensi alam iaitu alam nyata dan juga alam kreatif. Dia boleh berseorangan tetapi tidak bersendirian. Malah dia boleh survive bila berseorangan kerana dia tidak pernah kesunyian. Apa jua masalah yang melintang dan menghalang mampu diteliti dan dikupas demgan baik apabila dia dapat menulis segala masalah.

Jika orang biasa memerlukan suasana dan ruang untuk healing, insan penulis tidak semestinya memerlukan suasana luaran sebegitu. Sebuah telefon pun mampu memberi healing kepadanya untuk menulis apa yang bersarang di fikirannya. Di situlah medan dia melepaskan segala perasaan gundah gulananya.

Yang menariknya, semakin parah jiwa seseorang penulis, semakin kreatif penulis menganjak segala duka laranya menjadi sebuah karya berkesan dan memukau. Dia berkongsi keluh kesahnya dalam sulaman aksara kata bicaranya sebagai sebuah bahan bacaan yang indah. Menulis memang diakui sebagai adalah satu bentuk healing.

Sementelah golongan penulis pada hari ini lebih terbuka dari generasi penulis dahulu, khalayak pembaca seharusnya bukan sahaja mendekatkan diri dengan penulis sekadar sebagai peminat karya mereka semata-mata. Selain dari berswafoto, mendapat tanda tangan dan berbasa basi dengan mereka, dapatkan juga tip bagaimana mereka menjadikan dunia penulisannya sebagai satu cara untuk healing.

Dengan adanya pelbagai media sosial, kian ramai netizen yang pandai mengekspresi diri dengan cara menulis. Cuma, apabila mereka mengalami sesuatu masalah atau insiden, masih ramai yang terus menghamburkan perasaan tanpa bertapis seolah-olah dunianya sudah kiamat.

Saya percaya, ayat-ayat kasar yang terlahir kerana si penulis tidak cukup perbendaharaan kata yang jitu lagi santun.

Bertukarlah pandangan dengan golongan penulis. Mereka sedia berkongsi bagaimana menzahirkan segala kata yang masam dan pedas itu menjadi pahit bergula. Temui golongan penuis di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Writing is healing.