MAAFCAKAP 7.6.2023
Saya tertonton seketika sebuah drama di Youtube, adegan dua orang gadis sedang berdandan. Yang seorang itu sudah selesai berdandan dalam waktu yang singkat, tetapi yang seorang lagi tidak siap-siap. Ada sahaja yang tidak kena. Baju yang cantik tidak padan dengan tudungnya. Bila ditukar tudungnya, gelangnya pula tidak sepadan. Macam-macam.
Saya mengalih saluran seraya tersenyum. Saya maklum ramai di kalangan wanita yang amat teliti dengan pakaian dan padanan aksesorinya. Mereka biasa mengambil masa yang lebih lama dari orang lelaki dari segi berdandan. Tetapi drama di saluran itu dikira berlebih-lebihan kerana ingin menghidupkan watak gadis cerewet, sehinggakan tahi lalat di pipinya dikatakan besar sedangkan ia seperti bintik jerawat manis sahaja.
Kita semua pada asasnya lahir dengan wajah yang cantik. Semua bayi yang lahir kelihatan cantik. Jika kita terpandang bayi sesiapa pun di tempat awam, kita akan berasa gembira dan ingin mengagah bayi itu kerana suka memandang kecomelannya.
Namun, semakin masa berlalu, dengan keadaan dan cabaran hidup, wajah-wajah kita yang comel pada asalnya mula berubah bila mengenali apa itu masalah. Lebih parah lagi bila masalah itu sudah singgah dan bersarang di minda kita. Kita tentu perasan pada orang terdekat yang bermasalah. Wajahnya jadi tak cantik atau hensem, sebaliknya keruh.
Walaupun pada asalnya tubuh kita cantik dan montel, bila kita membesar, ramai yang tidak dapat mempertahankan bentuk tubuh masing-masing. Yang kerempeng mahu menambah berat badan agar cukup luk dan keluknya. Yang bertubuh besar pula sibuk berusaha menguruskan badan samada dengan beriadah atau mengubah fesyen pakaian agar kelihatan kurus.
Ia adalah tindakan normal bagi semua manusia untuk kekal cantik dan segak atau sekurang-kurangnya tidak jelek bila dipandang orang lain. Namun, yang selalu diambil perhatian juga kerap pada kekurangan fizikalnya, bukan pada mental atau spiritualmya.
Dari sudut psikologi sosial, memang benar, pandangan pertama itu penting. Ia akan menentukan persepsi seseorang terhadap kita. Wajah, pakaian, aturan langkah dan juga suara bakal menjadikan orang lain selesa atau tidak dengan kita. Dalam dunia bisnes, penampilan kita itu bonus dalam menentukan jaya atau gagalnya sesuatu persetujuan dalam perundingan.
Namun, itu adalah imej atau standard old school. Kian ramai yang lebih objektif dalam menilai manusia. Bila semua orang berpakaian dan bertubuh cantik, bertali leher dan sut, mereka menjadi kelompok yang stereotaip.
Sebaliknya, mereka yang berpakaian polos atau kasual akan kelihatan unik dan menarik perhatian. Mereka yang menjadikan penampilan dari segi pakaian sebagai perkara kedua telah memilih minda sebagai aset utama. Penampilan dan busana tidak memberi impak pandang pertama, tetapi bila mereka bertutur mengalirkan apa yang ada di minda, orang ini akan terus memukau.
Tentulah, pelengkap kepada penampilan fizikal dan mental itu ialah aras spiritualnya. Manifestasi fikiran seseorang boleh sahaja mempesona bila dia berbahasa retorik dan bombastik, penuh dengn buzzword serta jargon. Tetapi, ia tidak bermakna jika memening dan memenatkan si pendengar.
Justeru itu, aspek spiritual menjadi nilai tambah kepada aset seseorang. Aspek spiritual ini bukan semestinya kekerapannya berselawat setiap kali membuka mulut atau sentiasa menuturkan istighfar. Apa yang dinilai dari segi spiritual seseorang ialah bertutur dalam bahasa yang tenang lagi menyenangkan.
Kita jadi selesa dengannya kerana dia lebih banyak mendengar daripada bersuara. Jika hendak mengeluarkan pendapat pun, dia tidak akan memintas walau betapa tidak setujunya dia dengan pandangan kita. Bila bersetuju, dia akan berterus terang. Jika sebaliknya, dia menolak pandangan kita dengan penuh tertib.
Kecantikan mental dan spiritual seseorang itu akan membantu kepada kekurangan fizikalnya. Inilah aspek-aspek yang harus sentiasa menjadi perhatian kita; bukannya fizikal lagi. Jagailah fizikal kita seadanya, khususnya agar ia terus sihat dan lestari. Tubuh kita juga seperti jentera yang ada wear and tearnya. Walau dijaga rapi pun, ia akan lemah dan rosak menurut usianya.
Jika pun kita mengimpikan fizikal yang cantik, memadailah dengan melihatnya melalui hasil Artificial Intelligence Art Generator. Melalui aplikasi itu, wajah dan tubuh kita boleh sahaja kelihatan langsing atau sado untuk memuaskan hati. Namun ia tidak boleh mengatasi kehebatan mental dan kehalusan spiritual yang berpotensi kekal hingga ke mati.