MAAFCAKAP 10.5.2023

Kelakar, memang kelakar. Sekumpulan kawan-kawan warga emas telah bertemu di majlis persandingan salah seorang sahabat kami di Subang Jaya. Saya turut gembira kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan lama. Masing-masing bertukar cerita. Ada yang buka bisnes sendiri, ada yang lega dapat berehat bila baru bersara dan ada yang kembali ke kampung.

Masing-masing tergelak bila berkongsi kisah lama di kolej dan fasa ‘baharu hendak hidup.’ Kami sugul seketika pula sambil mendoakan kesejahteraan ruh bila mendapat khabar tentang sahabat-sahabat yang telah pergi menghadap Illahi. Sambil berbual, mata-mata kami meliar memantau ke seluruh dewan, cuba mencari kalau-kalau ada kawan-kawan lain yang sampai.

Berapa banyaklah yang kami dapat makan di usia begini. Kami lebih banyak menghirup cendol untuk menghilangkan dahaga meskipun di dewan resepsi yang berhawa dingin. Dalam bersembang itu, timbul pula idea alangkah eloknya jika kami semua dapat berkumpul dalam sebuah majlis?

Seth terus mencadangkan agar kami bertemu di kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan. Kata Seth, orang tuanya hendak mengadakan majlis tahlil sempena pemergiannya menunaikan haji. Lantas beliau mencadangkan kami bertemu sehari awal iaitu pada hari Sabtu, 20 Mei. Bandar Rembau pun tidak jauh; umpama selangkah sahaja dari Lembah Kelang. Perjalanannya dengan kereta hanya sejam lebih sedikit. Kami semua setuju.

Ramai juga kawan-kawan lain yang tidak sempat kami temui pada majlis itu. Ada yang sudah pulang dan ada yang tidak dapat datang kerana aral melintang. Majlis Sambutan Hari Raya di rumah Seth pasti meriah nanti. Untuk menjemput seramai mungkin kawan-kawan, Seth kata, dia akan buka kumpulan Whatsapp agar masing-masing dapat memanjangkan jemputan.

Petangnya saya terima pelawaan Seth untuk menyertai kumpulan Whatsapp yang diberi nama, ‘Langkah Rembau!’ Adoi, Seth melawak dengan nama kumpulan yang berbaur politik. Dan grup kami terus riuh dengan komen-komen nakal tentang betapa bagusnya jika kumpulan Whatsapp itu ditularkan untuk memberi rencah pada suasana panas politik pada hari ini? Mereka mahu mengusik orang politik yang amat sensitif tentang gerak dan kilas di kancah mereka.

Nama kumpulan Whatsapp ‘Langkah Rembau’ bermaksud untuk menggalakkan kami ke bandar Rembau yang dekat dengan Lembah Kelang. Tetapi, apa kata jika ia tertular hingga keluar kumpulan? Majlis hari raya untuk beramah mesra sesama kawan-kawan lama akan  dilabel sebagai majlis politik. Dalangnya akan diteka. Nama Khairi Jamaluddin tidak fasal-fasal boleh terkait! Demikianlah konten polemik kami dalam grup.

Saya melihat gurauan kawan-kawan memang ada benarnya. Seingat saya, sejak PRU-14 pada 2018 lagi suasana politik di negara kita tidak pernah sejuk. Suhunya sentiasa membahang, malah kadangkala panas dan mudah menggelegak hingga ke hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Faiz Na’aman, seorang pemimpin parti Bersatu menulis di laman Facebooknya; ‘125 dah… jika benar alhamdulilah.’ Posting ini mendapat 441 komen, 221 share dan lebih 600 tanda suka. Malah, posting ini telah tular dan mendapat reaksi pelbagai pihak.

Kebetulannya Datuk Annuar Musa, pemimpin politik Kelantan telah menemui Tun Dr. Mahathir untuk berbincang mengenai Proklamasi Melayu yang diutarakan oleh pemimpin dan negarawan itu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rombongannya juga turut menemui Tun untuk berbincang mengenai hal yang sama.

Maka, pertemuan pemimpin-pemimpin dari kumpulan oposisi ini dikaitkan dengan angka 126 yang dicatat oleh Dr. Faiz Na’aman. Mereka nampak logik ‘two plus two,’ lantas terus menelah gambaran yang bakal berlaku. Tentu sekali PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh hal ini di Majlis-majlis Aidilfitri Malaysia Madani. Inilah forum besar di mana beliau terus dapat bercakap di depan rakyat. Beliau juga perlu menyakinkan mereka dalam Kerajaan Perpaduan bahawa keadaan adalah terkawal.

Dengan kedudukan 148 kerusi dengan Kerajaan Perpaduan dan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri di enam negeri yang bakal menjelang serta undang-undang anti lompat parti yang telah dikuatkuasakan; ia menyukarkan apa jua langkah politik menggugat kerajaan yang ada.  Adalah gila jika ada mana-mana Ahli Parlimen mahu melompat parti melainkan ada ganjaran tidak masuk akal yang ditawarkan oleh mereka yang hilang akal.

Ramai di kalangan rakyat yang mengeluh kerana letih bila mendengar khabar angin tentang ‘numbers’ ini. Mereka mahu kehidupan yang aman tanpa resah dengan ulah orang politik.  Cukup-cukuplah, sudah-sudahlah. Maka pada malam itu, di atas nasihat kawan-kawan, nama kumpulan Whatsapp diubah kepada ‘Majlis Hari Raya Sahabat.’