MAAFCAKAP 17.5.2023
Pada Ahad lalu saya dan teman-teman penulis mengadakan sesi sembang Buku dan Kopi. Pertemuan santai sesama penulis anjuran kedai buku Iqraread ini diadakan tiga minggu sekali. Kami seronok bertemu untuk sekian kalinya. Hampir dua bulan kami tidak berjumpa kerana sesi ditangguhkan kerana puasa.
Sambil mengunyah kuih bangkit, kami berbicara mengenai Pesta Buku Antarabanga Kuala Lumpur yang bakal menjelang mulai 26 Mei ini. Selain dari mengimbau pesta buku 2022 yang dikatakan mendapat sambutan paling hangat, kami semua bersetuju yang pesta buku pada tahun ini juga akan mendapat sambutan yang tidak kurang hebatnya. Ditambah pula dengan acara Cosplay @ PBAKL, bersedialah untuk bersesak dan berasak.
Ada satu perkara yang menarik perhatian kami ketika berbincang mengenai tema tahun ini. Oleh kerana kami bernaung dari pelbagai syarikat, kami telah sepakati karya yang mempunyai unsur-unsur healing menjadi pilihan beberapa buah syarikat penerbitan. Maknanya, dalam karya-karya yang diterbitkan, unsur healing dijadikan mesej atau subteks.
Nampaknya syarikat-syarikat penerbitan buku peka dengan buzzword ataupun perkataan atau frasa yang menjadi sebutan ramai pada satu-satu masa. Buzzword boleh menjadi faktor pelaris. Pada waktu ini, perkataan healing menjadi buzzword. Bercuti tidak disebut sebagai berehat, tetapi healing. Melancong bukan juga berekreasi tetapi healing. Makan sedap-sedap pun, bukannya berjamu, tetapi healing juga.
Pihak penerbit kini lebih peka untuk menggunakan apa jua perkataan atau peristiwa yang popular pada satu-satu masa. Contohnya, Kumpulan Karangkraf menggunakan imprint K-Lit iaitu singkatan dari Karangkraf Literature. Huruf ‘K’ juga adalah singkatan dari karya-karya dari Korea seperti K-Drama dan K-Pop. Ada sublime ‘Korea’ dengan penggunaan huruf ‘K’ di situ.
Buzzword juga sudah lama ada di kalangan masyarakat Malaysia. Tidak lama dahulu, netizen menggunakan buzzword, ‘move on’ sebagai istilah motivasi untuk mereka yang tidak boleh melupakan kisah lalu. Sekali-sekala juga istilah play victim menjadi buzzword untuk menegur mereka yang berpura-pura menjadi mangsa keadaan sedangkan merekalah pencetus angkara.
Dalam dunia artis kini timbul buzzword ‘penyondol,’ iaitu gelaran untuk mereka yang merampas kepunyaan orang lain samada suami ataupun kekasih orang. Kita ada buzzword ‘sakau’ khususnya dalam dunia politik untuk menggelar mereka yang dikatakan mencuri duit. Tidak tahu bagaimana perkataan sakau ini diertikan sebagai mereka yang menyonglap duit. Carian dalam Kamus Dewan di internet tidak menemui perkataan sakau. Tetapi dalam bahasa Indonesia, sakau bererti seseorang yang kecanduan.
Kita tentu ingat buzzword ‘mengancam’ bagi menggambarkan seseorang yang jelita. Juga buzzword ‘meracun’ untuk menggantikan perkataan mempengaruhi. ‘Ada umph’ pula istilah yang diambil dari iklan Teh Boh yang membawa maksud ‘hebat.’
Sekitar tahun 70-an pula ada frasa ‘steady-lah’ yang membawa maksud ‘come on-lah.’ Istilah ‘steady-lah’ ini mula-mula diperkenalkan oleh artis Ahmad Daud melalui rancangannya Ahmad Daud Show. Ramai yang masih ingat buzzword ‘merah sangatlah mak ngah’ iaitu usikan pada wanita yang khususnya cantik bila berpakaian merah. Ia diambil dari iklan Amanah Saham Nasional.
Jika orang barat menggunakan perkataan ‘tall, dark and handsome’ untuk lelaki yang kacak, di negara kita ada frasa ‘besar, teguh dan peramah,’ yang dipopularkan dari iklan bank Standard Chartered.
Buzzword itu adalah satu trend. Kita tidak tahu asal usulnya tetapi tiba-tiba ia menjadi sebutan ramai. Media sosial kini menjadi pangkalan munculnya penggunaan buzzword kerana ia mudah menular. Satu perkataan buzzword sahaja boleh merumuskan maksud satu ayat. Ini menjimatkan masa untuk memahami satu-satu hal.
Dalam dunia profesional pun ada juga buzzword yang disebut sebagai jargon. Jargon seperti ‘big data,’ ‘gig economy,’ ‘disruptive technology’ ataupun ‘low hanging fruit’ adalah jargon terkini yang kerap digunakan.
Buzzword tidak begitu bahaya melainkan jika ia digunakan untuk mengutuk atau mempersenda. Penggunaannya oleh seseorang menggambarkan yang dia adalah orang yang moden dan semasa. Ia adalah stail dalam berkomunikasi. Ia juga bagai fesyen dalam bahasa.