BLOG

Mengapa Kita Berbahasa Celupar?

Mengapa Kita Berbahasa Celupar?

AKHIR-AKHIR ini kita biasa terbaca, mendengar atau berdepan dengan orang yang berbahasa celupar. Orang sekarang kata, bercakap lepas. Malah orang bercakap lepas juga dikenali sebagai orang berlidah laser ini sudah menjadi suatu sikap yang diterima umum.

2. Memanglah bahasa yang celupar, kasar atau kesat ini menyakitkan hati. Namun, mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini semakin ramai jika kita menelusuri Facebook, Twitter, forum, blog, ataupun komen-komen mereka di laman berita dalam talian. Patah perkataan yang dipilih boleh membuat darah kita mendidih dan otak kita menggelegak.

3. Apa nak jadi dengan masyarakat kita hari ini? Kalau mereka bercakap dengan nada kasar, kesat dan marah-marah, tentu orang yang mendengar atau membacanya boleh tutup telinga atau pejam mata. Komunikasi yang celupar ini terjadi di antara ibubapa dan anak; ketua dan anak buah; pemimpin dan pengikut serta penguasa dan rakyat.

4. Pihak yang dikuasai, berkomunikasi dengan bahasa yang kasar dan kesat hingga membuatkan pihak yang berkuasa rimas lalu tidak mahu melayan apa sahaja desakan mereka yang dikuasai. Sekali pandang, kita berasa seolah-olah mereka yang berbahasa kasar dan kesat ini bagai orang yang tidak sayang mulut. Dan pihak yang berkuasa pula berperangai sombong pula.

5. Saya cenderung untuk mengatakan mereka kurang perbendaharaan kata kerana kurang bergaul dan juga kurang membaca. Kurang bergaul dalam erti kata, bergaul dan menyelami adab bertutur tutur kata golongan profesional, ilmuwan, sasterawan, bangsawan dan pelbagai golongan selain daripada kelompok mereka.

6. Saya suka untuk melihat mereka yang berbahasa celupar ini sebagai golongan yang kurang perbendaharaan kata. Oleh kerana kurangnya perbendaharaan kata yang terkumpul di minda mereka, hanya perkataan yang kasar sahaja yang diucapkan. Hinggakan kita rasa bahasa kesat itu seolah-olah mencerminkan peribadi mereka.

7. Pergaulan yang luas boleh mempelbagai pemilihan istilah kata agar mampu menggunakan istilah yang lebih halus. Kurangnya membaca juga khususnya bahasa akhbar, bahasa buku, jurnal ataupun laporan menjadikan bahasa mereka ini lebih kasar dan tidak tersusun.

8. Kerana kurang bergaul dan membaca, mereka hanya punyai perasaan yang ekstrim. Mereka hanya tahu perasaan cinta atau benci serta gembira atau duka. Segala istilah di antara suka atau benci dan gembira atau duka itu tiada di dalam perbendaharaan kata mereka.

9. Seseorang yang cintakan seorang gadis itu sebenarnya bukan sahaja suka, tetapi bahagia, sayang, seronok, kasih, kasihan atau prihatin pada seseorang itu. Seseorang yang benci pula sebenarnya mungkin irihati, cemburu, meluat atau rimas. Seseorang yang gembira pula sebenarnya mungkin riang, ria dan teruja. Dan tentu sekali orang yang berduka itu, mungkin muram, susah hati, merana atau kecewa.

10. Malangnya, mereka yang berkuasa seperti ibubapa, ketua, pemimpin dan penguasa iaitu mereka yang kaya dengan perbendaharaan kata pun, terlupa akan realiti ini. Mereka menganggap pihak yang dikuasai ini, oleh kerana kurang perbendaharaan kata adalah golongan yang kurang ajar dan tidak perlu dipandang dengan sebelah mata pun.

12. Oleh kerana dunia komunikasi hari ini sudah begitu terbuka sekali, maka golongan yang bijak pandai tidak boleh lagi mengenepikan golongan yang dilihat sebagai mereka yang punyai bahasa yang kesat ini. Dengarlah isihati mereka ini, bukan luahan kata.angan baca apa yang tertulis, tetapi apa yang tersirat kerana di situ ada rintihan dan raungan yang ingin diperdengarkan.

Eksklusif Bersama Elly Jalil

Eksklusif Bersama Elly Jalil

ELLY JALIL adalah penulis yang masih mencari nama. Tidak ramai yang tahu wanita ini gigih dalam dunia penulisan. Beliau kerap sekali mengikuti pelbagai kursus penulisan anjuran persatuan dan juga individu untuk menggali pengetahuan dalam bidang yang diminatinya.

Elly Jalil bersama dengan peminatnya – foto Elly Jalil

Walaupun begitu, beliau berjaya menerbitkan sebuah buku sumber manusia berjudul Buku Tip Memikat Temuduga Swasta. Elly, seorang petugas di sektor sumber manusia ini juga adalah seorang jurulatih, kaunselor, ghost writer dan pastinya seorang pencinta buku.

Berasal dari Temoh, Perak; beliau pernah menuntut di SMK Sri Kampar, Perak dan juga Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pelajarannya di UPM. Kita ikuti e-temubual dengan Elly Jalil…

Sila nyatakan pencapaian pendidikan dan jawatan saudari…

Saya berkelulusan Sarjana Pendidikan (M.Edu) Bimbingan & Kaunseling, dari Universiti Putra Malaysia. Sebelum itu saya memperoleh Sarjana Muda dengan kepujian dalam bidang Komunikasi, juga dari Universiti Putra Malaysia.

Kini saya bertugas sebagai Eksekutif Pentadbiran dan Sumber Manusia di Pos Malaysia.

Apa yang mencetus idea Elly untuk menulis buku ini?

Setelah berpengalaman lebih 15 tahun di dalam bidang sumber manusia ini, saya dapati calon temuduga yang sering melakukan kesalahan yang sama. Kerana itu saya ingin berkongsi tip ‘dos and don’ts dengan calon-calon temuduga melalui buku ini.

Buku Tip Memikat Temuduga SWASTA ini ditujukan untuk jawatan di peringkat mana?

Ia sesuai untuk semua peringkat terutamanya kepada mereka yang baharu menamatkan pengajian dan juga untuk yang mahu peningkatan kerjaya.

Boleh nyatakan di antara topik-topik dan bahagian yang terkandung di dalam buku ini?

Di antara topik yang menarik ialah, ‘Mengapa tidak menerima panggilan temu duga,’ ‘Persiapan semasa temu duga,’ ‘Menjadi calon pertama yang diingati majikan,’ ‘Menjawab soalan seperti juara’ dan ‘Bonus: 20 contoh soalan kepada soalan terakhir panel.’

Apa kelebihan buku ini berbanding dengan lain-lain buku di pasaran?

Buku ini berlainan kerana tidak banyak buku mengenai temuduga yang menyentuh bagaimana panel temuduga menilai jawapan seseorang calon.

Bagaimana untuk mendapatkan buku ini?
Boleh sahaja ke FB FB personal Elly Jalil, & FB Page Elly Amanda atau melalui Instagram, Elly Jalil. Boleh juga hubungi saya di telefon 0172942625. Ataupun boleh juga  berikan link/emel untuk pembelian online.

Apakah ada rancangan untuk menulis siri ‘Buku Temuduga’ yang lain?

Ada. Saya sedang mengusahakan sebuah buku mengenai penyediaan resume yang berkesan dan juga contoh-contoh soalan temu duga.

TIP MEMIKAT TEMUDUGA SWASTA

Bahasa: Bahasa Inggeris
Genre: Kanak-Kanak
Penerbitan: 2017, DrBashi
Halaman: 48
Penulis: Golbarg Bashi (Twitter)
Illustrator: Golrokh Nafisi


Apa Harta Pusaka Kita untuk Anak Cucu?

Apa Harta Pusaka Kita untuk Anak Cucu?

DALAM perjalanan pulang ke kampung, saya singgah ke sebuah warung di sebuah pekan kecil.  Sambil menghirup teh, saya terdengar perbualan tiga orang lelaki di meja sebelah.

Keris – foto oleh deskgram

2. Seorang lelaki bermisai tebal yang menguasai perbualan bercerita secara bersungguh-sungguh susur galur kepahlawanan moyangnya. Dengan bangganya dia menunjukkan album foto kecil yang mengandungi gambar keris, kerambit, pending dan tengkolok moyangnya yang menjadi pendekar menentang British. 

3. Saya amat menghormati orang yang kenal sejarah asal-usul. Sejarah sentiasa mengajar kita mengatur wawasan. Tanpa mengenali sejarah, sesuatu bangsa itu akan hanyut dan tenggelam ditelan masa.

4. Buat lelaki yang bermisai tebal itu, dia ada sesuatu untuk dibanggakan. Mudah-mudahan dia tidak berasa rendah diri tetapi berani memandang ke hadapan berbekalkan semangat yang ditinggalkan oleh moyangnya.

5. Dalam pada itu saya sudah lama terfikir, kalau orang dahulu meninggalkan harta pusaka berbentuk senjata, barang kemas dan perhiasan; atau kebun yang sekangkang kera mahupun yang berhektar-hektar luasnya, apa yang orang sekarang dapat tinggalkan kepada anak cucu?

6. Kita tidak ada peralatan kegunaan seperti keris dan pedang atau perhiasan seperti pending dan loket bermata sebesar guli untuk anak cucu. Mana mungkin pula kita tinggalkan peralatan sekarang yang berupa alat elektrik atau eleketronik yang tidak berfungsi lagi?

7. Teknologi yang pantas berubah akan menjadikan pusaka tinggalan kita yang berupa barangan elektrik dan elektronik itu sampah yang akan dibuang oleh anak cucu. 

8. Saya pernah terfikir, kalau ahli arkeologi berasa hebat bila menemui pinggan mangkuk lama dan sompek setelah menggali di sesebuah tapak tamaddun, apakah 500 tahun lagi ahli arkeologi akan datang akan bangga bila menemui pinggan mangkuk plastik tinggalan kita? (Maaf cakap, saya hanya terfikir dan bukannya hendak mempersenda profesion ahli arkeologi).

9. Kerana itu saya percaya, salah satu cara yang bagus, menarik dan murah untuk kita membuat tinggalan sejarah untuk anak cucu adalah dalam bentuk tulisan. Sementelah pada hari ini, kita lebih banyak menaip daripada menulis dengan pen atau pensel, dan sebilangan besar daripada kita memang sudah pandai mengarang, mengapa tidak kita tinggalkan bahan fikiran, ilmu dan nasihat kepada anak cucu dalam bentuk itu? 

10. Tidak kiralah samada tulisan kita dalam bentuk blog atau jurnal, biarlah bila kita hendak menutup mata, antara nota wasiat yang kita tinggalkan itu adalah alamat blog, jurnal atau laman web peribadi untuk tatapan anak cucu. 

11. Bagaimana pun, adalah molek kalau peninggalan itu dibuat dalam bentuk buku. Dunia teknologi percetakan pada hari ini membolehkan kita menerbitkan buku-buku digital dalam bentuk cakera padat mahupun dalam bentuk cetakan meskipun jumlah yang diingini hanya 10 naskhah.

12. Mereka yang hebat seperti tokoh politik, agama, korporat dan ahli akademik mesti merakam fikiran mereka dalam bentuk penulisan sebagai bahan rujukan anak bangsa. Sayang sekali kalau mereka hanya mahir bercakap, berceramah dan berpidato tetapi inti fikiran mereka ditulis oleh orang lain, yang tentunya dalam bentuk cebisan-cebisan idea yang tidak tersusun. 

13. Tokoh ilmuan dahulu meninggalkan ilmu mereka dalam bentuk tulisan yang kemudian menjadi panduan kita hingga ke hari ini. Ibn Kathir yang meninggal pada 1373 mewariskan buku sejarah yang terkenal seperti Bidayah wan Nihayah. Imam Nawawi yang meninggal pada tahun 1278 pula menghasilkan buku zikir sahih Kitabul Adzkar.

14. Imam Al-Ghazali; meninggal pada 1111 menulis banyak buku termasuk ilmu panduan beragama Ihya’ Ulumuddin yang masih digunakan di majlis-majlis ilmu di Malaysia.

15. Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang meninggal pada 1981 adalah seorang ahli politik dan ulamak yang tersohor di nusantara juga menulis banyak buku dan yang paling terkenal adalah tafsir al-Quran yang dikenali sebagai Tafsir Hamka.

16. Inilah tinggalan pusaka yang jauh lebih bernilai daripada sebilah keris yang hanya tersimpan di dalam kain kuning, di dalam sebuah kotak kayu dan di dalam sebuah almari using pula. Keris pusaka hanya boleh ditatap dengan rasa bangga. Tidak lebih daripada itu.

Novel Harry Potter dilelong RM 160,000 senaskhah!

Novel Harry Potter dilelong RM 160,000 senaskhah!

EDISI pertama novel Harry Potter akan dilelong dengan harga di antara £20,000 hingga £30,000 iaitu di antara RM106,000 hingga RM160,000.

Poster filem Harry Potter and the Philosopher’s Stone – foto oleh originalvintagemovieposters

Naskhah Harry Potter and the Philosopher’s Stone ditawarkan di Forum Auction pada Khamis lalu. Naskhah itu adalah di antara 500 naskhah ‘edisi pertama, cetakan pertama.’

Novel itu sendiri bukannya naskhah cantik yang tidak terusik. Malah,  ia adalah naskhah perpustakaan yang punyai kesan cop dakwat. Sudut novel itu pun tidak licin kerana terdapat kesan plastik yang menggelupas. Maknanya buku itu ada cacat dan celanya.

Bagaimana pun, berbanding dengan naskhah-naskhah perpustakaan yang lain, novel itu boleh dikira dalam keadaan yang baik. Dua tahun lalu, sebuah novel daripada ‘edisi pertama, cetakan pertama’ terjual dengan harga RM160,000.

Kulit buku Harry Potter and the Philosopher's Stone yang rate - foto oleh bloomsbury
Kulit buku Harry Potter and the Philosopher’s Stone yang rate – foto oleh bloomsbury

Oleh itu, jika anda ingin tahu samada buku Harry Potter and the Philosopher’s Stone yang anda miliki adalah ‘edisi pertama, cetakan pertama’ yang mungkin bernilai ratusan ribu ringgit, anda perlu perhatikan ciri-ciri naskhah yang anda miliki sebagaimana berikut:

Pertama, terdapat kesilapan cetak di halaman 53. Perkataan ‘1 wand’ dicetak dua kali. Kedua, jika nombor siri cetakannya ialah 10987654321 dan ketiga, jika buku itu adalah penghargaan dari ‘Joanne Rowling’ (bukannya JK Rowling) ini bermakna anda punyai naskhah yang amat tinggi nilai jualannya.

Tukul Lelong - foto oleh mynewcastle
Tukul Lelong – foto oleh mynewcastle

Buku rare kini menjadi kegilaan mereka yang suka mengumpul buku untuk koleksi peribadi. Di Malaysia sendiri, semakin ramai peminat buku sudah mula menilai ‘buku pertama, cetakan pertama.’

Menurut sumber, buku ‘naskhah pertama, cetakan pertama’ novel Ramlee Awang Murshid boleh mencapai harga RM500 senaskhah. Jumlahnya kecil menurut nilai buku-buku JK Rowling. Tetapi berapa ramai di antara kita di Malaysia yang sanggup membeli buku berharga RM500 senaskhah?

*adaptasi artikel Claire Reid di ladbible.com

Orang Indonesia Memang Gila Membaca!

Orang Indonesia Memang Gila Membaca!

Kanak-kanak Indonesia dalam kempen membaca - foto Harian Nasional
Kanak-kanak Indonesia dalam kempen membaca – foto Harian Nasional

DENGAN sepenuh tenaga, seorang lelaki menolak beca beroda tiganya lalu menghidupkan enjinnya. Si tuanpunya Sutino “Kinong” Hadi, tertawa gembira apabila becanya laju membelok ke sebuah tadika di Tanah Abang, di Jakarta Tengah

Bunyi motorsikalnya itu menarik kira-kira 20 orang kanak-kanak keluar dari kelas untuk mengerumuni becanya. Inilah waktu yang menggembirakan kanak-kanak itu kerana perpustakaan yang dinanti dah sampai!

Sutino Kinong Hadi mengagih buku kepada kanak-kanak - foto oleh Sian Cain, the Guardian
Sutino Kinong Hadi mengagih buku kepada kanak-kanak – foto oleh Sian Cain, the Guardian

Kinong adalah seorang di antara ribuan warga Indonesia yang membuka perpustakaan untuk komuniti mereka. Dia adalah di antara ribuan perpustakaan yang sebegitu di Indonesia.

Perpustakaan bergerak ini dimulakan oleh orang biasa yang ingin mengatasi kekurangan bahan bacaan dalam komuniti mereka. Akhirnya usaha mereka mendapat bantuan oleh mereka yang menyokong idea itu.

Salah sebuah Perahu Pustaka di Sulawesi - foto oleh Tribun Lampung
Salah sebuah Perahu Pustaka di Sulawesi – foto oleh Tribun Lampung

Perahu Pustaka adalah perpustakaan bergerak. Tetapi ia adalah bot yang belayar di sekeliling pantai Barat Sulawesi. Ada juga perpustakaan bergerak yang diletak di kereta sorong sayur, rak buku yang diikat pada kuda seperti di Serang dan juga di Barat Papua.

Di Banten pula, kira-kira 200 ahli kumpulan bermotorsikal Komunitas Motor Literasi mengangkut buku-buku dari rumah ke rumah di motorsikal mereka seperti pesanan bawa pulang.

Kempen membaca komunitas motor literasi - foto oleh Banyuwangi Merdeka
Kempen membaca komunitas motor literasi – foto oleh Banyuwangi Merdeka

Kesemua perpustakaan bergerak ini diusahakan oleh orang biasa yang inventif dan berpandangan jauh seperti Kinong, 59, yang tidak lagi bersekolah sebelum berusia 9 tahun. Malah, sejak 2013 lagi beliau sudah memarkir motorsikal perpustakaan bergeraknya di luar sekolah di Tanah Abang.

Indonesia adalah sebuah negara yang mempunyai lebih 17,000 pulau. Ia sentiasa berusaha untuk mempromosi tabiat membaca di kalangan rakyatnya bagi meningkatkan kepandaian rakyatnya. Menurut laporan pendidikan, untuk setiap 100 orang pelajar, hanya suku daripadanya tamat dengan kemahiran minima membaca dan mengira.

Kuda juga diguna sebagai perpustakaan di Serang, Indonesia - foto oleh Daily Mail
Kuda juga diguna sebagai perpustakaan di Serang, Indonesia – foto oleh Daily Mail

Hanya 30 % kampung-kampung di Indonesia yang mempunyai perpustakaan. Kadangkala ada yang sekadar mempunyai beberapa naskhah al-Quran di khutub khanah. Pihak kerajaan pula telah banyak mengadakan penggalakkan membaca yang di antaranya ialah membuat peraturan supaya setiap pelajar membaca bukan buku teks selama 15 minit setiap hari. Dan, pada setiap 17 haribulan pula, sesiapa sahaja boleh mengirim buku secara pos dengan percuma.

Tetapi masyarakat Indonesia berpendapat, minat membaca bukan masalahnya. Masalahnya ialah prasarana. “Selera membaca bukannya rendah di Indonesia. Cuma kita kekurangan buku,” kata Laura Prinsloo, seorang penerbit dan Pengerusi Jawatankuasa Buku Indonesia. Katanya, jutaan rakyat mengirim buku pada 17 haribulan. “Di Indonesia, bila kerajaan gagal, rakyatnya akan bangkit.”

Kiosk Books on the Move di LRT - foto myrapid
Kiosk Books on the Move di LRT – foto myrapid

Di Malaysia pula bagaimana, ya? Kempen menarik pembaca di kalangan rakyat sendiri pun bermusim. Kadang-kadang ada, selalunya tak ada. Kalau ada pun inisiatif yang serius dipelopori oleh Books on the Move yang menyediakan sudut buku di beberapa stesyen LRT.

Dalam hal penggalakkan membaca, jelas kita kalah dengan kecekalan dan kegilaan rakyatnya menghidupkan kempen membaca. Tidak perlu inisiatif dari kerajaan, pun!

*Artikel adaptasi tulisan asal Sian Cain, The Guardian

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]