DALAM perjalanan pulang ke kampung, saya singgah ke sebuah warung di sebuah pekan kecil. Sambil menghirup teh, saya terdengar perbualan tiga orang lelaki di meja sebelah.
2. Seorang lelaki bermisai tebal yang menguasai perbualan bercerita secara bersungguh-sungguh susur galur kepahlawanan moyangnya. Dengan bangganya dia menunjukkan album foto kecil yang mengandungi gambar keris, kerambit, pending dan tengkolok moyangnya yang menjadi pendekar menentang British.
3. Saya amat menghormati orang yang kenal sejarah asal-usul. Sejarah sentiasa mengajar kita mengatur wawasan. Tanpa mengenali sejarah, sesuatu bangsa itu akan hanyut dan tenggelam ditelan masa.
4. Buat lelaki yang bermisai tebal itu, dia ada sesuatu untuk dibanggakan. Mudah-mudahan dia tidak berasa rendah diri tetapi berani memandang ke hadapan berbekalkan semangat yang ditinggalkan oleh moyangnya.
5. Dalam pada itu saya sudah lama terfikir, kalau orang dahulu meninggalkan harta pusaka berbentuk senjata, barang kemas dan perhiasan; atau kebun yang sekangkang kera mahupun yang berhektar-hektar luasnya, apa yang orang sekarang dapat tinggalkan kepada anak cucu?
6. Kita tidak ada peralatan kegunaan seperti keris dan pedang atau perhiasan seperti pending dan loket bermata sebesar guli untuk anak cucu. Mana mungkin pula kita tinggalkan peralatan sekarang yang berupa alat elektrik atau eleketronik yang tidak berfungsi lagi?
7. Teknologi yang pantas berubah akan menjadikan pusaka tinggalan kita yang berupa barangan elektrik dan elektronik itu sampah yang akan dibuang oleh anak cucu.
8. Saya pernah terfikir, kalau ahli arkeologi berasa hebat bila menemui pinggan mangkuk lama dan sompek setelah menggali di sesebuah tapak tamaddun, apakah 500 tahun lagi ahli arkeologi akan datang akan bangga bila menemui pinggan mangkuk plastik tinggalan kita? (Maaf cakap, saya hanya terfikir dan bukannya hendak mempersenda profesion ahli arkeologi).
9. Kerana itu saya percaya, salah
satu cara yang bagus, menarik dan murah untuk kita membuat tinggalan sejarah
untuk anak cucu adalah dalam bentuk tulisan. Sementelah pada hari ini, kita
lebih banyak menaip daripada menulis dengan pen atau pensel, dan sebilangan
besar daripada kita memang sudah pandai mengarang, mengapa tidak kita
tinggalkan bahan fikiran, ilmu dan nasihat kepada anak cucu dalam bentuk
itu?
10. Tidak kiralah samada
tulisan kita dalam bentuk blog atau jurnal, biarlah bila kita hendak menutup
mata, antara nota wasiat yang kita tinggalkan itu adalah alamat blog, jurnal
atau laman web peribadi untuk tatapan anak cucu.
11. Bagaimana pun, adalah molek kalau peninggalan itu dibuat dalam bentuk buku. Dunia teknologi percetakan pada hari ini membolehkan kita menerbitkan buku-buku digital dalam bentuk cakera padat mahupun dalam bentuk cetakan meskipun jumlah yang diingini hanya 10 naskhah.
12. Mereka yang hebat seperti tokoh politik, agama, korporat dan ahli akademik mesti merakam fikiran mereka dalam bentuk penulisan sebagai bahan rujukan anak bangsa. Sayang sekali kalau mereka hanya mahir bercakap, berceramah dan berpidato tetapi inti fikiran mereka ditulis oleh orang lain, yang tentunya dalam bentuk cebisan-cebisan idea yang tidak tersusun.
13. Tokoh ilmuan dahulu meninggalkan
ilmu mereka dalam bentuk tulisan yang kemudian menjadi panduan kita hingga ke
hari ini. Ibn Kathir yang meninggal pada 1373 mewariskan buku sejarah yang
terkenal seperti Bidayah wan Nihayah. Imam Nawawi yang
meninggal pada tahun 1278 pula menghasilkan buku zikir sahih Kitabul
Adzkar.
14. Imam Al-Ghazali; meninggal pada 1111 menulis banyak buku termasuk ilmu panduan beragama Ihya’ Ulumuddin yang masih digunakan di majlis-majlis ilmu di Malaysia.
15. Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah yang meninggal pada 1981 adalah seorang ahli politik dan ulamak yang tersohor di nusantara juga menulis banyak buku dan yang paling terkenal adalah tafsir al-Quran yang dikenali sebagai Tafsir Hamka.
16. Inilah tinggalan pusaka yang jauh lebih bernilai daripada sebilah keris yang hanya tersimpan di dalam kain kuning, di dalam sebuah kotak kayu dan di dalam sebuah almari using pula. Keris pusaka hanya boleh ditatap dengan rasa bangga. Tidak lebih daripada itu.