Pesan Lee Chong Wei untuk Kita Semua
Kita semua mengharap juara badminton negara Datuk Lee Chong Wei dapat kembali ke gelanggang. Namun apabila beliau mengumumkan mahu mengadakan satu sidang akhbar, kita dapat mengagak apakah tujuannya.

Kita terkilan, namun tidak berasa kecewa apabila Datuk Lee Chong Wei mengumumkan keputusan untuk menggantung reketnya. Malah kita sedar dan merestui kehendaknya untuk bersara. Biarlah. Biarlah kita tiada juara baharu dalam setahun dua ini.
Hero kita ini patut berehat secukupnya setelah keluar masuk gelanggang untuk menunjukkan belang melalui semangat kentalnya. Dan semangat itu telah menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
Di atas semangat itu juga LAYARMINDA memaparkan warkah Datuk Lee Chong Wei yang ditujukan kepada kita semua. Tabik untuk legen ini!
…………………………………………………
Buat semua rakan-rakan, keluarga dan para peminat,
Untuk anda sekalian yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Terima kasih. Setulusnya terima kasih.
Beberapa bulan yang lalu, anda semua tahu yang saya disahkan menghidap kanser. Saya melawannya. Dan saya yakin yang saya telah menentang penyakit itu dengan baik. Dan saya rasa, saya akan cuba sekali lagi.
Saya hanyalah seorang insan yang sukakan badminton. Seseorang yang menyintai negara saya. Tetapi saya bimbang untuk bersara dengan penyesalan. Saya risau kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas Olimpik untuk Malaysia. Kerana itu, apabila saya disahkan pulih daripada kanser, saya menggenggam raket dan berlatih kembali.
Selepas beberapa hari menjalani latihan ringan, saya menemui doktor untuk mendapat pengesahan agar dapat meningkatkan intensiti latihan. Tetapi saya terpukul apabila doktor saya menggeleng setelah melihat hasil imbasan. Katanya, saya menghadapi risiko yang penyakit itu mungkin berulang seandainya saya terus berlatih. Mew Choo menangis. Dia bimbang yang saya mungkin bersikap degil lalu terus mengejar impian saya.

Saya rasa kehilangan. Saya terfikir, “Macam mana saya nak gantung reket setelah hampir 20 tahun bertanding di arena badminton? Macam mana dengan impian Olimpik saya?”
Di rumah, saya mengisi masa dengan kedua-dua anak saya, Kingston dan Terrence. Saya mandikan mereka, saya suapkan makanan, saya latih mereka dengan badminton. Saya menghabiskan masa dengan mereka. Yang lebih penting, saya lihat mereka membesar.
Tiba-tiba terlintas di fikiran untuk membuat keputusan. Saya tak boleh tamak. Saya telah bermain untuk diri saya. Saya juga telah bermain untuk negara saya. Kali ini, saya mahu memainkan peranan sebagai seorang ayah yang saya telah lama impikan. Saya mahu lihat mereka dewasa sebagai manusia yang sempurna, berkahwin dan berkeluarga. Saya mahu menjaga isteri saya kerana dia juga akan menjadi tua.
Justeru, ya… saya telah membuat keputusan untuk bersara. Saya mohon maaf kerana tak dapat ke Tokyo pada kali ini. Dan saya mohon maaf kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas Olimpik. Tapi saya tahu yang saya tidak menyesal kerana telah melakukan yang terbaik.

Saya harap nama Lee Chong Wei telah memberi anda inspirasi, sama juga seperti anda sekalian yang turut memberi inspirasi kepada saya. Tanpa keluarga, rakan sepasukan, para jurulatih dan para penyokong saya, mustahil saya akan dapat capai apa-apa.
Kepada rakan-rakan badminton saya seperti Lin Dan, Taufik, Peter Gades dan Lee Hyun II, masa saya telah tiba. Terima kasih di atas pertarungan hebat yang kita telah lalui. Semamangnya ia menakjubkan tetapi saya fikir era kita sudah menghampiri ke akhir. Momota, Victor, Yuqi dan Zi Jia nampaknya mampu menguasai kubu masing-masing. Nyatakan kepada dunia bahawa badminton adalah sukan yang terbaik di bumi ini.
Kepada para pemain Malaysia, jangan putus harapan dari impianmu. Ingatlah, ada ribuan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaanmu. Berlatihlah dengan lebih tekun setiap hari. Sentiasalah memperbaiki rekod latihan semalam. Usia ahli sukan memang singkat. Jangan akhiri ia dengan penyesalan. Sebenarnya ada Ali, Muthu atau Ah Meng yang berusia 5 tahun sedang mengkagumimu, menjadikan kamu superhero mereka. Jangan kecewakan mereka. Bermainlah untuk Jalur Gemilang, bermainlah untuk Negaraku.
Saya tak kesal. Apabila saya mula bermain badminton apa yang saya ingini ialah untuk mewakili Malaysia. Dan saya percaya telah melakukannya dengan perasaan bangga lagi bermaruah.
Sekian sahaja. Terima kasih kepada semua.
Lee Chong Wei mengundur diri.
*petikan dari FB Lee Chong Wei

Salut kita buat seorang juara negara…
Tempat Kelahiran Bawa Tuah Kepada Penulis

Novel sulung penulis Emily Ruskovich berjudul IDAHO telah memenangi sayembara International Dublin Literary Award. Meskipun tercalon di antara novelis-novelis terkenal, yang di antaranya ialah George Saunders, Sally Rooney dan Bernard MacLaverty, novel Emily telah terpilih. Beliau membawa pulang €100,000 atau RM470,000.
IDAHO terpilih setelah sejumlah 141 judul novel dipertandingkan. Kesemua judul-judul itu dipilih oleh perpustakaan di 115 bandaraya dari 41 buah negara. Novel tersebut berlatarkan tempat di Idaho, Amerika Syarikat yang merupakan tempat kelahiran penulis.
“Saya amat terharu dan berterima kasih,” kata Emily. “Saya hilang kata-kata dengan kejayaan ini. Bila nama saya dibariskan bersama-sama dengan penulis George Saunders dan Sally Rooney itupun adalah suatu pengiktirafan yang amat bermakna.”

Novel IDAHO adalah sebuah kawasan pedalaman, tempat penulis membesar. Sepasang suami isteri dan dua orang anak gadis mereka masuk ke kawasan pergunungan untuk mencari kayu api.
Sesuatu yang di luar jangkauan fikiran telah berlaku lalu memisahkan mereka. Novel itu mengisahkan rentetan daripada peristiwa itu dalam jangka waktu 50 tahun. Novel itu digarap dengan gaya puisi dan berkisah dari sudut pandang psikologi.
Enam tahun masa diambil untuk menyudahkan IDAHO. Pada mulanya ia hanyalah sebuah novelet. Namun pihak penerbit mencadangkan agar Emily menjadikan ia sebuah novel. Ternyata tindakan itu berbaloi.

Menurut juri Eilís Ní Dhuibhne, “Novel ini begitu menguja. Prosanya mantap. Perwatakannya sempurna. Ia juga adalah sebuah novel yang menerapkan emosi yang mendalam dan menggetar hati.”
Yan Ge, seorang lagi juri pula mengulas, “Saya terpesona dengan naratifnya mulai perenggan pertama lagi. Emily adalah seorang penulis yang punyai visi yang mempersona.”
*Emily adalah pensyarah di Boise State University dan kini tinggal di bandaraya Idaho.
Ikuti video Emily Ruskovich mengenai Idaho:
Pautan asal:
Dua Anak Perempuan Novelis Resmanshah Maut
Dua orang anak perempuan novelis Resmanshah maut apabila kereta yang dipandu isterinya hilang kawalan dan terbabas ke dalam gaung di Kilometer 56 Jalan Kalabakan-Sapulut dekat Tawau, kelmarin.

Dalam insiden jam 8 pagi itu, Nur Halisa Sufiyya Resmanshah, 7, dan Nur Syaakur Safiyyah Resmanshah, 5, yang juga murid-murid di PASTI As-Syakirin Taman Pinggiran USJ telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Menurut siasatan awal polis, kenderaan Pajero Sport yang dalam perjalanan dari Tawau ke Labuan yang dipandu isteri penulis Nur Asilah Abd Majid, 33, itu terbabas ke bahu jalan sebelum terjatuh ke dalam gaung.

Akibatnya, Nur Halisa Sufiyya dan Nur Syaakur Safiyyah yang duduk di kerusi belakang tercampak keluar dan maut di tempat kejadian.
Resmanshah, isteri bersama seorang anak mereka hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita sedih itu mengejutkan rakan-rakan penulis. Halaman Facebook Buku Prima, Lejen Press dan Tim Buku Puris dipenuhi dengan komen-komen dari kalangan penulis. Zamri Mohamad dari Persatuan Gerakan Penulis Malaysia MyMove dan Gabriel Kimjuan dari Rakan Penulis Labuan turut mengucapkan takziah.
LAYARMINDA turut merakam kesedihan ini dan mendoakan agar novelis Resmanshah dan isteri bersabar dan bertabah berdepan dengan tragedi ini.

*RESMANSHAH menulis beberapa buah novel. Di antaranya ialah novel Karma, Kerusi dan Lif bersama Buku Prima. Beliau juga menulis dengan Lejen Press melalui novel Lelaki dan Sebilah Pisau dan Langit Nan Gelap.
Sumber:
Bernama, SabahNewsToday, Astro Awani
Penulis Novel Seram Nombor Satu di Dunia
STEPHEN EDWIN KING lahir di Portland, Maine, Amerika pada tahun 1947. Apabila ibu dan bapanya berpisah, Stephen dan abangnya David dijagai oleh ibunya.

Beliau mengikuti kelas bahasa di Durham dan Lisbon Falls High School. Di University of Maine pula, beliau mengasah bakatnya dalam penulisan dengan menyumbang artikel di sebuah kolum akhbar kampus.
Pada tahun 1971, Stephen mengahwini Tabitha Spruce setelah berkenalan di perpustakaan universiti. Bila tamat belajar, Stephen bekerja sebagai buruh di sebuah kedai dobi industri sebelum mendapat tempat mengajar. Mereka berdua hidup dengan wang simpanan, pinjaman pelajar dan juga wang daripada honorarium cerpennya di majalah lelaki.

The Glass Floor adalah cerpennya yang pertama tersiar di Startling Mystery Stories pada tahun 1967. Beliau terus menulis dan menrbitkan antologi Night Shift.
Akhirnya Stephen dapat mengajar bahasa Inggeris di Hampden Academy. Pada waktu petang dan hujung minggu, beliau masih menulis cerpen dan mula berjinak-jinak menulis novel.
Pada tahun 1973, novelnya yang pertama Carrie menemui pembaca. Editornya di syarikat penerbitan Doubleday & Co memberikan berita gembira bahawa novelnya itu boleh menjadikan dia sebagai penulis sepenuh masa dan meninggalkan alam perguruan.

Beliau terus menulis novel keduanya ‘Salem’s Lot’ di garaj rumah sewanya di Sebago Lake, Northern Windham. Kemudian beliau menulis The Shining, The Stand dan The Dead Zone.
Kini, setelah 61 buah novel dan lebih 350 juta naskhah novel yang terjual, kita menanti karya terkini Stephen King ~ The Institute yang bakal menemui anda mulai September 2019.
Kita ikuti temubual ringkas dari majalah The Rolling Stones…
Hampir kesemua novel saudara bertemakan seram. Apa yang membuat saudara suka meneroka ke subjek ini?
Seram ada di dalam diri saya. Filem pertama yang saya tonton adalah filem yang menyeramkan berjudul Bambi. Apabila anak rusa itu terperangkap dalam kebakaran hutan, saya jadi takut. Pada waktu yang sama saya berasa seronok.

Apa
yang anda rasa bila menulis novel seram?
Saya seronok bila dapat menakutkan pembaca. Saya pun tahu menakutkan pembaca
ini sesuatu yang diterima masyarakat kerana ada banyak filem seram yang lain di
luar sana.
Kisah seram adalah di antara genre yang kurang dihormati…
Ya. Tapi apa yang boleh saya buat? Cuma, saya rasa saya dapat tingkatkan penghormatan masyarakat terhadap genre ini.
Kini masyarakat sudah tak boleh pertikaikan…
Genre seram kini lebih dihormati. Saya selalu perjuangkan bahawa dalam fiksyen, sesebuah genre itu adalah sastera. Novelis Raymond Chandler telah meningkatkan martabat genre penyiasatan. Mereka yang telah berbuat sesuatu yang hebat telah memadam sempadan-sempadan ini.

Sumber:
stephenking.com
the rolling stones
Tidak Membaca Minda Jadi Kebulur!
BILL GATES, usahawan terkenal seantero dunia dengan perisian Microsoft pernah berkata, dia membaca 50 buah buku setahun. Mengapa tauke perisian yang terkenal itu masih membaca buku? Walhal, dia boleh sahaja melayari laman web? Katanya, itulah salah satu caranya belajar.
2. Meskipun dia kerap bertemu dengan cendekiawan atau menonton kuliah atas talian, buku membolehkan dia mengetahui perkara baharu dan turut menguji kefahamannya. Kadangkala, membaca membolehkan dia melihat sesuatu dari sudut pandang yang berbeza.
3. Memang menakjubkan bagaimana seseorang pakar teknologi maklumat yang hebat sepertinya masih bergantung kepada platform teknologi maklumat yang tua iaitu melalui buku sebagai caranya memahami ilmu. Malah, Bill Gates juga mengaku yang dia bukan kaki e-book!
4. Berdasarkan kata-katanya itu, kita boleh simpulkan tiga perkara. Pertama, membaca buku itu mempunyai keistimewaan dan keunikannya yang tersendiri. Kedua, bahan bacaan di internet sama-sekali tidak dicipta untuk menggantikan buku secara fizikal. Ketiga, jika teknokrat digital hebat seperti Bill Gates membaca buku sebagai platformnya, pasti dia nampak keistimewaan yang kita tidak sedari. Bagi kita internetlah segala-galanya.
5. Jurnal Social Science and Medicine, pula memaparkan dapatan kajian Universiti Yale yang menakjubkan! Menurut kajian selama 12 tahun universiti itu, mereka yang membaca lebih 3.5 jam seminggu akan hidup dua tahun lebih lama kepada sesiapa sahaja tidak kira yang berharta, berpelajaran mahupun menurut jantina.
6. Lebih 3,500 warga emas mengambil bahagian di dalam survei itu. Menurut laporan kajian itu juga, membaca buku lebih bermakna daripada membaca majalah kerana membaca buku mampu merangsang minda untuk berfikir dengan lebih mandalam.
7. Saya berpendapat, majalah yang mempunyai banyak artikel yang pendek-pendek itu hanya mampu merangsang minda secara sebentar. Sebaik sahaja seseorang itu mahu tenggelam di dalam dunia pembacaannya, artikel yang dibaca sudah tamat dan fikirannya terpancung ke suasana semasa.
8. Sebaliknya apabila seseorang membaca buku, kontinuasi isi panjang sesebuah buku itu mampu menarik seseorang itu ke dasar pemikiran bawah sedarnya. Setelah beberapa minit membaca, seseorang itu boleh relaks apabila pemikirannya fokus kepada apa yang dibacanya.
9. Apakah kita tidak boleh membaca e-book? Bukankah isinya sama juga dengan sesebuah buku yang dipilih? Sebenarnya ada banyak sekali pandangan yang menyatakan kebimbangan terhadap membaca di skrin komputer.
10. Majalah Medical Daily tidak lama dahulu menerbitkan pandangan berupa amaran bahawa membaca terlalu lama melalui skrin memberi stres kepada retina. Stres itu pula boleh mengakibatkan insomnia. Tentu sekali kajian itu memaksudkan jika seseorang itu menghadap komputer dalam kadar waktu yang begitu lama. Tetapi, tidakkah ramai di kalangan kita punyai tabiat menghadap komputer selama berjam-jam?
11. Betapa pun, tanpa mengambil contoh Bill Gates, laporan jurnal Social Science and Medicine hasil kajian Universiti Yale serta majalah Medical Daily, kita sendiri boleh merasai perbezaan ketara jika kita cuba membandingkan sendiri kesan membaca buku dan juga e-book. Kita tahu membaca buku punyai manfaat yang lebih daripada membaca melalui e-book.
12. Mereka di dalam industri buku di negara ini
juga perlu melihat tabiat membaca dari sudut psikologi dan kesihatan. Tidak
semata-mata melihat dari sudut kewangan. Jika dilihat daripada sudut duit
sahaja, mereka yang di dalam industri ini akan risau kepada persoalan mengapa
buku tak laku?
13. Sebaliknya, apabila mereka melihat ia daripada sudut keperluan manusia
kepada buku sebagai ilmu, maka mereka akan bertindak dengan apa sahaja secara
semerta untuk menyelamatkan khalayak pembaca Malaysia yang kebuluran bahan
untuk santapan minda!


