Majlis penganugerahan International Dublin Literary Award ~ foto bookmarks
Majlis penganugerahan International Dublin Literary Award ~ foto bookmarks

Novel sulung penulis Emily Ruskovich berjudul IDAHO telah memenangi sayembara International Dublin Literary Award. Meskipun tercalon di antara novelis-novelis terkenal, yang di antaranya ialah George Saunders, Sally Rooney dan Bernard MacLaverty, novel Emily telah terpilih. Beliau membawa pulang €100,000 atau RM470,000.

IDAHO terpilih setelah sejumlah 141 judul novel dipertandingkan. Kesemua judul-judul itu dipilih oleh perpustakaan di 115 bandaraya dari 41 buah negara. Novel tersebut berlatarkan tempat di Idaho, Amerika Syarikat yang merupakan tempat kelahiran penulis.

“Saya amat terharu dan berterima kasih,” kata Emily. “Saya hilang kata-kata dengan kejayaan ini. Bila nama saya dibariskan bersama-sama dengan penulis George Saunders dan Sally Rooney itupun adalah suatu pengiktirafan yang amat bermakna.”

Emily Ruskowich dengan anugerah kemenangannya ~ foto breakingnews
Emily Ruskowich dengan anugerah kemenangannya ~ foto breakingnews

Novel IDAHO adalah sebuah kawasan pedalaman, tempat penulis membesar. Sepasang suami isteri dan dua orang anak gadis mereka masuk ke kawasan pergunungan untuk mencari kayu api.

Sesuatu yang di luar jangkauan fikiran telah berlaku lalu memisahkan mereka. Novel itu mengisahkan rentetan daripada peristiwa itu dalam jangka waktu 50 tahun. Novel itu digarap dengan gaya puisi dan berkisah dari sudut pandang psikologi.

Enam tahun masa diambil untuk menyudahkan IDAHO. Pada mulanya ia hanyalah sebuah novelet. Namun pihak penerbit mencadangkan agar Emily menjadikan ia sebuah novel. Ternyata tindakan itu berbaloi.

Novel IDAHO ~ foto a day in booklyn
Novel IDAHO ~ foto a day in booklyn

Menurut juri Eilís Ní Dhuibhne, “Novel ini begitu menguja. Prosanya mantap. Perwatakannya sempurna. Ia juga adalah sebuah novel yang menerapkan emosi yang mendalam dan menggetar hati.”

Yan Ge, seorang lagi juri pula mengulas, “Saya terpesona dengan naratifnya mulai perenggan pertama lagi. Emily adalah seorang penulis yang punyai visi yang mempersona.”

*Emily adalah pensyarah di Boise State University dan kini tinggal di bandaraya Idaho.

Ikuti video Emily Ruskovich mengenai Idaho:

Pautan asal:

https://www.irishtimes.com/culture/books/debut-us-author-emily-ruskovich-33-wins-100-000-international-dublin-literary-award-1.3923173