Kita semua mengharap juara badminton negara Datuk Lee Chong Wei dapat kembali ke gelanggang. Namun apabila beliau mengumumkan mahu mengadakan satu sidang akhbar, kita dapat mengagak apakah tujuannya.
Kita terkilan, namun tidak berasa kecewa apabila Datuk Lee Chong Wei mengumumkan keputusan untuk menggantung reketnya. Malah kita sedar dan merestui kehendaknya untuk bersara. Biarlah. Biarlah kita tiada juara baharu dalam setahun dua ini.
Hero kita ini patut berehat secukupnya setelah keluar masuk gelanggang untuk menunjukkan belang melalui semangat kentalnya. Dan semangat itu telah menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia.
Di atas semangat itu juga LAYARMINDA memaparkan warkah Datuk Lee Chong Wei yang ditujukan kepada kita semua. Tabik untuk legen ini!
…………………………………………………
Buat semua rakan-rakan, keluarga dan para peminat,
Untuk anda sekalian yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya. Terima kasih. Setulusnya terima kasih.
Beberapa bulan yang lalu, anda semua tahu yang saya disahkan menghidap kanser. Saya melawannya. Dan saya yakin yang saya telah menentang penyakit itu dengan baik. Dan saya rasa, saya akan cuba sekali lagi.
Saya hanyalah seorang insan yang sukakan badminton. Seseorang yang menyintai negara saya. Tetapi saya bimbang untuk bersara dengan penyesalan. Saya risau kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas Olimpik untuk Malaysia. Kerana itu, apabila saya disahkan pulih daripada kanser, saya menggenggam raket dan berlatih kembali.
Selepas beberapa hari menjalani latihan ringan, saya menemui doktor untuk mendapat pengesahan agar dapat meningkatkan intensiti latihan. Tetapi saya terpukul apabila doktor saya menggeleng setelah melihat hasil imbasan. Katanya, saya menghadapi risiko yang penyakit itu mungkin berulang seandainya saya terus berlatih. Mew Choo menangis. Dia bimbang yang saya mungkin bersikap degil lalu terus mengejar impian saya.
Saya rasa kehilangan. Saya terfikir, “Macam mana saya nak gantung reket setelah hampir 20 tahun bertanding di arena badminton? Macam mana dengan impian Olimpik saya?”
Di rumah, saya mengisi masa dengan kedua-dua anak saya, Kingston dan Terrence. Saya mandikan mereka, saya suapkan makanan, saya latih mereka dengan badminton. Saya menghabiskan masa dengan mereka. Yang lebih penting, saya lihat mereka membesar.
Tiba-tiba terlintas di fikiran untuk membuat keputusan. Saya tak boleh tamak. Saya telah bermain untuk diri saya. Saya juga telah bermain untuk negara saya. Kali ini, saya mahu memainkan peranan sebagai seorang ayah yang saya telah lama impikan. Saya mahu lihat mereka dewasa sebagai manusia yang sempurna, berkahwin dan berkeluarga. Saya mahu menjaga isteri saya kerana dia juga akan menjadi tua.
Justeru, ya… saya telah membuat keputusan untuk bersara. Saya mohon maaf kerana tak dapat ke Tokyo pada kali ini. Dan saya mohon maaf kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas Olimpik. Tapi saya tahu yang saya tidak menyesal kerana telah melakukan yang terbaik.
Saya harap nama Lee Chong Wei telah memberi anda inspirasi, sama juga seperti anda sekalian yang turut memberi inspirasi kepada saya. Tanpa keluarga, rakan sepasukan, para jurulatih dan para penyokong saya, mustahil saya akan dapat capai apa-apa.
Kepada rakan-rakan badminton saya seperti Lin Dan, Taufik, Peter Gades dan Lee Hyun II, masa saya telah tiba. Terima kasih di atas pertarungan hebat yang kita telah lalui. Semamangnya ia menakjubkan tetapi saya fikir era kita sudah menghampiri ke akhir. Momota, Victor, Yuqi dan Zi Jia nampaknya mampu menguasai kubu masing-masing. Nyatakan kepada dunia bahawa badminton adalah sukan yang terbaik di bumi ini.
Kepada para pemain Malaysia, jangan putus harapan dari impianmu. Ingatlah, ada ribuan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaanmu. Berlatihlah dengan lebih tekun setiap hari. Sentiasalah memperbaiki rekod latihan semalam. Usia ahli sukan memang singkat. Jangan akhiri ia dengan penyesalan. Sebenarnya ada Ali, Muthu atau Ah Meng yang berusia 5 tahun sedang mengkagumimu, menjadikan kamu superhero mereka. Jangan kecewakan mereka. Bermainlah untuk Jalur Gemilang, bermainlah untuk Negaraku.
Saya tak kesal. Apabila saya mula bermain badminton apa yang saya ingini ialah untuk mewakili Malaysia. Dan saya percaya telah melakukannya dengan perasaan bangga lagi bermaruah.
Sekian sahaja. Terima kasih kepada semua.
Lee Chong Wei mengundur diri.
*petikan dari FB Lee Chong Wei
Salut kita buat seorang juara negara…