STEPHEN EDWIN KING lahir di Portland, Maine, Amerika pada tahun 1947. Apabila ibu dan bapanya berpisah, Stephen dan abangnya David dijagai oleh ibunya.

Stephen King: Memartabatkan genre seram ~ foto bleedingcool

Beliau mengikuti kelas bahasa di Durham dan Lisbon Falls High School. Di University of Maine pula, beliau mengasah bakatnya dalam penulisan dengan menyumbang artikel di sebuah kolum akhbar kampus.

Pada tahun 1971, Stephen mengahwini Tabitha Spruce setelah berkenalan di perpustakaan universiti. Bila tamat belajar, Stephen bekerja sebagai buruh di sebuah kedai dobi industri sebelum mendapat tempat mengajar. Mereka berdua hidup dengan wang simpanan, pinjaman pelajar dan juga wang daripada honorarium cerpennya di majalah lelaki.

Carrie; novel pertama Stephen King ~ foto goodreads

The Glass Floor adalah cerpennya yang pertama tersiar di Startling Mystery Stories pada tahun 1967. Beliau terus menulis dan menrbitkan antologi Night Shift.

Akhirnya Stephen dapat mengajar bahasa Inggeris di Hampden Academy. Pada waktu petang dan hujung minggu, beliau masih menulis cerpen dan mula berjinak-jinak menulis novel.

Pada tahun 1973, novelnya yang pertama Carrie menemui pembaca. Editornya di syarikat penerbitan Doubleday & Co memberikan berita gembira bahawa novelnya itu boleh menjadikan dia sebagai penulis sepenuh masa dan meninggalkan alam perguruan.

Keratan akhbar mengenai kejayaan Stephen sebagai novelis ~ foto Q97.9

Beliau terus menulis novel keduanya ‘Salem’s Lot’ di garaj rumah sewanya di Sebago Lake, Northern Windham. Kemudian beliau menulis The Shining, The Stand dan The Dead Zone.

Kini, setelah 61 buah novel dan lebih 350 juta naskhah novel yang terjual, kita menanti karya terkini Stephen King ~ The Institute yang bakal menemui anda mulai September 2019.

Kita ikuti temubual ringkas dari majalah The Rolling Stones…

Hampir kesemua novel saudara bertemakan seram. Apa yang membuat saudara suka meneroka ke subjek ini?

Seram ada di dalam diri saya. Filem pertama yang saya tonton adalah filem yang menyeramkan berjudul Bambi. Apabila anak rusa itu terperangkap dalam kebakaran hutan, saya jadi takut. Pada waktu yang sama saya berasa seronok.

Poster filem-filem Stephen King ~ foto marketwatch

Apa yang anda rasa bila menulis novel seram?
Saya seronok bila dapat menakutkan pembaca. Saya pun tahu menakutkan pembaca ini sesuatu yang diterima masyarakat kerana ada banyak filem seram yang lain di luar sana.

Kisah seram adalah di antara genre yang kurang dihormati…

Ya. Tapi apa yang boleh saya buat? Cuma, saya rasa saya dapat tingkatkan penghormatan masyarakat terhadap genre ini.

Kini masyarakat sudah tak boleh pertikaikan…

Genre seram kini lebih dihormati. Saya selalu perjuangkan bahawa dalam fiksyen, sesebuah genre itu adalah sastera. Novelis Raymond Chandler telah meningkatkan martabat genre penyiasatan. Mereka yang telah berbuat sesuatu yang hebat telah memadam sempadan-sempadan ini.

Poster novel The Institute, di pasaran September 2019 ~ foto bookstr

Sumber:
stephenking.com
the rolling stones