Mengapa Dean Koontz Menulis dengan 10 Nama Pena?

Dean Ray Koontz adalah seorang penulis kelahiran Amerika Syarikat. Novel-novelnya bergenre thriller suspens, tetapi kerap memasukkan elemen seram, fantasi, sci-fi, misteri dan satira. Banyak novel-novelnya tersenarai di dalam The New York Times Best Seller.
Dean juga menulis dengan menggunakan pelbagai nama pena diawal penglibatannya di dalam penulisan, di antaranya “David Axton,” “Deanna Dwyer,” “K.R. Dwyer,” “Leigh Nichol,” dan “Brian Coffey.”

Mengapa beliau menggunakan begitu banyak nama pena? Dalam mengulas perkara ini, Dean berkata, sebenarnya namanya telah dicuri oleh seseorang yang pernah bekerjasama dengannya. Penyamar itu telah menghantar surat dan artikel kepada majalah dengan menggunakan namanya di antara tahun 1969 dan 1970.
Beliau hanya mengetahui hal ini pada tahun 1991 apabila ia diakui sendiri oleh si penyamar itu. Dean berkata, dia hanya akan mengumumkan nama penyamar tersebut di dalam memoirnya kelak.
Beliau telah menulis 105 buah novel, beberapa buah novella dan beberapa antologi. Buku-bukunya telah terjual melebihi 450 juta naskhah.
Berita terkini:

22.7.19, Tulisan asal, AJ Dellinger, engadget.com
Amazon sain kontrak beli 5 novel Dean Koontz.
Amazon mengumumkan ia telah memperoleh persetujuan dengan novelis Dean Koontz untuk menghasilkan lima buah novel.
Perjanjian itu termasuk antologi cerpen berjudul Nameless yang akan dicapai oleh para peminat Amazon Prime dan Kindle Unlimited secara percuma mulai 12 November. Di Kindle Unlimited, ia boleh didapati di Kindle eBook dan Audible audiobook.
Novel pertama daripada lima buah yang dirancang untuk diterbitkan berjudul Devoted yang akan di pasaran mulai musim bunga.
Devoted mengisahkan seorang balu Megan Bookman yang kematian suami kerana dibunuh. Anaknya Woody seorang penghidap autism mahu menuntut bela ke atas kematian bapanya.
Mereka berdua bersama seorang teman bernama Kipp yang mempunyai sekumpulan anjing yang mempunyai kebolehan yang luarbiasa.
Selain Devoted, Dean sedang menyiapkan sebuah antologi berjudul Nameless. Ia mengandungi enam cerpen yang mengisahkan seorang lelaki amnesia bernama Nameless.
Nameless adalah seorang pembela yang merantau dari satu bandar ke satu bandar yang lain untuk membunuh penjenayah yang gagal ditangani mahkamah dengan seadilnya.
Pautan berita asal engadget:
https://www.engadget.com/2019/07/22/amazon-publishing-dean-koontz-five-book-deal-devoted/
Video temubual Dean Koontz:
Membuang Tongkat Yang Dah Patah
Dunia yang dipacu internet benar-benar mengubah banyak perkara. Ia telah menonggang-terbalik serta menghuru-harakan pemikiran manusia khususnya mereka yang tidak mahu menerima realiti perubahan yang berlaku. Pada prinsipnya, cara kita melihat sesuatu itu sudah tidak sama seperti 10 tahun lalu.
Dahulu, kita menerima konsep, biar lambat asal selamat kerana lambat itu membawa maksud tertib dan tersusun. Dahulu, sesuatu yang berbentuk evolusi itu diterima kerana ia perubahan yang perlahan dan tidak mengocak suasana sekeliling seperti revolusi.

Kini, kita terima kepada realiti, biar cepat asal selamat kerana perubahan yang cepat pun tertib dan tersusun kerana kita semua telah menerimanya sebagai suatu paradigma yang baharu.
Persepsi kita mengenai saiz pun sudah berubah. Jika dahulu, hanya yang besar dan raksaksa itulah yang hebat. Kini, yang kecil pun punyai kehandalannya. Malah, yang kecil boleh senang-senang mengalahkan yang besar. Situasi David & Goliath iaitu yang kecil menewaskan yang besar bukan lagi luarbiasa.
Daripada segi pencapaian pun keadaan telah berubah. Sesiapa yang bermula dahulu tidak semestinya sampai lebih awal atau yang bermula kemudian akan sampai lewat. Pada hari ini, yang bermula kemudian pun boleh memenangi perlumbaan.
Arena persaingan sudah rata atau level playing field. Sesiapa yang tekun dan fokus akan memenangi apa jua perlumbaan dan persaingan. Kisah arnab dan kura-kura yang berakhir dengan kemenangan kura-kura kerana ia lebih tekun dan fokus menuju matlamat memang kisah teladan yang masih relevan.
Pada hari ini, kita lihat begitu banyak pencapaian oleh orang yang baharu dalam pelbagai bidang. Tetapi kita juga nampak ramai mereka yang baharu ini yang cepat kecundang. Dalam perlumbaan pada hari ini, sang arnab lebih banyak daripada kura-kura. Tetapi kura-kura juga banyak yang menang kerana banyak sang arnab tidak tekun dan fokus dalam perlumbaannya.
Ini adalah kerana, walaupun teknologi mempercepatkan aktiviti kita, teknologi juga datang dengan pelbagai gangguan ataupun distraction. Teknologi jugalah yang menjadikan kita tenggelam timbul dalam dua alam dengan wujudnya teknologi augmented reality.
Dengan adanya augmented reality bila mana alam nyata dilapisi alam binaan teknologi, kesannya membuatkan manusia bingung tetapi terhibur. Unsur hiburan inilah yang melalaikan dan ia membazir masa mereka yang tercebur ke alam ini.
Saya menyentuh mengenai kelajuan yang membolehkan sesiapa sahaja untuk menang. Saya juga menyebut mengenai tempoh masa yang memungkinkan yang lewat masuk gelanggang untuk menang juga. Saiz bukan penentu kemenangan. Dan, betapa teknologi boleh mengalih perhatian sesiapa sahaja hingga lalai dalam apa jua perlumbaan.
Kesemua faktor-faktor ini meratakan padang permainan. Kerana itu ia seharusnya menjadi pendorong kepada mereka yang berasa tertinggal, lemah dan kecil dalam perlumbaan hidup ini. Orang Melayu khususnya tidak perlu berasa lemah semangat apabila angka pencapaian mereka masih menunjukkan mereka masih corot lagi.
Apabila teknologi telah merobah dunia perlumbaan seolah-olah garisan permulaan perlumbaan dilakar semula, orang Melayu juga mempunyai segala peluang untuk memenangi perlumbaan ini. Tetapi, mengapa orang Melayu penuh rasa bimbang, risau dan ragu dengan pencapaian orang lain?
Barangkali, mindset mereka masih belum berubah. Mereka belum sedar betapa teknologi dan bukannya kuota, subsidi dan peruntukan khas yang sebenarnya mempunyai keupayaan yang lebih ampuh untuk membantu orang Melayu untuk bersaing di padang yang rata.
Meskipun politik boleh membantu manusia dalam sesebuah kelompok, namun akhirnya kejayaan individu jugalah yang menjadi penentunya. Setiap lidi mesti lurus dan liat sebelum bercantum menjadi sebatang penyapu yang kuat. Tidak ada gunanya jika lidi yang lembik dan kontot bercantum menjadi sebuah penyapu yang tidak boleh menyapu dengan bersih.
Kini, ramai sekali orang Melayu yang sudah sedar. Mereka tidak rasa perlu lagi bergayut dan bertongkat dengan kerajaan dan politik semata-mata. Dahan untuk bergayut sudah rapuh, tongkat pun dah patah. Mereka perlu mencari ruang dan peluang yang baharu melalui kumpulan-kumpulan NGO dan juga angkatan-angkatan perniagaan.
Salah satunya adalah grup Ayuh Bangkit yang baharu berusia tiga bulan, tetapi begitu aktif sebagai sebuah kumpulan usahawan. Grup Ayuh Bangkit yang diketuai oleh Mohd Fadzil Hashim ini mempunyai semangat kerjasama, ukhwah, keberanian dan cepat bertindak.

Dalam usia grup yang masih muda ini, mereka punyai rangkaian perniagaan yang berselirat kerana amalan bantu membantu mereka yang kuat. Tidak lama lagi, mereka akan mula menawan beberapa kompleks perniagaan.
Kumpulan yang dianggotai dengan ribuan usahawan ini tampak pantas dan handal kerana mereka memperalatkan teknologi untuk bergerak. Pada Ahad ini, 28 Julai 2019, mereka bersidang lagi dalam sesi Ayuh Bangkit 3.0 di Cyberjaya. Watch Out!
Sultan Nazrin Lancar Buku Karya Sendiri
JULAI 14, KUALA LUMPUR: LUQMAN ARIF ABDUL KARIM.
KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, bertitah sumbangan bersama semua lapisan masyarakat menyumbang ke arah ledakan pembangunan dilakar Malaysia sehingga kini.

Titah baginda, laluan berliku demi merintis pelbagai siri pembaharuan membabitkan rangkaian aspek terbabit berupaya diharungi ke arah mengecapi pembangunan yang dihasratkan.
“Buku saya menceritakan sejarah ekonomi negara yang penuh pesona sepanjang tempoh 150 tahun lalu.
Ia adalah pengembaraan yang mencerminkan ketabahan di peringkat nasional, perubahan institusi dan sudah semestinya usaha menongkah pembangunan terangkum bersifat jangka panjang,” titah baginda.

Sultan Perak yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika berkenan berangkat melancarkan penerbitan buku terbaru baginda bertajuk ‘Striving for Inclusive Development: From Pangkor to A Modern Malaysian State’ (Menongkah Pembangunan Terangkum: Dari Pangkor Kepada Malaysia Yang Moden), di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Hadir sama, Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge, Dr Ha-Joon Chang; pakar ekonomi dari Universiti Cambridge, Prof Emeritus Peter J Drake dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.
Analisis sejarah merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan pendidikan itu adalah penerbitan kedua Sultan Perak selepas naskhah pertama yang dibukukan pada 2017 bertajuk ‘Memacu Ekonomi’.
Mengimbau usaha menerbitkan naskhah setebal 531 halaman itu, Sultan Nazrin bertitah, ia memerlukan baginda mencerna rangkaian set data kompleks kepada satu pemahaman yang mudah dan tersusun.
“Untuk merungkai ‘rahsia’ di sebalik sejarah, saya perlu menyelami dan menjalankan penyelidikan, dengan menghabiskan masa di arkib serta perpustakaan yang hanya disinari limpahan cahaya malap.
“Saya juga bertemu dengan ramai cendekiawan dan sejarawan ekonomi, selain merujuk kepada pakar membabitkan pelbagai bidang.
“Dari usia muda sehingga kini, saya melihat sendiri bagaimana Malaysia merintis pembaharuan untuk menjadi negara yang moden dan global.
“Saya menyaksikan detik rakyat kita meraih manfaat hasil kitaran pembangunan ekonomi, selain mengerah kudrat untuk menempa peralihan dari negara berteraskan pertanian di luar bandar kepada gaya hidup moden.
“Sesetengah cabaran kekal sehingga kini, namun yang baharu kian menjelma,” titah baginda.
Pautan berita asal Berita Harian:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/584723/kemajuan-malaysia-disumbang-semua-komuniti-sultan-nazrin
Video KiniTV pelancaran buku Sultan Nazrin Shah: Sultan Nazrin lancar buku terbaru.
Pesta Buku Peru Rai Negara Mexico
19 Julai, Peru Telegraph
Sejak tahun 1995, Pesta Buku Antarabangsa Lima atau FILLIMA merupakan acara budaya dan penerbitan yang tersohor di negara ini. Pesta yang merupakan yang ke 24 ini akan diadakan mulai 19 Julai hingga 4 Ogos di Parque de Proceres in Jesus Maria, Lima.

Pesta anjuran the Peruvian Chamber of the Publishing Industry membawa penulis dan penerbit tempatan dan antarabangsa, universiti penerbitan, kementerian dan lain-lain syarikat, penjual serta pembaca untuk meraikan budaya membaca dan buku.
Pilihan buku-buku daripada hampir kesemua genre ini diraikan selama 17 hari yang padu dengan acara kebudayaan pameran buku dan membaca, bengkel, konsert, kuliah dan persidangan, sidang meja bulat, persembahan teater, tayangan filem, seni persembahan dan hiburan untuk kanak-kanak.

Lebih 160 syarikat pempamer yang mengambil bahagian. 200,000 judul buku bakal dipamer, 900 aktividi budaya akan menghibur sejumlah 500,000 pengunjung yang bakal hadir. Tahun ini, negara Mexico terpilih sebagai negara jemputan.
Di antara hasil karyanya yang popular termasuklah Travesuras de la niña mala (The Bad Girl).
Pameran Buku Antarabangsa Lima tahun ini akan juga akan menyediakan ruangan di mana para penulis dari negara-negara yang berbeza akan hadir untuk mengambil bahagian dalam jadual dan persidangan dengan tema utamanya, perjuangan terhadap keganasan dan persamaan jantina.

Antara penulis lain yang akan turut hadir pada FIL LIMA tahun ini adalah Rita Segato, seorang pemikir paling berpengaruh dalam pergerakan wanita di Argentina dan Amerika Latin. Rita Segato juga dikenali dengan penyelidikannya dan buku beliau yang memberi tumpuan kepada pendekatan gender di masyarakat pribumi dan masyarakat Amerika Latin, keganasan gender dan hubungan antara jantina dan perkauman.
Pelbagai anugerah akan disampaikan yang di antaranya ialah Anugerah Sastera FIL LIMA yang diberikan kepada penulis yang menyumbang kepada sastera Peru. Terdapat juga anugerah cerpen yang diberi kepada penulis yang memenangi pertandingan anjuran pesta buku itu.
Sumber berita:
Jom kita berkunjung ke Pesta Buku Peru 2019:
David Baldacci: Tulis Walau Budak Menangis

“Saya boleh menulis walaupun ada seorang budak menangis di ribaan saya. Saya pernah buat begitu. Selalu!” – David Baldacci


