JULAI 14, KUALA LUMPUR: LUQMAN ARIF ABDUL KARIM.

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah, bertitah sumbangan bersama semua lapisan masyarakat menyumbang ke arah ledakan pembangunan dilakar Malaysia sehingga kini.

Sultan Nazrin lancar buku terbaru: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menunjukkan buku tulisan baginda yang dilancarkan ~ FOTO The Star
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim menunjukkan buku tulisan baginda yang dilancarkan ~ FOTO The Star

Titah baginda, laluan berliku demi merintis pelbagai siri pembaharuan membabitkan rangkaian aspek terbabit berupaya diharungi ke arah mengecapi pembangunan yang dihasratkan.

“Buku saya menceritakan sejarah ekonomi negara yang penuh pesona sepanjang tempoh 150 tahun lalu.

Ia adalah pengembaraan yang mencerminkan ketabahan di peringkat nasional, perubahan institusi dan sudah semestinya usaha menongkah pembangunan terangkum bersifat jangka panjang,” titah baginda.

Sultan Nazrin lancar buku terbaru: Kulit buku karya Sultan Nazrin Shah ~ foto explorerofinstagram
Sultan Nazrin lancar buku terbaru: Kulit buku karya Sultan Nazrin Shah ~ foto explorerofinstagram

Sultan Perak yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika berkenan berangkat melancarkan penerbitan buku terbaru baginda bertajuk ‘Striving for Inclusive Development: From Pangkor to A Modern Malaysian State’ (Menongkah Pembangunan Terangkum: Dari Pangkor Kepada Malaysia Yang Moden), di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama, Pengarah Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge, Dr Ha-Joon Chang; pakar ekonomi dari Universiti Cambridge, Prof Emeritus Peter J Drake dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Kamal Khalid.

Analisis sejarah merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan pendidikan itu adalah penerbitan kedua Sultan Perak selepas naskhah pertama yang dibukukan pada 2017 bertajuk ‘Memacu Ekonomi’.

Mengimbau usaha menerbitkan naskhah setebal 531 halaman itu, Sultan Nazrin bertitah, ia memerlukan baginda mencerna rangkaian set data kompleks kepada satu pemahaman yang mudah dan tersusun.

“Untuk merungkai ‘rahsia’ di sebalik sejarah, saya perlu menyelami dan menjalankan penyelidikan, dengan menghabiskan masa di arkib serta perpustakaan yang hanya disinari limpahan cahaya malap.

“Saya juga bertemu dengan ramai cendekiawan dan sejarawan ekonomi, selain merujuk kepada pakar membabitkan pelbagai bidang.

“Dari usia muda sehingga kini, saya melihat sendiri bagaimana Malaysia merintis pembaharuan untuk menjadi negara yang moden dan global.

“Saya menyaksikan detik rakyat kita meraih manfaat hasil kitaran pembangunan ekonomi, selain mengerah kudrat untuk menempa peralihan dari negara berteraskan pertanian di luar bandar kepada gaya hidup moden.

“Sesetengah cabaran kekal sehingga kini, namun yang baharu kian menjelma,” titah baginda.

Pautan berita asal Berita Harian:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/07/584723/kemajuan-malaysia-disumbang-semua-komuniti-sultan-nazrin

Video KiniTV pelancaran buku Sultan Nazrin Shah: Sultan Nazrin lancar buku terbaru.