Tiada berita gembira untuk industri buku
HAFIZAH ISZAHANID.BERITA HARIAN.25.10.19
KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menggesa kerajaan memberikan perhatian khusus kepada kejatuhan industri buku tempatan ketika ini.
Berdasarkan belanjawan yang dibentangkan minggu lalu, kerajaan dilihat kurang memberi perhatian untuk membantu industri perbukuan tempatan yang dijangka akan terus menghadapi kemerosotan tahun hadapan.

Presidennya, Arief Hakim Sani Rahmat, berkata industri kreatif, budaya dan intelektual sedang berhadapan pelbagai cabaran merangkumi gangguan digital, kejatuhan jualan runcit dan pembelian perpustakaan, serta kelemahan tabiat membaca.
“Awal tahun lalu, MABOPA sudah menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung cadangan yang dijangka membantu memulihkan minat membaca dan seterusnya industri buku tempatan.
“Bagaimanapun, amat mendukacitakan apabila semua cadangan itu tidak diterima yang memungkinkan 2020 akan menjadi tahun kelam untuk industri buku tanpa rangsangan polisi dan fiskal dari kerajaan.
“Agenda membangunkan masyarakat yang membaca buku umpama cakap kosong semata-mata,” katanya kepada BH.
Arief Hakim Sani berkata, dari segi pendanaan perpustakaan, MABOPA juga tidak melihat ada peningkatan yang bermakna.
Malah tegas beliau, sudah agak lama perpustakaan di negara ini tidak menerima dana yang mencukupi. Hal ini menyebabkan perpustakaan hanya menawarkan koleksi buku lama dan tidak mampu menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda.
“Dalam masa yang sama, kami juga dimaklumkan mengenai cadangan kerajaan untuk membina beberapa perpustakaan digital.
“Hal ini adalah isyarat paling jelas kepada industri buku untuk menambah terbitan dalam format digital. Data terkini menunjukkan sudah ada 20 ribu tajuk tempatan diterbitkan dalam format e-book.

“Apa yang terjadi, platform e-book itu sudah ada, hanya perolehan dari perpustakaan digital ini belum ada untuk dimanfaatkan,” katanya.
Tegas Arief Hakim Sani, berdasarkan Belanjawan 2020 yang memfokuskan pada pembangunan ekonomi digital, MABOPA akan menggiatkan lagi program pada tahun hadapan yang memfokuskan pada perdagangan dalam talian juga kandungan digital tempatan.
Industri buku katanya, tidak asing dengan perubahan teknologi dan sentiasa berevolusi untuk memenuhi keperluan pembaca.
Sementara itu, Pengarah Urusan E Sentral, Faiz Al Shahab berpandangan peruntukan untuk industri buku itu disebut secara kasar dan keseluruhan tanpa menumpukan pada sebarang peruntukan khas.
Hal ini katanya, disebabkan belanjawan keseluruhan untuk pendidikan tidak ada perubahan. Justeru, pemain industri boleh beranggapan percetakan buku teks dan sebagainya tidak terjejas.
“Namun, pada masa yang sama kita melihat ada penekanan untuk pembangunan kandungan digital. Justeru, pemain industri perlu bijak mengubah model perniagaan jika percetakan tidak begitu memberangsangkan lagi,” katanya.
Tegas Faiz, sesuatu yang menarik dalam belanjawan kali ini adalah pemberian pengecualian cukai untuk 10 tahun bagi pendapatan royalti yang dianggap sebagai berita baik untuk penulis dan karyawan.
“Baucar buku dan sebagainya tidak disebut, namun ada pelan dan peruntukan yang berkaitan industri yang lebih kontemporari dan relevan untuk kelestarian zaman semasa.
“Bagaimanapun kita perlu juga ingat apa-apa yang disebut dalam belanjawan itu mungkin sahaja tidak akan jadi nyata seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.
Tambah Faiz, ketika ini industri buku sedang melalui fasa kegawatan, bukan penamatan. Penerbit perlu mengikut peredaran masa selain memahami pasaran hari ini.

“Jangan harapkan bantuan sahaja kerana model ini tidak lestari untuk masa depan.
“Dalam sektor pendidikan, tender buku teks cetak dibesarkan lagi untuk kolej vokasional dan teknikal, maka peruntukan buku fizikal lagi besar dan tidak mengecil,” katanya.
Namun, ketika ini tiada inisiatif yang serius pada peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk bergerak ke arah digital berkaitan buku teks atau pun pendidikan digital dalam era Malaysia baharu.
“Apa yang kelihatan adalah KPM berada di tengah-tengah antara digital dan fizikal dan tidak ada hala tuju.
“Satu hal yang agak menarik untuk melihat belanjawan ini menyebut mengenai jaguh tempatan membangunkan kandungan digital, selain disebut mengenai pembinaan tiga perpustakaan digital dan pelbagai lagi peruntukan untuk usahawan Bumiputera.
“Tapi hakikatnya, realiti tidak sama seperti rancangan, dan usahawan teknologi (teknopreneur) tempatan masih ditindas dan tidak diberi peluang sewajarnya sebelum ini khususnya daripada agensi kerajaan,” katanya.
Cuba Lagi Setelah Peluang Kedua
Maaf Cakap 25 Oktober 2019
Peluang kedua. Frasa ini lazimnya membawa konotasi bahawa peluang kedua yang diberikan itu adalah peluang yang terakhir. Maknanya, apabila peluang pertama tidak mendatangkan hasil yang baik, maka peluang kedua diambil dengan niat, kalau peluang yang kedua itu pun tidak mendatangkan natijah yang baik, lebih elok berhenti mencuba lagi.
Peluang kedua mengambil peperiksaan, peluang kedua yang isteri beri kepada suami agar tak curang lagi atau peluang kedua mencuba sesuatu bidang baharu akan dianggap gagal secara mutlak sekiranya peluang yang kedua itu tidak berjaya mendatangkan hasil yang diharapkan.
Bagaimana pun, jika direnung semula, apakah kegagalan dalam peluang kedua, itulah pengakhiran? Maka jangan harap peluang ketiga atau keempat akan mengubah kegagalan menjadi kejayaan.
Nanti dahulu. Kita bukan sahaja tidak boleh serik dalam mencuba. Kita juga jangan serik dalam memberi orang lain mencuba dan mencuba lagi. Tamsilannya, seandainya kita sebagai hamba-NYA melakukan kesilapan buat kali pertama lalu meminta ampun; kemudian buat kesilapan kedua lalu meminta ampun lagi, maka tidak ada istighfar dan taubat setelah kesilapan kedua sekiranya ALLAH hanya memberi dua peluang sahaja untuk memohon ampun!
Maknanya, sekiranya kita tidak malu memohon ampun setelah melakukan kesilapan entah ke berapa kali kerana mengharap kesilapan itu akan diampunkan ALLAH Yang Maha Pengampun, maka kita sepatutnya berlapang dada untuk memberi peluang yang ketiga dan seterusnya kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba lagi.
Ini adalah kerana, bukan semua insan dapat mengubah dari gagal kepada berjaya hanya setelah mencuba sekali lagi. Jika kita renungkan, kita sendiri menggunakan peluang lebih dari dua kali dalam pelbagai situasi untuk menangani sesuatu yang gagal hingga berjaya.
Hendak pandai mengayuh basikal pun akibat jatuh lebih dari tiga empat kali, hendak buat kek yang tidak bentat, menjawab latihan matematik atau mengikat tudung gaya baharu itu kesemuanya biasa dilakukan lebih daripada dua kali. Lupakan pada kepercayaan bahawa peluang hanya ada dua kali sahaja.
Menangani sesuatu perkara itu bukannya ada satu cara sahaja. Maksud saya, apabila kita gagal melakukan sesuatu pada kali pertama, kedua mahupun yang ketiga dan akhirnya berjaya pada kali keempat, ia tidak bermakna hanya ada satu cara sahaja untuk berjaya iaitu dengan melakukan sesuatu dengan pendekatan yang keempat. Barangkali, cara kelima dan keenam pun boleh berjaya dan cara ketujuh hingga kesepuluh menghasilkan kegagalan.
Ertinya, jika untuk gagal ada lebih daripada satu cara, untuk berjaya juga mempunyai lebih dari satu cara. Kita kena lihat usaha untuk berjaya dalam sesuatu perkara itu bermakna usaha mencuba hingga berjaya. Jika tidak berjaya mendapat hasil yang diingini, kita berjaya mendapat pengalaman dan kesabaran. Itu adalah kesan sampingan dalam mencuba. Sementara itu, berhenti mencuba itu pula menjamin kegagalan.
Kadangkala kejayaan atau kegagalan dalam mencuba itu bukan semata-mata kerana pendekatan cara menyelesaikan masalah. Tetapi faktor masa yang boleh mengubah hasil cubaan itu. Seorang anak yang meminta aiskrim ketika si ibu sedang sibuk di dapur tentu tidak akan berjaya. Tetapi jika si anak meminta aiskrim setelah si ibu selesai memasak, maka dengan mudah dia akan mendapatnya.
Faktor masa sering dilupakan dalam kita berusaha mencapai sesuatu. Misalnya, begitu banyak produk yang gagal pada peringkat mula-mula ia diperkenalkan kerana ia mendahului zaman. Contohnya bubble wrap, iaitu bungkusan plastik yang berbiji-biji yang biasa kita temui jika kita menerima bungkusan pos. Bubble wrap diperkenalkan pada tahun 1960. Ia gagal menarik hati industri sehinggalah ia digunapakai oleh IBM untuk membungkus komputer.
Dengan pendekatan cara, Netflix, sebuah perkhidmatan hiburan filem secara atas talian yang memulakan operasi pada tahun 1997 hanya membekalkan DVD secara atas talian tidak berjaya memikat hati pengguna kerana hanya memperoleh ratusan ribu pelanggan. Ia mencuba lagi dengan pendekatan berbeza iaitu dengan memberi perkhidmatan hiburan streaming. Kemudian ia menghasilkan filem dan siri yang tersendiri. Pada hari ini 190 buah negara mempunyai rangkaian siarannya.
Dunia pada hari ini adalah dunia yang tidak menentu. Terlalu banyak faktor yang menentukan pada keputusan yang kita ambil dan risiko yang bakal menjelma kesan daripada keputusan kita itu. Yang berjaya boleh merudum pada keesokan harinya. Yang gagal boleh melonjak ke carta ke atas. Tidak ada formula khusus untuk berjaya. Tiada juga panduan khusus untuk mengelak kegagalan.
Terlalu banyak faktor yang boleh menggagal atau menjayakan apa yang kita lakukan. Justeru itu, konsep peluang kedua dalam menangani sesuatu sudah tidak relevan lagi. Barangkali, kita kena beri peluang ke 1000 dalam mencuba seperti Thomas Elva Edison yang membuat lebih 1,000 percubaan untuk menyalakan lampu elektrik. Barangkali juga, Thomas Elva Edison adalah insan yang telah mendahului zamannya.
Jom Kita Ke Pesta Buku Finland Pulak!
Pesta Buku Antarabangsa Helsinki akan berlangsung pada 24 hingga 27 Oktober ini bertempat di Expo and Convention Centre, Messukeskus, Finland. Ini adalah pusat ekspo yang terkenal dan terbesar di negara itu.
Sejak ia dijadikan sebagai acara tahunan pada tahuin 2001, pesta buku ini adalah acara ikonik di mana buku-buku terbaik dipromosikan. Ia juga merupakan tempat perjumpaan dan tempat peminat buku bertukar fikiran. Antara aktiviti menarik sepanjang Pesta Buku Antarabangsa ini adalah bengkel dan panel khusus untuk industri penerbitan dan buku, pertemuan dengan penulis di bilik seminar.

Pesta Buku Antarabangsa Helsinki ini juga adalah
acara kebudayaan terbesar di musim luruh. Lebih 4,100 penulis, artis, ahli
politik dan peminat akan tampil di pameran yang berlangsung selama 4 hari ini.
Hampir semua penulis Finland dan hampir 40 tetamu penulis antarabangsa akan
hadir di pameran itu.
Di antara novelis Finland ialah Leena Krohn yang terkenal dengan novel, cerpen,
buku kanak-kanak dan juga makalah. Emmi Itaranta, novelis yang terkenal dengan
karyanya Memory of Water juga
dijangka hadir.

Pasi Ilmari Jääskeläinen adalah novelis dan cerpenis unik Finland. Beliau menulis genre fantasi dan juga sains fiksyen. Antti Tuomainen pula adalah seorang penulis fiksyen jenayah yang juga terkenal dengan karyanya The Healer. Jyrki Vainonen, pula adalah cerpenis yang terkenal dengan antologi The Explorer.
Perancis merupakan negara tetamu pada tahun ini dan pesta buku ini akan mempamerkan kesusasteraan dan budaya Perancis. Lebih sedozen novel Finland dan banyak novel dan esei di Perancis akan diterbitkan di Finland. Buku-buku ini memberi gambaran yang kaya tentang negara secara terbuka membincangkan tema global.

Penulis dan pengarah filem Perancis, Eric Vuillard akan hadir sebagai penulis tetamu. Beliau merupakan penulis buku Finland, The Daily Command.
The Daily Command merupakan gambaran tepat mengenai Nazi Jerman. Buku ini mengingatkan tentang bahaya menyekat pandangan ( The book reminds you of the dangers of blocking and conceding your eyes ). Hasil kerja beliau ini telah menang Hadiah Kesusasteraan Perancis untuk Goncourt pada tahun 2017 dan telah dijual ratusan ribu naskhah.
Karya Novelis Malaysia Dijadikan Webcomic
Anne Dorall.17.10.19.therakyatpost
Hanna Alkaf adalah penulis novel The Weight of Our Sky, yang menjadi bualan apabila ia dilancarkan pada awal tahun ini. Novel ini berlatarkan tragedi 13 Mei 1969 bilamana terjadinya pergaduhan kaum di Malaysia. Ia mengisahkan mengenai seorang gadis yang menghidap penyakit obsessive compulsive disorder (OCD).
Novel sulung Hanna membawa pembaca ke suasana tegang yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah negara. Kini novel itu dipersembahkan pula dalam versi webcomic. Penulisnya Hanna tidak terlibat secara langsung dalam pembikinan webcomic. Sebaliknya penerbit Susan Cheng dan Alya Rahman yang mengambil tanggungjawab itu. Hanna hanya melihat episode-episodnya dan menyumbangkan pandangannya.
Artikel siaran Layarminda April 2019:
Menggambarkan latar dan budaya Malaysia secara terperinci adalah penting.
Hanna mahu topik OCD dan pergaduhan kaum yang sensitif itu diilustrasikan dengan baik bagi mempastikan keseriusan isu itu. Untuk itu, senilukis webcomic ditangani oleh team Nisrina AN, Nurel serta Toadfrogs.

Hanna mahu suasana Kuala Lumpur pada tahun 1960an itu digambarkan dengan sebaik-baiknya. Oleh kerana itu, beliau aktif menyumbang idea ketika proses visualisasi. Kesemua latar tempat dan latar alam mestilah betul. Sudah sampai masanya anak-anak Malaysia sendiri menyampaikan kisah-kisah dalam negaranya.
Namun, jika anda tak sabar hendak mendapatkan webcomic ini, dapatkan sahaja novel The Weight of Our Sky di kedai buku berhampiran. Novel remaja ini diterbitkan pada bulan Februari tahun ini dalam bahasa Inggeris. Ia diterbitkan oleh Salaam Reads, jenama buku remaja Muslim di bawah naungan syarikat Simon & Schuster, sebuah penerbitan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Hanna Alkaf pula merupakan graduan dalam jurusan kewartawanan dari Northwestern University, Amerika. Karya beliau telah muncul dalam Shape, Esquire, dan Marie Claire. Dia kini tinggal di Kuala Lumpur bersama keluarga. The Weight of Our Sky adalah novel pertamanya.
Berbekal pengalaman kewartawanannya, Hanna mencari jalur pengkaryaan dan penerbitannya secara sendiri di luar negara. Kemahirannya dalam bidang komunikasi membolehkan Hanna menyentuh persoalan yang berat secara bersahaja hingga kita dapat menikmati novel The Weight of Our Sky secara santai.

Pautan asal:
https://www.therakyatpost.com/2019/10/17/msian-authors-popular-novel-celebrated-internationally-as-webcomic/
Video pelancaran novel The Weight of Our Sky:
https://www.youtube.com/watch?v=P3_U1VSTyB4
Komik Propaganda: Kementerian Pendidikan Tak Luluskan
Astro Awani – 17.10.19
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran buku komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” kepada mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah.
KPM dalam satu kenyataan menjelaskan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.
“KPM juga akan mengkaji dengan lebih teliti isi kandungan buku tersebut melibatkan fakta dan orientasi penulisan.

Komik “Pada masa sama, KPM juga akan bekerjasama untuk mendapatkan ulasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai aspek keselamatan yang melibatkan sensitiviti masyarakat dan hubungan luar negara,” katanya.
KPM mengulas mengenai penyebaran komik propaganda yang dikeluarkan pihak Muzium Kebudayaan Komik Asia. Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia.
Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling. Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.
Pautan asal: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/komik-propaganda-kpm-tidak-pernah-luluskan-pengedaran-komik-220349

DAP TAK MENGAKU TERLIBAT
DEWI NUR HARASHA ALIAS.ASTRO AWANI.17.10.19
GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang menolak dakwaan mempunyai kaitan dengan pengurusan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang menyebar komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan di negara ini.
Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata pihaknya tidak mengetahui mengenai kewujudan komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang didakwa diterbitkan Muzium Kebudayaan Asia di Komtar.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri juga tidak mempunyai kaitan dengan Muzium Kebudayaan Komik Asia yang didakwa mengagung-agungkan parti DAP dalam penerbitan komik tersebut.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak mencampuri urusan pentadbiran muzium berkenan, sebaliknya hanya memberikan peruntukan untuk membiayai bayaran sewa bangunan kerana menggangap ia adalah sebahagian daripada produk pelancongan Pulau Pinang.
Sebagai balasan, Kon Yeow berkata, pihak pengurusan muzium berkenaan memberi tiket kemasukan percuma kepada pelajar sekolah untuk mengunjungi muzium berkenaan.
“Kita tidak tahu apa-apa tentang buku komik ini, sebab kita tidak campur tangan dalam pengurusan dan pengendalian muzium.

“Apa yang ada hubungan adalah cuma satu peruntukan tahunan bagi membiayai sewaan muzium, lain-lain perkara tidak dapat jawab, sebab memang tidak ada pengetahuan tentang perkara ini dan tidak berkaitan dengan DAP Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kon Yeow berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran komik propaganda yang dikeluarkan pihak Muzium Kebudayaan Komik Asia selepas majlis pelancaran dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penang Smart Trade Fasilitation di sini pada Khamis.
Perkara itu, turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya mengenai sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.

Menurutnya, Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mana pemiliknya adalah ‘Superman’ Hew Kuan Yau.
Komik itu didakwa disebarkan kepada Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan.
Menerusi gambar dikongsikan, surat bertarikh 8 Oktober 2019 dan keterangan surat itu ditujukan kepada pengetua sekolah.
Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia.
Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.
Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.


