HAFIZAH ISZAHANID.BERITA HARIAN.25.10.19

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) menggesa kerajaan memberikan perhatian khusus kepada kejatuhan industri buku tempatan ketika ini.

Berdasarkan belanjawan yang dibentangkan minggu lalu, kerajaan dilihat kurang memberi perhatian untuk membantu industri perbukuan tempatan yang dijangka akan terus menghadapi kemerosotan tahun hadapan.

Presidennya, Arief Hakim Sani Rahmat, berkata industri kreatif, budaya dan intelektual sedang berhadapan pelbagai cabaran merangkumi gangguan digital, kejatuhan jualan runcit dan pembelian perpustakaan, serta kelemahan tabiat membaca.

“Awal tahun lalu, MABOPA sudah menghantar memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung cadangan yang dijangka membantu memulihkan minat membaca dan seterusnya industri buku tempatan.

“Bagaimanapun, amat mendukacitakan apabila semua cadangan itu tidak diterima yang memungkinkan 2020 akan menjadi tahun kelam untuk industri buku tanpa rangsangan polisi dan fiskal dari kerajaan.

“Agenda membangunkan masyarakat yang membaca buku umpama cakap kosong semata-mata,” katanya kepada BH.

Arief Hakim Sani berkata, dari segi pendanaan perpustakaan, MABOPA juga tidak melihat ada peningkatan yang bermakna.

Malah tegas beliau, sudah agak lama perpustakaan di negara ini tidak menerima dana yang mencukupi. Hal ini menyebabkan perpustakaan hanya menawarkan koleksi buku lama dan tidak mampu menarik minat membaca dalam kalangan generasi muda.

“Dalam masa yang sama, kami juga dimaklumkan mengenai cadangan kerajaan untuk membina beberapa perpustakaan digital.

“Hal ini adalah isyarat paling jelas kepada industri buku untuk menambah terbitan dalam format digital. Data terkini menunjukkan sudah ada 20 ribu tajuk tempatan diterbitkan dalam format e-book.

“Apa yang terjadi, platform e-book itu sudah ada, hanya perolehan dari perpustakaan digital ini belum ada untuk dimanfaatkan,” katanya.

Tegas Arief Hakim Sani, berdasarkan Belanjawan 2020 yang memfokuskan pada pembangunan ekonomi digital, MABOPA akan menggiatkan lagi program pada tahun hadapan yang memfokuskan pada perdagangan dalam talian juga kandungan digital tempatan.

Industri buku katanya, tidak asing dengan perubahan teknologi dan sentiasa berevolusi untuk memenuhi keperluan pembaca.

Sementara itu, Pengarah Urusan E Sentral, Faiz Al Shahab berpandangan peruntukan untuk industri buku itu disebut secara kasar dan keseluruhan tanpa menumpukan pada sebarang peruntukan khas.

Hal ini katanya, disebabkan belanjawan keseluruhan untuk pendidikan tidak ada perubahan. Justeru, pemain industri boleh beranggapan percetakan buku teks dan sebagainya tidak terjejas.

“Namun, pada masa yang sama kita melihat ada penekanan untuk pembangunan kandungan digital. Justeru, pemain industri perlu bijak mengubah model perniagaan jika percetakan tidak begitu memberangsangkan lagi,” katanya.

Tegas Faiz, sesuatu yang menarik dalam belanjawan kali ini adalah pemberian pengecualian cukai untuk 10 tahun bagi pendapatan royalti yang dianggap sebagai berita baik untuk penulis dan karyawan.

“Baucar buku dan sebagainya tidak disebut, namun ada pelan dan peruntukan yang berkaitan industri yang lebih kontemporari dan relevan untuk kelestarian zaman semasa.

“Bagaimanapun kita perlu juga ingat apa-apa yang disebut dalam belanjawan itu mungkin sahaja tidak akan jadi nyata seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Tambah Faiz, ketika ini industri buku sedang melalui fasa kegawatan, bukan penamatan. Penerbit perlu mengikut peredaran masa selain memahami pasaran hari ini.

“Jangan harapkan bantuan sahaja kerana model ini tidak lestari untuk masa depan.

“Dalam sektor pendidikan, tender buku teks cetak dibesarkan lagi untuk kolej vokasional dan teknikal, maka peruntukan buku fizikal lagi besar dan tidak mengecil,” katanya.

Namun, ketika ini tiada inisiatif yang serius pada peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk bergerak ke arah digital berkaitan buku teks atau pun pendidikan digital dalam era Malaysia baharu.

“Apa yang kelihatan adalah KPM berada di tengah-tengah antara digital dan fizikal dan tidak ada hala tuju.

“Satu hal yang agak menarik untuk melihat belanjawan ini menyebut mengenai jaguh tempatan membangunkan kandungan digital, selain disebut mengenai pembinaan tiga perpustakaan digital dan pelbagai lagi peruntukan untuk usahawan Bumiputera.

“Tapi hakikatnya, realiti tidak sama seperti rancangan, dan usahawan teknologi (teknopreneur) tempatan masih ditindas dan tidak diberi peluang sewajarnya sebelum ini khususnya daripada agensi kerajaan,” katanya.