BLOG

Perihal Golongan Peniaga B40

Perihal Golongan Peniaga B40

MAAFCAKAP 6.11.19

Baru-baru ini saya menerima sebuah mesej Whatsapp daripada seorang sahabat. Mesej itu mengandungi imej sebuah poster dan beberapa imej sebuah ekspo makanan. Sahabat saya meminta saya membantunya untuk menularkan mesej itu melalui grup Whatsapp dan juga media sosial.

Notanya berbunyi, “Ekspo makanan ini tak dapat sambutan kerana tidak dapat liputan dan promosi yang baik. Banyak makanan tak habis kerana tiada siapa nak beli. Tolong sebarkan kepada semua kawan-kawan. Ajak mereka datang beramai-ramai.”

Meskipun saya segera menularkan mesej sahabat saya itu. Hati saya berasa terkilan. Terkilan kerana hari akhir ekspo adalah pada keesokan hari. Memang sukar jika seseorang hendak membuat keputusan pada waktu yang singkat. Apatah lagi apabila diajak ke sebuah ekspo yang agak jauh dari ibukota.

Saya memikirkan mengapa pihak penganjur tidak berpandangan jauh untuk memanggil orang ramai untuk datang ke ekspo makanan yang dianjurkannya. Mengapa mereka tidak membuat iklan melalui radio atau televisyen? Apakah para peniaga di ekspo itu juga tidak mempromosikan ekspo itu untuk menarik orang ramai untuk datang ke gerai mereka?

Tarikh-tarikh ekspo itu memang sudah cantik kerana diadakan pada hujung bulan. Apabila jualan diadakan pada tarikh-tarikh orang mendapat gaji, mereka yang tiada rancangan khusus akan membawa keluarga untuk berkunjung ke ekspo. Pasti apabila ramai orang yang datang, suasana meriah dan akan menimbulkan mood untuk berbelanja. Akhirnya barang jualan akan laku.

Saya merenung dan tertanya, susah sangatkah mempromosi barang jualan? Pada zaman saya kecil dahulu, seorang budak dari hujung kampung yang menjual nasi lemak pun pandai melaung untuk menarik perhatian orang untuk membeli nasi lemaknya. Di era alam siber di mana masing-masing berswafoto di sana, berswafoto di sini; mengapa mereka tidak ambil kesempatan menghebahkan hal yang mereka terlibat dengan ekspo makanan itu di laman sosial mereka? Mesti ada sebabnya.

Berniaga itu bekerja sendiri. Kita ada idea, kita ada modal, kita buat barangan atau beri perkhidmatan, lalu kita hebahkan sendiri. Bukan orang lain yang lakukan. Jika kita sertai mana-mana karnival atau ekspo, kita tidak boleh harapkan pihak penganjur untuk lakukan promosi untuk kita, meskipun ia adalah sebahagian daripada tugas penganjur. Jika pihak penganjur tidak ambil berat untuk mempromosi karnival anjurannya, kita jugalah sebagai peniaga yang akan rugi.

Di sebalik kegilaan pelbagai entiti perniagaan yang besar ataupun yang kecil mempromosi barangan masing-masing terutamanya di media sosial kerana kosnya yang rendah, masih ada ramai lagi mereka yang tidak mengambilkira betapa pentingnya promosi barangan dan perkhidmatan mereka.

Jika hal begini pun mereka tak tahu, jika promosi itu dianggap hanya untuk usahawan yang hebat-hebat, ada sesuatu yang tak kena dengan golongan peniaga ini. Saya bukan salahkan mereka kalau mereka tidak tahu atau anggap ia tidak penting.

Saya salahkan kepada pihak-pihak berwajib, agensi-agensi yang patut memupuk mereka dari tahap peniaga ke peringkat usahawan. Ini adalah kerana golongan yang menyertai ekspo lazimnya adalah golongan yang belum memahami keseluruhan skop perniagaan yang bukan sahaja mencakupi bidang jual beli, tetapi simpanan akaun, promosi, pemasaran, pengiklanan malah teori penawaran dan permintaan. Mereka hanya memahami cara menyediakan produk dan menjualnya.  Itu sahaja.

Lagi pula, jangan kita anggap golongan peniaga secara kecil-kecilan ini adalah golongan yang sudah kaya raya. Kalau kita perhatikan betul-betul, mereka berniaga kerana ingin mendapatkan sesuap nasi. Sambil berniaga, anak kecil mereka tergolek di atas plastik di sudut belakang.

Kalau pelanggan hulur seratus ringgit, mereka terkocoh kacah ke gerai sebelah untuk menukar wang. Mereka bukannya tidak mahu menukar wang, mereka memang tiada wang baki sebanyak pulangan seratus ringgit. Tiang khemah mereka yang sudah tercabut skru pun mereka ikat dengan dawai ke tiang gerai sebelah. Bumbung khemah pun mereka sulam dengan tali rafia ke bumbung khemah gerai sebelah supaya tak tiris bila hujan turun.

Bila jualan suram, tuanpunya gerai minuman akan membeli nasi dari penjual di gerai sebelah. Yang menjual nasi itu pun membeli pula minuman dari gerai jirannya. Mereka tolong menolong untuk melakukan. Silap gaya, jika jualan betul-betul lembab, sewa gerai pun tak lepas walaupun harganya puluhan ringgit sehari.

Kita jangan anggap golongan peniaga sebegini adalah golongan yang senang. Mereka pun kais pagi makan pagi. Kalau mereka tidak pandai buat promosi atau lebih tepat, tiada modal untuk buat promosi, pihak penganjurlah yang patut betul-betul bantu mereka. Tidak bolehlah anggap mereka semua sudah kaya raya dan cekap berniaga hingga kita penganjur buat tak tahu. Golongan B40 pun ramai terdiri dari golongan ini. Bezanya, mereka hanya mengeluh sesama sendiri dan tak sempat nak tulis di media sosial kerana keletihan setelah pulang berniaga.

Dulu Pengutip Sampah, Kini Bangkit Sebagai Jutawan

Dulu Pengutip Sampah, Kini Bangkit Sebagai Jutawan

MelayuBangkitNews | Dang Anuum | 3.11.19

Kuala Lumpur — Buku Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan kini mendapat perhatian apabila dilancarkan di Perpustakaan Negara oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Puan Maizan Ismail baru-baru ini.

Buku terbitan Syarikat Maleq Rezki Enterprise itu diharap dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang dibelenggu kemiskinan dan kesusahan untuk membina kejayaan.

Peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties, Mohamad Azlan Al Amin, 32, berkata, perubahan hidupnya bermula pada Ramadhan 2010.

Azlan menurunkan tandatangan di majlis pelancaran bukunya ~ foto MBNews

“Kerana kemiskinan keluarga dan pernah hidup terpulau di tengah-tengah masyarakat sewaktu kecil, saya tekad mahu mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik.

Kerana tiada pilihan, saya pernah bekerja sebagai pengutip sampah di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Puteh, Kelantan.

“Pekerjaan itu tidak lama kerana dengan gaji yang kecil, saya tidak mampu berbuat yang terbaik untuk membantu keluarga keluar dari kepompong kemiskinan.

Azlan merakam momen nostalgia di rumah kampungnya ~ foto bookcafe

Akhirnya saya tekad meninggalkan rumah dengan berbekalkan RM1.30 untuk mencari kerja demi mengubah nasib diri dan kelurga saya,” katanya.

Azlan berkata dia memohon pada ibunya agar jangan sedih dan selalu doakan kejayaannya.

“Saya yakin, sebelum diberi nikmat, pastilah saya akan diuji oleh Allah SWT terlebih dahulu,” katanya.

Azlan pernah bekerja sebagai pemungut sampah di sini ~ foto pugkweekly

Mohamad Azlan Al Amin dilahirkan dalam keluarga yang miskin tegar dan berasal dari Kg Tok Raja, Besut, Terengganu.

“Saya mempunyai 21 adik-beradik seibu seayah, lima daripadanya meninggal dunia sewaktu kecil,” katanya.

Menurut Mohamad Azlan Al Amin, keluarganya pernah dibanci sebagai keluarga paling miskin di Kg. Tok Raja, Besut, Terengganu suatu ketika dahulu, iaitu sekitar awal tahun 90-an.

“Kemiskinan inilah yang menjadikan kami sekeluarga sentiasa menghargai apa sahaja nikmat yang ada asalkan halal dan penuh keberkatan,” katanya.

Di dalam bukunya, Azlan berkongsi kisah benar perjalanan hidupnya dan bagaimana dia bangkit untuk keluar dari kemiskinan.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan buku motivasi dan penuh inspirasi mengisahkan perjalanan hidup beliau bertajuk RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN ini, mereka boleh mendapatkannya di kedai-kedai buku berdekatan.

Pembelian juga boleh menghubungi talian 0132269442,0132409442 dan 0132889442 atau pembelian secara online.

Artikel asal:
https://www.facebook.com/MelayuBangkitNews/?epa=SEARCH_BOX

Menteri Pendidikan Bertegas Larang Edar Buku Kontroversi

Menteri Pendidikan Bertegas Larang Edar Buku Kontroversi

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sekali lagi menegaskan bahawa beliau serta kementeriannya tidak pernah meluluskan penerbitan dan pengedaran komik propaganda “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama.”

Menegaskannya di Dewan Rakyat, Maszlee berkata menjadi kelaziman kepada mana-mana pengarang untuk untuk mengambil gambar apabila menghadiahkan buku-buku mereka sama ada kepada menteri-menteri mahupun ahli Parlimen.

Jelasnya, itu tidak bermakna, individu yang menerima buku tersebut mengiktiraf kandungan mahupun penulisan di dalamnya.

“Penerangan telah dilakukan oleh timbalan menteri bagaimana beliau telah diberi komik tersebut dan diambil gambar.

“Insiden yang sama juga telah berlaku kepada Perdana Menteri, yang diserah komik tersebut lalu diambil gambarnya.

Buku kontroversi tidak pernah diluluskan ~ foto malaysiagazette

“Ini bukanlah satu insiden terpencil. Saya yakin, ramai menteri dan ahli-ahli Parlimen juga kadang-kala diserbu untuk diberikan buku-buku tertentu oleh pengarang-pengarang lantas mereka mengambil gambar.

“Ini tidak boleh dijadikan bukti pengiktirafan. Beliau (Teo Nie Ching) tidak pernah keluar apa-apa kenyataan bertulis mengiktiraf.

“Apa pun, tak kiralah gambar siapa, gambar Timbalan Perdana Menteri ke, gambar Ketua Setiausaha ke, gambar mana-mana Ahli Parlimen ke, yang penting Menteri Pendidikan tidak benarkannya.

“Keputusan di tangan saya,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Pegawai KDN menyerbu premis menjual buku itu ~ foto astroawani

Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pemeriksaan di Muzium Kebudayaan Komik Asia di George Town Pulau Pinang.

Dalam pemeriksaan sepasukan pegawai bahagian penguatkuasa KDN telah melakukan pemeriksaan dan merampas 13 buah Komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama versi bahasa Cina.

Menurut sumber, pemeriksaan dibuat susulan arahan KDN yang mengharamkan komik kontroversi berkenaan yang disifatkan boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, KDN telah mewartakan perintah larangan terhadap komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Muzium Kebudayaan Komik Asia ~ foto astroawani

Langkah itu diambil selepas pihaknya meneliti dan mendapati kandungan komik itu yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

Tegasnya, larangan di buat bukan berdasarkan kepada sentimen atau politik sebaliknya KDN mempunyai alasan kukuh untuk mengharamkan komik itu kerana boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Pautan asal:
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/komik-propaganda-keputusan-di-tangan-saya-maszlee-221215

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kdn-periksa-muzium-kebudayaan-komik-asia-rampas-komik-propaganda-220914

Al-Quran Laris di Jualan Gudang Karangkraf

Al-Quran Laris di Jualan Gudang Karangkraf

SINARHARIAN.29.10.19

SHAH ALAM – Koleksi al-Quran tagging terbitan Karya Bestari, Kumpulan Buku Karangkraf antara pilihan utama pengunjung sempena Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf.

Editor Buku Karya Bestari, Ustaz Mohd Hasrul Wahab berkata, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Menurutnya, kali ini ramai pengunjung memilih koleksi al-Quran tagging iaitu al-Quran Mu’jam (saiz A5) yang dijual pada harga RM95 senaskhah dan al-Quran Haramain Tagging (saiz B5) yang boleh didapati pada harga RM110 senaskhah.

“Koleksi al-Quran tagging ini terhad dan hanya boleh didapati di jualan gudang sahaja.

“Al-Quran ini sangat mudah untuk ditadabbur dan difahami kerana bertanda pada bahagian ayat al-Quran.

“Saranan saya kepada peminat koleksi al-Quran tagging ini supaya segera datang ke jualan gudang sebelum kehabisan stok. Setakat semalam (kelmarin) al-Quran Mu’jam (A5) sudah habis dijual,” katanya.

Sementara itu, Pakej Harga Giler! untuk buku latihan Bestari Karangkraf sangat berpatutan dan mendapat sambutan pengunjung Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf di Seksyen 15 di sini bermula sejak 25 Oktober sehingga 3 November ini.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi Bestari Karangkraf, Izzat Izhar Muhammad Nasir berkata, Pakej Kertas Model Peperiksaan Intensif UPSR pada harga RM10 untuk empat buku paling mendapat perhatian ibu bapa dan anak-anak.

Menurutnya, jualan gudang kali ini turut menampilkan buku Maya Lubuk, Peta Minda Genius Sains 4, 5, 6 dan 1, 2. 3 dipakejkan pada harga RM16.

“Orang ramai juga berpeluang mendapatkan pakej Kertas Klon UPSR pada harga RM16 untuk empat buku dan pakej Murah Giler! RM10 bagi lima buku Praktis Standard DSKP.

“Pakej Kertas Model Peperiksaan Intensif UPSR ini adalah untuk rujukan anak-anak dan sebagai persediaan kepada mereka untuk tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pakej Harga Giler! yang ditawarkan kali ini lebih menarik dan berbeza berbanding tahun sebelumnya.

“Tiga lokasi yang disediakan iaitu di Studio F, Auditorium dan Lobi Karangkraf sesak dengan pengunjung yang hadir sejak pagi lagi,” katanya,

Izzat berkata, kelebihan buku Bestari Karangkraf ialah penghasilannya daripada tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam subjek terbabit.

“Kita ada penulis yang terdiri daripada penyedia kertas peperiksaan, guru pakar bidang untuk setiap subjek termasuk guru yang masih mengajar.

“Proses menyunting pula amat ketat sebelum sesebuah buku itu boleh dipasarkan bagi menjamin kualiti dan kesalahan yang minimum pada buku tersebut,” katanya.

Sumber Artikel Asal :

https://www.sinarharian.com.my/article/54339/BERITA/Nasional/Pengunjung-serbu-jualan-gudang-untuk-al-Quran-Tagging

Rambang Mata Nak Pilih

Rambang Mata Nak Pilih

NOZINA YAHAYA.SINAR HARIAN.25.10.2019

SHAH ALAM – Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf yang berlangsung sehingga 3 November ini ibarat syurga bagi pencinta buku terutamanya novel cinta dan thriller.

Apa tidaknya, pengunjung yang datang pasti rambang mata untuk memilih novel yang diinginkan kerana pelbagai tajuk daripada pelbagai penulis ditawarkan kepada mereka.

Yang pasti, harga serta diskaun ditawarkan juga sangat menarik sepanjang 10 hari jualan gudang berlangsung.

Bagi peniaga buku dalam talian, Normi Abdullah, 28, berkata, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan novel-novel ditawarkan.

“Setiap kali jualan gudang, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memborong novel-novel yang disediakan.

“Seawal jam 9 pagi lagi, saya akan datang dan memilih novel-novel cinta terutamanya yang sering menjadi kegemaran pembaca,” katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Normi bersama suami dan anak-anak tidak melepaskan peluang membeli pelbagai novel yang ditawarkan. ~ foto Sinar Harian

 “Kebiasaannya saya akan datang lima hari berturut-turut iaitu pada hari pertama hingga kelima kerana ketika ini masih banyak novel ‘best seller’ dan murah.

“Saya juga tidak akan lepaskan peluang untuk borong pelbagai novel yang dijual dengan harga RM1. Harga ditawarkan pula sangat berbaloi.

“Memang rambang mata dibuatnya dan rasa macam nak borong semua novel di sini,” katanya.

Pelbagai novel dijual dengan harga serendah RM1 di Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf. ~ foto Sinar Harian

Normi berkata, dia memperuntukkan untuk membeli kira-kira 3,000 novel sepanjang jualan gudang berlangsung untuk dijual semula kepada pelanggan tetapnya.

“Kebanyakan novel ini sering mendapat permintaan daripada pelanggan dan kadang-kadang memang tak menang tangan untuk penuhi permintaan mereka.

“Alhamdulillah, perniagaan buku online (dalam talian) yang saya usahakan sejak dua tahun lalu mendatangkan pulangan lumayan,” katanya.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang memilih al-Quran yang ditawarkan pada Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf yang bermula hari ini.

Dalam pada itu, jualan gudang itu turut menyediakan tawaran istimewa kepada peminat majalah terbitan Karangkraf. ~ foto Sinar Harian

Pemilik kedai alat tulis, Crystal, 45, berkata, dia dan suaminya, Jason, 60, tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai jenis majalah setiap kali jualan gudang berlangsung.

“Kami akan pilih dan beli pelbagai jenis majalah seperti masakan, jahitan dan hiasan dalaman dalam kuantiti yang banyak.

“Biasanya kami akan pilih majalah yang murah serta menawarkan diskaun lebih 30 peratus untuk dijual semula kepada pelanggan di kedai kami di Puchong,” katanya.

Pengunjung juga tidak melepaskan peluang memilih al-Quran yang ditawarkan pada Jualan Gudang Akhir Tahun Karangkraf yang bermula hari ini.

Menurutnya, mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk memilih majalah berkenaan.

“Setiap kali hari jualan gudang, kami akan datang awal kerana waktu itu stok majalah masih banyak serta pelbagai.

“Kiranya kami orang pertama yang dapat pilih dan beli majalah-majalah itu tanpa tidak perlu berebut dengan orang lain,” katanya.

Iklan

Petikan Terpilih

BELI MAAFCAKAP 4 – KLIK GAMBAR!

LAYAR SOROT

BELI DI BOOKDEPOSITORY

LANGGAN LAYARMINDA

[mc4wp_form id=”572″]