KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sekali lagi menegaskan bahawa beliau serta kementeriannya tidak pernah meluluskan penerbitan dan pengedaran komik propaganda “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama.”

Menegaskannya di Dewan Rakyat, Maszlee berkata menjadi kelaziman kepada mana-mana pengarang untuk untuk mengambil gambar apabila menghadiahkan buku-buku mereka sama ada kepada menteri-menteri mahupun ahli Parlimen.

Jelasnya, itu tidak bermakna, individu yang menerima buku tersebut mengiktiraf kandungan mahupun penulisan di dalamnya.

“Penerangan telah dilakukan oleh timbalan menteri bagaimana beliau telah diberi komik tersebut dan diambil gambar.

“Insiden yang sama juga telah berlaku kepada Perdana Menteri, yang diserah komik tersebut lalu diambil gambarnya.

Buku kontroversi tidak pernah diluluskan ~ foto malaysiagazette

“Ini bukanlah satu insiden terpencil. Saya yakin, ramai menteri dan ahli-ahli Parlimen juga kadang-kala diserbu untuk diberikan buku-buku tertentu oleh pengarang-pengarang lantas mereka mengambil gambar.

“Ini tidak boleh dijadikan bukti pengiktirafan. Beliau (Teo Nie Ching) tidak pernah keluar apa-apa kenyataan bertulis mengiktiraf.

“Apa pun, tak kiralah gambar siapa, gambar Timbalan Perdana Menteri ke, gambar Ketua Setiausaha ke, gambar mana-mana Ahli Parlimen ke, yang penting Menteri Pendidikan tidak benarkannya.

“Keputusan di tangan saya,” ujarnya di Dewan Rakyat hari ini.

Pegawai KDN menyerbu premis menjual buku itu ~ foto astroawani

Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat pemeriksaan di Muzium Kebudayaan Komik Asia di George Town Pulau Pinang.

Dalam pemeriksaan sepasukan pegawai bahagian penguatkuasa KDN telah melakukan pemeriksaan dan merampas 13 buah Komik Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama versi bahasa Cina.

Menurut sumber, pemeriksaan dibuat susulan arahan KDN yang mengharamkan komik kontroversi berkenaan yang disifatkan boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, KDN telah mewartakan perintah larangan terhadap komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ termasuk versi bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Muzium Kebudayaan Komik Asia ~ foto astroawani

Langkah itu diambil selepas pihaknya meneliti dan mendapati kandungan komik itu yang antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

Tegasnya, larangan di buat bukan berdasarkan kepada sentimen atau politik sebaliknya KDN mempunyai alasan kukuh untuk mengharamkan komik itu kerana boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Pautan asal:
http://www.astroawani.com/berita-malaysia/komik-propaganda-keputusan-di-tangan-saya-maszlee-221215

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kdn-periksa-muzium-kebudayaan-komik-asia-rampas-komik-propaganda-220914