MAAFCAKAP 6.11.19
Baru-baru ini saya menerima sebuah mesej Whatsapp daripada seorang sahabat. Mesej itu mengandungi imej sebuah poster dan beberapa imej sebuah ekspo makanan. Sahabat saya meminta saya membantunya untuk menularkan mesej itu melalui grup Whatsapp dan juga media sosial.
Notanya berbunyi, “Ekspo makanan ini tak dapat sambutan kerana tidak dapat liputan dan promosi yang baik. Banyak makanan tak habis kerana tiada siapa nak beli. Tolong sebarkan kepada semua kawan-kawan. Ajak mereka datang beramai-ramai.”
Meskipun saya segera menularkan mesej sahabat saya itu. Hati saya berasa terkilan. Terkilan kerana hari akhir ekspo adalah pada keesokan hari. Memang sukar jika seseorang hendak membuat keputusan pada waktu yang singkat. Apatah lagi apabila diajak ke sebuah ekspo yang agak jauh dari ibukota.
Saya memikirkan mengapa pihak penganjur tidak berpandangan jauh untuk memanggil orang ramai untuk datang ke ekspo makanan yang dianjurkannya. Mengapa mereka tidak membuat iklan melalui radio atau televisyen? Apakah para peniaga di ekspo itu juga tidak mempromosikan ekspo itu untuk menarik orang ramai untuk datang ke gerai mereka?
Tarikh-tarikh ekspo itu memang sudah cantik kerana diadakan pada hujung bulan. Apabila jualan diadakan pada tarikh-tarikh orang mendapat gaji, mereka yang tiada rancangan khusus akan membawa keluarga untuk berkunjung ke ekspo. Pasti apabila ramai orang yang datang, suasana meriah dan akan menimbulkan mood untuk berbelanja. Akhirnya barang jualan akan laku.
Saya merenung dan tertanya, susah sangatkah mempromosi barang jualan? Pada zaman saya kecil dahulu, seorang budak dari hujung kampung yang menjual nasi lemak pun pandai melaung untuk menarik perhatian orang untuk membeli nasi lemaknya. Di era alam siber di mana masing-masing berswafoto di sana, berswafoto di sini; mengapa mereka tidak ambil kesempatan menghebahkan hal yang mereka terlibat dengan ekspo makanan itu di laman sosial mereka? Mesti ada sebabnya.
Berniaga itu bekerja sendiri. Kita ada idea, kita ada modal, kita buat barangan atau beri perkhidmatan, lalu kita hebahkan sendiri. Bukan orang lain yang lakukan. Jika kita sertai mana-mana karnival atau ekspo, kita tidak boleh harapkan pihak penganjur untuk lakukan promosi untuk kita, meskipun ia adalah sebahagian daripada tugas penganjur. Jika pihak penganjur tidak ambil berat untuk mempromosi karnival anjurannya, kita jugalah sebagai peniaga yang akan rugi.
Di sebalik kegilaan pelbagai entiti perniagaan yang besar ataupun yang kecil mempromosi barangan masing-masing terutamanya di media sosial kerana kosnya yang rendah, masih ada ramai lagi mereka yang tidak mengambilkira betapa pentingnya promosi barangan dan perkhidmatan mereka.
Jika hal begini pun mereka tak tahu, jika promosi itu dianggap hanya untuk usahawan yang hebat-hebat, ada sesuatu yang tak kena dengan golongan peniaga ini. Saya bukan salahkan mereka kalau mereka tidak tahu atau anggap ia tidak penting.
Saya salahkan kepada pihak-pihak berwajib, agensi-agensi yang patut memupuk mereka dari tahap peniaga ke peringkat usahawan. Ini adalah kerana golongan yang menyertai ekspo lazimnya adalah golongan yang belum memahami keseluruhan skop perniagaan yang bukan sahaja mencakupi bidang jual beli, tetapi simpanan akaun, promosi, pemasaran, pengiklanan malah teori penawaran dan permintaan. Mereka hanya memahami cara menyediakan produk dan menjualnya. Itu sahaja.
Lagi pula, jangan kita anggap golongan peniaga secara kecil-kecilan ini adalah golongan yang sudah kaya raya. Kalau kita perhatikan betul-betul, mereka berniaga kerana ingin mendapatkan sesuap nasi. Sambil berniaga, anak kecil mereka tergolek di atas plastik di sudut belakang.
Kalau pelanggan hulur seratus ringgit, mereka terkocoh kacah ke gerai sebelah untuk menukar wang. Mereka bukannya tidak mahu menukar wang, mereka memang tiada wang baki sebanyak pulangan seratus ringgit. Tiang khemah mereka yang sudah tercabut skru pun mereka ikat dengan dawai ke tiang gerai sebelah. Bumbung khemah pun mereka sulam dengan tali rafia ke bumbung khemah gerai sebelah supaya tak tiris bila hujan turun.
Bila jualan suram, tuanpunya gerai minuman akan membeli nasi dari penjual di gerai sebelah. Yang menjual nasi itu pun membeli pula minuman dari gerai jirannya. Mereka tolong menolong untuk melakukan. Silap gaya, jika jualan betul-betul lembab, sewa gerai pun tak lepas walaupun harganya puluhan ringgit sehari.
Kita jangan anggap golongan peniaga sebegini adalah golongan yang senang. Mereka pun kais pagi makan pagi. Kalau mereka tidak pandai buat promosi atau lebih tepat, tiada modal untuk buat promosi, pihak penganjurlah yang patut betul-betul bantu mereka. Tidak bolehlah anggap mereka semua sudah kaya raya dan cekap berniaga hingga kita penganjur buat tak tahu. Golongan B40 pun ramai terdiri dari golongan ini. Bezanya, mereka hanya mengeluh sesama sendiri dan tak sempat nak tulis di media sosial kerana keletihan setelah pulang berniaga.