Jangan Lepaskan “Tidak Kulepaskan”!
NORRA HASSAN (Facebook | Instagram) adalah di antara novelis yang prolifik. Setelah menulis Bila Hati Berahsia, Pengantin Lelaki Untuk Aku, Melati Untuk Gabriel, Kita Suka Sama Suka dan Engkau Lebih Mengerti dan Berikan Aku Sebutir Bintang, kini beliau menghadiahkan Tidak Kulepaskan untuk para peminatnya.
Kita ikuti e-temubual dengan Norra Hassan…

Tidak Kulepaskan muncul 6 bulan setelah Berikan Aku Sebutir Bintang. Apakah novel ini juga sedang ditulis ketika saudari menggarap Berikan Aku Sebutir Bintang?
Tidak.
Sesetengah penulis suka menggarap lebih dari sebuah karya pada satu-satu masa. Apakah saudari tidak begitu?
Setiap penulis mempunyai proses kreatif dan keupayaan yang berbeza. Masing-masing ada rentak, disiplin menulis atau cara tersendiri ketika berkarya.
Keupayaan saya sekarang ialah menggarap satu cerita pada satu masa. Saya lebih selesa fokus untuk bangunkan satu-satu karya sehingga siap. Selepas itu, baru beralih kepada cerita seterusnya.
Selalunya apabila mendapat idea, saya akan terus membina idea itu sehingga siap. Ada waktunya, saya rasa idea itu tidak sekukuh mana walaupun sudah separuh jalan digarap, jadi saya letak ke tepi dulu.
Letak ke tepi dulu ini sebenarnya strategi bahaya. Sebab kalau ada idea lain, saya akan siapkan idea kedua itu. Kalau tiada idea lain, melangut depan laptop sajalah jawabnya!
Saya secara individu adalah seseorang yang sukar hendak memberikan fokus kepada sesuatu perkara dan cepat berasa bosan. Tetapi berkarya adalah satu-satunya perkara yang saya boleh saya paksa diri untuk berikan tumpuan penuh. Tetapi, kadang-kadang hilang fokus juga. Jadi, ini membuatkan saya lebih selesa menukangi satu-satu karya pada satu masa.
Saudari punyai target seperti dua buah novel setahun, atau bagaimana?
Saya hanya menulis satu karya satu tahun. Tetapi tidak juga bermakna yang saya ada sasaran wajib penulisan atau penerbitan seperti dua novel setahun.

Mengapa tiada target khusus?
Ini kerana idea dan penerbitan adalah faktor yang di luar kawalan saya. Pada ketika ini, saya dimurahkan rezeki dengan idea yang tidak putus. Jadi selepas siap satu karya, saya bergerak ke idea seterusnya.
Penerbit juga mempunyai jadual penerbitan mereka sendiri. Buat waktu ini saya menulis untuk dua rumah penerbitan. Oleh itu, buat waktu ini pembaca akan dapat melihat karya saya terbit dua buah setahun.
Apa pandangan saudari mengenai penulis yang swaterbit?
Tabik kepada mereka kerana banyak perkara yang perlu diuruskan sendiri seperti berurusan dengan pereka dan pencetak. Selain itu, mereka perlu berfikir dan bertindak seperti ahli perniagaan apabila perlu menjalankan promosi, pemasaran dan sebagainya. Itu bukan kerja yang senang. Tetapi mereka menguasai sepenuhnya proses kreatif karya mereka dan proses penerbitan. Saya kira kepuasan swaterbit terletak di sini.
Apa yang Norra suka mengenai novel ini?
Pertama, bahagian perkembangan novel ini dibina dalam latar masa 7 hari. Jenuh hendak mengira hari, bagi mengelakkan kesilapan terkurang atau terlebih hari.
Kedua, watak hero novel ini adalah watak sampingan novel Kita Suka Sama Suka (terbitan 2017), tetapi pembaca tidak perlu membaca Kita Suka Sama Suka untuk memahami watak Shou. Ia sebuah naskah yang tersendiri. Jalan cerita Tidak Kulepaskan bermula selepas dua tahun daripada penamat novel Kita Suka Sama.
Ketiga, mereka yang membaca Kita Suka Sama Suka akan menyedari bahawa watak Shou adalah watak lelaki yang berusia awal 30-an. Oleh itu, sangat janggal jika saya menggambarkan watak heroin, Juli, yang berusia 30-an sebagai seorang perempuan yang berperangai kurang matang. Jadi, usia Juli terpaksa dikurangkan jauh berbanding Shou. Jarak usia mereka adalah tujuh tahun. Bermakna ketika Shou putus cinta ketika di tahun pertama universiti, Juli ketika itu baru berusia 13 tahun.
Cabaran ketika menulis novel ini?
Cabaran saya ialah mengatur garis masa bagi peristiwa-peristiwa penting dalam novel ini adalah berdasarkan kepada kisah hidup Juli, bermula daripada satu kejadian utama yang berlaku sebelum dia lahir sehingga kepada perkahwinannya dengan hero, Shou.
Untuk itu, saya menyediakan sebuah jadual ringkas yang mencatatkan usia watak Juli, Shou dan Tok Ayah Ali (datuk saudara Juli yang juga penjaga sahnya) dan perkara penting yang berlaku pada usia tertentu Juli untuk menjaga rasionaliti dan kontinuiti karya ini.
Keempat, saya mengabadikan sepintas lalu kenangan kunjungan kerja saya ke Berlin, Jerman secara tidak langsung ke dalam novel ini.

Kalau menelusuri FB saudari, saudari kian sibuk dengan kerja hakiki. Tidakkah ini mengganggu minat saudari?
Tidak. Kerja hakiki sekarang ini adalah satu kepuasan tersendiri kepada saya. Salah satu sebab kenapa saya sukakan kerja hakiki ini ialah ia memberikan peluang kepada saya untuk mendapat pelbagai input seperti persekitaran fizikal yang boleh digarapkan sebagai latar tempat atau ruang dalam karya, maklumat tertentu yang menjadi rujukan fakta, bahkan cerita atau gosip tertentu yang boleh diolah sebagai idea karya.
Oleh kerana saya tiada komitmen terhadap keluarga, saya mempunyai sejumlah besar masa pada waktu malam untuk kerja menulis. Saya anggap menulis adalah kerja hakiki atau kerja sepenuh masa waktu malam.
Mengapa tidak menulis sepenuh masa?
Ada banyak pertimbangan yang perlu saya teliti jika mahu menulis sepenuh masa. Buat waktu ini, saya belum lagi mempunyai kedudukan yang kukuh untuk menjadi seorang penulis sepenuh masa. Jika saya mahu berhenti daripada kerja hakiki sekarang, saya perlu memastikan keputusan saya itu tidak menjejaskan mana-mana pihak.
Apakah projek berikutnya?
Spin-off novel Berikan Aku Sebutir Bintang, di mana saya mengembangkan watak sampingan, Mizar, dan antagonis, Nazira, ke dalam satu cerita.
Kalau Ilmu Hanya Sejemput
MAAFCAKAP 27 NOVEMBER 2019
Ketika makan tengahari di sebuah restoran, saya berkesempatan bertemu dengan Ame Osman seorang guru muzik. Sebenarnya saya kenal dengan Ame terlebih dahulu melalui Facebook. Saya terjumpa lamannya yang bermain muzik. Takdir menemukannya secara berdepan ketika beliau ke pejabat saya di Brainy Bunch. Dari situ kami akan bersembang bila ada kesempatan.
Ame punyai pengalaman berpuluh tahun sebagai guru muzik. Beliau boleh bermain pelbagai alat muzik, punyai suara yang baik serta boleh menyanyikan pelbagai lagu dan rentak dengan penuh perasaan. Ada showmanship, kata orang.
Sebagai orang media saya bertanya pelbagai soalan mengenai muzik. Akhirnya melarat juga pada perkara apakah dalam muzik terdapat perbezaan pandangan hingga terjadinya kritik mengkritik. Jawapannya, iya sememangnya ada. Mereka yang bermain muzik klasik akan berkata, mereka yang memainkan muzik pop itu adalah golngan yang komersial, kurang etika dan nilai estetika. Yang meminati jazz akan berkata golongan yang sukakan raggae kurang kelas.
Begitulah lumrah orang sekarang. Bila tak tahu buat-buat pandai kononnya penuh ilmu. Tetapi cuma ilmu cut and paste daripada Google. Yang sudah belajar dan punyai sedikit ilmu akan mula taksub dengan ilmunya hingga mencemuh mereka yang tidak sealiran. Di dalam pejabat, mereka dari jabatan pemasaran selalunya akan bertekak dengan mereka dari jabatan akaun. Orang jabatan pemasaran mendapat duit dengan membelanjakan duit. Orang akaun pula mendapat duit dengan berjimat duit yang ada.
Kita lihat juga mereka dalam bidang kejuruteraan bangunan misalnya akan bertekak dengan mereka dalam bidang rekaan dalaman. Yang jurutera utamakan konsep form follow function. Yang pereka pula mahukan konsep function follow form. Jurutera jalanraya mahu jalan yang lurus kerana ia menjimatkan. Pereka lanskap pula mahu jalan yang berkelok untuk mengelilingi tasik.
Dalam penulisan juga tidak terkecuali. Mereka dalam bidang penulisan sastera akan mempersoal penulis-penulis karya komersial. Karya komersial kononnya melacurkan sastera. Sebaliknya karya-karya sastera pula dikatakan karya syok sendiri.
Jika disentuh pada agama pula, meskipun terdapat pelbagai mazhab terutamanya mazhab yang empat, iaitu mazhab Maliki, Shafie, Hambali dan Hanafi, keempat-empat mereka saling menghormati di antara satu dengan yang lain.
Malangnya di peringkat kita yang memilih jalan atau manhaj, kita saling sindir menyindir dengan maksud mazhab yang dipilih itulah yang yang terbaik.
Semua ilmu, khususnya ilmu kehidupan seharusnya menjurus kepada satu, iaitu untuk memberi kenikmatan kepada manusia. Malah, adunan dan gabungan pelbagai jalur ilmu itulah yang akan mencantik dan memperkaya ilmu itu sendiri. Tidak ada ilmu yang lebih baik atau lebih agung daripada ilmu yang satu lagi. Semuanya milik ALLAH Yang Satu. Bukankah Dia yang mengajar semua ilmu itu kepada moyang kita, Nabi Adam a.s?
Barangkali kita perlu ambil tahu semua bidang dalam satu-satu jalur ilmu. Seperti Ame, dia belajar muzik pop, jazz, klasikal, raggae, muzik Melayu dan apa-apa lagi. Apabila dia mengetahui banyak, sebagai manusia dia juga sedar yang ilmunya tidak cukup. Apabila dia berasa ilmunya tidak cukup diaperlu belajar lagi dan tidak berani mencemuh mana-mana ilmu yang dia tidak tahu. Yang penting, Ame sentiasa gemar mengapresiasi sesuatu yang baharu.
Berbanding dengan mereka yang hanya belajar hanya satu jalur ilmu, dia akan kata ilmunyalah yang terbaik. Dia berani pula mencemuh ilmu yang dia tidak pelajari. Orang begini begitu cetek fikiran dan cetek pula pengalaman. Bak kata orang dulu-dulu, kalau kail panjang sejengkal, laut yang dalam jangan diduga. Orang begini akan terdiam bila ditegur oleh mereka yang berilmu penuh di dada.
Perkembangan teknologi pada hari ini membolehkan sesiapa sahaja berkongsi ilmu. Jumlah ilmu yang dikongsi percuma berlambak-lambak di internet. Orang yang sedikit ilmu jangan cuba-cuba menjaja ilmunya yang sejemput itu. Malu bila ditatap oleh orang yang tahu.
Apabila Terasa Sudah Berusaha
MAAFCAKAP 20.11.19
Minggu lalu saya sempat berkunjung ke rumah sahabat saya, Muaz. Menziarahinya kerana dengar cerita dia sudah tiga bulan tidak bekerja. Sebagai wartawan yang juga seorang ketua meja sebuah akhbar, dia turut menjadi di antara yang mereka yang diberhentikan syarikat. Dia di angtara yang akhir meninggalkan syarikat.
Kerana itu dia tidak bernasib baik kerana tidak menerima apa-apa pampasan. Sebelum ini, bila berpeluang untuk meletak jawatan dengan VSS, dia tidak mahu kerana begitu sayangkan profesyennya. Biarlah dia bergantung hingga kapal medianya karam. Sebagai orang surat khabar, saya terkesan dengan keadaannya. Begitu juga dengan perkembangan dunia pekerja dalam industri akhbar.
Alhamdulilah, Muaz tersenyum lebar apabila saya sampai. Katanya dia sudah mula bekerja. Katanya, dia mengendalikan hal ehwal media syarikat kenalannya. Ketika bertugas dahulu, dia kenal dengan tuanpunya syarikat ini. Pernah juga dia membantu tuanpunya syarikat ini membuat kenyataan akhbar dan juga teks ucapan. Jadi, pengalaman itulah yang menjadikan dia terpilih untuk bertugas.
Meskipun dengan separuh gaji, dia menerimanya dengan senang hati kerana tidak perlu ke pejabat setiap hari. Malah, dia hanya diminta hadir apabila dipanggil oleh majikan baharunya. Itupun bukannya untuk bertugas semata-mata malah untuk bersembang mengenai hal-hal semasa terutamanya politik kerana tuanpunya syarikat itu ada cita-cita politik. Muaz tersenyum lagi bila saya mengusiknya barangkali jawatan Setiausaha Akhbar menantinya bila kawannya itu berjawatan esok.
Sambil berbual, saya terpandang anak Muaz, Arif yang asyik dengan laptop di sudut ruang tamu setelah lebih setengah jam berbual. Saya menegurnya dan bertanya apakah peperiksaan SPMnya sudah habis? Dia menggeleng dan berkata ada tiga subjek lagi. Katanya, dia berehat sekejap setelah penat belajar.
Muaz berbisik kepada saya, anaknya itu lebih banyak berehat daripada belajar. Dia kerap berkata yang dia sudah banyak belajar dan perlukan berehat. Walhal, dia perasan sejak dia tidak bekerja, Arif nampak seperti belajar, tetapi rupa-rupanya bermain dengan telefon. Kelihatan seperti membaca, tetapi kerap juga kepalanya melangut menonton TV.
Saya tahu dan faham sangat dengan tabiat Arif. Ia juga kerap menyerang kita. Jika kita tidak perasan apa yang kita lakukan iaitu teralih perhatian dari fokus terhadap apa yang kita buat, lama-lama kita berasa penat juga. Bukan penat dengan kerja, tetapi penat melayan apa yang bukan menjadi tugasan. Lebih malang lagi apabila kita terkeliru bahawa kepenatan kita itu adalah kerana kerja dan bukannya kerana membuat hal-hal yang tidak berfaedah.
Apabila kita belum berjaya sedangkan kita rasa yang kita telah melakukan sehabis usaha, ia terjadi kerana dua kemungkinan. Pertama, kerana ia bukannya rezeki atau kejayaan itu belum tiba. Kedua, kita belum berjaya kerana kita sebenarnya belum pun berusaha bersungguh-sungguh. Sebaliknya, kita hanya perasan yang kita sudah kerja kuat.
Sebab yang kedua inilah yang lebih sukar kita ketahui melainkan kita ada seseorang yang boleh memberi kita penilaian apakah kita telah benar-benar berusaha tetapi belum berjaya kerana belum ada rezeki. Di peringkat peribadi, orang yang kita perlukan tentulah orang yang paling rapat dengan kita samada teman hidup ataupun sahabat.
Dalam pendidikan, orang itu dinamakan guru, pensyarah ataupun supervisor. Di kalangan profesional, mereka mendapatkan khidmat seorang jurulatih ataupun seorang coach. Pada hari ini, tugas seorang coach sudah berkembang di luar bidang sukan. Dalam bidang pengurusan, perniagaan, pemasaran, termasuk imej.
Konsepnya, kita semua perlukan seorang insan untuk menasihatkan, memberi pandangan atau mendera minda kita agar dapat berbuat lebih baik daripada hari ini. Sekiranya pemain badminton seperti Lee Chong Wei mendapat nasihat seorang jurulatih, ia bukan bermakna jurulatih itu lebih handal daripadanya. Sebaliknya, jurulatih itu adalah orang yang mencatat perkembangan permainannya, mencadangkan strategi dan menggalakkannya untuk sentiasa bangkit.
Menurut seorang motivator Amerika Mel Robbins, tatkala kita kecil, ibubapalah yang menjalankan tugas ‘parenting’ dengan menyuruh kita bangun tidur, kemas katil, pergi mandi, makan sayur, buat kerja rumah dan apa-apa lagi. Mereka sentiasa memerhati segala tindak tanduk kita dari pagi hingga ke malam.
Peranan ‘parenting’ mereka itu adalah satu pendekatan coaching yang mereka berikan kepada kita. Apabila kita dewasa, kita pula yang jalankan tugas itu kepada anak-anak. Malanglah sekiranya kita ini adalah anak yang tidak mendengar nasihat atau mematuhi ‘parenting’ ibubapa.
Kelak, apabila kita dewasa, kita tidak pandai memainkan peranan itu kepada anak-anak. Anak-anak pula menjadi terbiar dan berbuat apa yang mereka suka dengan bermalas-malasan. Apabila mereka berdepan dengan tugas yang sedikit sukar, mereka cepat mengalah dengan mengatakan yang mereka telah berusaha sehabis mungkin. Orang begini akhirnya sukar berjaya dalam kehidupan.
Saya membisikkan hal ini kepada Arif ketika Muaz masuk ke dalam untuk solat. Mata Arif terkebil-kebil mendengarnya. Saya harap, Arif faham yang dia perlu bangun dan berusaha tanpa mengenal penat hingga ke garisan terakhir perjuangan sebagai seorang calon SPM.
Ruginya Bila ITBM Kecilkan Operasi
KUALA LUMPUR: Pengecilan skop perniagaan ITBM termasuk pemberhentian kakitangannya adalah langkah ke belakang yang akan menyebabkan kerugian besar kepada negara.
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata ITBM ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak berasaskan keuntungan justeru bantuan dalam kaedah munasabah perlu diberikan kerajaan.
Mohamad Saleeh berkata, sebagai GLC bermatlamat untuk tanggungjawab sosial, ITBM tidak boleh dibiarkan bergerak seperti entiti perniagaan sepenuhnya, sebaliknya perlu dibantu.
Beliau berkata, antara cara boleh dilakukan adalah melalui pemberian kontrak buku teks sekolah oleh Kementerian Pendidikan seperti diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Pengecilan skop perniagaan ini ibarat kematian dipaksa yang membawa tragedi.
“ITBM sudah sedia memiliki tenaga mahir dan sistem pengurusannya yang mantap perlu dimanfaatkan, bukannya dimatikan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Semalam Pengurus besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, mengesahkan ITBM akan melaksanakan pengecilan operasi sesuai dengan usaha bagi mengembalikan fungsi asal agensi itu.
Mohamad Saleeh berkata, DBP secara bersendirian tidak mampu mengisi keperluan negara dalam bidang perbukuan, apatah lagi untuk membangunkan penulis disebabkan kaedah penerbitan dan pemasarannya yang ketat.
ITBM pula menurut Mohamad Saleeh lebih bebas menentukan kaedah penerbitan dan pemasaran yang fleksibel, malah peranannya sebagai penerbit buku asli membantu matlamat menerbitkan 32,000 judul setahun walaupun jumlah itu juga masih tidak mencukupi.
“Mujurlah ITBM memiliki stok buku lama untuk dijual hasil daripada penerbitan sebelum ini dan tidak tidak hanya bergantung kepada buku terjemahan.
“Ini membuktikan fungsi ITBM sebagai penerbit buku asli boleh menyelamatkan institusi itu.
“Sekiranya mereka tidak memiliki aset buku untuk dijual tentu saja masalah mereka lebih parah,” katanya.
Memberi Erti Pada Buy Muslim First
MAAFCAKAP 13.11.19
Baru-baru ini, sementara menunggu Zuhur, saya berbincang dengan beberapa orang rakan sekerja mengenai isu-isu keusahawanan Melayu. Banyak masalah yang klise disebut sebagai di antara sebab-sebab mengapa usahawan Melayu sukar meningkat maju. Alasan yang klise ialah, pihak pemerintah tidak jalankan peranan mereka secekap dan secepatnya. Soal bantuan, skim dan peluang, diperkatakan. Hal-hal seperti modal, kecekapan mencium peluang, pengetahuan pemasaran, malah kecekapan kutipan dari si pemiutang turut dibicarakan.
Bagaimana pun, kita sudah nampak kesungguhan sesetengah para usahawan Melayu untuk bergerak sendiri tanpa pergantungan total kepada pihak pemerintah. Ini adalah sekumpulan generasi baharu usahawan. Ramai yang sudah menjadi jutawan.
Kita mula merasai akan kehadiran mereka. Mereka ke masjid dengan kereta menjalar. Lazimnya juga golongan ini memberi tajaan pada setiap majlis yang pihak surau adakan. Bil-bil api dan air selalunya sudah mereka bayarkan secara senyap-senyap. Ramai di kalangan mereka yang menaja ahli qariah untuk menunaikan umrah, memberi sedekah kepada anak-anak yatim, sekolah tahfiz, malah mendirikan masjid.
Bagaimana pun, seandainya kita lihat secara makro, alangkah eloknya jika limpahan rezeki yang mereka peroleh itu dihimpun dalam sebuah dana yang diuruskan oleh sebuah badan amanah ekonomi? Jika ada 100 orang jutawan Melayu yang mempunyai wang yang banyak ini mencurahkan pendapatan yang berlebihan ini untuk memajukan ekonomi orang Melayu, lebih ramai orang Melayu akan memperoleh manfaat daripadanya.
Kita masih bergegar dengan kempen Buy Muslim First. Ia merupakan gelombang yang membangkitkan semangat umat Melayu. Di dalam media sosial, sokongan terhadap kempen ini begitu memberangsangkan. Namun, jika kita bertanya diri kita sendiri, setakat manakah kita benar-benar cuba untuk menjadikan BMF ini suatu amalan yang mudah dilaksanakan?
Pada hari ini, apabila kita berniat untuk memilih sebuah produk Muslim, kita menghadapi kesukaran mencari kedudukannya di antara rak-rak di pasaraya. Jika kita menjumpainya pun, apakah kita teruja dengan jenamanya? Barangkali jika ia jenama-jenama yang popular, mungkin kita mudah memilihnya. Bagaimana pula jika kita mahu mencari sebuah jenama baharu untuk dicuba? Mungkin di situlah sendunya.
Saudara Azarul Hakim Ibrahim, sebuah Ketua Pegawai Operasi Hayib.com, marketplace siber berkata, bagi setiap kategori produk, pasti ada dua atau tiga produk Muslim. Misalnya bagi minuman coklat popular, terdapat sekurang-kurangnya tiga produk Muslim. Begitu juga dengan lain-lain kategori produk.
Soalnya, bagaimanakah seseorang pengguna Muslim hendak mempraktikkan BMFnya jika dia belum jumpa dengan produk itu? Jika bertemu pun, apakah dia berani mencubanya? Tingkahlaku pengguna adalah proses membuat keputusan secara peribadi ~ a personal decision. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mempengaruhinya untuk memilih sesebuah produk. Dan, tiada sesiapa pun yang tahu seandainya dia tidak jadi memilih!
Soalan di point of sales itu, apakah jenama yang telah bersarang di fikirannya? Di sinilah kelemahan produk Muslim. Banyak produk-produk kita yang bagus, setanding malah lebih baik kualitinya. Tetapi ia tewas untuk bertakhta di minda pengguna.
Bagaimana pula jika jenama produk itu sentiasa bermain di fikiran pengguna hasil daripada kempen dan promosi besar-besaran pengeluarnya? Di aspek inilah kita perlu tingkatkan. Ramai para pengeluar, meskipun menjual barangan yang laris, tidak mempunyai modal untuk meningkatkan pengeluarannya ke tahap nasional.
Misalnya, serbuk kari yang terbaik hanya laris di Kangar, Sungai Petani dan Gerik. Susu kambing kurma yang berkhasiat hanya terkenal di Batu Pahat, Segamat dan Jasin. Mereka hanya terkenal di kawasan lokal. Modal untuk pemasaran melalui pengiklanan, itulah yang menjadi kekangan mereka.
Golongan ini ramai yang kaya raya. Tapi kaya raya untuk diri dan keluarga semata-mata. Namun, mereka sudah separuh jalan untuk menjadi jutawan. Mereka inilah yang perlu dibantu oleh 100 jutawan-jutawan Melayu yang rajin menderma itu. Beri mereka dana. Beri usahawan-usahawan yang belum jadi jutawan ini kecekapan untuk bermain di padang niaga yang lebih luas.
Oleh kerana mereka sudah separuh jalan menuju ke jalan kekayaan, mereka perlu dibantu secara ekspres. Kita perlu ada dana besar yang disertai bukan oleh golongan jutawan sahaja, tetapi oleh sesiapa sahaja yang menyokong BMF. Mungkin dana besar itu boleh diwujudkan dalam bentuk koperasi.
“Kita dah ada KoPPIM, Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia yang diaktifkan kerana BMF!” kata rakan perbincangan saya, Coach Fadzil sebelum mengajak kami semua untuk ke surau.


